Isnin, 22 Januari 2018

Gagasan Sejahtera komited ubah dasar negara.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN  21 JANUARY 2018


JOHOR ini saya banyak kali turun sebab saya duduk tengok bulan purnama akan muncul di Johor. Dan Johor ini walaupun kita rasa suatu negeri yang payah untuk kita menangi, tetapi kadang-kadang Allah Taala ingat kita dua kali, dalam surah (asy-Syarh):

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
(asy-Syarh: 5-6)

Dalam surah Asy-Syarh ini Allah Taala menyebut:

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
"Bersama susah kamu itu akan ada kesenangan."

Dan Allah Taala sebut kali kedua:

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
"Dan bersama susah kamu itu akan ada kesenangan."

Apa maknanya? Kesusahan kita berjuang, kesusahan kita berlawan, bina, kita tubuh, kita bentuk, Allah janji bila kita berdepan dengan kesusahan, Allah akan sediakan jalan kepada kemenangan dan kesenangan insya-Allah.

Jadi oleh kerana itu kalau kita lihat dalam Gagasan Sejahtera, kita ada tiga komponen. Yang pertama parti politik hingga setakat ini kita ada Ikatan, kita ada Berjasa, kita ada PCM, kita ada PAS, dan ada beberapa parti lagi yang dalam perundingan.

Yang kedua kita ada hampir 300 NGO, 200 daripada Kongres Rakyat yang telah kita adakan, dan 26 haribulan ini kita ada satu lagi himpunan juga di bawah anjuran NGO bersama-sama dengan PAS iaitu Himpunan MyAqsa yang dijangka lebih kurang 300 NGO yang akan menjayakan himpunan ini. Dan ini sangat besar tuan-tuan sekalian.

Kemudian di samping NGO, kita ada tokoh-tokoh individu-individu tertentu, tokoh korporat, tokoh akademik, tokoh usahawan yang bagi komitmen untuk bersama-sama dengan Gagasan Sejahtera dalam Pilihan Raya Ke-14.

Sebab itu bila kita menganalisa senario politik negara kita, parti yang bersedia untuk mengubah dasar ada dua. Yang pertama semua orang tahu bahawa PAS bersama dengan Gagasan Sejahtera, komitmen kita nak ialah mengubah polisi, mengubah dasar, kerana negara kita punah ialah kerana dasar yang rosak. Tukar individu tidak menjamin negara jadi baik, apatahlagi nak tukar Najib, nak naik Tun Mahathir, lagi teruk.

Komitmen kita ialah untuk mengubah dasar, sebab Sirah Nabi, Nabi tidak datang untuk basmi rasuah, Nabi tidak datang untuk basmi minum arak, berzina atau sebagainya, sebab semua nilai-nilai buruk ini dia berpunca daripada kerosakan dasar. Bila akidah mereka betul, maka akan betullah ekonomi mereka, akan betullah politik mereka, akan betullah sistem sosial mereka, akan betullah undang-undang mereka.

Tetapi bila mana akidah mereka rosak, maka akan rosaklah ekonomi dia, akan rosaklah politik dia, akan rosaklah undang-undang dia. Sebab manusia, dia tidak boleh mengatur hidup dalam kerangka manusia, dia mesti duduk dalam satu sistem di mana kerangkanya yang mengatur dia ialah pencipta manusia, bukan manusia. Pencipta manusia, dia mengatur untuk manusia.

Maka kerana itu, PAS, kita gerakkan perubahan bahawa kalau nak negara kita selamat, ialah kita kena kembali kepada satu sistem yang selamat. Sistem yang mengiktiraf kepelbagaian bangsa, kepelbagaian warna kulit, kepelbagaian agama.

Islam tidak pernah membahagikan manusia mengikut bangsa. Sebab bangsa bukan pilihan kita. Dr Ann Wan Seng tidak minta dilahirkan Cina. Saya tidak minta dilahirkan Melayu. Yang Berhormat tidak minta dilahirkan Jawa. Siapa yang menentu? Yang menentu Allah. Kalau kita kata Melayu lebih mulia daripada Cina, kita letakkan ketidakadilan kepada Allah. Sebab itu Nabi sebut:

لا فضل لعربي على أعجمي
ولا لأبيض على أسود إلا بالتقوى

"Tidak ada kelebihan orang kulit putih berbanding kulit hitam. Tidak ada kelebihan bangsa Arab berbanding bukan bangsa Arab. Yang lebih ialah takwa."

Tuan-tuan tengok ayat ini, yang lebih ialah takwa. Kenapa takwa? Sebab takwa semua orang boleh dapat. Semua orang boleh dapat takwa. Cina boleh dapat takwa, India boleh dapat takwa. Iban boleh dapat takwa. Tapi Iban tak boleh jadi Cina. Saya tak boleh jadi Cina. Cina tak boleh jadi Melayu.

