Selasa, 31 Oktober 2017

Janji Allah Untuk Orang yang Bertaqwa

Hasil mujahadah yang tinggi, serius serta istiqamah, Allah akan kurniakan kepada kita sifat taqwa. Bermacam-macam kebaikan yang Allah janjikan dalam Al Quran kepada mereka yang memiliki sifat taqwa ini.

Ini adalah janji Allah yang pasti tepat dan pasti ditunaikan-Nya. Ia tidak terhingga nilainya yang tidak dapat diukur dengan mana-mana mata wang di dunia ini. Di antara janji-janji Allah kepada mereka yang memiliki sifat taqwa ini ialah:

1. Terpimpin

Mereka mendapat pimpinan daripada Allah. Ini jelas sekali melalui firman Allah:

Maksudnya: "Allah menjadi (Pemimpin) Pembela bagi orang-orang yang bertaqwa." (Al Jasiyah: 19)

2. Terlepas dari kesusahan

Mereka dapat terlepas daripada kesusahan. Bukan ertinya mereka tidak mendapat susah atau tidak ditimpa ujian tetapi selepas kesusahan dan ujian, mereka akan terselamat. Walaupun ada pelbagai rintangan dalam ujian itu, ia sementara waktu sahaja. Selepas itu Allah akan lepaskan dari ujian dan rintangan itu dengan menghadiahkan pelbagai macam nikmat pula. Ini jelas dalam firman Allah:

Maksudnya: "Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup." (At Thalaq: 2)

3. Rezeki

Di dunia lagi akan diberi rezeki yang tidak tahu dari mana sumber datangnya. Diberi rezeki yang tidak terduga dan dirancang. Ini jelas dalam sambungan ayat tadi:

Maksudnya: "Dan akan diberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana sumbernya."(At Thalaq: 3)

Inilah jaminan daripada Allah SWT bagi mereka yang bertaqwa. Sesiapa yang bertaqwa, rezekinya ada sekadar yang perlu. Makan minumnya yang perlu tetap ada walaupun dia tidak berusaha. Walaupun dia tidak ada kerja, tetap ada jaminan daripada Allah. Ini diakui sendiri oleh Imam Ghazali, mungkin ianya dari pengalaman beliau sendiri. Imam Ghazali pernah berkata: "Kalau sekalipun orang bertaqwa itu tidak ada kerja, keperluan-keperluan nya tetap diperolehinya."

Waktu makan akan diberi makanan. Jika patut dapat pakaian, akan diberi pakaian. Dia sendiri tidak tahu dari mana sumbernya kerana ianya bukan daripada usaha dan cariannya sendiri. Dia dapat rezeki bukan melalui sumber usahanya tetapi melalui sumber usaha orang lain. Kalau taqwanya secara jemaah, maka rezeki itu diberi secara berjemaah. Sekiranya taqwanya secara individu, maka secara individu jugalah pemberian Allah itu.

4. Kerja dipermudah

Kerja-kerja orang yang bertaqwa itu dipermudahkan Allah. Ini jelas Allah gambarkan di dalam sepotong ayat:

Maksudnya: "Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, dipermudahkan Allah segala urusannya." (At Thalaq: 4)

Allah memberi jaminan, kerja orang yang bertaqwa itu dipermudahkan. Mungkin juga di samping mudah, hasilnya banyak. Buat sedikit, hasilnya banyak. Jadi kalaulah kita buat kerja berhempas-pulas, di samping hempas-pulas banyak pula rintangan, kemudian hasilnya pula sedikit atau langsung tidak ada, itu menunjukkan kita belum mempunyai sifat taqwa hinggakan Allah tidak membantu.

5. Diberi berkat [barokah]

Dia diberi berkat daripada langit dan bumi. Berkat pada hartanya, pada kesihatan badannya, pada ilmunya, pada anak-anak dan zuriatnya, pada isterinya, pada suaminya, pada sahabat handai dan jiran, pada gurunya, berkat dakwahnya, berkat ajarannya, berkat pimpinannya dan sebagainya. Ini jelas sekali dalam ayat:

Maksudnya: "Jikalau penduduk sebuah kampung (atau sebuah negara) itu beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat daripada langit dan bumi." (Al Aíraf: 96)

Berkat maknanya bertambah atau subur. Apabila dikatakan hidupnya berkat, maknanya hidupnya penuh dengan kemuliaan, ketenangan, kebahagiaan dan penuh dengan pahala. Hartanya berkat, harta yang tidak putus-putus dapat disalurkan kepada kebaikan dan berpahala walaupun dia bukan orang kaya. Ilmunya berkat, maknanya ilmu yang dimilikinya itu dapat diamalkan, bertambah dan dapat dimanfaatkan kepada kebaikan serta menambahkan pahala.

Badannya yang sihat yang dikatakan berkat itu adalah badan yang dapat digunakan untuk kebaikan. Dengan kesihatan badannya itu, digunakannya untuk jihad fisabilillah, untuk khidmat kepada masyarakat dan dapat menambahkan pahalanya. Masanya berkat ialah masa yang Allah untukkan padanya, dapat digunakan kepada kebaikan. Dia tidak buang masa percuma dengan perkara yang melalaikan. Umurnya berkat, mungkin umurnya bertambah. Kalaupun umurnya tidak bertambah, tetapi umur yang diberikan kepadanya itu akan menambahkan pahala. Rezekinya berkat yakni rezeki yang tidak putus-putus sekalipun tidak kaya, yang dapat digunakan untuk kebaikan dan dapat menambahkan pahala.

Berkat pada anak-anaknya atau zuriat ertinya, anak-anak dan cucu cicit berjaya menjadi anak-anak yang soleh, yang menjadi penyejuk mata hati. Berkat pada isterinya atau suaminya, iaitu isteri tersebut atau suami itu soleh dan solehah, yang dapat mengingat dan memimpinnya selamat di dunia dan di Akhirat. Berkat pada sahabat handai dan jiran, ertinya mendapat sahabat yang baik-baik dan ramai pula yang membantu perjuangannya untuk menegakkan kebenaran.

Berkat pada gurunya, iaitu dia mendapat guru yang soleh yang dapat memimpin dan memandunya selamat di dunia dan Akhirat.

6. Amalan diterima

Amal ibadah orang yang bertaqwa diterima oleh Allah. Kalau begitu amal ibadah orang [yg sekadar] Islam tidak diterima. Orang Islam [yg tidak bertaqwa] akan masuk Neraka dulu. Oleh yang demikian, hanya amal ibadah orang yang bertaqwa sahaja yang diterima oleh Allah.

Ini dijelaskan oleh Allah:

Maksudnya: "Sesungguhnya amal ibadah yang diterima Allah ialah dari orang yang bertaqwa." (Al Maidah: 27)

Maksudnya, Allah hanya menerima sembahyang orang yang bertaqwa. Allah tidak akan terima sembahyang orang yang sekadar Islam. Allah akan terima puasa orang bertaqwa. Allah akan terima perjuangan orang yang bertaqwa. Allah tidak akan terima perjuangan orang yg sekadar Islam sahaja tanpa taqwa. Allah akan terima haji orang yang bertaqwa. Allah tidak akan terima haji orang Islam yg tak bertaqwa. Begitulah seterusnya berdasarkan ayat di atas tadi.

7. Amalannya diperbaiki

Amalan orang yang bertaqwa itu sentiasa dibaiki oleh Allah.

Sentiasa diperkemaskan oleh Allah daripada masa ke semasa. Ini jelas Allah mengingatkan kepada kita:

Maksudnya:

"Wahai mereka yang beriman hendaklah kamu takut kepada Allah. Hendaklah kamu memperkatakan kata-kata yang teguh; nescaya Allah akan membaiki amalan-amalan kamu..." (Al Ahzab: 70-71)

Jadi orang-orang yang bertaqwa amalannya sentiasa dibaiki oleh Allah. Sembahyangnya sentiasa dibaiki Allah. Begitu juga puasanya, bacaan Qurannya, wiridnya dan perjuangannya sentiasa dibaiki. Apa sahaja bentuk kebaikan yang dibuatnya sentiasa dibaiki oleh Allah dari masa ke semasa. Itulah jaminan Allah.

8. Dosa diampunkan

Dosanya diampunkan. Dalam ayat tadi juga ada sambungannya:

Maksudnya: "Wahai mereka yang beriman, hendaklah kamu takut kepada Allah. Hendaklah kamu memperkatakan kata-kata yang teguh; nescaya Allah akan membaiki amalan-amalan kamu dan akan mengampun bagimu dosa-dosa kamu." (Al Ahzab: 70-71)

Ertinya dosa-dosa orang-orang yang bertaqwa ini akan diampunkan. Namun begitu orang Islam sekadarnya, dosanya tidak diampunkan oleh Allah. Sebab itu orang Islam itu akan masuk Neraka dulu dan barulah ke Syurga. Walíiyazubillah. Allahumma ajirna minan nar ( ).

Tegasnya, orang yang bertaqwa sahaja akan diampunkan dosanya oleh Allah SWT.

9. Dapat ilmu tanpa belajar

Diberi ilmu tanpa belajar. Yakni diberi ilmu terus jatuh pada hati. Memanglah ilmu yang jatuh kepada hati, tidak perlu proses belajar.

Kalau ilmu yang jatuh pada akal, ia perlu melalui proses belajar yakni membaca, mentelaah, kena berguru, kena bermuzakarah, kena berfikir dan merenung. Barulah akan dapat ilmu itu.

Sedangkan ilmu yang jatuh pada hati, tidak diketahui sumbernya, tidak perlu berfikir, mentelaah dan tanpa berguru. Ia terus terjatuh sahaja ke hati. Hati itu sebagai wadahnya. Jadi orang yang bertaqwa ini diberi ilmu tanpa belajar.

Ini jelas Allah nyatakan dalam ayat Al Quran:

Maksudnya: "Bertaqwalah kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu." (Al Baqarah: 282)

Dapat ilmu daripada Allah tanpa perantaraan guru, tanpa perantaraan belajar. Hal ini diperkuatkan oleh sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya:

"Barangsiapa yang mengamalkan ilmu yang dia tahu, nanti dia akan dipusakakan ilmu yang dia tidak tahu." (Dikeluarkan oleh Abu Nuaim)

Apa sahaja ilmu yang dia tahu, diamalkan. Hasilnya nanti Allah akan beri ilmu tanpa dia belajar. Ramai orang-orang soleh dan ulama yang soleh diberi ilmu laduni. Itulah ilmu yang jatuh kepada hati yang juga dipanggil ilham.

Firman Allah Taala:

Maksudnya: "Dan Kami ajarkan dia ilmu yang datang dari dari sisi Kami." (Al Kahfi: 65 )

Ertinya orang yang bertaqwa itu akan diberi ilmu terus dari Allah tanpa wasilah guru. Agar tidak terkeliru, perlulah diingat bahawa orang yang hendak dapat ilmu laduni itu, dia mesti ada ilmu asas iaitu ilmu fardhu ain terlebih dahulu.

10. Terlepas dari tipu daya syaitan

Orang bertaqwa itu akan terlepas dari tipu daya syaitan. Dalam Al Quran ada disebutkan tentang hal ini.

Firman Allah:

Maksudnya: "Sesungguhnya orang yang bertaqwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahan mereka." (Al A'raf: 201)

11. Terlepas dari tipu daya musuh

Orang bertaqwa juga lepas daripada tipu daya musuh lahir sama ada orang kafir mahupun orang munafik.

Firman Allah:

Maksudnya: "Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan." (Ali Imran: 120)

12. Terhindar dari Neraka

Orang bertaqwa terhindar daripada Neraka. Ertinya tentulah dia masuk Syurga sebab di Akhirat tidak ada tiga tempat. Kalau terlepas daripada Neraka, bermakna ke Syurgalah dia.

Firman Allah Taala:

Maksudnya: "Akan tetapi orang yang bertaqwa kepada Tuhannya, bagi mereka Syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya." (Ali Imran: 198)

Maksudnya: "Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu berada dalam Syurga dan (di dalamnya mengalir) mata air. (Dikatakan kepada mereka): ëMasuklah ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman." (Al Hijr: 45-46)

Maksudnya: "Itulah Syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertaqwa." (Maryam: 63)

Inilah di antara keuntungan-keuntung an atau bonus yang diperolehi oleh orang yang bertaqwa.

Kesemua itu tidak dapat dinilai dengan mata wang dunia kerana terlalu tinggi nilainya. Ia didapatkan hasil daripada membersihkan hati, mujahadah bersungguh-sungguh membuang sifat-sifat mazmumah dan menyuburkan sifat mahmudah serta mengamalkan syariat yang lahir dan batin.

Kalau di dunia ini kita berebut-rebut untuk dapatkan bonus yang tidak ada nilai di sisi Allah itu, mengapa kita tidak rebut bonus taqwa yang manfaatnya untuk dunia dan Akhirat? Kalau tidak mahu bonus itu, orang tak beraakal namanya.

SUMBER:
http://cahayamukmin.blogspot.com/

Sabtu, 28 Oktober 2017

GELOMBANG HIJAU & ANAK MUDA

Sekali Serban Dililit. Siri 82
09 Safar 1439 / 29 Oktober 2017

*GELOMBANG HIJAU & ANAK MUDA*

_Oleh : Nasrudin bin Hassan_

1. Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Perak dan Kedah yang *berjaya melancarkan Jentera Pilihanraya Negeri* masing-masing dengan jaya dan gemilang.

2. Berdasarkan pemerhatian saya, *kedua-dua himpunan tersebut melepasi angka sasar*. 5K sasaran di Kuala Kangsar Perak dan 12K sasaran di Kota Sarang Semut Kedah. (Anggaran hadir lebih 5K di Perak dan lebih 12K di Kedah.)

3. Saya berkesempatan hadir di dua himpunan tersebut. Majlis berlangsung pada 28 Okt 2017 (Sabtu) Jam 2.30 petang di Kuala Kangsar dan 9.30 malam di Kota Sarang Semut.

4. Inilah *gelombang hijau* atau lebih tepat *Gelombang Islam yang terhasil dari Fastaqim 2.0* di Pantai Tok Jembal Terengganu, kini sudah melanda seluruh negara. Bermula di Perak, Kedah dan Insyaallah bakal merebak ke negeri-negeri lain.

5. Sekali lagi menyaksikan *anak-anak muda menepati 80%* kehadhiran dengan semangat waja dan kental berjuang di ruang demokrasi _(muwaajah silmiyyah)_ untuk memenangkan PAS dalam pilihanraya umum ke 14 kelak.

6. *PAS mempunyai masa depan yang cerah*. Generasi pelapis yang mantap. Inilah rahsia umum kekuatan PAS. Sejak 1951 hingga kini, *PAS boleh kalah dalam pilihanraya tetapi tidak pernah kalah dalam perjuangannya.*

7. PAS terus mara dengan yakin dan gagah untuk terus teguh bersama perjuangan Islam dan prinsipnya. Biar menempuh 1001 ujian. Pemimpin pergi dan datang, isu semasa pasang dan surut, namun *temperature perjuangan Islam tidak pernah rendah.*

8. Dasar perjuangan Islam, prinsipnya yang teguh, pendekatannya yang matang dan sejahtera, langkah yang konsisten, sikapnya yang jelas dan kesatuannya yang mantap menjadikan *PAS terus mendekati pelbagai pihak dan didekati oleh semua.*

9. Himpunan 12K di Kedah Darul Aman yang juga disifatkan sebagai Himpunan Fastaqim 2.1 telah menyaksikan penyertaan *3 orang tokoh untuk berjuang bersama dengan PAS*.  Tuan Hj Mahathir mewakili mereka tampil dipentas menerima sijil keahlian PAS yang telah diluluskan oleh parti.

10. Tiga tokoh yang saya maksudkan itu ialah :

a) Mantan Mufti Negeri Kedah.
*Sohibus Samahah Datuk Paduka Sheikh Bedruddin Hj Ahmad*

b) Mantan Pengarah Majlis Agama Islam Negeri Kedah.
*Dato’ Sheikh Uzir Bin Baharom*

c) Mantan Setiausaha Sulit Kanan
Timb Menteri Kewangan Malaysia.
Mantan Pegawai Kanan JAKIM.
Mantan Jkuasa Lembaga Pengampunan.
*Tuan Hj Mahathir bin Md Nor*

_Sejahtera Bersama Islam_

Sekian

Perjuangan PAS Kerana ALLAH dan ISLAM.

PAS pada pengamatan saya adalah parti yang jelas dengan perjuangannya.  PAS sanggup buat apa sahaja asalkan kalimah ALLAH tertegak utuh di bumi ini dan supaya kebaikan dapat ditegakkan.

Pendapat dan pandangan PAS terhadap sesuatu isu jarang sekali jauh dari pendapat dan pandangan saya.  Saya serasi dengan PAS.  Walaupun saya bukan seorang yang aktif dan terlibat secara langsung dengan PAS, namun PAS tetap di hati.

Ia di hati bukan kerana namanya PAS, bukan kerana labelnya label ISLAM.  Tetapi telah jelas sejak dahulu sampai sekarang, perjuangannya kerana ALLAH, kerana ISLAM.

Nasihat Saya

Saya bukanlah orang yang layak untuk memberikan nasihat.  Namun, sebagai seorang muslim memang tanggungjawab kita untuk saling tegur-menegur.

Para pimpinan PAS hendaklah sentiasa mengutamakan al-Quran dan as-Sunnah.  Dan mentarbiyyah ahli-ahlinya dengan ajaran ISLAM yang benar.  Tarbiyyah ISLAM adalah merupakan perkara asas dan pokok yang mesti dikukuhkan di dalam setiap jiwa ahli2nya.  Saya rasa inilah yang telah menjadi aset utama dan resepi asas kejayaan dan istiqamahnya PAS hingga hari ini.

Pimpinan, pendokong dan penyokong PAS hendaklah sedar bahawa kekuatan PAS bukanlah pada pandainya berpolitik dan banyaknya kerusi dalam Parlimen dan DUN.  Tetapi ia kuat kerana berlandaskan ISLAM.  Jadi semua warga PAS mesti selalu bercakap tentang ISLAM yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.  Banyakkan cerita tentang kebaikan ISLAM.

Warga PAS mesti menumpukan usaha menanamkan keyakinan masyarakat Malaysia kepada ISLAM.   Usah terikut-ikut dengan rentak kawan atau lawan dalam memburuk-burukkan peribadi dan parti lawan.  Kerana sokongan yang diperolehi hasil dari benci tidak bertahan lama.  Binalah sokongan itu berasaskan keyakinan yang jitu.  Apabila masyarakat telah terbina di dalam diri mereka akan keyakinan terhadap ISLAM, mereka nakkan ISLAM, insyaALLAH secara automatik sokongan dan dokongan akan datang kepada pihak yang memperjuangkan ISLAM.

Buat ahli masyarakat yang tidak bergerak di dalam PAS, saya menyeru agar kalian cuba sedaya mungkin untuk berbaik sangka dengan PAS.  Media cetak dan elektronik yang kadang-kala memaparkan pelbagai kisah keburukan PAS telah dengan sengaja dipergunakan oleh sesetengah pihak bagi menjatuhkan kredibiliti PAS.  Janganlah terima berita tersebut bulat-bulat.  Sekurang-kurangnya, jangan percaya 100%.  Yang paling baik ialah double-check dengan media PAS.

Buat ahli masyarakat yang tidak bergerak di dalam PAS, disarankan juga agar kalian menegur apa-apa yang buruk dan kelemahan yang kalian nampak di dalam PAS.  InsyaALLAH, teguran kalian akan memberikan kesan yang baik.  Dari segi politik Malaysia, PAS adalah satu-satunya parti politik yang kita boleh harapkan untuk berjuang dari pihak kita, ummat ISLAM.

Buat rakan pakatan Gagasan Rakyat, saya menyeru agar kalian bersungguh-sungguh bekerjasama dengan PAS.  PAS adalah parti yang kalian boleh harapkan.  PAS adalah parti yang kalian boleh letakkan kepercayaan.  Janganlah dirosakkan kepercayaan dan hormat yang telah PAS letakkan pada kalian.  Nilai agama yang ada pada pimpinan PAS akan memberikan kalian extra-mileage dalam perjuangan membina Malaysia yang sejahtera.

Buat rakan-rakan seagama di dalam Pakatan Pembakang, saya faham bahawa sebahagian kalian mempunyai agenda perjuangan yang bagus.  Tidak dinafikan ada yang ingin berjuang untuk rakyat, berjuang kerana agama, berjuang kerana bangsa dan betul-betul ikhlas dengannya.  Justeru, saya sarankan agar kalian tidak mewujudkan permusuhan dengan PAS.  Apa yang baik dari PAS, sokonglah.  Dan jika ada yang tidak baik dalam PAS, tegurlah dengan semangat ukhwah.  Dan di dalam doa kalian, doalah agar kita semua ummat ISLAM dapat berukhuwwah dengan ukhuwwah Islamiyyah.

Dan buat rakan2 seagama, berhentilah dari membuat fitnah dan tipu terhadap PAS.  Berhentilah dari menghasut dan memutar-belitkan fakta dan cerita demi keuntungan kalian.  Sungguh, kita semua akan dikumpulkan pada hari akhirat.  Masing-masing akan dihitung.  Dan akan ditempatkan berdasarkan amalan masing-masing semasa hayat di kandung badan.

Saya ingin ulangi semula bahawa sokongan saya terhadap PAS bukanlah kerana partinya parti berlabelkan ISLAM, bukanlah kerana namanya Parti Islam, bukanlah kerana taksub dengan pemimpinnya, tetapi saya nampak apa yang telah PAS perbuat selama ini terhadap ISLAM.  PAS memperjuangkan ISLAM.  Jika PAS tidak lagi memperjuangkan ISLAM, tiadalah sokongan diri ini lagi pada PAS!

Wallahu Ta’ala A’lam.

Khamis, 26 Oktober 2017

ADAB BERINTERAKSI DENGAN BALA ALLAH.

Allah menurunkan bala bencana sebagai mesej yang serius dariNya. Ia bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main.

⚫ Kelebihan Umat Muhammad.

Nabi telah memohon kepada Allah:

سألت ربي أن لا يهلكنا بما أهلك به الأمم فأعطانيها

"Aku telah memohon kepada Tuhanku, agar kita tidak dihancurkan seperti apa yang telah berlaku ke atas umat terdahulu. Maka Dia menerima permintaanku" - hr Tirmizi.

Baginda meminta agar Allah tidak memupuskan umatnya sekaligus seperti pupusnya umat terdahulu. Sebagai rahmat, Allah memberi peluang yang luas untuk umat Muhammad agar tidak berhenti bertaubat. Namun demikian, ini tidaklah bermakna kita terlindung dari bala bencana. Ia tetap datang menimpa.

⚫ Fungsi Bala.

Allah mencipta bala sebagai peringatan bagi golongan yang beriman dan balasan buruk ke atas golongan yang ingkar. Ia berfungsi menyentap kelalaian manusia.

أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ • أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ

"Maka apakah penduduk kampung itu merasa aman ketika ditimpa ke atas mereka seksaan kami, sedangkan mereka sedang tidur. Atau apakah penduduk kampung itu merasa aman ketika ditimpa ke atas mereka seksaan pada waktu pagi, sedangkan mereka sedang lalai bermain" - al-A'raf 97-98.

⚫ Muhasabah.

