Sabtu, 19 Disember 2015

Manusia tidak boleh membangun tamadun di atas bumi melainkan dengan panduan Allah dan RasulNya.


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berbangga dengan ucapan yang disampaikan oleh Tuan Guru Presiden PAS di pentas Multaqa Alumni al-Azhar semalam. Inilah Negarawan Ummah yang berani menegur dan bersikap tenang dalam menghadapi krisis serta fitnah dikelilingnya.

Disebalik kecaman musuh-musuh politik PAS yang ketandusan idea sehingga hanya mampu bersidai di pinggir baju beliau yang dikatakan sedondon dengan Dato Seri Najib Tun Razak, Tuan Guru Presiden terus tenang menyampaikan mesej Islam di Majlis semalam.

Ucapan beliau bukan sekadar mewakili PAS tetapi, Jamaah Islam di seluruh dunia. Diawal ucapannya, beliau menegaskan bahawa matlamat dakwah Islam adalah mengembalikan manusia dari menghambakan diri kepada manusia dan makhluk kepada Allah. Dari kezaliman pemerintah kepada keadilan Islam. Dari wawasan dunia yg sempit kepada wawasan yang lebih luas iaitu dunia dan akhirat.

Beliau turut menegaskan bahawa menafsirkan Islam, iaitu Addeen sebagai Agama (religion) sahaja tidak cukup. Kerana tafsirannya sangat sempit. Islam merangkumi fitrah dan naluri individu, masyarakat dan makhluk merentasi seluruh alam.

Beliau memperjelaskan bahawa manusia itu asalnya satu umat sahaja, lalu Allah mengutuskan Nabi-nabi membawa satu agama sahaja, iaitu Islam. Ibnu Abbas menegaskan Agama ini (Islam) bermula dengan Adam a.s bukan dengan monyet. 1000 tahun selepas kewafatan Nabi Adam, lahir manusia yang mula mencipta dan melantik tuhan sendiri kalangan batu, binatang dan sebagainya. Maka Allah melantik Nabi dan Rasul bagi setiap umat hinggalah kepada Rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad saw dengan membawa kitab yang memandu kehidupan manusia dan menghukum mengikut seruan Allah di dalam kitabNya. Dan hudud adalah antara sebahagian darinya.

Manusia tidak boleh membangun tamadun di atas bumi melainkan dengan panduan Allah dan RasulNya. Tamadun China berbangga dengan tembok besarnya, Tamadun Mesir dengan piramidnya dan Babylon dengan bangunannya. Semua tamadun berbangga dengan bangunan-bangunan yang dibina, maka Allah membina Tamadun Islam diakhir zaman dengan pembangunan Insan. Membangun manusia dahulu dengan fitrahnya. Membangun roh, jasad, akal, ilmu sehingga membangun masyarakat dan negara.

Sebagai pemimpin Ummah, beliau kecewa terhadap apa yang berlaku pada hari ini, iaitu Islamiphobia. Satu fitnah kepada Islam kerana apa yang dilakukan oleh segelintir yang mengaku Islam bercanggah dengan apa yang dianjurkan Islam. Membunuh secara zalim atas nama Allah adalah fitnah besar yang merosakkan imej Islam.

Umat Islam perlu kembali menyatukan ummah dengan Islam yang sebenar. Ketepikan perbezaan kaum dan ideologi untuk membina sebuah negara yang aman dan adil untuk semua.

Teguran ini jelas kepada segelintir pemimpin Melayu, Cina dan India dinegara ini yang sering memainkan politik perkauman bila mana parti mereka dalam keadaan terhimpit dan bermasalah. Beliau mahu pemimpin Islam di negara ini menghormati hak agama-agama lain seperti Kristian, Hindu, Buddha dan sebagainya bagi memastikan keharmonian negara dapat dikekalkan.

Orang-orang bijak perlulah jujur dan diletakkan di tempat yang sebaiknya oleh pemimpin dalam membantu membina negara bersama. Pemimpin tidak perlukan kaki bodek dan pengampu untuk membina negara.

Beliau turut menegur pemimpin diktator dan orang-orang agama yang menyertai politik teokrasi dengan acuan barat. Apabila diangkat menjadi pemimpin, mereka menyeleweng, berlagak macam Tuhan dan menentang Islam termasuk undang-undang seperti hudud.

Pemimpin ummah ini turut berkongsi kata-kata Saidina Abu Bakar “Wahai tuan-tuan, saya dipilih menjadi pemimpin kamu. Saya bukan orang yang terbaik, kalau saya betul tolong saya, kalau saya salah, perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat. (Jangan mengampu saya, kalau saya betul, kata betul, kalau saya salah, kata salah. Jangan berbohong kerana itu merosakkan pemimpin). Taat kepada saya, kalau saya mentaati Allah dan Rasul. Kalau saya tak taat pada Allah dan Rasul, jangan taat pada saya”

Panduan ini perlu dihayati, kerana pada hari ini terdapat pemimpin negara yang jelas melakukan tindakan salah tetapi masih disokong oleh pengikutnya atas dasar membodek atau takut diambil tindakan. Walaupun beliau tidak nyatakan kepada siapa ayat ini ditujukan tetapi kita jelas. Kita faham.

Tidak kira Sultan, Raja, Perdana Menteri, Menteri Kabinet hatta pemimpin kecil diperingkat komuniti perlu memahami aspek kepimpinan ini dan bersedia untuk ditegur dan melepaskan jawatan jika gagal perbaiki kesalahan atau menyimpang dari amanah Allah dan Rasul.

Demokrasi lebih dekat dengan Islam tetapi kita tidak boleh menuruti demokrasi cara barat sepenuhnya, kerana ianya tiada akidah dan roh. Maka dengan Islam kita mengambil demokrasi sebagai alat, bukan doktrin untuk memacu hak dan suara rakyat. Demokrasi dalam Islam juga banyak berlandaskan musyawarah, bukannya perdebatan semata-mata untuk mencari siapa yang hebat.

Sekarang bukan zaman penjajah. Kita bebas menentukan hala tuju. Kita sudah punya cukup ilmuan dan kepakaran dalam negara kalangan umat islam dan rakyat berbilang bangsa dan agama. Kita tidak perlukan nasihat dari barat seperti APCO dan perunding-perunding lain yang berlumba-lumba untuk mencaturkan masa depan negara ini.

Kerajaan sekarang perlu merdeka sepenuhnya dan memimpin negara ini dengan cara kita sendiri. Kita mempunyai kekuatan jika bersatu dan mengambil politik yang meletakkan kepentingan ummah dan negara untuk kembali kepada Allah dan mengenepikan kepentingan politik sempit, perkauman dan ideologi serta kepentingan peribadi.

Sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, beliau mahu umat Islam bersatu diseluruh dunia untuk mengembalikan tamadun dan kepimpinan Islam. Mengislamkan demokrasi, menukar Islamiphobia kepada rasa cinta dan hormat pada Islam. Islam memimpin negara dan dunia tanpa mengabaikan hak mereka yang berbeza agama.

Kami pemuda Islam dan Malaysia seluruhnya berdiri teguh dibelakang beliau untuk meneruskan amanah perjuangan ini. Walaupun terus diasak dengan fitnah dikiri kanan, PAS akan tetap melangkah jauh kehadapan sebagai parti yang meletakkan Islam sebagai jalan menuju keredhaan Allah.

Allahuakhbar! Allahuakhbar! Allahuakhbar!

-

Ir Hj. Khairil Nizam Khirudin
Naib ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia