Rabu, 14 September 2022

Fadhilat Membaca Al-Quran

 



1. Al-Quran sebagai Syafaat di akhirat kelak

Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, "Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya." Hadis Riwayat Muslim

2. Al-Quran sebagai Pembela

Nawwas Bin Sam’an r.a telah meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, "Pada hari akhirat kelak akan didatangkan Al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al-Baqarah dan Surah A-li'Imraan, kedua-dua surah ini menghujah (mempertahankan) orang yang membaca dan mengamalkannya." Hadis Riwayat Muslim

3. Orang yang belajar Dan mengajar Al-Quran Adalah sebaik-baik Amalan Uthman Bin ‘Affan r.a telah berkata Rasulullah s.a.w bersabda, "Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain." Hadis Riwayat Bukhari

4. Dua pahala Bagi orang yang susah Menyebut dan Membaca Al-Quran

Aisyah r.a telah berkata Rasulullah s.a.w bersabda, "Orang yang membaca Al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala." Hadis Riwayat Bukhari

5. Allah mengangkat Martabat Golongan pembaca Al-Quran Umar Bin Al-Khattab r.a berkata bahawa Nabi s.a.w bersabda, "Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al-Quran." Hadis Riwayat Muslim

6. Membaca Al-Quran Mendapat ketenangan

Barra’ bin ‘Azib r.a telah meriwayatkan bahawa, seorang lelaki membaca Surah Al-Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi s.a.w dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda, "Itulah (sakinah) ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al-Quran." Hadis Riwayat Bukhari

7. Membaca dan Memperelokkan bacaan Mendapat kebaikan

Abdullah Bin ‘Amru Bin Al-‘As r.a berkata bahawa Nabi s.a.w bersabda, "Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca Al-Quran, 'Bacalah, perbaikilah dan perelokkanlah bacaan Al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan'." Hadis Riwayat Abu Daud

8. Fasih membaca Al-Quran Lebih layak menjadi Imam solat berjemaah 

Ibnu Mas’ud r.a bahawa s.a.w bersabda, "Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam solat ialah mereka yang terfasih membaca Al-Quran." Hadis Riwayat Muslim

9. Setiap satu huruf Membaca Al-Quran Mendapat sepuluh Ganjaran pahala

Ibnu Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda, "Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." Hadis Riwayat Tirmizi

10. Memperelokkan suara Dengan Al-Quran

Al-Bara’ bin ‘Aazib r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Hiasilah Al-Quran dengan suara kalian." Hadis Riwayat Ibnu Majah