Sewajarnya apabila datangnya bala, orang-orang yang beriman pasti terduduk. Merasa gerun lantas terus meneliti kembali apakah dosa yang telah dilakukan oleh mereka hingga Allah menurukan bala.

Hanya taubat yang layak dijadikan sebagai reaksi langsung dari bala yang menimpa. Allah menyatakan beberapa punca yang menjadi faktor turunnya bala:

• Enggan beriman:

وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

"Tetapi mereka mendustakan ajaran Allah, maka kami timpakan ke atas mereka seksaan, sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka lakukan" - al-A'raf 96.

• Dosa yang menjahanamkan dunia:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ

"Munculnya kerosakan di daratan dan di lautan, kesan dari apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia" - al-Rum 41.

Rumusan dari dua ayat ini, bala datang sebagai balasan apabila Islam tidak dihiraukan. Bersikap angkuh terhadap Allah dan hilang sifat bertanggungjawab untuk mengurus dunia dengan panduan Allah, lantas muncullah pelbagai kerosakan.

⚫ Sindrom Penafian.

Perkara yang perlu dielakkan adalah, jangan sama sekali menafikan bala sebagai bala. Berasa lega, kononnya ia hanyalah bencana alam yang tiada kaitan dengan kemurkaan Allah.

Jika ini berlaku, maka kita gagal berinteraksi dengan bala. Sepatutnya terus insaf bertaubat, tetapi malangnya tetap selesa dengan keadaan sedia ada yang serba lalai. Allah mengingatkan golongan yang tidak sedar diri, tidak beringat dengan bala adalah orang-orang yang rugi.

فَلا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلا الْقَوْمُ الْخَاسِرُون

"Maka tiada siapa yang merasa aman dengan balasan azab Allah, melainkan mereka adalah golongan yang rugi" - al-A'raf 99.

⚫ Bukan Bahan Ejekan.

Kita tidak sewajarnya menjadikan bala bencana sebagai bahan ejekan, meskipun ia menimpa ke atas musuh. Bala bukan perkara yang boleh dibuat sendaan main-main.

Kita perlu mengambil pengajaran ketika berlakunya banjir di Kelantan 2014, pelbagai tohmahan bernada angkuh dikeluarkan oleh Lim Guan Eng untuk menyah-kreditkan kerajaan Kelantan. Perlakuan tersebut amat tidak wajar dalam keadaan ketika itu suasana sedih, tergamam dan insaf menyelubungi mangsa dan masyarakat.

Kini giliran Pulau Pinang ditimpa bala. Jika Lim Guan Eng mengejek banjir di Kelantan dahulu, padanlah memandangkan dia seorang kafir. Barangkali tidak faham sifat musibah, ujian bala bencana itu bagaimana. Namun apakah tergamak kita meniru sikapnya sedangkan kita sedar bala itu adalah bala. Bukan bahan 'troll'.

Yang lebih menakutkan, wujud cara berfikir jika bala menimpa ke atas diri sendiri maka ia hanyalah fenomena alam. Sebaliknya jika bala menimpa ke atas musuh, maka barulah ia dianggap bala.

Kepercayaan bebal sedemikian menyebabkan kita merasa kebal dari sebarang muhasabah. Inilah mentaliti yang mendorong sikap golongan yang kufur untuk terus kufur. Sedangkan orang beriman tetap beringat dan berasa gerun dengan bala, tidak kira menimpa sesiapa pun.

⚫ Islam Mesti Dominan.

Sedarlah, kita terlalu lalai dalam kehidupan. Terlalu banyak kesalahan yang telah kita lakukan tanpa sedar. Menyebabkan Allah timpakan bala. Beruntunglah mereka yang beringat. Celakalah mereka yang terus lalai terus menafikan peringatan Allah.

Apa pun, kita perlu berusaha agar golongan yang sihat iman mereka untuk mendominasi masyarakat. Jika pendukung kebatilan dominan, sementara pendukung iman berpeluk tubuh, berwaspadalah dengan peringatan Allah:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

"Dan takutlah terhadap ujian yang tidak menimpa ke atas golongan yang zalim di kalangan kamu secara spesifik. Dan ketahuilah, Allah Maha Dahsyat balasanNya" - al-Anfal 25.

Apabila manusia gagal bertugas sebagai khalifah, iaitu tidak bertanggungjawab menegakkan Islam dan mengurus dunia dengan Islam, maka Allah turunkan bala sebagai amaran.

Abdul Mu'izz Muhammad
24 Oktober 2017.

Rabu, 25 Oktober 2017

ISU PENGHAPUSAN PERKATAAN ISLAM

APAKAH PRESIDEN AMANAH MAHU LAWAN MAJLIS RAJA-RAJA DAN APAKAH PENASIHAT UMUM AMANAH SETUJU DENGAN PRESIDEN AMANAH?

Kenyataan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, di dalam ucapan penggulungan beliau pada Konvensyen Nasional AMANAH di Alor Setar, Kedah, pada 22 Oktober lalu bahawa “semua label-label seperti ini (“perubatan Islam”, “hospital Islam” dan sebagainya) mesti kita ubah sedikit demi sedikit” sebenarnya membawa implikasi besar kepada hala tuju AMANAH.

Tercatat dalam rekod sejarah betapa, hasil dari ucapan dasar Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam Perhimpunan Agung UMNO Kali Ke-54 pada 11, 12 dan 13 Mei 2000 yang menghentam dengan kuat PAS maka timbullah cadangan supaya perkataan “Islam” diharam dari digunakan di dalam nama parti-parti politik di dalam Perhimpunan Agung UMNO ini dengan Tun Dr Mahathir sendiri turut kemudiannya bersetuju dengan desakan ini.

Bagi menghadapi isu ini, PAS telah menubuhkan “Panel Menangani Usaha Penghapusan Nama Islam” yang dipengerusikan oleh Penasihat Umum AMANAH, Ustaz Ahmad Awang, yang kemudiannya melaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 15 Disember 2000 bahawa “secara keseluruhannya para mufti, termasuklah Mufti-Mufti Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan, memiliki pendirian yang selari dengan PAS” dalam isu penghapusan nama Islam ini.

Bagaimanapun, berlawanan dengan kehendak Tun Dr Mahathir ini, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu kali ke-188 pada 22 Mac 2001, yang bertindak di atas perakuan Mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan pada 15 Februari 2001, telah memutuskan bahawa tiada halangan untuk perkataan Islam digunakan oleh mana-mana pertubuhan di negara ini asal sahaja penggunaan perkataan Islam ini dibuat dengan berdisiplinkan ilmu, iman dan ihsan.

Bila Mohamad Sabu selaku Presiden AMANAH mengumumkan bahawa AMANAH akan menghapuskan sedikit demi sedikit perkataan Islam ini, apakah beliau telah mendapat persetujuan Ustaz Ahmad Awang selaku Penasihat Umum AMANAH sebelum berbuat demikian kerana Ustaz Ahmad Awang diketahui mengetuai penentangan ke atas usaha penghapusan perkataan Islam ini sewaktu ia dibuat oleh Tun Dr Mahathir dahulu?

Bila Mohamad Sabu selaku Presiden AMANAH mengumumkan bahawa AMANAH akan menghapuskan sedikit demi sedikit perkataan Islam ini, apakah beliau tidak sedar mengenai keputusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu kali ke-188 yang membenarkan penggunaan perkataan Islam ini ataupun apakah beliau sedar mengenainya tetapi beliau tetap berkeras dengan hasrat ini hanya semata-mata untuk mencapai kepentingan politik AMANAH?

FB KAMARUL YUSOF

Selasa, 24 Oktober 2017

Kerjasama, Tolak Bergabung _ BN-PH kepanasan

ANDA boleh lihat siapa yang melatah teruk hari ini? Kenyataan yang dikeluarkan Majlis Syura Ulama PAS benar-benar membuat ramai pihak kepanasan. Ia bijak, cukup halus dan menepati kehendak politik semasa. Intipati isi kenyataan tersebut adalah:

1. PAS sudi bekerjasama dengan sesiapapun atas dasar bertolong-menolong dalam perkara kebaikan yang menjadi prinsip Islam.
2. PAS tidak mahu menyertai Barisan Nasional.

Berdasarkan kenyataan ini, PAS meletakkan garis panduan jelas berhubung isu perpaduan ummah yang sedang dicanang Umno. Bagi PAS, ia sentiasa terbuka untuk menghulur apa jua bantuan demi kepentingan ummah dan kemajuan negara.

Namun begitu, PAS tidak mensyaratkan kerjasama ini hanya boleh berlaku sekiranya menyertai BN. Kerjasama yang PAS perkenalkan adalah merentasi politik kepartian.

Malangnya kenyataan ini membuatkan BN dan juga PH gundah gulana. Mereka terpaksa memutar belit kenyataan MSU supaya rancangan mereka melemahkan PAS berterusan.

BN sebenarnya mengharapkan agar PAS menolak dengan keras tangan kerjasama yang mereka hulurkan. Dengan itu, mereka boleh menjadikan ia hujah kepada orang Melayu bahawa PAS mementingkan politik lebih daripada segala-galanya. PAS adalah punca perpecahan umat, bukannya Umno.

Tetapi apabila PAS menjawab dengan penuh berhemah, mereka mati akal. Lalu muncul di dada akhbar hari ini dakwaan pimpinan Umno kononnya PAS menolak langsung kerjasama. Padahal yang PAS tolak adalah menyertai BN sahaja. Bagi PAS, kerjasama yang diajar oleh Islam tidak terhad dengan ikatan rasmi antara parti politik semata-mata.

PH juga mengharapkan agar PAS menolak dengan keras kerjasama tersebut. Mereka sudah tahu, PAS tidak bergabung dengan BN kerana ia sudah dinyatakan acap kali. Namun mereka sengaja terus memainkannya supaya PAS berterusan menjauhi Umno dan bersikap dingin dengan Umno dengan harapan, orang Melayu yang kini marah kepada Umno turut membenci PAS. Maka apabila berlaku pertandingan tiga penjuru PAS-BN-PH nanti, undi protes BN akan memihak kepada mereka.

Maka dengan kenyataan MSU, PAS akan dilihat sebagai sangat profesional dalam politik, tidak melulu dan matang dalam langkah-langkah yang diambil. Pihak lain pula yang kelam kabut dengan sikap PAS itu.

Malaysiakini dan TMI yang selama ini menjadi alat propaganda PH menyebarkan fitnah PAS mahu bergabung dengan Umno, hari ini melaporkan sendiri bahawa Umno kecewa PAS tolak kerjasama tanpa menyebut secara jujur bahawa PAS hanya menolak menyertai BN sahaja. Semua ini menunjukkan musih politik PAS sudah tidak tentu arah.

Sebenarnya, melaungkan semangat kerjasama sangat memberi pulangan positif kepada mana-mana parti politik sekalipun. Majoriti rakyat Malaysia yang non-partisan sudah muak dengan retorik politik.

Mereka amat mengharapkan agar isu negara dapat diselesaikan bersama bukan hanya bercakaran sesama parti sepanjang sama.

Oleh itu bukan sahaja Umno menggunakannya sebagai alat meraih simpati, malah Naib Presiden PAN dan Pengerusi DAP sendiri menyatakan kesediaan untuk turut bekerjasama dengan kerajaan walaupun hakikatnya merekalah yang menentang keras sebarang kerjasama PAS dengan kerajaan.

Tahniah kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Majlis Syura Ulamak PAS. Semoga anda terus memandu gerakan Islam terulung ini sehingga menggapai kemenangan dan keredhaan Allah SWT.

