Sabda Rasulullah s.a.w: “Sebaik-baik kamu ialah mereka yang berbuat baik kepada ahli (keluarganya) dan aku di kalangan kamu adalah orang yang paling baik dengan ahliku.” (HR Ibn Majah). Zaman ini terlalu banyak perkembangan teknologi yang dapat diraih oleh manusia dan membawa banyak kemudahan. Namun teknologi tidak mampu menggantikan kepentingan setiap individu keluarga di dalam kehidupan. Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita menerusi hadith – hadithnya akan kepentingan untuk berakhlak dan bertutur dengan kelembutan terutamanya bersama ahli keluarga.
Sikap berlembut dalam
pertuturan dipandang remeh untuk segelintir keluarga, yang merasakan
bahawa apa yang disampaikan lebih utama daripada cara penyampaian yang
tidak menyenangkan. Sedangkan kepentingan cara dalam melontarkan kata –
kata juga dipandang serius, ini bertepatan dengan sabda Rasulullah
s.a.w. kepada Sayyidatina Aisyah r.ah, ”Wahai Aisyah, bersikap lembutlah
kerana kelembutan itu setiap kali ada pada sesuatu maka ia akan
memperindahkan sesuatu itu; dan jika kelembutan dicabut daripada sesuatu
maka ia kan memburukkan sesuatu itu” (HR Abu Daud).
Kekasaran pertuturan
di dalam ahli keluarga yang dimaksudkan seperti suami kepada isteri dan
sebaliknya atau ibu bapa kepada anak – anak, sudah semestinya memberi
kesan kepada suasana kekeluargaan itu sendiri. Penggunaan perkataan yang
kurang sesuai di dalam perbualan, memangil suami / isteri dengan
panggilan yang kurang sopan, mengarahkan sesuatu kepada anak – anak
dengan cara yang merendahkan kemampuan anak tersebut atau memalukannya
di khalayak ramai adalah cara berkomunikasi yang tidak betul dan sudah
semestinya memberi kesan kepada emosi, mental individu tersebut. Ini
juga bukan apa yang diajarkan oleh Islam kepada umatnya.
Dari sudut psikologi, individu yang sering tertekan dengan kata – kata atau cara yang kasar, akan merasa tekanan dalaman pada mental dan perasaan yang akan menjurus kepada kesan – kesan yang negatif kepada tingkah laku dan tindak balas individu tersebut. Ianya akan lebih berat jika individu tersebut menghadapi kemurungan.
Sayyidina Ali r.a.
memberi ungkapan yang baik untuk direnungi “Janganlah engkau mengucapkan
perkataan yang engkau sendiri tidak suka mendengarnya jika orang lain
mengucapkannya kepadamu”. Kata – kata ini mampu memberi satu renungan
yang baik kepada kita semua agar tidak menuturkan kata-kata yang kita
sendiri tidak suka mendengarnya.
Fenomena ini semakin meluas dalam kalangan keluarga, berkemungkinan disebabkan kurangnya ilmu kekeluargaan itu sendiri dalam diri pasangan – pasangan Islam. Kita sering dirisaukan dengan pentingnya kestabilan kewangan semata – mata untuk terus kekal relevan untuk hidup di Singapura, tetapi adakah wajar untuk kita meminggirkan kepentingan membudayakan akhlak Islami di dalam institusi keluarga? Dan membiarkan pasangan dan anak – anak kita dalam keadaan tidak stabil emosinya kerana kelakuan kita yang kurang menyenangkan? Sedangkan Rasulullah s.a.w ada menyebutkan dalam hadith riwayat Abu Hurairah r.a “Setiap anak lahir dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR Bukhari). Hadith ini menguatkan akan kepentingan untuk memupuk akhlak terpuji dalam diri anak – anak dan ianya menjadi tanggungjawab ibu bapanya untuk sering menunjukkan akhlak yang baik, pertuturan yang elok agar anak – anak terkesan dengan persekitaran Islami.
Tidak dinafikan anasir – anasir luaran yang juga memberi impak pada akhlak setiap individu seperti tekanan pekerjaan, media sosial, pergaulan teman – teman yang mampu menyumbang kepada emosi negatif suami / isteri lalu melepaskannya di rumah dan lebih teruk lagi kepada anak – anak yang tidak berdosa. Setiap individu berkuasa untuk berusaha menjauhi perkara – perkara tersebut dengan memilih jalan yang betul bagi mengawal setiap tekanan yang dihadapi, seperti berzikir atau melakukan solat sunnat untuk menenangkan fikiran. Begitu juga memilih teman – teman yang sering memberikan kata – kata peransang ke arah kebaikan bukan membawa ke arah sebaliknya. Di sinilah terletak kepentingan Iman seseorang itu apabila berhadapan dengan sesuatu ujian dari Allah s.w.t.
Ketahuilah, suasana
keluarga yang sering menerapkan pertuturan yang lembut dan akhlak yang
baik mampu menghasilkan keluarga yang harmoni dan pertumbuhan anak –
anak yang sihat dan cergas. Menggunakan perkataan yang menunjukkan kasih
sayang pada suami / isteri dan anak – anak akan melahirkan ketenangan
dan ketenteraman keluarga. Suami akan lebih bahagia apabila pulang ke
rumah dan isteri menyambutnya dengan kata – kata indah, begitu juga
sebaliknya dan anak – anak akan lebih rapat dan terbuka kepada ibu bapa
yang menunjukkan aura positif kepada mereka.
Akhlak Rasulullah s.a.w pada keluarganya sudah semestinya perlu dijadikan contoh teladan bagi setiap keluarga, Baginda adalah suami yang sentiasa berlemah lembut dengan para isteri serta keluarganya. Beliau tidak pernah bersikap keras kepada mereka. Semasa si isteri marah, beliaulah yang menghibur serta meredakan kemarahannya. Hubungan Nabi Muhammad s.a.w dengan para isteri sentiasa dilandasi dengan rasa cinta yang tulus suci. Beginilah seharusnya sebuah keluarga perlu diterajui.
Seorang suami melakukan tanggungjawab dengan baik, wajar mendapatkan hak yang wajib diperolehi, begitu juga isteri yang melaksanakan tanggungjawab dengan baik akan wajar mendapatkan hak yang wajib diperolehi. Anak – anak perlu dididik dengan agama dan akhlak yang mulia harus dipupuk dalam diri mereka.
Pasangan suami isteri dan ibu bapa harus menitik beratkan tentang kepentingan berkomunikasi dengan pengunaan bahasa yang berhemah dengan cara yang lembut lagi sopan sesama sendiri dan juga kepada anak – anak. Senantiasalah bermuhasabah diri agar kita mampu melihat kesilapan dan kekurangan di dalam diri kita, dan perbaikinya secepat mungkin. Menjadikan hari esok lebih baik daripada hari ini supaya kehidupan lebih bermakna bersama insan – insan yang kita sayangi.
Jauhilah kata – kata yang kasar lagi kesat kepada ahli keluarga mahupun yang lainnya. Sentiasa ingat, bahawa amalan ini tidak membawa kita sebagai ahli syurga yang kita impikan. Semoga Allah sentiasa mengawasi tingkah laku kita, dan kita sering berusaha menjadi ‘Khair Ummah’ sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini kerana tujuan kehidupan bukanlah dunia semata tetapi tujuan hakiki adalah Akhirat nanti.
Semoga perkongsian yang sedikit memberi manfaat terutamanya untuk diri yang dhoif ini dan memanfaatkan kepada pembaca yang lain. Yang baik hanya dari Allah s.w.t dan yang kurang daripada kami sendiri.