Ahad, 20 Disember 2015

KULIAH JUMAAT 06 RABIUL AWAL 1437 / 18 DISEMBER 2015 - ALLAH MENGETAHUI SEGALA ISI HATI KITA



Allah Mengetahui Segala Isi Hati Kita

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

"(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah amat belas kasihan kepada hamba-hambanya". (Ali-Imran: 29-30)

SHEIKH Sya’rawi berkata: “Tiada matlamat kecuali Allah SWT. Justeru, awasilah kamu daripada menipu diri kamu sendiri. Ini kerana akibatnya akan kembali kepada dirinya sendiri.”

Beliau menambah kerana manusia kadang-kadang banyak bersifat menyembunyikan sesuatu seperti gambaran zahir. Walaupun begitu, orang yang beriman sekali-kali tidak akan melakukan demikian. Kenapa? Kerana pengawasan amat jelas berdasarkan ayat ini.

Ayat 29 Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Iktibar dan fiqh ayat:

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT mengkhabarkan hamba-hambanya bahawa ia Maha Mengetahui segala perkara rahsia, dalaman dan zahir yang tidak tersembunyi sesuatu darinya. Sedangkan ilmu-Nya merentasi segala keadaan waktu dan zaman. Begitu juga dengan semua tempat.

Seterusnya beliau berkata ayat ini menjadi peringatan kepada hamba-hambanya supaya takut kepada-Nya sahaja dan jangan melakukan apa yang dilarang oleh Allah SWT.

Al-Qurtubi berkata: “Allahlah yang Maha Mengetahui segala rahsia isi hati manusia dan apa yang disembunyikannya. Begitu juga alam buana ini dari tujuh petala langit dan bumi serta seisinya.

“Bahkan Allah SWT Maha Mengetahui perkara ghaib dan tidak tersembunyi di sisi-Nya sekalipun sebesar zarah. Maha Suci Allah. Tiada Tuhan yang sebenar dan berhak disembah kecuali Dia. Yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata.”

Al-Maraghi berkata: “Allah SWT mengetahui seluruh isi hati kamu, ketika kamu berteman dengan orang kafir kerana kamu mencintai mereka atau kerana kamu takutkan bahaya daripada mereka. Jika perbuatan itu tetap kamu lakukan, lantaran cenderung kepada kekafiran, maka kamu akan memperoleh balasan seksa.

“Jika kamu lakukannya dengan hati yang tetap beriman, kamu akan diampuni dan tidak dihukum kerana sesuatu kejahatan yang tidak merugikan agama mahupun penganutnya. Dia hanya memberi balasan kepada kamu sesuai dengan ilmu-Nya meliputi seluruh langit dan bumi kerana Dialah penciptanya”.

Hamka berkata: “Hanya orang mukmin yang dapat merasai hal yang sedemikian. Kekuasaan Allah SWT sangat luas meliputi langit dan bumi. Kadang-kadang kita bertemu dengan kemenangan walaupun belum nampak pintunya. Kadang-kadang kita menyangka rencana kita berjalan seperti yang dirancang. Tiba-tiba datang kejadian lain yang tidak disangka maka rencana Allah jualah yang berjaya.

“Oleh sebab itu maka seharusnya kita sentiasa mengingati kekuasaan Allah SWT di masa susah ataupun senang.”

Muhamad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini berpesan kepada yang melakukan taqiyah agar jangan menjadikan taqiyah sebagai dalih untuk meraih kepentingan yang tidak berkaitan dengan akidah.

“Ia berpesan juga kepada mereka yang menjadikan orang-orang kafir sebagai wali, serta kepada orang-orang kafir yang bermaksud jahat atau menyembunyikan kejahatannya terhadap orang-orang yang beriman, pesan-Nya adalah jangan ada di antara kalian yang menduga bahawa rahsia kalian tidak diketahui Allah SWT. Allah SWT Maha Mengetahui.”

Ayat 30 Firman Allah SWT yang bermaksud: (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya, (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah amat belas kasihan kepada hamba-hambanya).

Iktibar dan fiqh ayat:

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT berfirman dengan penegasan dan ancaman supaya hamba merasa takut akan azab-Nya dan pada saat yang sama supaya hamba sentiasa berharap dan tidak berputus asa dari rahmat-Nya”.

Al-Maraghi berkata: “Takutlah kamu kepada kemurkaan Allah SWT dengan jalan memperbanyakkan kebaikan dan meninggalkan perbuatan-perbuatan buruk yang diperlihatkan sebagai baik oleh syaitan kepada kamu. Bertaubatlah kamu kepada Allah SWT, wahai orang yang beriman, semoga kamu berbahagia.”

Hasan al-Basri pernah berkata: “Disebabkan sifat Maha Ampun-Nya, maka Dia mengancam mereka dengan seksa-Nya dan menyerlahkan kesempurnaan ilmu dan kekuasaan-Nya. Jika mereka mengerti dengan sebenar-benarnya akan hakikat pengampunan Allah SWT, nescaya mereka terdorong untuk mencari keredaan-Nya dan menjauhi kemurkaan-Nya.

“Melalui sifat maha Ampun-Nya juga, Dia menjadikan manusia mempunyai naluri yang condong kepada kebaikan dan benci kepada keburukan yang menimpanya. Bekas dosa yang tinggal di dalam hati akan dapat dihapuskan dengan bertaubat dan amal soleh.”

Hamka berkata: “Dengan peringatan hati-hati dan amaran yang agak keras, maka seharusnya kita sebagai hamba Allah SWT mengakui bahawa kita tidak pernah terlepas dari tilikan Allah SWT. Maka kita berhati-hatilah dalam menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini. Perlu insaf dan menilai diri masing-masing kekurangan dan kelebihan yang ada pada diri sendiri.

“Sentiasalah mengingati detik-detik kematian. Dunia yang hanya sementara haruslah pandai ditimbang tara untuk mengejar akhirat yang kekal abadi”.

Muhamad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini menggunakan gaya ihtibak, yakni bentuk redaksi yang tidak menyebutkan satu atau beberapa kata pada perenggan yang pertama, kerana kata atau beberapa kata itu telah diisyaratkan pada penggalan yang kedua, demikian pula sebaliknya.

“Pada penggalan pertama, dalam redaksinya tidak terdapat kata-kata “dia ingin kiranya kebaikan itu terus-menerus berada di sisinya, tidak jauh darinya”, kerana pada perenggan berikutnya sudah ada susunan kata yang menyatakan: dia ingin kalau kiranya antara dia dengan kejahatan itu ada jarak yang jauh, demikian juga pada penggalan kedua, dalam redaksi ayat tidak ditemukan kata dihadirkan, kerana kata ini telah disebut pada perenggan sebelumnya”.

Berdasarkan dua ayat di atas, jelas menunjukkan betapa Allah SWT bersifat Maha Mengetahui dan berkuasa atas segala makhluknya. Begitu juga akan wujud pembalasan pada hari akhirat. Justeru sewajarnya manusia berbakti dan taat kepada Allah SWT kerana Dialah yang amat belas kasihan kepada hamba-hamba-Nya. Semoga kita termasuk di kalangan hamba-hamba-Nya.