Ahad, 22 Oktober 2017

Strategi Musuh Untuk Hancurkan Islam

Penjajah sama ada British, Belanda, Perancis, Portugal, Itali telah melakukan modus operandi yang sama untuk menghalang alim ulama daripada menyuntik kesedaran bagi menentang penjajahan. Tindakan mereka ini samaada keras dan lembut sekurang-kurangnya telah berjaya melenturkan kebangkitan sebagaimana yang berlaku di banyak negara akibat daripada liciknya 'jerangkap samar' yang dipasang. Di antara langkah-langkah yang diambil ialah :

Mewujudkan Konflik Diantara Ulama

Penjajah Belanda telah mengambil peluang menyokong kaum adat dalam Perang Paderi yang dipimpin oleh Haji Miskin di Indonesia, di Tanah Melayu pula British telah menghasut istana supaya menghalang penyebaran idea golongan reformis Islam. Berselindung tentang bahaya Wahabi yang menentang khurafat dan bidaah yang sebenarnya mereka sangat takut kepada idea Pan Islamisme yang akan menjadi pemangkin kepada penentangan kepada penjajah.

Malangnya pula ada ulama yang berkonflik dalam perkara-perkara furuk sehingga melupakan perjuangan menentang penjajah, menghamburkan kata nista di antara satu sama lain bahkan telah mengheret masyarakat awam yang jahil sehingga keadaan semakin memburuk. Mereka bertempur bermati-matian tentang persoalan talkin, qunut, doa selamat, baca Al-Quran di atas kubur, merayakan maulid Nabi SAW, kedudukan jari ketika tasyahhud solat, berdiri untuk selawat dan hukum menyentuh anjing.

Perpecahan ulama dan masyarakat Islam diburukkan lagi dengan pertembungan Syiah dan Sunni di negara-negara umat Islam malah dengan sengaja dipertajamkan jurangnya oleh penjajah barat seperti yang berlaku di Lubnan, Iraq, dan Syiria.

Menghancurkan Kebangkitan Dengan Kekerasan

Kuasa Barat dengan teknologi yang mereka ada terutama teknologi peperangan telah menggunakan teknik kekerasan untuk menumpaskan sebarang bentuk penentangan terhadap mereka. Perancis di Morocco, Algeria dan Lubnan, Syria telah membantai pejuang-pejuang kemerdekaan tanpa belas kasihan. Dendam perang Salib mereka sangat mendalam dan menghiris, ulama-ulama diseret ke penjara padang pasir, disiksa sehingga menemui kesyahidan, ada yang mati di tali gantung seperti Sheikh Umar Mukhtar di Libya, dan ditembak mati seperti Tuan Guru Hassan bin Munas di Kelantan. Belanda meratah 200,000 nyawa rakyat Jawa dalam perang selama lima tahun di Indonesia.

Semasa serangan Perancis pada 25 Julai 1925 terhadap bumi Syria dengan kekuatan tentera seramai 60,000 orang, pembunuhan dan pembantaian adalah di luar garis kemanusiaan. Panglima perang iaitu Jeneral Gouraud mengumumkan "kematian seorang Perancis atau seorang Nasrani akan dibalas dengan pembalasan yang tidak kenal ampun, iaitu dengan bom dan kapal terbang"

Menyekat Bahan Penerbitan Ulama-Ulama Progresif

Ulama-ulama yang terpengaruh dengan idea-idea Islah dan tajdid yang dikemukakan oleh Sheikh Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh, Rashid Redha juga aktif menyebarkan idea melalui wacana penulisan seperti buku-buku, akhbar dan majalah. Diantaranya seperti Urwathul al-Wuthqa' yang hanya mampu dikeluarkan sebanyak 18 keluaran sahaja, majalah ini diharamkan oleh penjajah untuk beredar di Mesir, India, dan Iran.

Halangan-halangan kepada bahan penerbitan oleh kelompok Pan Islamisme juga berlaku di negara seperti Indonesia,, Tanah melayu, Algeria, Lubnan, India, Morocco dan sebagainya.

Mengasingkan Ulama Pejuang Daripada Masyarakat Awam

Penjara dijadikan pemisah antara ulama dan pengaruhnya daripada masyarakat. Di Jordan, apabila ulama serta gerakan Islam menentang keputusan Bangsa-bangsa Bersatu untuk membahagikan Palestin maka mereka telah dihumban ke dalam penjara, Clove telah mengarahkan ulama-ulama yang menentang British supaya disumbat ke penjara di Jordan, bahkan mengharamkan majalah 'al Kifah al-Islami' serta melarang khutbah yang menyentuh tentang isu Palestin dan penguasaan Inggeris.

Penjara dan pengasingan adalah cara yang berkesan untuk mengendurkan suara-suara ulama-ulama progresif, seperti yang dialami oleh Jamaluddin Al Afghani dan Sheikh muhammad Abduh. Muhammad Abduh telah dipenjarakan dan dikenakan pelbagai sekatan oleh pihak penjajah Inggeris termasuk dibuang negeri. Pemikirannya dianggap mencetuskan suasana tegang kepada penjajah melalui konsep Pan Islamisme yang akhirnya sangat mempengaruhi umat Islam untuk bersatu menentang penjajahan Barat. Beliau pernah dibuang selama enam tahun serta telah menyongsong laluan gurunya, Jamaluddin Al Afghani ke Perancis.

Strategi lain untuk mematikan pengaruh ulama ialah dengan membuang negeri ulama-ulama penentang seperti Tuan Guru Abdul Rahman Limbong telah dibuang ke Mekah, Imam Diponegoro telah dibuang jauh dari Pulau Jawa, tanah kelahirannya, Uthman Den Fodio telah diusir keluar dari Nigeria dan Sayyid Jamaluddin Al Afghani telah diusir India serta Mesir.

Meminggirkan Pendidikan Agama

Di Indonesia, penjajah Belanda mula mengawasi madrasah-madrasah yang meniupkan semangat pan Islamisme dan anti Belanda, bahkan dengan memperalatkan kebimbangan kepada pengikut mazhab Shafie bahawa arus fahaman wahabi sedang melanda Indonesia. Di antara sekolah yang ditubuhkan oleh reformis ialah 'Ambiya School' di Padang, Madrasah Puteri dan lain-lainnya yang terikut dengan sistem pendidikan Mesir bahkan kitab-kitab pemikir golongan islah mula diajar seperti Tafsir Al Manar karyaSheikh Muhammad Abduh.

Di Tanah Melayu juga British menggunakan modus operandi yang sama kerana menyadari bahawa api perjuangan membebaskan tanahair berakjar daripada sekolah-sekolah agama.

Di Mesir pula British secara halus memasukkan jarumnya di sekolah-sekolah agama iaitu dengan memasukkan dialek tempatan dimana kesannya, pelajar-pelajar akan semakin jauh dengan bahasa Arab Fushah, bahasa asli Al-Quran.

Di India, british dengan sengaja memperkenalkan sistem pendidikan sekular untuk melumpuhkan peranan ulama dalam masyarakat Islam. Namun ulama-ulama Islam dengan dokongan masyarakat telah bangkit membangunkan sistem persekolahan agama yang dikenali sebagai madrasah antaranya Madrasah deoband pada tahun 1882 dan Madrasah Mazahir Al-Ulum.

Madrasah-madrasah Islam di India telah melahirkan ramai alim ulama seperti Sheikh Salman An Nadawai, Sheikh Subli An Nukmani, Abu Hassan Ali An Nadawi. Malah ulama-ulama dari Tanah Melayu juga ramai yang diasuh di India seperti Tuan Guru Nik Abdullah bin Haji Wan Musa, Dr. Burhanuddin Al Helmi (Universiti Aligarh), Ustaz Ibrahim Libya (Assyahid), Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan ramai lagi.

Menyebarkan Fahaman Sekularisme

Islam telah diasingkan daripada pemerintahan, contohnya Perjanjian Pangkor 1874 merupakan manifestasi daripada fahaman ini apabila British menyerahkan soal agama Islam kepada Raja-raja Melayu.

Mufti terakhir kerajaan Uthmaniah Turki, Sheikh Mustapha Sobri sebagai jalan pintas menuju ke arah murtad. Said Hawwa pula melihatnya sebagai 'riddah yang berhias' manakala Dr Yusuf Qardawi menyebutnya sebagai ajaran sesat lagi menyesatkan.

Menebarkan Kesesatan Serta Memasung Mulut ulama Yang Haq

Penjajah Barat juga telah mengambil langkah mendiamkan para ulama dengan tidak dibenarkan berkhutbah, berceramah atau mengajar.

Selain itu, penjajah juga telah membantu menyebarkan fahaman sesat yang bercanggah dengan Islam seperti ajaran Bahai dan Qadiani. Mereka menggunakan akhbar dan majalah dalam mempromosikan ajaran ini ketengah masyarakat Islam. British sebagai contoh telah mengeksport ajaran Qadiani ke negara-negara tanah jajahannya.

Media telah digunakan untuk 'mencuci-putihkan' ajaran-ajaran sesat, contohnya dalam kes kematian ketua Bahai iaitu Abbas Abdul Baha pada November 1921 telah diperbesar-besarkan lebih dari sepatutnya, surat-surat khabar menyatakan kesedihan yang amat sangat di kalangan orang-orang Bahaie.

Sumber:
http://madi2mudamudi.blogspot.my/

Dasar dan Jati Diri Seorang Ahli PAS


PAS sebagai sebuah gerakan Islam dan parti politik. Dasarnya Islam, rujukannya al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias. Penyertaan kita di dalam PAS bukan kerana hanya mengisi masa lapang tetapi ia adalah wajib untuk penerusan kepada perjuangan Islam di negara ini. Apabila kita mengisi borang sebagai ahli PAS maka di sana bererti ia sudah berbai’ah untuk mematuhi peraturan dan tatacara sebagai seorang ahli PAS. Ertinya segala tindakan kita sudah berada di dalam kawalan jama’ah, ini adalah lumrah mana-mana organisasi. Contohnya kita bekerja di kilang Samsung berbeza kerja dengan kilang Proton. Peraturan setempat mesti diikuti, jika kita tidak boleh ikut, kita kena buka kilang sendiri.

1. Dari segi akidah, saya mestilah beriman bahawa Allah Ta’ala Yang Maha Esa menciptakan manusia bukan sia-sia. Dan mesti beriman bahawa manusia akan di kembali dan disoal oleh Allah Ta’ala setiap amalan yang dilakukan di atas dunia. Justeru, saya tidak boleh leka dengan dunia sehingga lupa tanggungjawab untuk menegakkan agama Allah Ta’ala kerana ini merupakan perkara yang berkaitan dengan akidah. Firman Allah Ta’ala:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لا تُرْجَعُونَ. فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لا إِلَهَ إِلاَّ هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ

“Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) ‘Arasy yang mulia.” (Surah al-Mukminun, ayat 115-116)

2. Saya juga mesti beriman bahawasanya Allah Ta’ala telah mengutuskan Rasul-Rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian mereka. Kita mestilah mempertahankan Sunnah dan ajaran Baginda Nabi ﷺ daripada dinodai. Di antara Sunnah yang wajib saya pertahankan ialah menegakkan syariat Allah dan hukumnya seperti yang Baginda ﷺ tegakkan di Madinah al-Munawwarah. Firman Allah Ta’ala:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولاً أَنِ اعْبُدُواْ اللَّهَ وَاجْتَنِبُواْ الطَّاغُوتَ فَمِنْهُم مَّنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُم مَّنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلالَةُ فَسِيرُواْ فِي الأَرْضِ فَانظُرُواْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat (untuk menyerukan); Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah thaghut itu. Maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).” (Surah al-Nahl, ayat 36)

3. Saya wajib beriman bahawa ganjaran bagi orang yang beriman yang taat kepada Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang yang tidak beriman dan durhaka ialah api neraka. Janji syurga inilah yang menjadi perangsang dan semangat untuk kita membanyakkan amal dan berusaha untuk mempertahan agama Allah daripada dinoda. Kita mesti berusaha untuk menjauhkan diri dari kelompok yang membawa kebinasaan dan dihumban ke dalam api neraka jahanam. Firman Allah:

فَرِيقٌ فِي الْجَنَّةِ وَفَرِيقٌ فِي السَّعِيرِ

“…Satu golongan memasuki syurga manakala satu golongan lagi memasuki neraka sa’ir.” (Surah al-Syura, ayat 7)

4. Saya wajib beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah Ta’ala. Tidak harus sama sekali manusia mendahului atau membelakanginya. Apa yang boleh dilakukan oleh ulama’ ialah berijtihad mengeluarkan hukum-hakam dari nas-nas syarak yang dibenarkan. Kita mesti beriman bahawa haram menukarkan hukum yang telah dinaskan secara qat’ie oleh al-Quran dengan hukum manusia. Menukarkan kesalahan zina dengan denda wang berlawanan dengan Allah perintahkan dengan disebat 100 kali bagi yang belum berkahwin dan direjam sampai mati bagi yang sudah berkahwin.

Firman Allah Ta’ala:

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِن شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّهِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبِّي عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ 

“Tentang sesuatu apapun kamu berselisih, maka keputusannya (terserah) kepada Allah (yang mempunyai sifat-sifat demikian) itulah Allah Tuhanku, kepada-Nyalah aku bertawakkal dan kepada-Nya aku kembali.” (Surah al-Syura, ayat 10)

5. Saya mestilah takut hanyalah kepada Allah Ta’ala dan tidak takut kepada makhluk yang lain. Perasaan takut menyebabkan kita menjauhi kemurkaan Allah dan larangan-larangan-Nya. Kita mesti yakin bahawa semua tindakan, diperhati oleh Allah Ta’ala sama ada sewaktu sunyi atau terang. Seperti mana yang Allah Ta’ala jelaskan:

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ

“Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya serta takut dan bertaqwa kepada-Nya maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.” (Surah al-Nur, ayat 52)

6. Saya wajib mencintai Allah dengan sebenar cinta. Cinta yang menjadikan hati kita sentiasa merasa rindu dan terikat dengan-Nya. Kecintaan ini mendorong menambahkan amalan-amalan kebaikan, bekorban dan berjihad di jalannya sepanjang masa. Sekalipun hidup dalam kemewahan dan kecintaan terhadap kaum kerabat, semuanya tidak sepatut menghalang kita daripada mencintai Allah Ta’ala. Apabila kecintaan kepada Allah Ta’ala mengatasi semuanya maka tidak ada apa yang boleh diganti dengan dunia dan pangkat. Ini adalah sejajar dengan seruan Allah Ta’ala yang mengingatkan:

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

“Katakanlah; jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasiq.” (Surah al-Taubah, ayat 24)

7. Saya mestilah sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah Ta’ala. Istighfar ini akan membersihkan hati dan melimpahkan ketenangan hati dan jiwa. Kita tidak akan memohon ampun selain daripada Allah Ta’ala.

وَمَن يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَّحِيمًا

“Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan atau menzalimi diri sendiri kemudian beristighfar memohon keampunan nescaya ia dapati Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Nisa’, ayat 110)

8. Dari sudut ibadah pula kita mestilah memastikan ibadah kita menepati dengan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ. Wajib menjadikan ibadah sebagai penghubung dengan Allah kerana Allah sebagai tempat untuk mengadu hal kepadanya dan merasai kehadiran Allah dengan melupakan kesibukan dunia. Sabda Rasulullah ﷺ:

لَا يَنْظُرُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَى صَلَاةِ عَبْدٍ لَا يُقِيمُ فِيهَا صُلْبَهُ بَيْنَ رُكُوعِهَا وَسُجُودِهَا

“Allah tidak memandang kepada sembahyang seorang lelaki yang mengerjakan tanpa kehadiran hati berserta gerak rukuk dan sujudnya.” (Riwayat Ahmad)

9. Saya mesti mengambil berat terhadap ibadah qiyamullail (sembahyang malam) serta melatih diri melakukannya sehingga menjadi satu kebiasaan. Kerana qiyamullail adalah sumber kekuatan yang memantapkan iman. Sebagai anggota PAS yang memperjuangkan Islam sudah tentu akan menerima berbagai ujian maka kekuatan rohani amat penting untuk merempuh halangan ini. Kekuatan ini yang tidak dipunyai oleh musuh walaupun mereka memiliki kekekuatan fizikal dan kewangan yang lain. Firman Allah:

إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْءًا وَأَقْوَمُ قِيلا

“Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan (al-Quran) pada waktu itu lebih berkesan.” (Surah al-Muzammil, ayat 6)

10. Saya mesti meluangkan waktu tertentu untuk membaca al-Quran dengan cara merenungi maksud dan pengajarannya. Banyak kisah-kisah yang terdapat di dalam al-Quran dapat diambil pengajaran dan menjadi rangsangan kepada kita untuk berjuang dengan lebih gigih. Kita mesti membacanya dengan penuh tadabbur, merenunginya dengan khusyuk dan sedih kerana disebut di dalam sebuah hadis:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ بِحُزْنٍ فَإِنَّهُ نَزَلَ بِحُزْنٍ

“Bacalah al-Quran dalam keadaan berduka, kerana sesungguhnya ia diturunkan dalam keadaan duka cita.”

11. Seterusnya menjadikan doa sebagai perantaraan dengan Allah Ta’ala di dalam setiap urusan hidup kerana doa adalah otak segala ibadah. Kerana itu saya akan memilih doa-doa yang ma’thur dari Rasulullah ﷺ. Doa adalah senjata bagi orang mukmin ketika berhadapan dengan musuh. Firman Allah:
ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

“......Mintalah doa kepadaku, nescaya aku akan memperkenankan permintaanmu.”
(Surah Ghafir, ayat 60)

Dari sudut akhlak, saya mesti bersifat warak dengan menjauhkan diri dari melakukan perkara-perkara syubhat (perkara yang samar) di antara halal dan haram. Kita mesti menjaga makanan, minuman yang samar dari segi halal dan haram supaya terpelihara dari jatuh kepada perkara yang haram. Sabda Rasulullah ﷺ:

الْحَلالُ بَيِّنٌ، وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشَبَّهَاتٌ لا يَعْلَمُهَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الْمُشَبَّهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ كَرَاعٍ يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يُوَاقِعَهُ، أَلا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلا إِنَّ حِمَى اللَّهِ فِي أَرْضِهِ مَحَارِمُهُ، أَلا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلا وَهِيَ الْقَلْبُ

“Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa yang memelihara (dirinya dari) segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara dari agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh pada perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan , hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya.

Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkannya. Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

12. Saya mesti memelihara penglihatan dari melihat pada perkara yang haram, kerana dengan pandangan ini akan merangsang syahwat yang membawanya ke kancah pelanggaran dan maksiat. Firman Allah Ta’ala:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ

“Katakanlah kepada orang-orang mukmin lelaki supaya memelihara pandangan mereka...” (Surah al-Nur, ayat 30)

13 Saya mesti memelihara lidah dari menutur kata-kata yang tidak berfaedah, perbualan-perbualan yang buruk dan kotor, percakapan kosong, mengumpat dan mengadu domba. Perbuatan yang tidak menggambarkan akhlak Muslim yang tidak layak ada pada anggota jama’ah. Sabda Rasulullah ﷺ:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ، وَلَا اللَّعَّانِ، وَلَا الْفَاحِشِ، وَلَا الْبَذِيِّ

“Bukanlah ia seorang mukmin (jika) ia suka menuduh, suka melaknat, bercakap kotor dan bercakap keji.” (al-Hakim di dalam al-Mustadrak)

14. Saya mesti bersifat malu dalam setiap keadaan. Namun begitu sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya memperkatakan kebenaran. Di antara sifat malu ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika becakap, dan perkara yang dianggap menjatuhkan maruah peribadi seorang. Sabda Rasulullah ﷺ:

الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ

“Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan tidak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah, dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan, dan sifat malu ialah satu cabang dari iman.” (Riwayat Muslim)

15. Saya mesti tekun dan sabar, kerana kerja-kerja Islam akan berhadapan dengan macam-macam perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan dakwah penuh dengan liku-liku kepayahan penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan, persendaan yang memalukan. Kita terpaksa berhadapan dengan orang jahil, orang alim, orang yang berfikiran terbuka dan orang yang emosional, orang yang mudah bertolak-ansur dan orang yang keras kepala, orang yang tenang dan orang yang mudah tersingung. Firman Allah:

وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلا تُحِبُّونَ أَن يَغْفِرَ اللَّهُ

“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu.” (Surah al-Nur, ayat 22)

16. Saya mestilah bersifat tawaduk atau merendahkan diri khususnya terhadap saudara se-Islam dengan cara tidak membezakan (dalam memberi layanan) sama ada yang miskin mahupun yang kaya. Rasulullah ﷺ sendiri memohon perlindungan daripada Allah agar dijauhkan dari sifat takabbur. Baginda ﷺ bersabda:
لا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

“Tidak akan memasuki syurga yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah sifat takbur.” (Riwayat Muslim)

17. Saya mesti menjauhi sangka buruk, mengumpat dan mengintai-intai keburukan orang lain. Sebaliknya lebih banyak menyuluh dan menuding diri sendiri daripada dihadapkan kepada orang lain. Sangka buruk, sifat yang tidak baik dan boleh mendatangkan keburukan kepada orang lain. Maka ini perlu dijauhi oleh oleh ahli PAS. Janganlah memburuk sangka kepada sahabat yang lain ini akan menyebabkan ruang untuk berpecah akan bertambah luas. Firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلا تَجَسَّسُوا وَلا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

“Wahai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari perasangka, sesungguhnya sebahagian dari perasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima Taubat lagi Penyayang.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

18. Saya mestilah bersifat benar dalam semua hal dan keadaan. Mesti benar pada diri dan tidak takut pada celaan orang lain. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk syaitan dan iblis, membawa kehinaan pada peribadi insan. Kita mesti benar dalam kata-kata, benar ketika menyampaikan prinsip perjuangan parti dan benar ketika meyatakan sesuatu kepada orang lain. Tidak layak seorang anggota PAS yang berdusta ketika berbual dengan orang lain dan bertindak secara dusta. Sabda Rasulullah ﷺ:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

“Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seseorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta.” (Muttafaqun ‘alaih)

19. Saya mesti menunjukkan contoh teladan yang baik agar sama dengan Islam yang menjadi dasar PAS. Akhlak kita mesti selari dengan al-Quran dan al-Sunnah kerana ia akan memberi kesan kepada perjuangan PAS. Kita percaya bahawa contoh teladan yang baik amat kuat mempengaruhi orang lain untuk mendekati perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Maka kita pastikan diri, keluarga dengan menunjukkan contoh teladan yang baik di mana sahaja kita berada, kerana kita akan menjadi duta kepada PAS untuk melebarkan pengaruh PAS kepada masyarakat. Seperti kata hukama’:

لسان الحال أبلغ من لسان المقال

“Lisanul hal (tindakan) lebih sampai dari lisanul maqal (kata-kata).”

