Ahad, 18 Mac 2018

POLITIK ISLAM MERUPAKAN TUGAS MULIA

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tujuan penulisan kali ini adalah untuk mengajak para pembaca memahami hakikat sebenar apa yang dikatakan sebagai “politik Islam”. Sebahagian besar umat Islam hari ini masih kabur dalam memahami makna politik yang sebenar apatah lagi dalam konteks perlaksanaannya akibat dibuai kemelut politik yang berterusan dalam negara ini yang berdiri atas doktrin Kapitalisme-Demokrasi tinggalan penjajah.

Bukti kekaburan umat Islam terhadap politik jelas kelihatan apabila ramai di kalangan mereka menjauhkan diri daripada politik. Mereka merasakan politik itu suatu perkara yang buruk dan keji. Politik bagi mereka penuh dengan amalan kronisme, nepotisme, ketirisan, politik wang, salah guna kuasa, tamak, rasuah, kepura-puraan para politikus dan fitnah-memfitnah di antara mereka demi menjatuhkan pihak lawan dan mendapatkan kekuasaan duniawi. Pendek kata, tidak ada kebaikan langsung dalam perkara politik di kaca mata mereka. Kebencian mereka terhadap politik sehingga melihat politik sebagai sesuatu yang kotor dan tidak layak dibincangkan dalam masjid-masjid atau majlis-majlis agama. Bukankah masjid merupakan institusi politik pertama yang dibina oleh Rasulullah SAW untuk menguruskan hal ehwal masyarakat di dalam Daulah Islam Madinah? Walaupun ada sebahagian umat Islam mengakui akan keberadaan hukum-hakam yang berkaitan dengan politik dalam Islam namun, mereka keliru apabila berpendapat bahawa ia tidak penting dan meletakkan nilai-nilai Islam dalam masyarakat yang harus diberikan keutamaan.

Sementara itu, bagi sebahagian besar masyarakat terutamanya dalam kalangan anak muda, kebanyakan mereka tidak mempedulikan urusan politik. Laporan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terbaru telah mencatatkan seramai 3.6 juta belia yang berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pengundi [Berita Harian, 21/02/2018]. Antara punca utama ketidakpedulian dalam kalangan anak muda ini berlaku kerana bagi mereka baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang jika berkuasa, kedua-duanya tidak mampu membawa perubahan yang signifikan untuk membela nasib rakyat.

Oleh itu, artikel kali ini berusaha untuk membawa pemahaman yang benar tentang politik dalam Islam dan gambaran sebenar bagaimana politik Islam memberi kesan dalam kehidupan bernegara apabila dilaksanakan. Kami berharap agar perspektif para pembaca akan berubah dan tidak lagi melihat politik sebagai sesuatu yang negatif sebaliknya merupakan tugas yang mulia dan sebahagian daripada tuntutan Islam.

DEFINISI DAN PEMIKIRAN POLITIK ISLAM

Politik (siyasah) dari sudut bahasa berasal dari kata sasa, yasusu, siyasatan yang bererti ‘mengurus kepentingan seseorang’. Perkataan siyasatanmenurut pengertian bahasa ialah ‘pemeliharaan atau pengurusan’. Dalam kamus al-Muhits dikatakan – aku memimpin rakyat dengan sungguh-sungguh, atau aku memerintah dan melarangnya, atau aku mengurusi urusan-urusan mereka dengan perintah-perintah dan larangan-larangan (sustu ar-ra’iyata siyasatan, ai amartuha wa nahaituha, ai ra’itu syu’naha bi al-awamir wa an-nawahi). Makna tersebut mencerminkan adanya aktiviti pengaturan urusan rakyat oleh suatu pemerintahan dalam bentuk perintah dan larangan.

