Isnin, 25 Januari 2021

Menghalang Fungsi Masjid Bererti Meruntuh Masjid

Sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman dalam al-Quran al-Karim, ayat 114 surah al-Baqarah yang berbunyi:

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَاجِدَ اللَّهِ أَن يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ وَسَعَى فِي خَرَابِهَا أُوْلَئِكَ مَا كَانَ لَهُمْ أَن يَدْخُلُوهَا إِلاَّ خَائِفِينَ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَلَهُمْ فِي الآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalang daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut / mengingati nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.”

Para mufassirun atau ulama-ulama tafsir khilaf (berselisih pendapat) dalam menyatakan sebab nuzulnya atau sebab turunnya ayat 114 surah al-Baqarah di atas. Mengikut riwayat al-Kalbi daripada Ibnu Abbas katanya, ayat ini bersempena dengan serangan Putlos iaitu seorang Maharaja Rom ke atas Masjid al-Aqsa, masjid itu dirobohkan supaya orang-orang Yahudi tidak dapat beribadat kepada Allah, malah kaum lelakinya dibunuh, kaum perempuan dan kanak-kanak ditawan, manakala kitab Taurat dibakar. Masjid yang dibinasakan itu diganti kepada tempat pembuangan bangkai dan penyembelihan babi. Sejarah peleburan ini sangat terkenal di dalam sejarah bangsa Yahudi, mereka mengenangnya sehingga ke hari ini.

Mengikut satu riwayat yang lain daripada Qatadah, sebab turun ayat ini bersempena dengan serangan Bukhtanasar (Nebuchadnezzar), orang-orang Parsi dari Babylon ke atas Masjid al-Aqsa di mana rumah Allah itu dibakar hangus. Yang demikian itu sebagai pembalasan di atas kekejaman bangsa Yahudi membunuh Nabi Yahya bin Zakaria. Itulah sebabnya Allah mengeji, tiada siapa yang lebih zalim dari mereka yang membinasakan Masjid al-Aqsa ini.

Mengikut riwayat Ibnu Abbas dalam satu riwayat yang lain pula, ayat ini bersempena dengan tindakan yang dilakukan oleh orang-orang kafir Makkah yang menghalangi Nabi Muhammad ﷺ bersembahyang, berumrah dan mengajar agama (berdakwah) di sana. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-6 selepas hijrah. Sekatan ini akhirnya menghasilkan suatu perjanjian damai yang terkenal dinamakan “Sulh al-Hudaibiyyah”.

Mengikut Ibnu Arbi di dalam kitabnya Ahkam al-Quran, yang dimaksudkan masjid dalam ayat di atas ialah segala jenis masjid kerana lafaz dalam ayat ini adalah umum, tidak dikhususkan kepada spesifikasi masjid yang tertentu sahaja, dan tidak juga terbatas kepada sesuatu zaman. Walaupun ayat ini sebab nuzulnya dijelaskan oleh ulama tafsir, tetapi mengikut kaedah hukum yang berdasarkan kepada Usul Tafsir iaitu pengajaran diambil daripada lafaznya yang umum, bukan daripada sebabnya yang khusus.

Yang dimaksudkan dengan mengingati Allah di sini seperti yang dinyatakan oleh al-Syawkani dalam Fathu al-Qadir dan beberapa mufassirun (ahli-ahli tafsir), termasuk di dalamnya bersembahyang, membaca al-Quran, berzikir, beriktikaf, mengajar dan belajar agama di dalam masjid termasuk di dalam ayat ini. Justeru, meruntuhkan masjid itu bukan dengan makna merobohkan fizikal bangunannya sahaja, tetapi juga mengandungi erti perbuatan meruntuhkan tujuan-tujuan masjid itu dibina kerananya, umpamanya menghalang manusia melakukan ketaatan kepada Allah. Hal ini berdasarkan kepada apa yang dilakukan oleh Abu Jahal kepada Nabi Muhammad ﷺ, di mana Abu Jahal menghalang Nabi ﷺ beribadat di masjid, menghalang Baginda mengajar dan menerangkan hukum agama di dalam masjid.

Oleh kerana itu, menjadi amalan kepada Nabi ﷺ dan para sahabatnya, tidak melarang orang mengajar agama di dalam masjid. Apabila dilihat seseorang yang diragui mengajar agama di dalam masjid dan bimbang kalau mengajar perkara yang tidak benar, dia perlu dipanggil dan disoal siasat tentang apa yang diajarkannya. Kalau apa yang diajar itu perkara yang benar, dia tidak boleh dihalang dan dicegah. Barang siapa yang mencegah orang yang mengajar adalah hukuman yang termasuk dalam meruntuhkan masjid dan mencegah manusia daripada mengingati Allah di dalamnya.

