Selasa, 16 Februari 2021

PAS DIMUSUHI KUFFAR

Sejak penubuhan PAS pada 23 Ogos 1951, PAS terus bergerak ke hadapan mengharungi arus badai perjuangan dalam lapangan politik tanah air sehingga ke hari ini. Biarpun beberapa kali dilanda gelombang besar tetapi ia tidak sedikit pun menyebabkan PAS menjadi pegun dan pasif. Bahkan gelonbang yang melanda itu jugalah yang telah menguatkan PAS dari dalam. Perlu disedari bahawa PAS bergerak dengan landasan iman sebagai pemacu perjuangan. Musuh PAS mesti melihat PAS dengan kacamata PAS melihat PAS. Jika musuh PAS melihat dengan kacamata Barat maka mereka akan gagal memahami tektik dan strategi politik PAS. Biarpun PAS kalah di atas kertas tetapi PAS menang dalam arena perjuangan menegakkan Tauhid di tanah merdeka ini. Sesiapa pun musuh PAS maka inilah dasar perjuangan PAS.

Ketegasan PAS dalam memperjuangkan Tauhid ini secara tidak langsung menyebabkan PAS dimusuhi kuffar di seluruh dunia. Ironisnya PAS hanyalah parti kecil di sebuah negara kecil namun musuh Islam itu adalah tidak bernegara. Di mana sahaja di pelosok dunia ini yang ada cita-cita menegakkan kalimah tayyibah, maka musuh Islam akan cuba menghalangnya dengan apa jua caranya. Gerakan-gerakan halus telah dirancang dengan penuh teliti supaya Islam menjadi lemah dan hilang jati diri dalam menegakkan Tauhid ini.

Pelbagai isme-isme telah dicipta oleh musuh Islam untuk disuntik dalam pemikiran umat Islam di seluruh dunia. Isme – isme ini bukan sekadar picisan – picisan idealisme Barat yang tidak bertuan, tetapi ia adalah isme-isme yang berakar umbi pada satu perjuangan kuffar yang lebih besar dikenali dengan nama pertubuhan freemason. Freemason menjadi pertubuhan besar dunia yang merancang segala agenda penyesatan aqidah terutamanya kepada umat Islam sejagat. Sejarah panjang Perang salib yang bermula pada tahun 1095 Masihi sehingga 1291 Masihi adalah titik tolak penubuhan gerakan freemason pada tahun 1641 Masihi. Sejarah hitam kekalahan tentera kristian ini menjadi sebab yang berterusan mereka berusaha menentang Islam dari zaman ke zaman.  Firman Allah SWT jelas menyatakan kaum kuffar akan sentiasa merancang untuk menjatuhkan Islam dari zaman Nabi Muhammad SAW sehingga ke zaman pengakhiran dunia.

Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.

 

Strategi Politik PAS Yang Unik

PAS berjuang dari mula penubuhannya adalah menentang sekularisme di negara Ini sehingga bertukar kepada liberalism pada hari ini, PAS tetap dengan agenda perjuangan yang sama iaitu Tauhid diletakkan di tempat yang paling tinggi. Strategi PAS yang unik ini menyebabkan pasti-parti lain terpinga-pinga dalam memahaminya. Mereka hanya melihat sekadar matlamat menang dalam pilihanraya yang singkat manakala PAS melihat jauh ke depan melangkaui menang di dunia bahkan sampai ke akhirat. Menang di akhirat adalah cita-cita tertinggi PAS dalam perjuangan. Medan politik demokrasi hanya sebahagian dari cara PAS menegakkan perjuangan aqidah ini, namun parti-parti lain melihat medan politik demokrasi ini adalah gelanggang yang paling utama perjuangan mereka. PAS tidak menjadikan menang pilihanraya sahaja sebagai cara untuk melaksanakan perjuangan, semua aspek kehidupan itu adalah keutamaan bagi PAS.

