Isnin, 8 Februari 2021

Lidah Manusia Memang Luar Biasa

Lidah manusia memang luar biasa. Disebabkan lidah, mereka boleh selamat daripada api neraka dan mendapat amal paling baik.

Ini kerana dengan ‘kuasa’ lidah itu mereka dapat mengucap kalimah ‘la ilaha illallah’, dapat membaca al-Quran yang akan memberikannya syafaat pada hari akhirat kelak serta dekat dengan Nabi Muhammad kerana berpeluang berselawat ke atas baginda.

Bagaimanapun, gara-gara lidah juga boleh menyebabkan manusia memakan bangkai saudaranya, diazab di dalam kubur serta pahala amalan kebaikan mereka di dunia ini boleh ‘berpindah milik’.

Ia disebabkan mereka selalu mengumpat, mengadu domba, mencaci serta memaki hamun saudaranya orang lain.

Perbuatan mengumpat misalnya, diibaratkan sebagai memakan saudaranya yang sudah meninggal dunia. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan terbabit) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Bagi golongan Mukmin, mereka akan sentiasa menjaga tutur kata supaya tidak menyakiti orang lain. Sebolehnya, mereka berusaha untuk memberikan manfaat kepada orang yang berada di sekelilingnya.

Sebab itu, keimanan seseorang sangat berkait rapat dengan tingkah laku dan akhlaknya.

Abu Darda berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Amal yang menjadikan timbangan seorang Mukmin berat pada hari kiamat adalah akhlak mulia. Sesungguhnya Allah benci orang yang melampaui batas dan tidak bersopan santun.”

Abu Hurairah berkata, Rasulullah pernah ditanya mengenai hal yang paling banyak menyebabkan seseorang masuk syurga. Baginda menjawab: “Takwa kepada Allah dan berakhlak mulia.”

Kemudian Baginda ditanya pula mengenai hal yang paling banyak menyebabkan orang masuk neraka, Baginda menjawab: “Mulut dan kemaluan.” (Riwayat Bukhari, Ibnu Majah dan Ahmad)

Rasulullah selalu memohon kepada Allah supaya akhlaknya diperbaiki. Aisyah berkata, Rasulullah sering berdoa: “Ya Allah, sebagaimana Engkau menciptakanku dengan baik, maka perbaikilah akhlakku.” (Musnad Imam Ahmad: 3813)

Abu Tsa’labah meriwayatkan, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan paling dekat dengan aku di akhirat nanti adalah orang yang akhlaknya paling baik. Dan orang yang paling aku benci dan paling jauh dari aku di akhirat nanti adalah orang yang paling buruk akhlaknya iaitu orang yang banyak cakapnya dan dibuat-buat, orang yang berlagak pandai dan orang yang bercakap besar (sombong dan angkuh).” (Sunan Tirmizi: 2018, Al-Mu’jam at-Tabarani: 588, Musnad Imam Ahmad: 17278 dan 17289)