Termasuk juga dalam mencegah manusia mengingati Allah dalam masjid ialah mereka yang mengunci masjid kononnya untuk menjaga keselamatan masjid. Jaga keselamatan masjid bukan cara menutupnya dari kunjungan manusia. Jaga keselamatan masjid ialah dengan menghidupkan masjid itu dengan zikrullah serta melakukan kerja-kerja kebajikan yang ada hubung kaitnya dengan kegiatan masjid. Boleh jadi ada orang yang berkata, sekiranya masjid itu tidak dikunci nanti ia akan dimasuki penagih dadah, pencuri dan seumpamanya. Sebab berlaku begitu kerana kita merasakan Islam itu hanya di masjid sahaja.

Satu kekeliruan apabila umat berfikir Islam hanya di dalam masjid. Antara sebab lain kekeliruan ini ialah kerana di luar masjid, Islam tidak dilaksanakan, dengan sebab itu hubungan antara masjid
dengan luar masjid tidak dapat diselaraskan. Mengapa orang yang melakukan kejahatan suka masuk ke dalam masjid untuk melakukan kejahatan? Ini kerana di luar masjid berjalan undang-undang jahat yang tidak berlandaskan kepada hukum Allah, sebab itulah huru-hara boleh berlaku dalam masjid dan di mana-mana sahaja.

Kita mestilah mengetahui bahawa hukum agama Allah ini bukan sahaja dilaksanakan dalam masjid, tetapi juga di luar masjid. Yang menjadi kacau-bilau hari ini kerana kita bimbang kalau-kalau masjid diganggu kerana kita tidak melaksanakan Islam di luar masjid. Apabila Islam tidak dilaksanakan di luar masjid, maka berlakulah perkara yang tidak selaras dalam masalah keselamatan masjid sehingga kita membuat undang-undang sendiri dan undang-undang yang bercanggah dengan al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad ﷺ.

Kita hendaklah memhami bahawa yang dikatakan memakmurkan masjid itu ialah seperti yang disebut oleh Allah di dalam firman-Nya:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ...

“Sesungguhnya hanya yang memakmurkan masjid itu ialah sesiapa yang beriman dengan Allah (dalam erti kata yang sebenarnya)...” (surah al-Taubah, ayat 18)

Bukan dalam makna yang tidak sebenar iaitu beriman dengan sebahagian sahaja daripada ajaran Allah dan yang sebahagian lagi tidak beriman. Orang yang beriman sebahagian sahaja daripada ajaran Allah tidak layak untuk memakmurkan masjid. Disebut ayat berikutnya iaitu mereka yang beriman dengan hari akhirat {وَالْيَوْمِ الآخِرِ}. Orang yang memakmurkan masjid ialah orang yang percaya kepada hari akhirat bukan sebaliknya, dan mereka yang mendirikan solat {وَأَقَامَ الصَّلاةَ}. Iaitu orang yang mendirikan solat inilah orang yang memakmurkan masjid. Orang itu mestilah mendirikan solat, kalau kerajaan, kerajaan itu hendaklah mendirikan solat juga.

Apa makna kerajaan mendirikan solat? Makna memakmurkan masjid ialah kerajaan yang jemaah menterinya dan ketua-ketua negaranya menunaikan solat lima waktu, bukan solat sunat hari raya dan solat Jumaat sahaja. Mereka juga hendaklah menjalankan undang-undang yang memerintah supaya orang mengerjakan solat. Kalau dalam negara itu tidak ada undang-undang demikian serta menghukum orang yang tidak solat, maka tidak dinamakan pemerintah yang mendirikan solat. Kerajaan seperti itu tidak layak untuk memakmurkan masjid.

Dan juga ciri terakhir ialah mengeluarkan zakat {وَآتَى الزَّكَاةَ}. Orang yang memakmurkan masjid ialah orang yang menunaikan zakat. Apa kena mengena memakmurkan masjid dengan menunaikan zakat? Orang yang menunaikan zakat ini ialah orang yang tahu tanggungjawab harta bendanya dengan menunaikan zakat mengikut hukum-hukum agama yang ditetapkan Allah dan Rasulullah ﷺ.

Mereka juga tidak takut dengan kuasa-kuasa lain selain daripada Allah {وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللَّهَ}. Inilah hakikat sebenar erti memakmurkan masjid termasuklah memakmurkan negara.

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS).