Khamis, 10 Ogos 2017

1MDB: KETEPI SENTIMEN & KESEMPATAN POLITIK DEMI KEPENTINGAN NEGARA

*KENYATAAN MEDIA*
*DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA*
*10 Ogos 2017 | 17 Zulkaedah 1438*

*“1MDB: KETEPI SENTIMEN & KESEMPATAN POLITIK DEMI KEPENTINGAN NEGARA”*

1.    Pertikaian beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) terhadap penjelasan dan pendirian PAS berhubung isu 1MDB rentetan dari pertemuan dan sidang meja bulat khas bersama Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda ternyata disengajakan, serta dilihat masih bersikap mahu mempolemikkan keadaan. Sedangkan kematangan dalam menuju kepada solusi seharusnya diwujudkan agar masalah dapat ditangani.

2.    Pendirian asas dan semasa untuk menyiasat segala skandal serta menggerakkan langkah penyelesaian menerusi pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)  dan pelan penstrukturan; sewajarnya dipersetujui secara terbuka dan lapang dada demi kepentingan negara, tanpa diemosikan oleh sentimen negatif atau bermotif meraih kesempatan politik.

3.    PAS sebagaimana juga pihak lain, turut mengakui bahawa 1MDB adalah antara skandal kewangan terbesar negara sebagaimana perkara seumpama yang banyak terjadi dan menjadi liabiliti kepada rakyat dan negara sebelum ini. Bezanya, 1MDB melibatkan pelbagai agensi dan negara serta jumlah dana sangat besar, sehingga menjadi perhatian kritikal seantero dunia.

4.    PAS turut mengambil maklum dan menghormati laporan penyiasatan dari Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, termasuk tindakan-tindakan berkaitan oleh negara asing lainnya, sebagai di bawah bidangkuasa negara berkenaan. Namun, pengadilan dengan undang-undang negara ini mestilah diutamakan sebagai junjungan terhadap kedaulatan yang dimiliki.

5.    Semua proses dan bentuk tindakan undang-undang yang di lakukan demi keadilan dan menyelamatkan wang serta ekonomi negara mestilah didokong. Manakala konflik kepentingan melibatkan pihak yang disiasat oleh kekurangan kuasa oleh BNM, SPRM atau PDRM, diteguhkan dengan gesaan supaya RCI dibentuk dan bukannya mengundang pihak luar atau asing.

6.    Arul Kanda seharusnya diberi peluang untuk berperanan membetulkan kesilapan dan kepincangan 1MDB dan bersikap tidak memihak, sebaliknya adil, jujur serta amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya. Beliau dan pasukannya perlu berusaha menjayakan pelan rasionalisasi memandangkan hutang yang dijamin oleh Kementerian Kewangan Malaysia secara tidak langsung membabitkan kantung kewangan negara.

7.    Kami percaya, usaha dilaksanakan adalah ke arah merungkai kesilapan lalu dari memberi musibah dan kemungkinan lebih buruk, selain kembali untuk bangun semula. Walaupun kami berpuashati dengan penjelasan diberi, namun tetap berpegang kepada prinsip sama bahawa tegas tidak mahu wang mahupun aset negara digunakan lagi bagi menampung operasi mahupun hutang 1MDB.

8.    PAS mahu setiap individu yang bertanggungjawab di heret ke muka pengadilan _‘without fear or favour’_ dan jika didapati bersalah, dihukum sewajarnya atas perbuatan dilakukan yang sangat memalukan rakyat dan negara. PAS tidak mahu beban 1MDB menjejaskan ekonomi negara dan secara tidak langsung kepada rakyat secara keseluruhannya, apatah lagi di saat ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu.

9.    Kewangan negara perlu utuh untuk menampung perbelanjaan mahupun defisit, demi kelangsungan pertumbuhan negara. Kemelut 1MDB secara tidak langsung menjejaskan kepercayaan pelabur luar kepada negara yang turut memainkan peranan di dalam pertumbuhan ekonomi negara dengan nilai pelaburan cukup besar, di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

10.  PAS mahu kemelut ini diselesaikan segera, setelah bebanan lampau warisan BN yang masih terbeban hingga kini, di mana rakyatlah yang membayar semua hutang tersebut melalui pelbagai instrument percukaian. Maka, sewajarnya kerajaan dan parti yang korup ini diturunkan dari tampuk pemerintahan, seterusnya dibina masa depan negara lebih gemilang dengan menggantikan sistem berteraskan Islam.

_“Sejahtera Bersama Islam”_
_“Mara Menuju Cita”_

*IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN*
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia