Dalam hadis Nabi SAW disifatkan bahawa titian sirat itu lebih halus daripada rambut yang dibelah tujuh dan lebih tajam daripada mata pedang.
Bayangkan betapa bahayanya titian sirat itu, kita sewajarnya tahu selok-belok bagaimana nak meniti agar melepasinya dengan baik yang mana keadaannya yang sangat berbahaya kepada manusia.
Dinyatakan dalam hadis juga bahawa pelbagai cara manusia meniti titian sirat itu bergantung kepada banyak dan sedikit amalan kebaikan manusia berdasarkan kepada amalan pada masa hidupnya di dunia.
Ada yang melintasinya seperti kilat cepatnya, ada yang seperti kuda, ada yang berjalan dan ada yang merangkak.
Di atas titian itu ada terdapat banyak penyangkut seperti mata kail yang besar dan akan menyangkut mereka yang banyak dosa sehingga menyebabkan pendosa itu terjatuh ke dalam neraka. Nauzubillah.
Titian Sirat ini dikatakan gelap. Hanya cahaya yang ada pada seseorang berdasarkan kepada amalannya sahaja dapat membantu.
Maka terdapat tip-tip untuk meniti titian sirat itu yakni, enam amalan yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW seperti berikut:
Sentiasa berada di masjid
Abu Darda’ berkata: “Saya telah mendengar Rasulullah bersabda: Masjid
itu adalah rumah bagi setiap orang yang bertakwa dan Allah akan
memberikan kesenangan, rahmat dan (keselamatan) di atas sirat menuju
keredaan Allah ke dalam syurga bagi sesiapa sahaja yang menjadikan
masjid-masjid sebagai rumahnya.”
Maksud orang yang sentiasa pergi ke masjid ialah melakukan solat
berjemaah, belajar ilmu agama di masjid, bergaul dengan orang soleh di
masjid dan melakukan pelbagai aktivit keagamaan di masjid atau surau.
Nabi SAW bersabda dalam hadis tadi bahawa di masjid adalah tempat orang
yang bertakwa kepada Allah.
Sebenarnya banyak kelebihan masjid sehinggakan orang berada di dalam masjid dalam majlis ilmu akan sentiasa didoakan oleh malaikat agar Allah mengampuni dan merahmati mereka.
Bersedekah dengan baik
Maksudnya sedekah tadi ialah daripada sumber yang halal, cara sedekah yang baik dan juga tepat sasarannya.
Bersedekah lebih afdal kepada kaum keluarga terdekat dahulu yang mana Allah akan berikan dua jenis ganjaran pahala: Pertamanya ialah pahala sedekah, keduanya pahala menghubungkan silaturrahim di antara ahli keluarga.
Bersedekah juga hendaklah dengan cara yang baik seperti penuh
keikhlasan, tidak disusuli dengan ungkit-mengungkit bertujuan
berbangga-bangga selain mahu menyakitkan hati orang yang kita bantu.
Nabi SAW bersabda daripada Abu Nuaim dan Asbahani meriwayatkan secara marfu’: “Barangsiapa bersedekah dengan baik, maka dia akan melintas di atas sirat dengan lapang dada”.
Menerima pembatalan pembelian seseorang muslim dan memaafkan kesalahannya
Maksudnya kita dalam urusan transaksi jual beli atau apa-apa urusan kalau ada kecacatan pada barang yang dibeli contohnya, maka jika pembeli membatalkan pembelian tersebut, maka kita menerimanya dan meyelesaikannya dengan cara yang baik.
Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA mengatakan bahawa Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang menerima pembatalan pembelian saudaranya, maka Allah SWT akan mengampunkan kesalahannya pada hari kiamat.”
Dalam riwayat Ibnu Hibban disebutkan bahawa: “Barang siapa yang memaafkan kesalahan seorang muslim, maka Allah akan mengampunkan kesalahannya pada hari kiamat.”
Sifat suka memaafkan kesalahan orang lain ini sebenarnya sangat mulia dan akan menenangkan hati kita dengan sebab tiada dendam kesumat.
Memudahkan kesulitan orang lain
Saidatina Aisyah RA mengatakan bahawa Nabi SAW bersabda: Barang siapa
yang menjadi penghubung bagi saudaranya yang muslim kepada penguasa
dalam menyampaikan satu kebaikan atau memudahkan satu kesulitan, maka
Allah akan membantunya dalam melintasi sirat pada hari kiamat ketika
tergelincirnya kaki-kaki”.
Contohnya dalam kehidupan kita seharian banyak urusan kita dengan pihak berkuasa bermula dengan pendaftaran surat beranak, urusan membuat kad pengenalan, mendaftarkan sekolah anak, permohonan-permohonan permit, lesen dan sebagainya sehinggalah kepada urusan kematian.
Maka jika kita menolong orang lain mempermudahklan urusan mereka, maka Allah akan selamatkan kita meniti titian sirat.
Membantu memenuhi keperluan orang lain
Dalam satu hadis Nabi SAW daripada Anas bahawa seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling dicintai oleh Allah?”
Baginda bersabda: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah ialah yang membahagiakan seseorang muslim; mengatasi kesulitannya, membayar hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya, serta berjalan bersama saudaraku untuk satu keperluan lebih aku cintai daripada aku beriktikaf di masjid ini selama satu bulan.
"Dan barangsiapa yang dapat menahan amarahnya pada hal dia mampu untuk melempiaskannya jika dia mahu, maka Allah akan memenuhi hatinya pada hari kiamat dengan keredaan, dan barangsiapa yang berjalan bersama saudaranya untuk satu keperluan sehingga dia dapat memenuhinya, maka Allah akan memantapkan kedua kakinya pada hari di mana kaki-kaki akan tergelincir” - [HR al-Asbahani dab Ibnu Abi Dunya].
Lihatlah betapa kalau kita teliti isi kandungan hadis ini berkisar tentang akhlak yang baik: Menolong menyelesaikan masalah saudara kita, tolong bayarkan hutangnya atau halalkan hutangnya dengan kita, belanja makan dan pelbagai cara lagi.
Sebab itulah Nabi SAW mengatakan bahawa amalan yang paling berat timbangan di neraca Allah adalah akhlak yang baik.
Melindungi seorang mukmin daripada umpatan orang munafik
Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang melindungi seorang mukmin daripada umpatan orang yang nampak munafik, maka Allah akan mengutus kepadanya seorang malaikat yang akan melindungi dagingnya daripada api neraka Jahannam pada hari kiamat. Barangsiapa menuduh seorang muslim dengan tujuan ingin mencemarkannya, maka Allah akan menahannya di atas sirat Jahannam sehingga dia dibersihkan dari dosa yang telah dia katakan.” - [HR Abu Daud].
Pada zaman sekarang ini masya Allah banyaknya umpatan, kutukan Ya Allah kalau kita baca pun takut, fitnah, adu-domba, caci-maki dan sebagainya sangat kurang sopan dan sangat kesat bahasanya di media sosial.
Bahkan ulama, tok-tok guru dan orang-orang alim pewaris nabi dikeji, dihina sebegitu rupa. Oleh itu ambillah peluang ini dengan mempertahankan saudara muslim kita daripada kutukan, hinaan, kejian, tuduhan orang munafik ini kerana Allah akan selamatkan kita semasa meniti titian sirat pada hari kiamat nanti.
Semoga dengan mengamalkan tip-tip yang diberikan oleh Nabi SAW ini insyaAllah, Allah akan permudahkan kita meniti titian sirat untuk menuju ke syurgaNya.
Sila kongsikan tip ini sebanyak mungkin agar ia dapat menjadi sebahagian amalan jariah kita.