Sedangkan maksud siyasah menurut istilah/syara’ ialah mengatur/memelihara urusan umat sama ada di dalam atau luar negeri dengan aturan-aturan Islam (ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan bi al-ahkam al-Islamiyyah) [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur]. Pengertian ini diambil daripada beberapa hadis Rasulullah SAW yang menggunakan lafaz ‘siyasah’ untuk menunjukkan maksud pengurusan/pemeliharaan urusan umat, antaranya hadis riwayat Bukhari dan Muslim;

“Adalah Bani Israel dahulu yang mengatur urusan mereka adalah nabi-nabi (tasusuhum al-anbiya’). Bila wafat seorang Nabi, maka diganti dengan Nabi yang berikutnya. Sesungguhnya tidak akan ada lagi Nabi sesudahku tetapi akan ada Khulafa’ dan jumlahnya banyak. Para sahabat bertanya, ‘Lalu apa yang engkau perintahkan kepada kami?’ Nabi bersabda, ‘Penuhilah ba’iat yang pertama, yang pertama sahaja, berikanlah kepada mereka Shak mereka. Sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawaban mereka atas apa saja yang mereka urus/pelihara”.

Hadis ini dengan tegas menjelaskan bahawa tugas politik ini merupakan kerja para Nabi yang mengurus, mengatur, dan memelihara urusan umat dengan aturan Allah SWT. Tugas mulia ini kemudian diwarisi oleh para Khalifah sepeninggalan Nabi Muhammad SAW melalui institusi politik Islam yang disebut sebagai Khilafah.

Daripada pengertian politik ini, tidak hairanlah jika ada ulama menekankan bahawa “politik dan agama adalah ibarat dua saudara kembar” [Imam al-Ghazali, Al-Iqtishad fî al-I‘tiqad, hlm. 199]. Dikatakan juga, “Jika kekuasaan (as-sulthan) terpisah dari agama atau jika agama terpisah dari kekuasaan, nescaya keadaan manusia akan rosak” [Lihat: Ibn Taimiyah, Majmu’ al-Fatawa, 28/394].

Rasulullah saw bersabda: “Ketahuilah setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan dimintai pertanggungjawaban atas pihak yang dipimpinnya, penguasa yang memimpin rakyat banyak, dan dia akan diminta pertanggungjawaban ke atas rakyatnya.” [HR. Al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibn Hibban]

Inilah pengertian politik sebenar yang dijelaskan oleh syarak. Jika diperhatikan, ia sangat berbeza dengan pandangan politik yang difahami oleh sebahagian besar umat Islam saat ini yang meletakkan politik sebatas jalan menuju kekuasaan semata-mata, bahkan menjadikan kekuasaan sebagai tujuan utama dalam politik. Inilah antara punca yang menyebabkan amalan politik pada hari ini dilihat penuh dengan konflik kepentingan nafsu serakah ahli politik yang memperjudikan nasib rakyat, jauh sekali untuk mengatur urusan dan kepentingan rakyat mengikut tuntutan perintah dan larangan daripada Allah SWT.

POLITIK MERUPAKAN TUGAS MULIA

Tugas dan tanggungjawab politik tidak hanya terbatas kepada para pemerintah semata-mata bahkan merupakan suatu kemuliaan yang telah Allah SWT anugerahkan kepada seluruh umat Islam agar mereka dapat meraih keredhaanNya. Allah SWT melalui lisan RasulNya telah menjanjikan darjat yang tinggi kepada mereka yang melakukan aktiviti politik (muhasabah) kepada pemerintah yang zalim dengan gelaran sebagai sayid asy-syuhada (penghulu para syahid). Sabda Nabi SAW,

“Penghulu syuhada adalah Hamzah ibn Abi Thalib dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, lalu menyerunya berbuat baik dan mencegahnya berbuat mungkar, kemudian ia dibunuh (oleh penguasa tersebut)” [HR Hakim].

Dalam masa yang sama, Allah SWT telah mewajibkan adanya segolongan (jemaah/gerakan) dalam kalangan umat Islam agar mengajak manusia kepada Islam dan melakukan amar ma’ruf nahi mungkar. Firman Allah,

“Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (Islam), dan menyuruh kepada yang ma’ruf serta mencegah dari yang mungkar dan mereka itulah orang-orang yang menang” [TMQ Ali Imran (3):104].

Sesungguhnya, aktiviti melakukan amar ma’ruf nahi mungkar ini merupakan ciri-ciri umat yang terbaik sepertimana yang ditetapkan oleh Allah SWT:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah” [TMQ Ali Imran (3): 110].

Manakala tanggungjawab politik bagi pemerintah ialah melaksanakan seluruh syariat Islam ke atas rakyatnya. Firman Allah SWT :

“Dan hendaklah kamu memutuskan perakara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah. Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka..”[TMQ Al- Maidah (5): 49]

Inilah tugas politik mulia yang telah diwajibkan oleh Allah SWT supaya dilaksanakan oleh umat Islam sama ada dalam kapasiti mereka sebagai pemerintah, parti politik mahupun rakyat biasa. Keberlangsungan kehidupan Islam yang menjadi rahmat buat sekalian manusia hanya akan tercapai apabila umat Islam kembali menegakkan kefarduan terbesar iaitu Khilafah. Hanya dengan tertegaknya institusi Khilafah sahajalah, tuntutan politik Islam dapat dilaksanakan di dalam negara dan seluruh dunia dengan sempurna.

KESEJAHTERAAN DI BAWAH POLITIK ISLAM

Peradaban Islam bermula dengan penurunan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW dan ia dapat dimanifestasikan secara praktikal dalam kehidupan serta disebarkan ke seluruh dunia setelah kejayaan Rasulullah SAW mendirikan Negara Islam yang pertama di Madinah (622M). Dakwah Islam yang merupakan tugas dan tanggungjawab politik ini kemudian dipikul oleh para Khulafa’ ar-Rasyidin dan diikuti oleh semua Khalifah seterusnya sehinggalah runtuhnya Kekhilafahan Uthmaniyah pada tanggal 28 Rejab 1342H (3 Mac 1924).

Sepanjang waktu tersebut, kita dapat melihat bagaimana ketakwaan dan kepimpinan politik Islam di bawah para pemimpin Islam yang telah menjadikan mereka sebagai pembela agama yang hebat dan tiada tolok bandingannya. Mereka telah meletakkan Islam dan umatnya pada kedudukan yang tertinggi di antara umat-umat yang lain. Mereka adalah orang-orang seperti Umar Abdul Aziz, Harun Al-Rashid, Salahuddin Al-Ayyubi, Muhammad Al-Fatih, Sulaiman Al-Qanuni dan Sultan Abdul Hamid II.

Bumi Al-Quds, tanah yang diberkati telah berjaya dikuasai oleh umat Islam buat pertama kalinya semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab ra. Begitu juga dengan panglima Islam yang terkenal, Salahuddin al-Ayyubi yang berjaya menawan semula bumi suci umat Islam ini pada bulan Syaaban 588 Hijrah (1192M) melalui jalan jihad setelah hampir 200 tahun berada di bawah kekejaman kerajaan Kristian.

Dengan adanya kepimpinan dan institusi politik Islam, umat Islam jelas mempunyai kekuatan dan kelebihan untuk menjadi pemimpin dunia dengan menjadikan Islam sebagai ideologinya. Umat Islam telah mencapai pelbagai kejayaan seperti wilayah Islam yang semakin luas di bawah Kekhilafahan Umayyah (661-750M). Perkara ini membolehkan mereka menguasai jalan perdagangan darat seperti Jalan Sutera dan laluan laut yang melalui Teluk Parsi dan Teluk Aden yang menghubungkannya dengan kota-kota perdagangan di sepanjang pesisir Benua Eropah. Ini menyebabkan keperluan Eropah pada ketika itu amat bergantung kepada kegiatan perdagangan di dalam wilayah Islam. Seterusnya di bawah Kekhilafahan Abbasiyah yang berlangsung selama 508 tahun, dunia Islam menjadi pusat ilmu dan pusat penghasilan teknologi baru sehingga dunia menjadikannya sebagai rujukan.

Umat Islam hidup di bawah keamanan Islam. Khalifah akan sentiasa menjaga dan membela darah, nyawa dan harta rakyatnya. Catatan sejarah telah merakamkan banyak peristiwa kesungguhan para Khalifah yang membela umat Islam, antaranya ketika Khalifah al-Mu’tasim Billah menyelamatkan seorang Muslimah yang ditawan dan kehormatannya dicabul oleh tentera Romawi di Kota Amurriah. Sejurus menerima berita tersebut, beliau segera mempersiapkan bala tentera Islam dan melancarkan jihad ke atas Kota Amurriah. Imam Sayuti  di dalam kitabnya Tarikh al-Khulafa’ mencatatkan seramai 3000 tentera Rom telah terkorban manakala 30,000 yang lain ditawan.

Politik Islam juga merupakan politik yang sangat menitikberatkan nilai kemanusiaan tanpa mengira bangsa mahupun agama. Contohnya semasa pemerintahan Sultan Bayezid II, beliau telah menyelamatkan seramai 1500 pelarian Yahudi daripada kekejaman Raja Ferdinand dan Ratu Isabella yang menakluk Andalusia lalu memaksa orang Islam dan Yahudi agar menukar agama kepada Kristian atau mereka akan dibunuh. Mendengar perkara tersebut, Sultan Bayezid II menghantar armadanya ke Cadiz dan Seville bagi membawa pulang mereka yang tertindas ke Turki untuk diberi perlindungan dan hak yang sama seperti rakyat yang lain. Selain itu, semasa krisis kebuluran yang melanda Ireland pada tahun 1845, Khalifah Abdul Majid I telah menghantar tiga buah kapal berisi penuh dengan bantuan makanan termasuk bantuan peruntukan 1,000 pound sterling kepada petani di sana. Walaupun bantuan tersebut cuba dihalang oleh Inggeris, namun kesungguhan Khalifah telah memastikan bantuan sampai ke Drogheda, Ireland.

Di zaman pemerintahan Khalifah Salim III, kerajaan di Amerika terpaksa membayar cukai tahunan kepada wali Khalifah di Algeria sebanyak 642,000 dolar emas dengan penambahan 12,000 lira emas Uthmaniyah sebagai ganti pembebasan para tawanan Amerika yang berada di Algeria serta sebagai syarat keizinan kepada kapal-kapal Amerika untuk belayar dengan aman di Lautan Atlantik dan Laut Mediteranean tanpa menghadapi tentera laut Uthmaniyah di wilayah Algeria.

Begitu juga keteguhan Sultan Abdul Hamid II yang telah menunjukkan ketegasannya sebagai pemimpin yang menjaga Islam dan umat Islam untuk tidak menyerahkan walaupun seinci tanah Palestin kepada kaum Yahudi. Sungguhpun pemimpin Zionis Yahudi, Theodore Hertzel telah menawarkan jutaan wang kepada beliau untuk membeli tanah Palestin sebagai usaha mendirikan negara Israel di bumi Palestin. Lantas Khalifah Abdul Hamid II menjawab “Akan tetapi, selagi aku masih hidup, aku lebih rela tertusuknya pisau ke tubuhku ini daripada melihat tanah Palestin dikhianati dan dipisahkan dari Khilafah Islam…”. Beliau jugalah yang telah memberi amaran untuk menghantar ketumbukan tentera ke Perancis sekiranya Perancis membiarkan persembahan teater yang berjudul Mahomet oleh Henri de Bornier yang mengandungi penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW untuk diteruskan. Akhirnya, Perdana Menteri Perancis pada waktu itu terpaksa membatalkannya kerana takut kepada amaran Sang Khalifah.

Jadi, berdasarkan fakta-fakta tersebut, bukankah politik yang agung dan mulia ini yang didambakan oleh semua manusia tidak kira Muslim atau non-Muslim?

KHATIMAH

Maka jelaslah bahawa menjalankan politik merupakan tugas yang mulia dan menjadi tuntutan dalam Islam. Namun perlu difahami, sejak runtuhnya Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924), sistem politik Islam sudah tidak lagi diamalkan sebaliknya diganti dengan sistem politik Barat lagi kufur. Maka ketiadaan institusi politik Islam ini telah membuka ruang yang besar untuk Barat menjajah negeri-negeri umat Islam serta mengeksport masuk pelbagai konsep dan undang-undang kufur yang tertegak di atas ideologi Kapitalisme-Liberalisme yang bersifat faslu ad-deen ‘an al-hayah (memisahkan agama daripada kehidupan). Perkara ini seterusnya menjadi suatu malapetaka dan bencana yang luar biasa kepada umat Islam kerana dengan keadaan tersebut kemuliaan Islam tercabut. Maka tugas politik untuk mengembalikan Khilafah merupakan tuntutan mendesak bagi umat Islam pada saat ini. Allah ’Azza wa Jalla berfirman:

”Dan bagi Allah kemuliaan itu dan bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang yang beriman.” [TMQ al-Munaafiquun (63): 8].

Sumber: Hizbut Tahrir Malaysia.