Selasa, 16 Februari 2021

Buruk sangka dan suka mencari salah orang laindimurkai Allah SWT

Buruk sangka adalah salah satu sifat mazmumah manakala mencari-cari kesalahan orang lain pula hadir apabila wujudnya sangkaan buruk dalam hati. Apabila timbul buruk sangka, sudah tentu rasa ingin mencari kesalahan timbul sehingga terbuka kesalahan, aib atau kelemahan seseorang itu.

Sesiapa yang mempunyai sifat buruk sangka dengan sesama Islam, maka ia wajib bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT. Dosa orang yang buruk sangka adalah besar dan termasuk dalam perbuatan jahat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan berkenaan) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Ketika menjelaskan secara terperinci ayat itu dalam rancangan Pesona D' Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, berkata ia terkandung perintah untuk menjauhi kebanyakan berprasangka kerana tindakan berprasangka adalah perbuatan dosa.

Dilarang juga berbuat tajassus iaitu mencari kesalahan, keburukan atau aib orang lain yang biasanya kesan daripada prasangka yang buruk. Dalam erti kata lain, kita disaran tidak terpengaruh dengan individu yang suka bersangka.

Prasangka kerana iri hati

Allah SWT mengingatkan, sebahagian prasangka itu perbuatan dosa kerana ia timbul daripada rasa iri hati atau dengki terhadap seseorang. Ia juga menyebabkan timbul tuduhan tidak berasas kerana orang lain turut melakukan perbuatan serupa yang menambahkan prasangka sedia ada.

Teknologi komunikasi yang tidak bersempadan meluaskan penyebaran maklumat boleh meracuni akal manusia yang tidak tahu membuat pertimbangan antara fitnah dan hak. Oleh itu, sebagai hamba beriman kepada Allah SWT, kita perlu menjaga pertuturan atau berdiam diri.

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat maka hendaklah ia berkata-kata yang baik atau hendaklah ia diam." (Riwayat Imam al-Bukhari)

Menurut Muhammad, seseorang itu mudah terpengaruh dengan sangkaan dibuat oleh orang lain atas tiga sebab. Pertama, disebabkan tidak kenal orang itu. Elakkan mencari kekurangan orang lain, tetapi bergaullah dengan baik.

Seterusnya, bagi mengelakkan terpengaruh dengan segala perkhabaran yang tidak dipastikan kesahihannya, penting untuk kita sentiasa peka dan memahami situasi dilalui oleh individu berkenaan.

Jika diabaikan perkara sebegini, sifat buruk sangka akan sentiasa berlanjutan. Jiwa akan hancur luluh, perasaan tertekan, rumah tangga runtuh, kedamaian musnah, masyarakat menjadi porak-peranda.

Semua itu gara-gara perangai buruk sangka. Islam mendesak umatnya supaya mendahulukan bersangka baik daripada cepat bersangka buruk. Hukuman tidak harus dijatuhkan hanya berdasarkan kepada sangkaan.

Selain itu, individu yang tidak mempunyai pendirian akan mudah terpengaruh dengan segala sangkaan negatif yang diterima daripada pihak lain. Apabila menerima maklumat atau berita negatif mengenai sesuatu berkaitan peribadi seseorang, selidik (tabayyun) terlebih dahulu.

Jangan terus mempercayai atau memberi maklum balas secara negatif. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Buruk sangka terhadap suami adalah berdosa. Dalam kes isteri yang tidak mempercayai suami, ia hanya akan membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan seperti pertengkaran yang hanya merugikan pasangan.

Kesimpulannya, dalam melayari rumah tangga yang bahagia, setiap pasangan disaran supaya tidak sesekali buruk sangka dan mudah terpengaruh dengan pihak lain yang suka mencari kesalahan orang lain.