20. Dari sudut rumahtangga pula, saya mesti memastikan perkahwinan kita adalah kerana Allah Ta’ala untuk membina rumahtangga Muslim bagi melahirkan keturunan yang soleh, menjadi keluarga yang mampu menunaikan amanah dan melaksanakan tanggungjawab kepada Allah. Sabda Rasulullah ﷺ:

ثَلَاثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنُهُمْ الْمُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ الْأَدَاءَ وَالنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ الْعَفَافَ

“Ada tiga golongan yang Allah berhak menolong mereka, orang yang berjihad pada jalan Allah Ta’ala, hamba mukatib (yang berjanji untuk menebus diri untuk menunaikan bayarannya) dan orang yang berkahwin kerana ingin memelihara dirinya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Perhubungan suami isteri tidaklah terbatas kepada hubungan untuk melepaskan nafsu syahwat sahaja, malah hubungan antara kita mestilah hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman dalam pemikiran, kejiwaan dan kasih sayang. Kita sama-sama membaca, menunaikan sebahagian dari ibadah bersama-sama turut mengatur urusan rumah tangga dan meluangkan waktu untuk bergurau senda. Kita mestilah sama-sama memikirkan bagaimana untuk memajukan perjuangan yang di bawa oleh Parti PAS. Sekiranya persefahaman tidak wujud antara suami dan isteri ia akan menjejaskan gerak kerja jama’ah.

Suami isteri mesti mendidik anak-anak serasi dengan acuan Islam. Orang ramai sentiasa memerhati rumahtangga ahli PAS supaya selari dengan prinsip perjuangan yang dibawa. Kita bimbang orang tidak berminat dengan PAS apabila melihat rumahtangga ahli PAS yang tidak tepat dengan kehendak Islam. Pastikan anak isteri menutup aurat mengikut syariat. Kita tidak mahu anak isteri menjadi fitnah pada perjuangan PAS. Biar orang berminat dengan PAS apabila mereka melihat rumahtangga Islam yang dibina dalam rumah ahli PAS. Firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلائِكَةٌ غِلاظٌ شِدَادٌ لا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

“Wahai orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah al-Tahrim, ayat 6)

Berikut adalah beberapa kewajipan khusus sebagai Ahli PAS:

  • Mematuhi arahan pimpinan parti selagi tidak bertentangan dengan Islam.
  • Mesti mengikut semua manhaj perjuangan PAS tanpa berbelah bagi.
  • Menghadiri program ilmu untuk menambahkan pengetahuan Islam.
  • Menghadiri program tarbiyah supaya dapat membina fikrah dan keperibadian Muslim sejati.
  • Menjaga akhlak sebagai seorang anggota parti.
  • Mesti pastikan keluarga kita menutup aurat seperti yang diajar oleh Rasulullah ﷺ kerana ini adalah penilaian pertama orang kepada ahli PAS.
  • Menghadiri program yang diarahkan oleh pimpinan parti di semua peringkat.
  • Membayar yuran tahunan ahli.
  • Menghadiri mesyuarat agung parti setiap tahun.
  • Memastikan isteri/suami menjadi ahli PAS supaya sama-sama memahami konsep perjuangan Islam.
  • Memastikan anak-anak yang sudah aqil baligh menyertai PAS supaya tidak ada unsur-unsur perosak dalam rumah kita. Dengan ini anak kita akan merasakan PAS adalah jama’ahnya maka sukar pihak musuh hendak menariknya.
  • Menyeru kaum keluarga, sahabat handai dan orang awam untuk menyertai PAS.
  • Menjawab segala fitnah yang dilemparkan oleh musuh terhadap PAS.
  • Menerangkan dasar PAS dan perbezaan dasar Umno kepada orang ramai.
  • Boleh menegur pimpinan dan memberi pandangan dengan cara yang beradab.
Seterusnya adalah perkara-perkara yang perlu dijauhi selaku ahli PAS:

  • Melakukan perkara yang haram di sisi agama.
  • Melakukan perkara yang bersalahan dengan dasar parti.
  • Tidak mahu mengikut arahan pimpinan.
  • Melahirkan perasaan marah di tempat awam seperti di kedai kopi kerana di sana banyak ejen musuh yang sedang memerhati dan mendengar.
  • Tidak mahu membayar yuran tahunan.
  • Tidak mahu datang mesyuarat agung tahunan.
  • Tidak melaksanakan amanah yang diberikan.
  • Malas untuk menghadiri program dan kursus anjuran parti.

Akhirnya sedarlah bahawa penyertaan kita sebagai anggota PAS bukan satu perkara yang sia-sia.

Penglibatan dalam PAS bukan kerana marah kepada mana-mana individu musuh, tetapi sebagai tanggungjawab untuk melanjutkan kerja-kerja yang mulia setelah Para Rasul tidak ada lagi sedangkan kemungkaran dan kemaksiatan masih berluasa. Siapa lagi yang akan mempertahankan agama yang suci ini jika kita sebagai hamba Allah tidak sanggup untuk memperjuangkan agama Allah. Perlu sedar bahawa hidup dan mati kita hanya diserah kepada Allah dan yakinlah bahawa masa depan dunia berada di tangan Islam.

Biodata Penulis
Ustaz Haji Idris bin Haji Ahmad merupakan Exco PAS Pusat.

Zaman yang paling Rasulullah SAW Takuti

Himpunan Hadis Nabi SAW Mengenai Keadaan Akhir Zaman Petanda Kiamat

1. Orang Yang Tak Sedarkan Diri

Daripada Abu Hurairah r.a. Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Jika ada seseorang berkata, ramai orang telah rosak, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka” (HR Muslim)

2. Ahli Ibadat Yang Jahil Dan Ulama Yang Fasik

Daripada Anas r.a. Beliau berkata, bersabda Rasulullah SAW “Akan ada pada akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasik ” (HR Ibnu Ady)
[Orang jahil yang rajin beribadat dan ada pula orang alim yang fasik]

3. Menjual Agama Kerana Dunia

Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan keluar pada akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka berpakaian di hadapan orang lain dengan pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan perkataan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala. Allah SWT berfirman kepada mereka “Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu? Ataukah kamu terlalu berani berbohong kepadaKu? Demi kebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung” (HR Tirmizi)

3. Pendusta Dan Pengkhianat

Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan tipuan. Pada waktu itu si pendusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan dusta. Pengkhianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berkesempatan berbicara (cuba membetulkan) hanyalah golongan “Ruwaibidhah”. Sahabat bertanya “Apakah Ruwaibidhah itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Orang kerdil, hina, dan tidak mengetahui bagaimana hendak mengurus orang yang ramai” (HR Ibnu Majah)

4. Kefasikan Berleluasa

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman pada waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau seseorang yang masih beriman pada waktu petang, kemudian pada keesokan harinya dia sudah menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit harta benda dunia” (HR Muslim)

5. Penindasan Terhadap Umat Islam

Daripada Tsauban r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang kelaparan mengerumuni bekas hidangan mereka” Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab “Bahkan kamu pada hari itu terlalu ramai, tetapi kamu umpama buih pada masa banjir, dan Allah akan mencabut rasa gentar terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat bertanya “Apakah ‘wahan’ itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Cinta dunia dan takut mati” (HR Abu Daud)

6. Namanya Saja Islam

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Beliau berkata, telah bersabda Rasulullah SAW “Telah hampir tiba suatu zaman, di mana tidak ada lagi dari Islam kecuali hanya namanya, dan tidak ada lagi dari Al-Quran kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Daripada merekalah keluar fitnah, dan kepada mereka jua fitnah itu akan kembali ” (HR Al-Baihaqi)

7. Budaya Barat Ikutan Umat Islam Kini

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak sekalipun kamu akan mengikut mereka” Sahabat bertanya “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang Tuan maksudkan?” Nabi SAW menjawab “Siapa lagi?” (HR Muslim)

8. Ulama Tidak Dipedulikan

Daripada Sahl bin Saad as-Sa ‘idi r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Ya Allah! Janganlah Engkau menemukan aku dan mudah-mudahan kamu juga tidak bertemu dengan suatu zaman di mana para ulama sudah tidak diikuti lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak dihiraukan lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam, lidah mereka seperti lidah orang Arab” (HR Ahmad)

9. Ulama Agama Semakin Berkurang

Daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a. Beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Bahawasanya Allah SWT tidak akan mencabut (menghilangkan) ilmu dengan sekali gus daripada manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu agama dengan mematikan para ulama. Apabila telah ditiadakan para ulama, orang banyak akan memilih orang-orang jahil sebagai pemimpinnya. Apabila pemimpin yang jahil itu ditanyakan, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain” (HR Muslim)

10. Golongan Anti Hadis

Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a. Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Hampir tiba suatu zaman di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas kursi kemegahannya, lalu disampaikan kepadanya sebuah hadis dari hadisku maka dia berkata “Pegangan kami dan kamu hanyalah kitab Allah sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan” (Kemudian Nabi SAW melanjutkan sabdanya) “Padahal apa yang diharamkan Rasulullah SAW itu samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan Allah SWT” (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)

11. Berbangga-Bangga Dengan Masjid

Dari Anas bin Malik r.a. Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Tidak terjadi hari Kiamat sehingga umatku bermegah-megah dengan bangunan masjid” (HR Abu Daud)

12. Tak Ada Imam Untuk Solat Berjemaah

Daripada Salamah binti al-Hurr r.a. Beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Akan datang suatu zaman, pada waktu itu orang banyak berdiri tegak beberapa lama, kerana mereka tidak mendapatkan orang yang dapat mengimami mereka solat” (HR Ibnu Majah)

13. Penyakit Umat Islam Masa Kini

Daripada Abu Hurairah r.a. Katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Umatku akan ditimpa penyakit -penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu” Sahabat bertanya “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi SAW menjawab “Penyakit-penyakit itu adalah, 1.Terlalu sombong, 2.Terlalu mewah, 3.Mengumpulkan harta sebanyak mungkin, 4.Tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, 5.Saling memarahi, 6.Dengki-mendengki sehingga menjadi zalim menzalimi” (HR Hakim)

14. Perangkap Riba

Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang pun kecuali dia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau dia tidak memakannya secara langsung, dia akan terkena debunya” (HR Ibnu Majah)

15. Manusia Tak Peduli Mengenai Sumber Pendapatannya

Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, bersabda Rasulullah saw, “Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan daripada mana dia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun haram” (Riwayat Muslim)

16. Banyaknya Sumber Galian

Daripada Ibnu Omar r.a. Beliau berkata “Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah SAW sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari lombong (galian) mereka. Maka sahabat berkata “Wahai Rasulullah! Emas ini adalah hasil galian kita” Lalu Nabi SAW menjawab “Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat ” (HR Baihaqi)

17. Khamar

Daripada Abu Malik Al-Asy’ari r.a. Katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya akan ada sebahagian dari umatku yang meminum khamar dan mereka menamakannya dengan nama yang lain. Sambil diiringi dengan alunan muzik dan suara biduanita. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi dan Allah SWT akan mengubah mereka menjadi kera atau babi” (HR Ibnu Majah)

18. Banyaknya Perzinaan
Dari Anas r.a. Beliau berkata “Aku akan menceritakan kepada kamu sebuah Hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, banyak perzinaan, banyak kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nanti seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan” (HR Bukhari Muslim)

19. Berpakaian Tetapi Telanjang

Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda ”Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka, keduanya belum pernah aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cambuk bagaikan ekor sapi yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, lenggang-lenggok sewaktu berjalan, mengayun-ayunkan bahu. Kepala mereka bagaikan bonggol (belakang unta). Kedua golongan ini tidak akan masuk syurga, malah tidak akan dapat mencium bau harumnya. Sesungguhnya keharuman syurga itu akan terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh (HR Muslim)

20. Perilaku Manusia Masa Kini

Dari Aisyah r.a. Dia berkata “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga seorang anak menjadi sebab kemarahan (bagi ibu bapanya), hujan akan menjadi panas, akan bertambah banyak orang yang tercela dan akan berkurang orang yang baik, anak-anak menjadi berani melawan orang tua, dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik” (HR Thabrani)

21. Anak Menjadi Tuan Kepada Ibunya

Daripada Umar bin al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadis yang panjang), …kemudian Jibrail bertanya kepada Rasulullah SAW ” Maka khabarkan kepadaku tentang hari kiamat?” Lalu Nabi SAW menjawab, “Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui daripada orang yang bertanya” Maka Jibrail berkata “Kalau begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya” maka Nabi SAW menjawab “Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya menggembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan” (Riwayat Muslim)

