Selasa, 11 Disember 2012

Pemimpin Terbaik Adalah Ulama



 
Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabat besar menjadi pemimpin @ ketua negara. Dan para sahabat yang menjadi pemimpin @ Khulafa' ArRaasyidin itu juga adalah ulama', pewaris nabi. Dan di kalangan mereka tiada yang jahil, kerana sudah tentu mereka adalah orang-orang alim dengan ilmu agama.

Oleh itu contoh terbaik untuk menjadi seorang pemimpin negara adalah seorang yang alim dengan ilmu agama. Kemudian penasihat-penasihatnya juga mesti alim dalam ilmu undang-undang, ilmu ekonomi, ilmu ketenteraan, ilmu sejarah dan macam-macam ilmu lagi yang bermanfaat.

Jika seorang pemimpin jahil itu sudi menerima teguran dan pendapat ulama', bolehlah tahan juga. Tetapi bagaimana jika pemimpin jahil tersebut tidak mahu mendengar teguran dan pendapat ulama? Malah ulama' pula yang ketakutan untuk menegur, kerana dikhuatiri hilang periuk nasi dan dipecat.  Dan hanya ulama yang betul-betul takut pada Allah saja yang berani menegur. Itu pun bukannya pemimpin jahil itu mahu mendengarnya.

Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda;- "Bahawasanya Allah s.w.t. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah s.w.t. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain."   (Hadith Riwayat Muslim)

Dari Sahl bin Saad as-Saaidi r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; ‘Ya Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya).” (Hadith Riwayat Ahmad)

Mungkin zaman sekarang ini sudah mendekati keadaan yang telah digambarkan oleh Rasulullah saw. ini. Masyarakat sudah agak jauh dari para ulama. Mereka takut mendekati para ulama, kerana khuatir perbuatan mereka akan ditegur. Orang tidak segan lagi membuat maksiat walau pun di hadapan orang yang tinggi akhlaknya. Kadang-kadang, sengaja perkara maksiat itu dibuat di hadapan para Ulama untuk menyatakan rasa ego dan sekaligus untuk menyinggung perasaan mereka. Golongan ini juga pandai bercakap dan sering memutar-belitkan kenyataan. Percakapan mereka begitu halus dan memikat orang lain pada hal hati mereka adalah hati harimau yang bersedia untuk menerkam dan memangsa musuhnya.

Daripada Anas r.a. dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, kelak, di akhir zaman, akan ada ahli ibadah yang bodoh dan para qari yang fasik.  (Hadith Riwayat Ibnu 'Adi).

Abdullah bin Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya akan terdapat (akan ada) orang-orang dari umatku yang pandai (amat faham dan ahli) tentang urusan agama dan membaca Al-Quran, mereka berkata:“Kami datang kepada para Raja (pemimpin), biar kami memperolehi keduniaan mereka dan kami tidak akan mencampurkan mereka dengan agama kami.” Tidak terjadi hal yang demikian itu, seperti (umpamanya) tidak akan dapat dipungut dari pohon yang berduri melainkan duri. Demikian pula, tidak akan dapat diambil manfaat dari mendekatkan diri kepada mereka itu melainkan beberapa kesalahan belaka. (Hadith Riwayat Ibnu Majah).

Sepertimana yang kita lihat sekarang lah, agama sudah diasing-asingkan dengan politik, maka menjadilah sekular. Dan malangnya, ada juga ulama' yang senang dan memperjuangkan sekular itu, na'uzubillah.

Pemimpin adalah contoh tauladan kepada yang dipimpin

Seorang pemimpin adalah 'role model' / contoh tauladan kepada orang-orang bawahan. Adalah sangat tidak bagus seorang pemimpin menunjukkan contoh yang buruk kepada rakyat. Usahkan soal-soal lain, kalau isteri sendiri pun tidak boleh dipimpin untuk menutup aurat dengan betul, bagaimana dia nak pimpin rakyat keseluruhannya?

Begitulah halnya dengan kesungguhan pemimpin mahukan Islam , terutamanya Undang-undang Islam agar tertegak. Jika pemimpin sendiri seperti tidak bersemangat untuk menegakkan Undang-undang Islam, bagaimana mahu rakyat semuanya bersemangat? Sedangkan Undang-undang Islam itu WAJIB dilaksanakan oleh pemimpin, bukannya sunat, harus, makruh dan sebagainya.

Pemimpin dalam solat,  tok imam, mestilah dipilih yang utamanya adalah orang yang alim dalam ilmu tajwid AlQuran.  Jika pincang bacaan imam, maka pincanglah dilihat jemaah tersebut.

Apa lagi dalam bab cara hidup manusia. Untuk kehidupan lebih baik dan diredhai oleh Allah, mesti dipimpin oleh orang yang berilmu tentang cara hidup mendapat keredhaan  Allah.

Ulama melihat dari kaca mata Islam, sedangkan orang jahil melihat dari kaca mata kepala otak sendiri semata-mata. Sedangkan manusia dicipta oleh Allah s.w.t, dan Islam adalah satu-satunya agama yang diredhaiNya.

Dan jika dah tahu diri ini jahil tentang agama dan selok-belok hukum hakamnya, tidak arif dengan ilmu Tauhid, Feqah, Madkhal Ulum Quran, AlQuran Mufassar, Musthalah Hadith dan sebagainya, tak payah lah bercita-cita atau gila nak jadi pemimpin, hanya kerana mahukan kemewahan dan kemegahan duniawi.
http://www.youtube.com/v/d61s4aIXFLI&fs=1&source=uds&autoplay=1