Jadi kalau kita letak bangsa sebagai tanda kemuliaan, kita letak benda yang manusia tak mungkin boleh capai. Sebab ini tak boleh buat. Saya nak tukar warna kulit jadi putih, tak boleh. Warna kulit bangsa bahkan agama, agama. Sebab itu Allah Taala menurunkan ayat:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ
"Tidak boleh paksa, tak boleh paksa orang masuk Islam."
(al-Baqarah: 256)

Kenapa tak boleh paksa? Kalau kita paksa, dia jadi munafik. Dia berpura-pura Islam. Islam tak mahu berpura-pura. Sebab itu bagi kita, agama ialah pilihan. Manusia boleh memilih. Allah Taala turunkan Nabi Muhammad S.A.W membawa al-Quranul Karim, tunjuk akhlak yang baik, tunjuk cara yang baik, hidup yang baik, lalu ini dibuka, dibentang kepada manusia.

Sebab itu Islam itu dipanggil Al-Fathu. Al-Fathu makna buka, bentang. Umpama air. Kalau sekiranya kita tak buka, dia tak mungkin boleh keluar. Minyak wangi, wangi macam mana minyak wangi, kalau tak dibuka tudungnya, orang tak tahu.

Demikian juga Islam, orang tak nampak cantiknya undang-undang Islam sebab mereka tidak pernah berada di dalam sistem tersebut. Orang tak nampak bagaimana indahnya ekonomi Islam sebab dia tak berada dalam sistem itu.

Jadi untuk memahami sistem tersebut, yang ada dua, yang pertama kena baca sejarah kejayaan Islam dulu. Kita akan nampak kejayaan. Yang kedua kita perlu menunjukkan model, mewujudkan model contoh. Walaupun contoh ini tidak sempurna, tetapi ini yang terbaik yang kita ada.

PAS memerintah Kelantan 27 tahun. Baru ini Jabatan Audit Negara bagi anugerah kepada Jabatan-jabatan, ada sembilan Jabatan di Kelantan, Pejabat Menteri Besar, Pejabat Kewangan Negeri Kelantan mendapat markah 99 peratus. Jabatan Kewangan 98 peratus. Jabatan lain kebanyakan 95, 96, 97 peratus. Itu tinggi, tak ada negeri macam itu di Malaysia. Ini contoh model.

Yang kedua, sepanjang 27 tahun tak ada rekod pimpinan kita didakwa di mahkamah kerana terlibat rasuah, tak ada. Sepanjang 27 tahun kita memerintah, tidak ada non-Muslim mengadu dia dianiaya, dia tak boleh beramal.

Saya ingat lagi bila Dr Ann Wan Seng sebut soal kubur, di Kota Bharu, masyarakat Cina pada waktu itu sebelum PAS memerintah, tak ada kawasan perkuburan Cina. Kalau meninggal dunia, dia terpaksa kebumikan jauh kawasan lain. Bila PAS mengambil alih tahun 1990, Persatuan Cina datang jumpa Menteri Besar, minta digazet satu kawasan perkuburan Cina. Tok Guru Nik Aziz terkejut, dia kata tak ada kubur? Tak ada.

Dia orang kata kami orang bukan Islam hidup susah, mati pun susah. Tak ada kubur. Ini hak asasi. Ini hak kaum, ini hak agama, mana boleh kita tak bagi, tak boleh. Ini hak dia. Lalu kita bagi.

Sebab itu bagi kita, kita nak minta rakyat Malaysia, bukan menilai hanya pada parti yang boleh dimanipulasi, tapi tengok jasa. Pilihan Raya Ke-14, rakyat Malaysia makin matang. Dia akan menilai seseorang itu bukan sahaja pada parti yang ingin buat perubahan, tapi ialah calon yang bersedia membawa kebajikan kepada pengundi, bukan calon menang, makan tidur, bukan. Tapi calon yang turun bekerja, jentera yang turun bekerja.

Jadi ini malam ini saya nak ucap tahniah kepada Unit Amal PAS. Unit Amal ini tuan-tuan, berlaku banjir di mana, pergi tanpa minta bantuan, tanpa minta duit, buat kerja tanpa minta upah. Ini Kota Tinggi ini dulu banjir besar, ada satu peti undi saya tak ingat nama peti undi itu di sini, PAS dapat dua undi.

Ini saudara Onn Jaafar beritahu sayalah. Dia dah keluar. Tak apalah. PAS tidak pernah memusuhi kawan-kawan kita yang keluar. Cuma kita terkilan elok-elok duduk dalam jamaah Islam, sabarlah sekejap. Tak apa, mudah-mudahan kita doa dia balik semula. Ramai juga yang dah balik sebenarnya. Ramai yang dah balik. Yang isi borang semula, yang minta nak balik semula ramai. Alhamdulillah. Cuma tak perlu kita hebohlah.

Jentera Amal kita buat kerja misi banjir di Kota Tinggi masa itu. Dia basuh, pindahkan pengundi, sediakan makan, basuh rumah bersih siap. Tahun depan, mari Pilihan Raya Umum, kampung itu, peti undi itu PAS dapat tiga undi, tambah satu je. Sebab itu saya beritahu orang Unit Amal kita, dan kitalah pimpinan PAS khususnya, kalau kita bekerja kerana manusia, kita akan kecewa. Tapi kalau kita bekerja kerana Allah, Allah tidak pernah mengecewakan kita.

Dan akhir sekali, dalam Gagasan Sejahtera, kita sentiasa ada pertemuan, dan insya-Allah lepas ini pun kita ada mesyuarat dengan rakan-rakan parti kita ini, sebagaimana disebut tadi, 130 kerusi yang PAS akan bertanding, yang Gagasan Sejahtera akan bertanding, 130 ini bukan PAS, 130 ini ialah Gagasan Sejahtera. Makna 130 ini ialah kerusi PAS, kerusi Ikatan, kerusi Berjasa, kerusi PCM. 130 ini juga kita akan bagi kepada rakan-rakan NGO yang bernaung di bawah Gagasan Sejahtera.

(Jumlah) 130 juga kita akan bagi kepada individu-individu tertentu. Kalau tuan-tuan ingat, Tuan Guru Presiden banyak kali sebut, mengemukakan idea Kerajaan Teknokrat. Kerajaan Teknokrat bererti kerajaan yang bukan hanya disusun oleh ahli politik. Saya sangat bersetuju dan kami pimpinan setuju dengan cadangan Gagasan Presiden, sebab bagi menentu hala tuju negara kita, tak akan orang politik sahaja? Seluruh rakyat ada hak bagi menentu masa depan negara kita.

Jadi bukan orang politik sahaja, jangan biarkan orang politik sahaja menentukan masa depan negara. NGO ada hak, individu ada hak, tokoh-tokoh pun ada hak. Negara kita negara kita, negara Malaysia negara kita semua. Dan tadi saya sebut, ada dua parti yang menggerakkan perubahan dasar. Satu PAS, mana satu lagi? Satu lagi ialah Parti Sosialis. PSM.

Tuan-tuan baca kenyataan dibuat oleh Saudara Arul dua hari lepas. Dia menyebut bahawa komitmen ialah untuk merubah dasar, dia tak percaya kepada BN, tak percaya kepada PH. Tapi dia tak sebut PAS. Pakatan Harapan tidak bersedia mengubah dasar negara. Barisan Nasional tidak bersedia mengubah dasar negara.

Dia kata Parti Sosialis bersedia, PSM sedia. Cuma kami bertanding tiga percent. Dia kata dia hanya bertanding tiga peratus. Tiga peratus ini tak boleh ubahlah tuan-tuan. Tiga peratus tak mungkin boleh mengubah dasar negara.

Sebab itu PSM ini dia tak join Pakatan Harapan. Dia tak mari bersama dengan Gagasan Sejahtera sebab dia Sosialis. Sosialis dengan Parti Islam dia tak bertemu. Dia dua line yang berbeza, tak mungkin boleh bertemu. Walaupun Islam menerima beberapa konsep dalam idealisma Sosialis, sebab Islam lebih awal daripada Sosialis. Soal kesamarataan, keadilan, hak sebagainya, tapi berbeza.

Jadi oleh kerana itu bagi kita, satu-satunya muafakat politik yang bekerja untuk ubah polisi dasar ialah Gagasan Sejahtera bersama-sama dengan PAS, Ikatan, Berjasa, dan PCM. Sebab itu bagi rakyat Malaysia, kita tidak mungkin boleh sebuah negara yang kita ingin tanpa merubah dasar, polisi dalam negara ini.

Dan insya-Allah bagi saya, apa yang sedang berlaku pergolakan dalam Pakatan Harapan, pergolakan dalam Barisan Nasional, dia menyebabkan kita dalam Gagasan Sejahtera tak ada masalah, kami tak ada masalah, bincang kerusi pun tak ada masalah, bincang calon tak ada masalah, jawatan? Jawatan kita tak bincang. Pasal apa tak bincang? Kambing belum bela lagi, tak usah bincang bahagi nak untung berapa. Cawangan tak tahu mana.

Kita bagi kita, fokus rakyat. Fokus kebajikan rakyat. Selesaikan masalah rakyat. Insya-Allah rakyat akan beri harapan kepada parti yang menjaga dan pelihara hak-hak mereka insya-Allah. Dan parti itu ialah PAS, insya-Allah bersama dengan Gagasan Sejahtera.

Mudah-mudahan himpunan kita pada malam ini, kita memahami bagaimana hasrat besar parti ialah membawa perubahan yang besar kepada sebuah negara yang seringkali kita sebut:

بلدة طيبة ورب غفور

"Sebuah negara yang baik, dan Allah Taala mengampuni penduduk negara ini"

Insya-Allah. Wallahua’lam.

(Transkrip oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR dan suntingan oleh Penolong Pengarang Berita Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari Ucapan Timbalan Presiden PAS Majlis Makan Malam Bersama Pimpinan Gagasan Sejahtera pada 18 Januari 2018 di Dewan Chon Moi, Kota Tinggi) - HARAKAHDAILY 21/1/2018

#http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/4862-gagasan-sejahtera-komited-ubah-dasar-negara