Ahad, 30 September 2018

PAS terbuka muafakat dengan Umno bentuk k'jaan perpaduan

PAS mempertimbangkan kemungkinan membentuk muafakat dengan Umno dan parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi menubuhkan kerajaan perpaduan, kata Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Ya, (PAS akan) tengok keadaan. UG (kerajaan perpaduan) ialah satu konsep menggabungkan semua (parti-parti politik)," katanya memberitahu sidang media selepas hadir Perhimpunan Agung Umno 2018 di Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau ditanya jika PAS berharap dapat membentuk kerajaan perpaduan antara ketiga-tiga parti itu selepas Presiden Umno dilaporkan berkata akan menjalin kerjasama dengan parti-parti HARAPAN.

"Saya tengok beliau fokus kepada dua benda besar, yang pertama sekali pemulihan Umno, kedua muafakat politik dalam blok pembangkang yang ada.

"Jadi ia sentiasa terbuka, konsepnya hampir sama dengan PAS, kita pun sentiasa terbuka kepada apa yang baik untuk negara dan masa depan kita bersama," kata Tuan Ibrahim.

Namun, Tuan Ibrahim berkata PAS belum mendengar apa-apa mengenai kerajaan perpaduan dengan parti pemerintah Pakatan Harapan.

Menurut anggota parlimen Kubang Kerian itu lagi PAS lebih memfokuskan kepada muafakat pembangkang dan belum sampai ke tahap menubuhkan kerajaan perpaduan.

"Yang kita (PAS) fokus ialah dalam konteks muafakat parti pembangkang di Malaysia... bukan dalam konteks wujud gabungan parti dengan parti.

"Saya fikir dalam PRU yang lalu pun Umno bantu Pas, dan kita bantu dalam konteks muafakat memperkasa blok pembangkang. "Tapi situasi buat masa ini rasa belum dengar daripada parti pemerintah," katanya.

MR : Terlalu awal nak ulas, tapi kalau orang yang berfikiran kehadapan memahami apa yang diperkatakan oleh PAS tentang masa depan PH dan Anwar yang melibatkan UMNO dan Mahathir. Tunggu analisis daripada kami...

............oo000oo...........
      MINDARAKYAT