Selasa, 26 November 2013

Hukum Menyertai, Meniru & Membesarkan Perayaan Orang Kafir


Anas bin Malik radhiAllahu `anhu berkata yang maksudnya:
“Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu.  
Lalu Baginda berkata:  “Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah.”
Sabda Baginda lagi:  “Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya `Eidul-Adha dan `Eidul-Fitri.”"
(Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959)
Malahan pula terdapat perkataan dari ALLAH `Azza wa Jalla yang menyuruh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam mengatakan:

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

Maksudnya:  “Untukmulah agamamu dan untukkulah agamaku”
(Surah al-Kafirun, 109:6)
Melalui ayat pendek dan tegas ini, sepatutnya kita ummat ISLAM menggariskan sempadan yang jelas memisahkan antara agama ISLAM yang kita sama-sama anuti dengan agama lain.  Tidak boleh bercampur.
Ummat ISLAM boleh bertoleransi malah digalakkan berbuat baik sesama manusia tidak kira siapa mereka, tetapi dalam bab agama, tiada toleransi terhadapnya.  Mereka dengan jalan mereka sendiri.  Dan kita dengan jalan kita sendiri.  Dan jalan yang ditunjuki RasulNYA lah jalan yang benar dan selamat.

ADA PERSAMAAN ANTARA SYIAH DAN YAHUDI

ISLAM Agama Benar

ISLAM adalah agama yang benar dan tinggi.  Dan tidak ada yang lebih benar dan tinggi dari ISLAM!  Tidak perlu kita mencari sesuatu di luar dari lingkungan ajaran ISLAM.  Cukuplah ISLAM menunjuki jalan hidup kita.
Seharusnya ummat ISLAM hidup di dalam lingkungan cara yang ditunjuki oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.  Sungguh, tidak ada apa yang tertinggal di dalam ajaran yang Baginda tunjukkan.  Semuanya ada di dalam ISLAM, tidak ada apa yang kurang.
ALLAH, TUHAN Sekalian Alam telah berfirman:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا

Maksudnya:  “Pada hari ini telah KUsempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah KU-cukupkan kepadamu nikmat-KU, dan telah KU-redhai ISLAM itu jadi agama bagimu.”
(Surah al-Ma’idah, 5:3)
ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإسْلامُ

Maksudnya:  “Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi ALLAH hanyalah ISLAM.”  
(Surah ali-`Imran, 3:19)
Hanya ISLAM lah agama yang selamat dan diterima oleh ALLAH, TUHAN Sekalian Alam.  Dan kita mesti beristiqamah berjalan di atasnya jika mahu selamat.

Jangan Tasyabbuh

Ummat ISLAM juga mesti awas dengan hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam berikut yang maksudnya:
“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum maka dia termasuk kaum tersebut.”
(HR Abu Daud dengan sanad hasan).
Lalu bertanya ke dalam diri, siapakah yang mahu kita serupai?  Di manakah kita mahu letak diri kita?  Di dalam kelompok bersama dengan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam atau di dalam kelompok selain Baginda?
Bukan sedikit ummat ISLAM yang leka dan meniru-niru dalam menghidupkan kehidupan mereka.  Banyak!  Dan kita khuatir peniruan ini yang akan akhirnya menjerumuskan ummat ISLAM ke lembah yang dimurkai ALLAH.
Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda yang maksudnya:
“Kamu akan mengikut jejak langkah orang-orang sebelummu sejengkal sejengkal dan sehasta sehasta sehingga kamu akan menuruti mereka walaupun mereka memasuki lubang-lubang biawak.”
Sahabat bertanya: “Siapakah mereka itu ya Rasulullah?”
Nabi menjawab: “Yahudi dan Nasara, siapa lagi.”
(HR Muslim)