Politik PAS adalah politik sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Mawardi dalam kitab Ahkam as-Sultaniah wa al-Wilayah ad-Diniyah iaitu mendirikan agama dan mentadbir dunia dengan agama. Selagi ada ruang untuk mendirikan agama maka PAS akan mengambil peluang tersebut biarpun bukan melalui saluran pilihanraya. Itulah yang terjadi dalam beberapa siri pilihanraya umum yang PAS sertai, termasuk dalam Pilihanraya Umum Ke 14 yang lalu. PAS tidak mengutamakan kemenangan dalam pilihanraya tetapi diutamakan pada kepentingan Islam sehingga sanggup menanggung risiko kekalahan dan kritikan pedas banyak pihak, apabila tidak bersama-sama dalam Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional. Bahkan menjalinkan kerjasama x dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia menggagaskan Gagasan Sejahtera. Apa yang lebih memeningkan banyak pihak ialah PAS menjalinkan kerjasama dengan UMNO pula setelah ia berjaya dikalahkan. Sungguh, politik sebegini tidak mampu ditanggapi oleh mereka yang berkiblatkan politik acuan Barat.

Oleh kerana itu juga, PAS mengambil sikap memutuskan tahaluf siasi dengan DAP kerana DAP beberapa kali melakukan tindakan yang merugikan Islam semasa tempoh tahaluf tersebut. Sikap DAP yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS pada tahun 2015 adalah satu permulaan serangan secara terbuka kepada PAS. Walhal, pada asal persetujuan tahaluf adalah ‘Bersetuju untuk tidak bersetuju’, masing-masing akan mengambil sikap mendiamkan diri tentang perjuangan rakan politik masing-masing. Akan tetapi DAP mengenepikan persetujuan tersebut dengan sikap mereka itu, satu persatu mereka mula menunjukkan penentangan pada perjuangan PAS. Lim Kit Siang dalam sidang parlimen pada 18 Mei 2015 berani mempersoalkan tentang perjuangan PAS untuk meminda perlembagaan bagi melaksanakan Kanun Jenayah Syariah Kelantan. Pada tahun yang sama juga, Nga Kor Ming menyindir tatacara pemakaian Islam apabila perwakilan UMNO Pulau Pinang mencadangkan pramugari MAS supaya memakai pakaian menutup aurat. Pada Persidangan Kebangsaan DAP 14 Disember 2014 sebelumnya, Lim Guan Eng jelas menyatakan penolakan hukum hudud adalah perlu dimuktamadkan sebelum Pilihanraya Umum ke14. Inilah sebahagian dari sikap DAP yang secara jelas menunjukkan penentangan terhadap Islam setelah mereka menang besar dalam Pilihanraya Umum ke 13 pada 5 Mei 2013.            

Dakwah adalah sisi lain bagi politik PAS

PAS umpama duit syiling, satu sisi adalah politik dan satu sisi lagi ialah dakwah. Manakala nilaian semasa pada politik dan dakwah yang PAS lakukan saban waktu adalah iman. PAS membawa mesej dakwah tetapi pada masa yang sama orang akan lihat itu adalah politik. Tatkala PAS dilihat berpolitik tetapi hakikatnya seruan dakwah cuba diterapkan pada masyarakat tanpa disedari. Biar apa pun pandangan orang terhadap PAS samada politik atau dakwah tetapi ahli-ahli PAS perlu sentiasa memainkan peranan masing-masing dengan iman. Iman yang menjadi teras utama pergerakan PAS perlu sentiasa digarap dengan usaha tarbiah yang berterusan kepada semua ahlinya.

Sebelum Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu, strategi politik dakwah PAS terserlah dalam BPMS iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera. BPMS adalah mesej dakwah yang ingin disampaikan agar berpolitik mengikut acuan Islam, maklumat yang benar disampaikan dengan matang dan sejahtera pada masyarakat. Tiada lagi budaya persepsi, fitnah dan adu domba yang dibawa dalam berpolitik sinonim dengan politik acuan Barat. Kebenaran adalah amat penting berbanding sebuah parti biarpun merugikan parti secara kasarnya. Akan tetapi, hakikatnya apabila kebenaran itu yang diutamakan secara tidak langsung Islam akan menang kerana Islam tidak akan sesekali bertentangan dengan kebenaran.

Penubuhan Sekretariat Kongres Rakyat dan Gerakan Pembela Ummah juga merupakan strategi politik dakwah PAS yang diadun tanpa sedar oleh parti-parti lain. Melalui Kongres Rakyat yang ditubuhkan pada 12 September 2015, PAS telah menjalankan kerjasama politik dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) , parti politik dan individu perseorangan sebagai sebuah platform rakyat Malaysia untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat terbanyak. Sebanyak 4 siri Kongres Rakyat telah diadakan pada tahun 2015 dan 2016. Manakala, Gerakan Pembela Ummah pula ditubuhkan pada Mei 2017 adalah bertujuan memperkasakan kedaulatan Islam dan menyatupadukan umat Islam merentasi politik kepartian. Modusnya tampak PAS tidak dilihat secara nyata mengetuai gerakan-gerakan ini, namun umumnya diketahui bahawa PAS adalah arkitek dalam menubuhkan gerakan –gerakan tersebut. 

 Tarbiah untuk mengukuhkan aqidah

Kesemua langkah yang PAS ambil ini adalah jelas bahawa matlamat PAS hanya untuk mendaulatkan Islam, tidak ada tujuan yang lain seperti tohmahan dari pelbagai pihak yang tidak memahami dengan jelas tentang PAS. Seharusnya perlu disedari bahawa PAS bertindak dengan adunan yang sebati  dari tiga elemen iaitu politik, dakwah dan tarbiah. Tidak keterlaluan jika dinyatakan bahawa PAS adalah satu-satunya parti yang mampu bertapak lama dalam medan perjuangan ini dengan landasan politik, dakwah dan tarbiah. Paduan ketiga-tiga elemen ini menjadi ramuan penting dalam mengukuhkan PAS dalam medan perjuangan ini.

Usaha tarbiah yang berpanjangan adalah amat penting agar matlamat utama gerakan PAS ini tidak tersasar dari landasannya iaitu mentauhidkan Allah SWT. Mentauhidkan Allah SWT tidak hanya meniti di bibir mulut, namun ia pembuktian nyata iman melalui keseluruhan kerangka jasad kita. PAS konsisten dengan matlamat tersebut biarpun kepimpinannya silih berganti dari saban waktu. Halu tuju PAS bertambah jelas dengan adanya Majlis Syura Ulama’ yang menjadi teraju utama gerakan ini. Majlis Syura Ulama’ telah dicadangkan pada tahun 1982 dan diluluskan penubuhannya dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-29 pada 1 Mei 1983 ini menjadi rujukan utama setiap agenda yang akan digerakkan.

Semenjak penubuhan PAS lagi, agenda tarbiah menjadi agenda penting dalam PAS. Pada tahun 1954, PAS telah menubuhkan Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya ( KPAS ) untuk mengembangkan pentarbiahannya kepada pelajar di sekolah dan institusi pendidikan di seluruh  Tanah Melayu pada ketika itu. Pada tahun 1963, Dewan Pemuda pula telah menjadikan teks-teks tarbiah Ikhwanul Muslimin sebagai rujukan tarbiah mereka. Lebih jauh dari itu, mereka juga telah menjalankan siri-siri perkhemahan tarbiah dan kursus kepimpinan pada akhir 1970-an. Kemunculan tokoh-tokoh muda yang mendapat tarbiah langsung dari Ikhwanul Muslimin juga telah menyemarakkan lagi sistem tarbiah dalam PAS. Meraka ialah seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Harun Taib, Ustaz Nakhaei Ahmad, Ustaz Yahya Othman dan ramai lagi. Manakala tahun 1982 pula, Lajnah Tarbiah PAS Pusat telah menyiapkan Sukatan Tarbiah PAS sebagai panduan sistem pertarbiahan PAS.

Itulah  susun atur pentarbiah PAS yang mesti dihadami oleh semua ahli PAS. Namun realitinya, berjuang mentauhidkan Allah SWT ini memerlukan keikhlasan yang tinggi. Hanya insan yang betul-betul ikhlas sahaja akan kekal berada dalam saf perjuangan ini. PAS telah menyediakan platform untuk ahlinya terus thabat dengan perjuangan agung ini. Namun, diakhir perjuangan adalah dari jiwa murni para pejuangnya.

