Manakala bagi golongan ulama haraki
yang mengatakan tahaluf siyasi sebagai sesuatu yang diharuskan, mereka
berpegang dengan hujah-hujah berikut :
1.
Half al-Fudhul : Ia merupakan satu peristiwa yang berlaku pada zaman
jahiliyyah iaitu perjanjian di antara beberapa qabilah untuk menolong
golongan yang dizalimi. Perjanjian ini telah disaksikan oleh Nabi
Muhammad SAW. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis baginda yang menyatakan
:
وَأَيُّمَا حِلْفٍ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَزِدْهُ الْإِسْلَامُ إِلَّا شِدَّةً
Yang bermaksud : Mana-mana perjanjian yang dilaksakanan ketika jahiiyyah tidak akan ditambahkan (diubah) oleh Islam melainkan semakin patut dilaksanakan - membawa makna mana-mana perjanjian di zaman jahiliyyah yang bermaksud kerjasama dan silaturrahim tidak akan berubah ketika Islam melainkan ia lebih patut untuk dilaksanakan. Ini kerana Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara yang baik.
وَأَيُّمَا حِلْفٍ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَزِدْهُ الْإِسْلَامُ إِلَّا شِدَّةً
Yang bermaksud : Mana-mana perjanjian yang dilaksakanan ketika jahiiyyah tidak akan ditambahkan (diubah) oleh Islam melainkan semakin patut dilaksanakan - membawa makna mana-mana perjanjian di zaman jahiliyyah yang bermaksud kerjasama dan silaturrahim tidak akan berubah ketika Islam melainkan ia lebih patut untuk dilaksanakan. Ini kerana Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara yang baik.
Hujah : Sekalipun Nabi SAW
menyaksikan perjanjian ini ketika jahiliyyah, tetapi kerana Nabi telah
memujinya semasa Islam, ia dianggap sebagai perkara yang baik. Ini
menunjukkan bahawa sekalipun yang berada dalam ikatan perjanjian itu
orang-orang yang berakidah salah, ia tetap dianggap perjanjian yang baik
selagi mana tujuannya adalah baik.
2. Perjanjian Rasulullah
SAW dengan bapa saudaranya Abu Talib untuk menjaganya serta
memeliharanya dari ancaman kaum Quraisy. Tahaluf di antara mereka berdua
berlaku dalam beberapa peringkat :
2.1 Ketika Abu
Talib melihat bagaimana Nabi Muhammad SAW bertegas untuk melaksanakan
dakwah sekalipun terpaksa mati untuk Islam, Abu Talib lantas menyatakan :
“Teruskan wahai anak saudaraku, katakanlah apa yang kamu hendaki. Demi
Allah, aku tidak akan serahkan kamu kepada sesiapa selama-lamanya”
Kata-kata ini dibuktikan beberapa kali oleh Abu Talib di mana pernah
beliau mengetahui tentang sekumpulan kaum Quraisy yang merancang untuk
membunuh Nabi Muhammad SAW, lalu dikumpulkan bani Abdul Mutalib dan Bani
Hasyim untuk melindungi baginda SAW. Mereka semua berkumpul termasuklah
yang masih kafir untuk melindungi Nabi Muhammad SAW.
2.2 Peringkat
berikutnya ialah ketika kaum Quraisy melancarkan pemulauan kepada Bani
Hashim dan Bani Abdul Mutalib sebagai tindak balas kerana mereka
melindungi Rasulullah SAW. Lalu ditulis surat penguatkuasaan di mana
tidak dibenarkan sesiapa pun menikahi atau dinikahi oleh kedua-dua
kabilah ini. Juga tidak dibenarkan berlakunya urusan jual beli dengan
kedua-duanya. Surat ini ditampalkan di dinding kaabah.
Hujah
: Di dalam peristiwa-peristiwa ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa
menjadi satu keharusan jamaah Islam untuk mendapat perlindungan daripada
orang yang bukan Islam demi mencapai matlamat perjuangannya. Namun ia
tidaklah sampai kepada peringkat tunduk dan patuh sehingga menggadaikan
perjuangannya.
3.
Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mut’im bin ‘Adi. Ia berlaku selepas
kewafatan Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan dakwah
Thaif. Rasulullah SAW telah memasuki kota Mekkah dengan perlindungan
seorang musyrik yang bernama Mut’im bin ‘Adi. Rasulullah SAW menghargai
pertolongan Mut’im sehingga baginda pernah bersabda apabila memenangi
perang Badar, “Sekiranya Mut’im bin Adi masih hidup lalu memintaku
membebaskan tawanan ini, aku akan lakukan untuknya..”
Hujah
: Mut’im di dalam peristiwa ini sekalipun tidaklah memberikan kebebasan
dan pertolongan kepada dakwah Islam tetapi melakukan sesuatu yang lebih
besar dari itu iaitu menjaga tubuh badan Nabi Muhammad SAW. Mut’im
tidak pernah berniat untuk menjadi pengikut Rasulullah SAW dan pendirian
ini jelas ketika ia menjawab soalan dari Abu Jahal . Ini menunjukkan
keharusan mendapatkan kerjasama dari orang yang tidak berniat
melaksanakan Islam di dalam urusan yang memberikan kebaikan kepada Islam
dan umatnya.
4.
Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah SAW dengan kaum Yahudi ketika
ditegakkan negara Islam Madinah. Perjanjian yang melahirkan Sahifah
Madinah ini merupakan satu-satunya peristiwa besar dan terpenting yang
menjadi hujjah keharusan kaum muslimin menjalinkan perjanjian dengan
orang-orang bukan Islam di atas dasar memelihara kebajikan kedua-dua
pihak.
Di antara isi
kandungan perjanjian ini ialah, “Kaum muslimin mempunyai haknya dan kaum
Yahudi mempunyai haknya. Dan di antara mereka hendaklah tolong menolong
sekiranya diserang oleh sesiapa. Dan di antara mereka hendaklah saling
menasihati dan bekerjasama. Dan janganlah sesiapa memungkiri janjinya.
Dan hendaklah pertolongan diberikan kepada yang dizalimi. Dan sekiranya
berlaku apa-apa kepada pihak yang menjalinkan perjanjian ini, maka
tempat rujukan ialah kepada Allah dan Muhammad Rasulullah SAW…”
Hujah
: Inilah sebesar-sebar hujah keharusan melakukan hubungan dengan
non-muslim di dalam menegakkan negara Islam. Dan tidaklah menjadi dasar
Islam mengenepikan kaum musyrikin daripada realiti kehidupan.
5.
Perjanjian Rasulullah SAW dengan Bani Khaza’ah. Ia berlaku apabila
baginda bersama para sahabat ingin memasuki kota Makkah untuk
mengerjakan haji namun disekat oleh kaum Quraisy. Lalu Rasulullah SAW
mengutuskan pengintip dari bani Khaza’ah yang merupakan seorang musyrik
dan mereka melaporkan kepada Rasulullah SAW mengenai pergerakan kaum
Quraisy. Bani Khaza’ah sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan Bani
Hasyim semenjak zaman jahiliyyah dan mereka meneruskan hubungan baik
mereka dengan Bani Hasyim sekalipun berbeza akidah. Rasulullah SAW
mengiktiraf hubungan ini dengan memberikan syarat iaitu pertolongan
tidak akan diberikan kepada golongan yang zalim.
6. Perintah Rasulullah SAW
kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah semasa ditindas di Makkah
untuk mendapatkan perlindungan dari Raja Najasyi yang merupakan seorang
Nasrani pada masa itu turut merupakan dalil kepada keharusan untuk
mendapatkan perlindungan dari orang yang bukan Islam di dalam menjaga
kemaslahan umat Islam.
Jawapan Terhadap Golongan Yang Mengharamkan Tahaluf Siyasi
Di dalam memberikan
jawapan kepada golongan ulama haraki yang mengharamkan tahaluf siyasi,
beberapa pandangan telah dikemukakan. Antara lain :
1. Ayat yang
digunakan iaitu dari surah al-Maidah, ayat 51-52 bukanlah merujuk kepada
tahaluf siyasi tetapi merujuk kepada orang-orang munafik yang terus
meletakkan kepatuhan kepada orang-orang Yahudi di Madinah. Ianya turun
kepada ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai yang bertindak untuk
menyokong kabilahnya Yahudi Bani Qainuqa’ di dalam berhadapan dengan
Nabi Muhammad SAW. Ini menunjukkan bahawa ayat ini tiada kena mengena
dengan tahaluf siyasi tetapi berkenaan dengan orang yang keluar langsung
dari Harakah Islam untuk bekerjasama dengan musuh bagi melawan Islam.
2. Ayat 219
dari surah al-Baqarah pula bukan sahaja tidak menjadi hujah mengharamkan
tahaluf siyasi bahkan menjadi peneguh kepadea keharusannya. Ini kerana
daripada tahaluf siyasi yang dilaksanakan di beberapa buah negara
seperti Mesir, Sudan dan Yaman, manfaat yang besar banyak diperolehi
oleh kaum muslimin. Oleh yang demikian, di dalam masalah manfaat dan
mudharat ini, pertimbangan berdasarkan senario semasa perlu diambil
kira. Tahaluf Siyasi sebelum diputuskan hendaklah dipertimbangkan
semasak-masaknya oleh pakar politik dan ahli-ahli strategi.
KESIMPULAN
Di dalam
mendepani arus politik dunia pada hari ini, gerakan Islam perlulah bijak
mengambil manfaat daripada ruang dan peluang yang ada. Tahaluf siyasi
perlulah dilakukan dalam keadaan gerakan Islam mendapat keuntungan yang
maksimum dalam usaha untuk menegakkan agama Allah SWT. Bagaimanapun,
perlulah diingatkan agar penerangan demi penerangan hendaklah dilakukan
dari masa ke semasa khususnya kepada masyarakat awam agar tidak
terkeliru dengan langkah yang diambil.
Penyertaan
gerakan Islam dalam mana-mana kerajaan seharusnya dilakukan dengen
penelitian yang teliti terhadap senario politik setempat. Oleh yang
demikian, pimpinan gerakan Islam perlulah sentiasa prihatin dan sensitif
dengan perkembangan semasa serta kehendak masyarakat agar langkah yang
diambil tidak menyebabkan kerugian di mereka nanti.
Maklumat Penulis:
Ahmad Fadhli bin Shaari
B.A (Hons) Dakwah Islamiyyah, Univ. Al-Azhar, Mesir.
Penulis merupakan Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah
B.A (Hons) Dakwah Islamiyyah, Univ. Al-Azhar, Mesir.
Penulis merupakan Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah