Rabu, 27 Januari 2021

Pentingnya Politik Dalam Islam




Betapa pentingnya peranan politik dalam Islam sehingga Rasulullah SAW meletakkan golongan pertama dalam kalangan manusia yang mendapat naungan Allah SWT di Padang Mahsyar ialah para pemimpin.

Golongan pertama yang beroleh naungan Allah SWT ialah seorang pemimpin yang memerintah dan mentadbir dengan adil mengikut petunjuk-Nya. Maka para sahabat RA menyambung tugas politik memimpin negara selepas Rasulullah SAW wafat, apabila terlebih dahulu mengadakan syura (bermesyuarat) bagi memilih pemimpin dengan makna kewajipan berpolitik. Hanya beberapa orang sahabat sahaja yang berada di tempat pengebumian Baginda SAW.

Politik Islam telah berjaya memimpin dunia sehingga beberapa abad memerintah negara yang paling besar dan paling majmuk, sehingga mencipta tamadun yang kemudiannya diciplak oleh tamadun Barat hari ini tanpa elemen hidayah Islam. Adapun kejatuhan umat Islam berlaku akibat kelekaan mereka yang meninggalkan ajaran Islam, sehingga menyebabkan mereka menjadi lemah dan dijajah.

Umat Islam wajib beriman bahawa al-Quran dan petunjuknya wajib ditegakkan sehingga Hari Kiamat, dan tidak harus ditinggalkan sekali-kali. Walaupun dalam keadaan umat Islam telah mengalami penyakit jahil terhadap agamanya sendiri disebabkan serangan pemikiran oleh penjajah, sehingga menyebabkan berlaku kesalahfahaman yang parah terhadap sebahagian ajaran Islam. Mereka hilang jati diri keIslaman, walaupun masih cinta dan yakin kepada Islam. Penyakit ini telah diberikan amaran oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:

“Tali yang mengikat teguh pegangan kepada Islam akan dirungkai satu demi satu. Maka setiap satu ikatan dirungkai, maka berselerakan penganutnya lalu berpegang dengan simpulan ikatan yang ada selepasnya. Perkara pertamayang dirungkai ialah hukum pemerintahan (politik) dan perkara yang terakhir dirungkai ialah solat (sembahyang). (Riwayat Ahmad 22160)

Umat Islam mengalami musibah dengan kehilangan kuasa politik sepenuhnya pada awal abad yang lalu, setelah kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyah kerana kelemahan dalaman umat Islam sendiri. Satu demi satu wilayah Islam dijajah dan merebaknya kejahilan agama.

Namun begitu, umat Islam tidak pernah menyerah kalah sehingga keseluruhannya mencapai kemerdekaan walaupun hanya pada namanya sahaja. Walau bagaimanapun, kesan serangan pemikiran masih bertapak dalam diri mereka, apabila wujud pemikiran paling beracun yang berusaha untuk menghapuskan kefahaman politik yang wajib ditegakkan.

Snouck Hurgronje, seorang tokoh orientalis yang berasal dari Belanda menegaskan bahawa tugas paling penting bagi menghadapi kebangkitan semula Islam ialah menghalang para ulama’ yang terus membawa ajaran menegakkan kembali Khilafah (politik).

Langkah ini ternyata apabila para ulama’ yang paling awal menentang campur tangan penjajah dan mengajar ajaran politik Islam, disingkirkan secara keras dan halus. Malahan ada dalam kalangan mereka yang dibunuh, dipenjara dan dibuang keluar dari tanah airnya. Bahkan ada yang dihapuskan daripada catatan sejarah.

Seterusnya mereka menyebarkan langkah ‘tasykik’ (meragukan dan menyebarkan rasa waswas) teradap ajaran Islam, khususnya kefahaman politik dengan menyamakan politik Islam dengan yang lain. Mereka meletakkan Islam dalam satu bakul bersama jenama lain dan beranggapan bahawa politik itu semuanya kotor, menipu dan berpolitikus (seperti tikus) yang merosakkan. Tindakan itu penting bagi menyenangkan mereka untuk berpolitik tanpa tentangan daripada umat Islam.

Pengaruh bisikan syaitan masih menghantui umat Islam khususnya generasi muda yang sepatutnya mewarisi perjuangan untuk menegakkan Islam.

Kita menyaksikan kebencian terhadap politik berlaku kerana terpengaruh dengan syaitan berwajahkan manusia, termasuk umat Islam sendiri yang digerakkan oleh dalang-dalang mereka. Pemikiran Islam dalam diri mereka tidak bermaya, khususnya dalam kalangan bangsa yang beragama Islam.

Hari ini di negara kita, dapat menyaksikan bahawa kaum Melayu yang beragama Islam paling lemah mendaftar untuk menjadi pengundi kerana berjaya dirasuk oleh syaitan-syaitan warisan penjajah dahulu. Dalam keadaan bangsa lain yang bukan Islam pula saling berlumba dengan mengambil peluang untuk merampas kuasa politik.

Ingatlah bahawa Allah SWT telah memberikan amaran melalui firman-Nya pada akhir Surah Muhammad:

“…Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) nescaya Dia (Allah) akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; dan setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu lagi.” (Surah Muhammad: 38)