Oleh hal demikian, agenda penyatuan ummah yang PAS gerakkan sekarang adalah lanjutan tarbiah tanpa sedar kepada para ahlinya. Ia bukan sahaja strategi politik dakwah, namun yang lagi besar dari itu ialah menguji keimanan para pendukung PAS. Ujian keimanan ini bukan PAS yang sediakan tetapi Allah yang telah mengaturnya. PAS hanya menyediakan strategi politik dan hikmahnya dari itu Allah SWT menyusun ujiannya. Sering kali ujian keimanan itu datang dalam perancangan yang PAS laksanakan tanpa disedari hakikat kewujudan ujian Allah itu. Semua pimpinan juga tidak mengetahui hakikat ujian itu. Kepimpinan tidak mengetahui PAS akan berdepan dengan pelbagai masalah dan konflik, tapi mereka dengan sabar dan tabah merancang penyelesaian terhadap permasalahan dan konflik tersebut. Natijahnya terserah kepada Pemilik Kekuasaan, biarpun PAS bakal berdepan dengan tohmahan dan kritikan dari pelbagai pihak yang tidak memahami tentang PAS. Manusia hanya merancang dan Allah jualah sebaik-baik perancang. 

Pembebasan Ummah Adalah penghujung Perjuangan

Setelah melalui segala perancangan dari Allah SWT hingga ke hari ini, semakin jelas kepada kita bahawa tiada tersisa satu nukleus pun Allah mengabaikan hambaNya yang betul-betul berjuang menegakkan kalimahNya. Kita hanya dituntun meneruskan perjuangan ini hingga ke akhirnya, Allah jualah yang akan menjaga agamaNya. Pelbagai wasilah yang kita rancang untuk menegakkan Tauhid ini adalah untuk diri kita sendiri bukan untuk Allah. Allah berkuasa menjaga agamaNya yang Haq tanpa satu pun kudrat mahklukNya. Dia hanya ingin menzahirkan Dia adalah Yang Paling Berkuasa dan Agung maka diciptaNya kita.

PAS telah melalui jalan panjang dan akhirnya menatijahkan penyatuan ummah di saat-saat akhir cerita dunia ini. Apa yang pasti, skrip akhir penciptaan manusia bukan hanya untuk penyatuan ummah tetapi adalah pembebasan ummah. Pembebasan ummah dari kesyirikan pada Allah SWT keseluruhannya. Ummah bersatu dengan erti kata kembali bebas dari segala jenis idealisme sesat yang merajah pemiikiran dan ketaksuban manusia sebelum ini. Tidak akan masuk syurga bagi manusia yang ada sifat syirik pada dirinya.

Tarbiah, dakwah dan politik PAS mesti digerakkan semaksimun mungkin sebelum dunia ini berakhir untuk mengembalikan ummah di Malaysia khasnya dan dunia amnya bebas dari mensyirikan Allah tanpa sedar sekarang ini. Liberalisme yang kian menjarah pemikiran masyarakat Malaysia kini perlu dicantas sebelum merebak kian parah. Sekularisme yang didominasi UMNO suatu ketika dulu perlu dibersihkan daki-daki kejahilannya. Ahli PAS yang masih istiqamah juga perlu dipasakkan sekejapnya aqidah yang mapan menghadapi pertembungan akhir ini. Yusuf al-Qardhawi ada menyebut bahawa abad ke-21 ini adalah abad kemenangan Islam . Sebagaimana hadis sahih yang  diriwayat tentang fasa dunia  berada dalam 5 fasa iaitu fasa kenabian, fasa khilafah, fasa kerajaan yang menggigit, fasa kepimpinan yang zalim dan fasa pemerintahan menurut kenabian . Ironisnya fasa sekarang adalah peralihan fasa kepimpinan yang zalim kepada fasa pemerintahan menurut kenabian . Oleh demikian, yakinlah kita sekarang berada dalam saf yang memperjuangkan Islam menuju ke fasa pemerintahan menurut kenabian.

Disediakan oleh:

Ust Faizal Ibrahim



PAS tetap teguh berdiri membawa perjuangan Islam sejak sekian lama walau pelbagai tohmahan dan fitnah telah dilemparkan.

PAS berjuang dalam tempoh yang panjang sejak dari (tahun) 1951 sehingga sekarang, kita dihina, kita dikeji, kita dihamun, dikata macam-macam semata-mata kerana kita membawa Islam.

Oleh kerana PAS membawa perjuangan Islam, parti DAP dan parti seangkatan dengannya sering memusuhi PAS.

Jika PAS tidak membawa perjuangan Islam seperti mana yang diperjuangkan hingga ke hari ini, PAS pasti tidak akan dimusuhi.