Sabtu, 28 Oktober 2017

Perjuangan PAS Kerana ALLAH dan ISLAM.

PAS pada pengamatan saya adalah parti yang jelas dengan perjuangannya.  PAS sanggup buat apa sahaja asalkan kalimah ALLAH tertegak utuh di bumi ini dan supaya kebaikan dapat ditegakkan.

Pendapat dan pandangan PAS terhadap sesuatu isu jarang sekali jauh dari pendapat dan pandangan saya.  Saya serasi dengan PAS.  Walaupun saya bukan seorang yang aktif dan terlibat secara langsung dengan PAS, namun PAS tetap di hati.

Ia di hati bukan kerana namanya PAS, bukan kerana labelnya label ISLAM.  Tetapi telah jelas sejak dahulu sampai sekarang, perjuangannya kerana ALLAH, kerana ISLAM.

Nasihat Saya

Saya bukanlah orang yang layak untuk memberikan nasihat.  Namun, sebagai seorang muslim memang tanggungjawab kita untuk saling tegur-menegur.

Para pimpinan PAS hendaklah sentiasa mengutamakan al-Quran dan as-Sunnah.  Dan mentarbiyyah ahli-ahlinya dengan ajaran ISLAM yang benar.  Tarbiyyah ISLAM adalah merupakan perkara asas dan pokok yang mesti dikukuhkan di dalam setiap jiwa ahli2nya.  Saya rasa inilah yang telah menjadi aset utama dan resepi asas kejayaan dan istiqamahnya PAS hingga hari ini.

Pimpinan, pendokong dan penyokong PAS hendaklah sedar bahawa kekuatan PAS bukanlah pada pandainya berpolitik dan banyaknya kerusi dalam Parlimen dan DUN.  Tetapi ia kuat kerana berlandaskan ISLAM.  Jadi semua warga PAS mesti selalu bercakap tentang ISLAM yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.  Banyakkan cerita tentang kebaikan ISLAM.

Warga PAS mesti menumpukan usaha menanamkan keyakinan masyarakat Malaysia kepada ISLAM.   Usah terikut-ikut dengan rentak kawan atau lawan dalam memburuk-burukkan peribadi dan parti lawan.  Kerana sokongan yang diperolehi hasil dari benci tidak bertahan lama.  Binalah sokongan itu berasaskan keyakinan yang jitu.  Apabila masyarakat telah terbina di dalam diri mereka akan keyakinan terhadap ISLAM, mereka nakkan ISLAM, insyaALLAH secara automatik sokongan dan dokongan akan datang kepada pihak yang memperjuangkan ISLAM.

Buat ahli masyarakat yang tidak bergerak di dalam PAS, saya menyeru agar kalian cuba sedaya mungkin untuk berbaik sangka dengan PAS.  Media cetak dan elektronik yang kadang-kala memaparkan pelbagai kisah keburukan PAS telah dengan sengaja dipergunakan oleh sesetengah pihak bagi menjatuhkan kredibiliti PAS.  Janganlah terima berita tersebut bulat-bulat.  Sekurang-kurangnya, jangan percaya 100%.  Yang paling baik ialah double-check dengan media PAS.

Buat ahli masyarakat yang tidak bergerak di dalam PAS, disarankan juga agar kalian menegur apa-apa yang buruk dan kelemahan yang kalian nampak di dalam PAS.  InsyaALLAH, teguran kalian akan memberikan kesan yang baik.  Dari segi politik Malaysia, PAS adalah satu-satunya parti politik yang kita boleh harapkan untuk berjuang dari pihak kita, ummat ISLAM.

Buat rakan pakatan Gagasan Rakyat, saya menyeru agar kalian bersungguh-sungguh bekerjasama dengan PAS.  PAS adalah parti yang kalian boleh harapkan.  PAS adalah parti yang kalian boleh letakkan kepercayaan.  Janganlah dirosakkan kepercayaan dan hormat yang telah PAS letakkan pada kalian.  Nilai agama yang ada pada pimpinan PAS akan memberikan kalian extra-mileage dalam perjuangan membina Malaysia yang sejahtera.

Buat rakan-rakan seagama di dalam Pakatan Pembakang, saya faham bahawa sebahagian kalian mempunyai agenda perjuangan yang bagus.  Tidak dinafikan ada yang ingin berjuang untuk rakyat, berjuang kerana agama, berjuang kerana bangsa dan betul-betul ikhlas dengannya.  Justeru, saya sarankan agar kalian tidak mewujudkan permusuhan dengan PAS.  Apa yang baik dari PAS, sokonglah.  Dan jika ada yang tidak baik dalam PAS, tegurlah dengan semangat ukhwah.  Dan di dalam doa kalian, doalah agar kita semua ummat ISLAM dapat berukhuwwah dengan ukhuwwah Islamiyyah.

Dan buat rakan2 seagama, berhentilah dari membuat fitnah dan tipu terhadap PAS.  Berhentilah dari menghasut dan memutar-belitkan fakta dan cerita demi keuntungan kalian.  Sungguh, kita semua akan dikumpulkan pada hari akhirat.  Masing-masing akan dihitung.  Dan akan ditempatkan berdasarkan amalan masing-masing semasa hayat di kandung badan.

Saya ingin ulangi semula bahawa sokongan saya terhadap PAS bukanlah kerana partinya parti berlabelkan ISLAM, bukanlah kerana namanya Parti Islam, bukanlah kerana taksub dengan pemimpinnya, tetapi saya nampak apa yang telah PAS perbuat selama ini terhadap ISLAM.  PAS memperjuangkan ISLAM.  Jika PAS tidak lagi memperjuangkan ISLAM, tiadalah sokongan diri ini lagi pada PAS!

Wallahu Ta’ala A’lam.