22. Peperangan Demi Peperangan

Daripada Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga harta benda melimpah ruah dan timbul banyak fitnah dan sering terjadi “al-Harj”. Sahabat bertanya “Apakah al-Harj itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Peperangan, peperangan, peperangan” Beliau mengucapkannya tiga kali. (HR Ibnu Majah)

23.Perang Di Sekitar Sungai Furat (Iraq) Kerana Berebut Kekayaan 

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Tidak terjadi hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates, Iraq) menjadi surut airnya sehingga kelihatan sebuah gunung dari emas. Banyak orang yang terbunuh kerana merebutnya. Maka terbunuhlah sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata “Mudah-mudahan akulah orang yang selamat itu” Di dalam riwayat lain disebutkan “Sudah dekat suatu masa di mana Sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu kelihatan perbendaharaan dari emas, maka siapa sahaja yang hadir di situ janganlah dia mengambil sesuatu pun dari harta tersebut” (HR Bukhari Muslim) [Terdapat sebahagian pihak yang menyatakan bahawa perkataan emas di dalam Hadis ini sebenarnya petroleum]

24. Waktu Terasa Pendek

Daripada Anas bin Malik r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Tidak akan terjadi kiamat sehingga waktu terasa pendek, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu kilatan api” (HR Tirmizi)

25. Hilangnya Sifat Amanah

Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a. Katanya, …”Kemudian jadilah orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada seorang pun yang suka menunaikan amanah, sehingga dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan “Alangkah tekunnya dia dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekali pun hanya seberat timbangan biji sawi.” (HR Bukhari & Muslim)

26. Islam Akan Pudar Secara Perlahan-Lahan

Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Islam akan lenyap seperti hilangnya corak pada pakaian, sehingga orang tidak mengerti apakah yang dimaksudkan dengan puasa, apakah yang dimaksudkan dengan solat, apakah yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadah), dan apakah yang dimaksudkan dengan sedekah. Al-Quran akan hilang semuanya pada suatu malam sahaja, maka tidak ada yang tertinggal di permukaan bumi ini darinya walaupun hanya satu ayat. Sesungguhnya yang ada hanya beberapa kelompok manusia, di antaranya orang tua, lelaki dan perempuan. Mereka hanya dapat berkata, Kami sempat menemui nenek moyang kami mengucapkan kalimat LAILAHAILLALLAH, lalu kami pun mengucapkannya juga” (HR Ibnu Majah) Bilakah Akan Terjadi Kehancuran?

Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata “Pada suatu hari ketika Nabi SAW sedang berada dalam suatu majlis dan berbicara dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A’rabi (Arab Badwi) lalu dia bertanya kepada Rasulullah SAW “Bilakah akan terjadi hari Kiamat?” Nabi SAW terus saja berbicara. Sebahagian yang hadir berkata “Beliau (Nabi SAW) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disenanginya” Sementara yang lain berkata “Sesungguhnya beliau tidak mendengar pertanyaan itu” Sehingga apabila Nabi SAW selesai berbicara, beliau bersabda “Di mana orang yang bertanyakan mengenai hari Kiamat tadi?” Lalu Arab Badwi itu menyahut “Ya! Saya wahai Rasulullah” Maka Nabi SAW bersabda “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari Kiamat” Arab Badwi itu bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu?” Nabi SAW menjawab “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari Kiamat” (HR Bukhari)

27. Kebinasaan Umat Islam

Daripada Ummul Mukminin , Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah SAW), beliau berkata,”(Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, LAILAHAILLALLAH, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Yakjud dan Makjud seperti ini”, dan Baginda menemukan ujung jari dan ujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya “Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?” Lalu Nabi SAW bersabda “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak” (Riwayat Bukhari & Muslim)

28. Punca Kebinasaan Seseorang

Dari Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan datang suatu zaman di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali apabila dia lari membawanya dari puncak bukit ke puncak bukit yang lain, dan dari suatu gua ke gua yang lain. Maka apabila zaman itu telah tiba, segala sumber pendapatan tidak dapat diperoleh kecuali dengan melaksanakan sesuatu yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Apabila ini telah terjadi, maka kebinasaan seseorang adalah disebabkan memenuhi kehendak isteri dan anak-anaknya. Kalau dia tidak mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya disebabkan memenuhi kehendak kedua ibu bapanya. Dan jikalau ibu bapanya sudah tidak ada lagi, maka kebinasaannya disebabkan mengikuti kehendak keluarganya atau disebabkan mengikuti kehendak jiran tetangganya” Sahabat bertanya “Wahai Rasulullah SAW, apakah maksud perkataan engkau itu?” Nabi SAW menjawab “Mereka akan menghinanya dengan kesempitan hidupnya. Maka ketika itu sesungguhnya dia telah menceburkan dirinya ke jurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya” (HR Baihaqi)

29. Perselisihan Yang Banyak

Daripada Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah r.a. Beliau berkata “Telah menasihati kami Rasulullah SAW akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berikanlah pesanan kepada kami” Lalu baginda pun bersabda “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekali pun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Golongan Yang Selamat Daripada ‘Auf bin Malik r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Umat Yahudi telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh satu golongan, maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh puluh akan masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecah belah menjadi tujuh puluh dua golongan, maka tujuh puluh satu golongan masuk neraka dan hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaanNya, umatku akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua akan masuk neraka. Sahabat bertanya “Golongan mana yang selamat?” Nabi SAW menjawab “Mereka adalah jemaah” (HR Ibnu Majah)

30. Orang Asing

Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Bersabda Rasulullah SAW “Islam mula berkembang dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing” (HR Muslim)

31. Kepayahan Orang Yang Beriman

Daripada Anas r.a. Berkata Rasulullah SAW bersabda ”Akan datang pada manusia suatu zaman di mana orang yang berpegang teguh di antara mereka kepada agamanya laksana orang yang memegang bara api. (HR Tarmizi)

32. Kesusahan Itu Lebih Baik Daripada Kesenangan

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. Dan tidak ada di badannya kecuali hanya selembar selendang yang bertampal dengan kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihat kepadanya. Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya), dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu hari nanti, pergi pada waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan apabila diberikan satu hidangan, diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghiasi) rumah kamu sebagaimana kamu memasang kelambu Kaabah?” Maka jawab sahabat “Wahai Rasulullah, tentunya keadaan kami pada waktu itu lebih baik daripada keadaan kami pada hari ini. Kami akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada masalah ibadat sahaja dan tidak bersusah payah lagi untuk mencari rezeki” Lalu Nabi SAW bersabda “Tidak! Keadaan kamu hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu” (HR Tirmizi)

33. Golongan Yang Sentiasa Menang

Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Sentiasa di kalangan umatku ada golongan yang sentiasa menang (dalam perjuangan mereka), sehingga sampailah pada suatu waktu yang dikehendaki Allah SWT. Mereka senantiasa menang. (HR Bukhari)

Rujukan:
https://peribadirasulullah.wordpress.com/

Jumaat, 20 Oktober 2017

PAS: MENUJU PRU 14 -temubual Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,


PAS: MENUJU PRU 14

Berikut adalah temubual Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS bersama wartawan Sinar Harian yang disiarkan dalam Akhbar Sinar Harian pada 20 Oktober 2017.

SH: Baru-baru ini, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa menyokong PAS sama seperti beri undi kepada BN, dan minta PAS supaya bertaubat. Boleh Tuan Guru jelaskan mengenai perkara ini?

TGHH: PAS bukan parti dalam BN dan kita akan bertanding di kerusi di mana BN bertanding. Selayaknya Mahathir bertaubat kerana dialah penyebab kerosakan sistem negara, mengurangkan hak dan kuasa Melayu-Islam dan Majlis Raja-raja, mengamalkan demokrasi tempang dan memerintah negara secara diktator serta mengamalkan politik wang.

Semua kesalahan ini dia tidak mengaku dan tidak minta maaf kepada mangsa, bahkan masih lagi mempertahankan salahlakunya. Ini menunjukkan dia tidak jujur untuk selamatkan negara Malaysia. Yang dia mahu jatuhkan Najib sahaja. Hakikatnya, mengundi DAP, PKR, PAN, BERSATU adalah mengundi dan mengiakan kezaliman Mahathir.

SH: Tun Mahathir kata kebencian PAS kepada PAN dan DAP melebihi azam untuk selamatkan negara dan agama. Apa komen Tuan Guru?

TGHH: Sejak ditubuhkan sehingga hari ini, PAS tidak meninggalkan matlamat untuk menyelamatkan negara melalui Fasal 5 Perlembagaan PAS. Bezanya, PAS mahu selamatkan negara dengan Islam bersama jaminan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Adapun DAP tidak menghormati perkara ini dengan berani menunjukkan sikap menentang terhadap usaha untuk memartabatkan Mahkamah Syariah melalui pindaan RUU355. PAN pula ditubuhkan di atas restu DAP untuk menggantikan PAS, malangnya PAN tidak berjaya mendapatkan undi Melayu, bahkan penubuhannya memberi bebanan kepada DAP. Tambahan pula, kita melihat harapan DAP untuk selamatkan negara adalah palsu dengan beberapa kes pemimpinnya terpalit isu rasuah.

PAS yang memerintah Kelantan hampir 27 tahun adalah kerajaan bersih tanpa rasuah dan diiktiraf sebagai pentadbiran berintergriti oleh agensi-agensi kerajaan yang membuat audit kepada pentadbiran kerajaan, walaupun tempoh masa pemerintahan lebih panjang.

SH: Polemik hubungan politik PAS-Umno sering dimainkan. Boleh Tuan Guru jernihkan isu ini, tambahan menjelang PRU14 nanti.

TGHH: PAS mengambil pendekatan tahaluf siasi dan taawun bagi menghadapi PRU14. PAS bertahalluf dengan parti-parti dalam Gagasan Sejahtera bagi menghadapi BN dan Pakatan Harapan. Adapun dengan UMNO-BN, kita mengambil pendekatan taawun iaitu menyokong apa yang baik dan positif demi keutamaan Islam dan Melayu dan kita membantah apa yang negatif dan salah yang merugikan negara dan rakyat seperti GST, TPPA, DLP dan Akta 164.

SH: Menjelang PRU14, pendirian PAS jelas iaitu tiada kerjasama dengan PH. Namun isu pertembungan tiga penjuru sering ditimbulkan. Bagaimana strategi PAS agar tiga penjuru ini beri keuntungan kepada parti?

TGHH: Persoalan strategi adalah rahsia, cumanya PAS telah meneliti satu persatu bagi setiap kerusi dan menyusun strategi berdasarkan maklumat akar umbi. Sasaran kita untuk menang 40 kerusi adalah realistik dan boleh capai.

Saya juga melihat para penganalisis politik sangat dipengaruhi oleh keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk mengunjurkan apa yang bakal berlaku dalam PRU 14. PAS melihat dua PRK ini sebagai kes yang tersendiri, dengan pengertian lain. Senario politik di dua kawasan ini tidak mewakili keseluruhan senario politik di seluruh negara. Setiap kawasan ada ciri-ciri tersendiri, mengambil kira komposisi kaum, kedudukan kawasan di bandar atau luar bandar, parti-parti yang bakal bertanding, siapa calon dijangka bertanding, isu-isu setempat dan lain-lain.

Oleh sebab itu, dalam mempertimbangkan boleh menang atau tidak, PAS tidak sekadar menganalisisnya berasaskan dua senario, tiga penjuru atau dua penjuru. PAS juga tegas bersama aqidah Islam dan bersama asas Perlembagaan Negara yang mahu dirungkai oleh berbagai aliran.

