Ahad, 9 Disember 2012

Jangan Pilih Orang Fasik Jadi Pemimpin


Pilihan raya umum juga adalah medan untuk memilih pemimpin - daripada Perdana Menteri yang memimpin negara hinggalah ke Menteri Besar yang memimpin negeri. Jika tersilap pilih, kita dan negara akan menanggung bahananya.

Tentulah kita umat Islam yang menjadi majoriti penduduk Malaysia tidak mahu dipimpin oleh orang yang tidak beriman apatah lagi orang fasik dan munafik yang akhirnya akan menjadi gunting dalam lipatan yang menjahanamkan negara.

Seseorang yang beriman, agamanya adalah Islam kerana inilah agama yang Allah redai setelah agama-agama lain menyimpang daripada landasan tauhid. Maka pilihlah seorang pemimpin yang bukan sahaja mengaku beragama Islam, tetapi mengamalkan cara hidup Islam.

Tidak layak kita memilih pemimpin yang tidak menunaikan solat lima waktu, kerana inilah ibadat pokok. Dia juga mestilah berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji apabila cukup syaratnya. Secara mudah, jika seseorang itu tidak melaksanakan lima rukun Islam, maka carilah orang lain yang lebih layak sekalipun orang yang 'kurang Islam' itu bergeliga otaknya.

Si pemimpin juga mestilah mempunyai ciri-ciri ketakwaan iaitu tidak melakukan dosa-dosa besar seperti berzina, seks sesama jantina seperti umat Nabi Luth, rasuah, berjudi dan minum arak. Setelah dilihat memenuhi kriteria asas ini, maka bolehlah dinilai ciri-ciri lain yang bersifat universal dan tidak bertentangan dengan ajaran al-Quran serta sunah.

Sehubungan itu, kita wajib melihat kepada empat sifat utama Rasulullah iaitu benar; amanah; tabligh atau menyeru kepada kebaikan, dan bijaksana.

Jika seseorang itu suka berdolak-dalik, maka dia bukanlah seorang yang benar. Hari ini bercakap begitu, minggu depan cakap lain pula. Orang yang benar juga tidak memungkiri janji. Jika dia menjanjikan sesuatu, dia akan menunaikannya kecuali disebabkan ketentuan Allah yang di luar kekuasaan manusia untuk mengubahnya.

Orang yang bercakap benar juga tidak memutar belit percakapannya. Dia hendaklah bercakap berdasarkan kebenaran fakta. Dia tidak mengada-adakan perkara yang tidak wujud atau tidak benar semata-mata kerana mahu memperdayakan orang ramai supaya menyokongnya.

Mudah cakap, seseorang yang benar mestilah tidak bercakap bohong, tidak menipu dan tidak memungkiri janji. Bayangkan kesannya kelak jika negara kita dipimpin oleh seorang yang tidak benar. Lazimnya orang yang tidak bercakap benar juga tidak mempunyai sifat amanah.

Amanah yang dipikul oleh seorang pemimpin sangat besar dan berat. Jika seseorang benar-benar beriman, dia tidak akan meminta dirinya dipilih menjadi pemimpin. Andainya orang ramai mendesak dia menjadi pemimpin, dia akan menerima jawatan dengan rasa bimbang. Takut kalau-kalau tidak dapat memenuhi amanah yang dipikul.

Pada zaman Rasulullah, baginda tidak melantik orang yang kelihatan sangat ghairah berkehendakkan sesuatu jawatan. Dari Abu Musa katanya: ''Aku datang menemui Nabi( Muhammad ) bersama dua anak lelaki bapa saudaraku. Salah seorang daripada mereka berkata, Ya Rasulullah, angkatlah aku jadi Amir (pembesar) di salah satu daerah yang dikuasakan Allah kepada anda. Yang seorang lagi juga turut berkata seperti itu.

Jawab Rasulullah S.A.W: "Demi Allah, aku tidak akan mengangkat seseorang untuk memangku sesuatu jawatan, orang yang meminta-minta supaya dia diangkat, bahkan tidak pula orang yang mengharap-harap (bercita-cita) untuk itu." - (Sahih Muslim)


Pada hari ini keadaan adalah sebaliknya. Kebanyakan orang yang mahu menjadi pemimpin bukan sahaja melobi, tetapi sanggup merasuah, menipu, memfitnah dan melakukan

perbuatan yang jelas dilarang Allah. Malah pernah berlaku di Malaysia seorang ahli politik berjawatan tinggi didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan membunuh seorang musuh politiknya.

Apakah orang-orang yang tidak layak jadi pemimpin ini tidak diketahui perangai mereka oleh pemilih-pemilih jawatan? Mungkin sebilangan tidak diketahui kerana mereka adalah munafik yang pandai menyembunyikan sifat-sifat buruk daripada khalayak umum.

Tetapi percayalah, sebilangan lagi sangat diketahui umum. Persoalannya kenapa pilih mereka jika sudah mengenali hati budi mereka? Adakah sudah tiada lagi orang-orang baik yang layak dipilih? Atau orang-orang yang memilih memang berperangai sama seperti mereka.

Sungguh malang jika negara kita dilanda sindrom ketandusan pemimpin Islam. Jika berlaku, inilah tandanya rakyat negara ini sudah terlalu keduniaan. Mereka mencintai dunia melebihi akhirat yang Allah telah janjikan sebagai tempat yang jauh lebih baik dan kekal. Mereka juga tidak lagi mempedulikan amaran Allah SWT dalam Quran.

Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan (tidak percaya akan) pertemuan dengan Kami, dan merasa puas dengan dunia serta merasa tenteram dengan kehidupan itu dan orang-orang yang melalaikan ayat-ayat Kami, mereka itu tempatnya ialah neraka, disebabkan apa yang selalu mereka kerjakan. - Yunus (10): 7/8.

Pada hari ini, ramai yang mahu jadi pemimpin tanpa memikirkan bahawa di akhirat kelak mereka akan disoal terhadap apa yang mereka telah laksanakan. Mereka mahu jadi pemimpin hanyalah kerana berkehendakkan habuan dunia, sama ada dalam bentuk kekayaan, pangkat, kemasyhuran atau pengaruh.

Hanya orang tidak mengejar habuan dunia sahaja akan menerima sesuatu jawatan atas dasar untuk memenuhi harapan dan kepercayaan orang lain. Inilah asas kepimpinan dalam Islam.

Jika negara kita sampai ke peringkat sindrom ketandusan pemimpin yang layak, itulah tandanya bilangan rakyat Malaysia yang beriman semakin sedikit walaupun zahirnya bilangan umat Islam sangat ramai. Berdoalah supaya negara kita tidak sampai ke peringkat tiada lagi umat Islam yang layak jadi pemimpin. Tetapi bunga-bunga atau tanda kita akan sampai ke peringkat itu sudah ketara. Orang yang peribadinya jelas meragukan, disokong dengan penuh fanatik.

Sebilangan mereka yang menyokong ialah orang-orang yang mendakwa mereka pejuang agama Islam. Apakah di kalangan mereka ini sudah tiada lagi orang yang lebih layak untuk diangkat menjadi pemimpin sehingga mereka seolah-olah 'gila' menyokong orang lain yang dipaliti pelbagai keraguan?

Di antara mereka yang menyokong kuat orang yang tidak layak jadi pemimpin ini, ramai juga yang tidak lekang daripada mengungkapkan ayat-ayat Quran di khalayak umum. Apakah mereka sekadar membaca, tetapi tidak memahami apa yang dibaca? Atau mereka tidak nampak kebenaran kerana hati mereka sudah 'buta.' Barangkali mereka adalah golongan yang Allah perjelaskan dalam ayat Quran ini.

Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada. - Al Hajj (22): 4

BERDOA UNTUK KEHANCURAN MUSUH ISLAM (KAUM KAFIR + MUNAFIK + ZALIM + FASIK) ADALAH SELARI DENGAN AL QUR’AN.

HOT : AISHAH KATA MELAYU LINGKUP DIBAWAH UMNO...??