Allah telah berfirman:
أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ ۚ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا
"Apakah patut kamu mengambil dia (Iblis) dan keturunannya sebagai pemimpin selain dariKu? Sedangkan mereka adalah musuhmu. Sangat buruklah Iblis itu sebagai pengganti (Allah) bagi orang-orang yang zalim" - al-Kahfi 50.
⚫ Karektor pengikut Iblis.
Di dalam al-Quran, sarat menceritakan ciri-ciri pengikut syaitan yang wajib dijauhi. Sekaligus sebagai peringatan agar tidak menjadikan mereka sebagai pemimpin.
Antara ciri pengikut syaitan berdasarkan ayat 208 surah al-Baqarah adalah, aspirasi mereka sering bercanggah dengan konsep kesempurnaan Islam.
Bahkan di dalam surah al-Nisa' ayat 60 hingga 61, Allah telah mengingatkan betapa perangkap syaitan mahu mensekularkan umat Islam. Mereka tekun menghasut agar umat Islam berpegang dengan ideologi-ideologi ciptaan manusia.
Golongan seperti ini cukup menganut machiavellisme, menyebabkan mereka tidak sensitif dengan halal & haram. Bahkan di dalam surah al-Baqarah ayat 169, Allah menceritakan bahawa mereka gemar mengagendakan keburukan ke atas Islam serta merosakkan nilai hidup manusia. Kejahilan mereka pasti merosakkan semua.
⚫ Fitnah Akhir Zaman.
Sememangnya acap kali Nabi telah menggambarkan senario kepincangan masyarakat yang jahil, sanggup melantik makhluk perosak sebagai pemimpin mereka. Abu Zar pernah bertanya kepada Nabi:
يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَيُّ شَيْءٍ أَخْوَفُ عَلَى أُمَّتِكَ مِنَ الدَّجَّالِ ؟ قَالَ الْأَئِمَّةَ الْمُضِلِّينَ
"Wahai Rasulullah, apakah yang lebih anda takutkan berbanding Dajjal?" Rasulullah menjawab "Mereka adalah pemimpin yang menyesatkan" - hr Ahmad.
⚫ Munculnya Pemimpin Berhati Syaitan.
Nabi bersabda:
يَكُونُ بَعْدِي أَئِمَّةٌ لاَ يَهْتَدُونَ بِهُدَايَ ، وَلاَ يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِي ، وَسَيَقُومُ فِيهِمْ رِجَالٌ قُلُوبُهُمْ قُلُوبُ الشَّيَاطِينِ فِي جُثْمَانِ إِنْسٍ
"Selepasku akan muncul para pemimpin yang tidak mengikuti petunjukku dan tidak menuruti sunnahku. Di antara mereka ada yang berhati syaitan namun berjasad manusia" - hr Muslim.
Di sini jelas, Nabi telah mengingatkan ciri pemimpin yang berhati syaitan adalah di kalangan mereka yang tidak berpegang dengan Islam secara serius.
⚫ Masyarakat Mesra Syaitan.
Akibat dari kejahilan yang telah lama berakar, masyarakat kita hari ini keliru membezakan antara mana yang baik dan mana yang buruk.
Bahkan kepincangan paradigma masyarakat hari ini menyebabkan mereka melihat orang yang jujur sebagai bodoh. Sementara orang yang licik menipu sebagai bijak bestari dan layak diangkat sebagai pemimpin. Maka tidak hairanlah jika syaitan sering diberi kedudukan dan kepercayaan.
Abdul Mu'izz Muhammad
27 April 2018.