SH: Apakah lima kelebihan PAS berbanding Pakatan Harapan untuk menewaskan BN?

TGHH: Dasar PAS adalah Islam dan PAS tidak pernah menjual prinsip ini demi meraih undi pilihanraya atau kemenangan sementara. Islam menjadi aqidah perjuangan yang kukuh.

Kedua, PAS ada kekuatan akar umbi yang tidak dimiliki oleh pembangkang lain. Kita ada 196 kawasan dan 7063 cawangan di seluruh negara.

Ketiga, PAS bersama Gagasan Sejahtera yang didukung oleh parti-parti politik, NGO-NGO dan tokoh-tokoh masyarakat.

Keempat, PAS meninggalkan politik tegang dan mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang lebih mendekatkan PAS dengan pengundi dan mewujudkan keamanan serta kestabilan politik negara.

Kelima, Orang Melayu bersama PAS. Kita perlu sedar undi teras politik Malaysia adalah Melayu. Mana-mana parti yang mahu menjadi pemerintah mesti mendapat undi Melayu dan kita lihat BERSATU dan PAN tidak dapat menarik undi Melayu kepada PH, cuma PAS perlu juga melibatkan bukan Islam yang masih tidak fanatik perkauman dan agama.

SH: PAS tubuhkan blok ketiga melalui Gagasan Sejahtera, tetapi tak nampak sangat peranan gabungan-gabungan lain. Parti Ikatan pun kadang-kadang saja beri kenyataan. Bagaimana PAS nak yakinkan kekuatan blok ketiga ini?

TGHH: Kekuatan Gagasan Sejahtera melalui gabungan gagasan rakyat yang terdiri daripada parti-parti politik, NGO dan tokoh-tokoh masyarakat. Terbaru, kita menerima kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Berjasa, lebih 100 NGO sudah mengisytiharkan bersama Gagasan Sejahtera serta penyertaan tokoh-tokoh bekas penjawat awam.

Ini akan mengukuhkan gelombang ketiga iaitu gelombang rakyat keseluruhan, bukannya sekadar gabungan parti-parti politik sahaja. Kita tidak bergantung kepada kenyataan media sahaja.

SH: Benarkah PAS membenarkan akar umbi buat rundingan pembahagian kerusi dengan Bersatu dan PKR khususnya di Selangor, Kedah dan Kelantan?

TGHH: Tidak benar. PAS sudah mengisytiharkan bersama Gagasan Sejahtera untuk bertanding melawan di kerusi BN dan PH.

SH: Adakah Tuan Guru akan bertanding lagi dalam PRU14?

TGHH: Saya serahkan kepada keputusan parti.

SH: Bagaimana pula Tuan Guru melihat sikap pengundi terhadap PAS kini?

TGHH: Alhamdulillah selepas DAP memutuskan hubungan dengan PAS, pengundi Melayu mula beralih kepada kita. Ini hasil konsisten PAS yang tidak mudah dicucuk hidung oleh DAP, khususnya dalam isu hak kepentingan orang Islam, berkaitan pindaan Akta 355 dan sikap berani kita menolak politik cauvinis perkauman.

Tambahan pula dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang kita buat, kita berjaya mendekati pengundi-pengundi Melayu-Islam khususnya, dan bukan Islam yang menolak politik perkauman DAP. Kita sedar tidak semua orang bukan Islam suka DAP yang rasis dan perkauman.

Kita juga telah berjaya merobohkan benteng dengan agensi kerajaan, penjawat awam, NGO dan banyak pihak yang bersedia jumpa kita. Ini hasilnya selepas kita mengamalkan BPMS yang dapat mengurangkan ketegangan, selain kita tidak bersama BERSIH setelah ada bibit-bibit untuk mengubah halatuju sebenar BERSIH.

SH: PAS dilihat terus diasak di segenap penjuru, apa yang membuatkan PAS terus ‘kebal’ meskipun terus diasak?

TGHH: Kekuatan PAS terletak pada dasar Islam dan aqidah perjuangan yang tidak boleh dibeli oleh sesiapa. PAS sudah membuktikan betapa istiqamahnya untuk menegakkan aqidah dan syariat tanpa mempedulikan apa jua halangan dan cabaran. Malah, pimpinan PAS sekalipun akan tercampak keluar atau dicampak oleh ahli jika tidak beristiqamah dengan Islam dan cuba mengubah haluan PAS. PAS parti milik ahli yang bersama PAS kerana Islam. Pimpinan boleh datang dan pergi tetapi ahli PAS tetap istiqamah bersama bahtera PAS.

SH: Diuji dengan masalah kesihatan baru-baru ini, adakah ia mengganggu tumpuan Tuan Guru kepada parti? Lebih-lebih lagi dengan jadual padat di dalam dan luar negara.

TGHH: Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik dan saya dapat menghadiri mesyuarat dan program-program parti secara beransur-ansur.

SH: DAP tiba-tiba nyatakan hasrat bertanding di Kelantan. Adakah ini boleh dilihat sebagai perang terhadap PAS dan bukan untuk lawan Umno. Sebab seperti diketahui PAS memang dah lama betapak di kelantan.

TGHH: Itu hak demokrasi dalam negara kita yang membenarkan untuk mana-mana parti bertanding dan meletakkan calon, asalkan ada kawasan Parlimen, bukan Pulau Kapas atau Pulau Bidong yang tidak ada pengundi.

SH: Melihat kepada sambutan anak muda pada Himpunan Fastaqim 2.0 baru-baru ini, bolehkah ia diterjemahkan sebagai sokongan anak muda pada PRU14?

TGHH: Alhamdulillah, saya rasa terharu dengan kehadiran peserta Fastaqim 2.0 yang kebanyakannya anak muda. Ini satu harapan kepada PAS bahawa masa depan PAS sangat cerah. Dengan program-program yang dijalankan sepanjang dua hari, saya berterima kasih kepada anak muda yang berminat dan berani hadir serta menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan.

Di dalam PAS hari ini juga, saya ingin menjelaskan, PAS dibarisi oleh beribu para profesional muda yang tampil memperkemaskan pasukan profesional yang sedia ada. Oleh sebab itu, PAS tidak ketandusan pasukan yang membuat analisis berkaitan potensi pilihanraya dan gerak kerja parti lain. PAS hari ini mempunyai persediaan pilihanraya lebih lengkap dan menyeluruh dengan tampilnya para profesional muda ini.

SH: Semasa Himpunan Fastaqim 2.0, telah dilancarkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS), apa perbezaan dan keistimewaannya dengan konsep Negara Islam serta Negara Berkebajikan yang dilancarkan PAS beberapa tahun dahulu?

TGHH: Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) adalah sebuah pelan pembangunan dan pentadbiran negara jangka masa panjang yang berkonsepkan iman dan taqwa. WINS ini dibina atas falsafah yang diambil terus daripada peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 5 yang menerangkan perihal tujuan penubuhan PAS iaitu memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah SWT. Ia juga adalah kesinambungan kepada agenda PAS yang pernah dilancarkan sebelum ini seperti Dokumen Negara Islam dan Konsep Negara Berkebajikan.

Melalui model kenegaraan ini, PAS meletakkan dalam prinsip-prinsip WINS berteraskan kepada konsep siasah syariah dalam pendekatan yang baru, antaranya pematuhan kepada prinsip penyelesaian Islam dalam mengubah corak negara kepada lebih baik dan prinsip pembangunan insan berteraskan kepada asas iman, taqwa dan ilmu dalam memacu pembangunan tanpa sebarang ketirisan.

SUMBER:
http://berita.pas.org.my/pas-menuju-pru-14/

PAS Terbuka Untuk Orang Islam dan Memberi Tumpang Kepada Bukan Islam.

DATUK Hamidah Osman yang baru meninggakan Naib Presiden Bersatu sudah ada banyak pengalaman dalam Umno dan sediki sebanyak dalam Bersatu.

Umno sudah tidak hendak dia dan dia pun sudah tidak hendak UMNO. Sekarang dia sudah tidak hendak Bersatu. Apa masalahnya dengan UMNO dan Bersatu tidak usahlah dipanjangkan.

Apakah dia masih hendak berjuang atau bersara dari politik bergerak pula dalam NGO?

Jika darahnya pekat politik boleh memilih PAS sebagai wadah membela agama, bangsa dan tanah air yang membela diri dan keluarga.

Mungkin Dato Hamidah boleh mencontohi Saidina Salman al-Parisi, seorang yang mencari Tuhan mencuba dalam beberapa agama antaranya agama langit. Tak bertemu Tuhan di situ. Dia bertemu Tuhan dalam Islam.

Hamidah sudah tidak serasi dengan UMNO dan Bersatu, dan keserasian itu mungkin ada dalam PAS.

Perjuangan itu manis. Bagi orang Islam perjuangan yang manis itu ada dalam PAS. Perjuangannya tidak sekadar kesejahteraan di dunia, tetapi demi kesejahteraan di dunia dan akhirat. Kesejahteraan itu terletak atas kekayaan kebendaan, mewah makan, pakaian dan berbelanja. Bilal bin Rabah dan Salman al-Parisi tidak kaya, pernah disiksa, tetapi mereka dan keluarga sejahtera, terjamin masa depannya di akhirat.

Berjuang dalam PAS, seperti beribadat dalam Islam, tidak dijamin syurga. Bergantung perjuangan dan solat itu ikhlas kerana Allah. Tiada Islam dan tiada solat, tertutup pintu syurga. Syurga adalah untuk pejuang yang ikhlas.

Perjuangan itu manis seperti manisnya Islam. Manis Islam itu lebh dimaknakan oleh perjuangannya dan oleh umatnya. Di sinilah PAS mencari manis di dunia dan manis di akhirat.

Semuanya mencari manis, tetapi manis hawa nafsu membawa kencing manis. Manis iman dan taqwa membawa kita, umat dan dunia sejahtera di sini dan sejahtera di sana.

PAS itu terbuka kepada untuk orang Islam dan memberi tumpang kepada bukan Islam. Sebagai agama Islam menjanjikan sejahtera di sana untuk Islam saja. Tapi sejahtera di dunia boleh dikongsi bersama dengan bukan Islam. Dan bukan Islam yang bersama PAS akan terasa manisnya perjuangannya.

Yang tidak bersama PAS tidak tahu dan tidak terasa manisnya PAS. Nak tahu manisnya madu PAS sertailah PAS. PAS itu bukan semua PAS dari asal. Ia terdiri dari yang asal dan dari bekas UMNO dll. Jika tiada UMNO yang meninggalkan parti, tidaklah PAS seramai yang ada. Majoritinya tidak mahu lagi kembali kepada UMNO dan antara yang memperkasakan PAS itu adalah bekas ahli-ahli UMNO.

Adalah benar TS Muhamad Mohd Taib masuk PAS sebenar dan pulang semula ke gagang. Ia adalah yang terpinggir yang tidak bertemu dan merasa manis PAS itu. Rata-rata terasa madu itu manis, tetapi takdir dia merasa madu itu pahit.

Bergantunglah bagaimana seseorang itu dapat menyelesaikan diri dan perjuangannya dengan PAS. Kita tahu Islam itu indah, rahmat bagi sekalian alam. Jauhlah sempurnanya Islam itu dari PAS. Tetapi ramai juga yang sudah Islam keluar Islam. Sebaik wafat baginda Rasul, Saidina Abu Bakr Siddiq memerangi yang murtad. Bahkan murtad semasa Nabi pun ada.

Jika Islam yang syumul ditinggalkan, tiada apa kalau PAS ditinggalkan!

Tetapi ia sekarang menunggu Hamidah. Hakikatnya jadi PAS adalah pilihan Allah. Ramai yang lulus Azhar Allah tak pilih jadi PAS. Tapi jangan salahkan takdir tak masuk PAS.

Oleh:
SUBKY LATIF  18 OCTOBER 2017