Sabtu, 30 Jun 2018
Pencapaian 50 Hari PAS Terengganu Tunai JanjiDilaksana
2 ) Janji 2 : Lot Tapak Rumah/1 Unit Kediaman (Pasangan Berkahwin)
3 ) Janji 5 : Karnival Kahwin Percuma
4 ) Janji 8 : Air percuma 20 Meterpadu untuk golongan miskin
5 ) Janji 17 : Menghapuskan cukai pintu kediaman
Ke Arah Melaksana
6 ) Janji 4 : Pemberian RM300 untuk lesen motosikal yang layak
7 ) Janji 7 : Wujud semula IPT Islam negeri megantikan KUSZA
8 ) Janji12 : Kad sejahtera RM500 setahun
Ini 8 daripada 20 janji PAS Terengganu semasa PRU14 lepas.
#SejahteraBersamaIslam
Kredit : Move On Malaysia
Rabu, 27 Jun 2018
Menjawab Ucapan “Semua Agama Adalah Sama”
Tidak sedikit orang berkata “Semua agama sama”. Dewasa ini ucapan seperti ini kerap kali disebut dikalangan masyarakat samada dari kalangan bukan Islam atau di kalangan muslim sendiri.
Fahaman sebegini sebenarnya adalah fahaman yang baru dan ia tidak berlaku pada zaman dahulu. Ia muncul dari dua kelompok iaitu golongan apatisme dan juga golongan pluralis liberalisme.
Golongan apatisme adalah golongan yang tidak (atau malas?) berfikir tentang agama dan mereka hanya fokus kepada hal keduniaannya sahaja dan mereka bukanlah orang yang berlatar belakang memahami kerangka agama. Kebanyakkan dari kalangan mereka hanya bercakap berdasarkan andaian mereka sahaja. Jika ditanya kepada mereka adakah mereka sudah membaca kesemua kitab agama dan memahami semua agama sehingga mencapai konklusi bahawa semua agama adalah sama? Sudah tentu tidak, melainkan ia adalah ucapan dari andaian dan sikap yang malas berfikir tentang ketuhanan.
Manakala golongan pluralisme pula mereka membawa metod hak kebebasan melangkaui agama. Mereka meletakkan elemen simpati (hak kebebasan dan pembelaan kepada manusia) yang Tuhan tidak akan menghukum manusia di atas perbezaan itu. Bagi mereka terjadinya agama-agama di dunia ini juga merupakan kehendak Tuhan dan tidak salah untuk mereka beragama kerana kesemuanya akan menuju kepada Tuhan yang sama kerana semuanya adalah ciptaan Tuhan.
Ternyata fahaman ini tidak memahami realiti kronologi agama itu sendiri. Sememangnya Tuhan menurunkan agama tetapi hanya terdapat satu-satunya agama yang Tuhan redhai. Fahamkah kita bagaimana sikap orang mengubah-ubah ajaran agama Tuhan itu sehingga menjadi sebuah ajaran yang jauh menyimpang dari ajaran asal? Adakah bila terdapat seorang penipu yang terkenal mendakwa dirinya adalah seorang rasul dan dia membawa agama. Tergamakkah ingin mengatakan bahawa agama yang dia bawa itu juga diredhai oleh Tuhan walau sudah jelas dia adalah menipu? Sudah tentu tidak.
Islam Satu-Satunya Agama Dijamin Tuhan
Al Quran adalah kitab wahyu dari Tuhan yang bebas dari penyelewengan. Seluruh dunia membaca versi al Quran yang sama. Ia adalah wahyu yang terakhir membimbing manusia akhir zaman. Tidak ada satu pun kitab agama sebelum al Quran yang memiliki ayat jaminan bahawa ia adalah satu-satunya agama diredhai oleh Tuhan kecuali di dalam al Quran.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” (Surah Ali Imran: 19)
“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Ali Imran: 85)
Adalah pelik jika seorang muslim boleh mengunkap kata-kata bahawa semua agama adalah sama. Malah jika diperhatikan di dalam al Quran, Allah menceritakan keadaan ahli kitab dikalangan Yahudi dan Kristian serta orang-orang yang menyembah berhala, setelah dibentangkan bukti dan kebenaran dihadapan mereka dan jika mereka menolak, mereka akan dibalas dimasukkan ke dalam neraka:
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk.” (Surah al Bayyinah: 6)
Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud:
“Demi zat yang jiwa Muhammad ditangan-Nya. Tiada seorang-pun dari umat ini yang mendengar seruanku, baik Yahudi mahupun Nasrani, tetapi ia tidak beriman kepada seruan yang aku sampaikan, kemudian ia mati, pasti ia termasuk penghuni neraka”. (Hadits Riwayat Muslim no.153 dalam kitabul Iman)
Lebih Teruk Dari Arab Jahiliyyah
Jika dilihat di dalam sejarah, ungkapan “semua agama adalah sama” ini tidak pernah diungkap oleh orang-orang terdahulu. Jika mahu dibandingkan dengan sikap orang arab Jahiliyyah pun tidak mengungkap perkataan itu kerana mereka tahu terdapat perbezaan diantara agama mereka dengan agama yang dibawa oleh nabi Muhammad.
Jika tidak mereka tidak akan menentang dakwah nabi Muhammad. Malah antara tawaran yang mereka berikan kepada Nabi Muhammad dengan harapan untuk ‘meredakan’ usaha dakwah nabi adalah dengan dibahagikan selang sehari bertukar-tukar tuhan untuk disembah. Contoh pada hari ini, mereka menyuruh nabi Muhammad bersama mereka untuk menyembah tuhan mereka manakala keesokan hari pula mereka semua akan menyembah Allah dan begitu bergilir kepada hari berikutnya.
Hasil dari itu turunlah surah al Kafiruun yang menerangkan bahawa masing-masing tidak menyembah tuhan yang sama dan masing-masing tidak beribadat dengan cara yang sama, agamamu untukmu dan agamaku untukku.
Ini menunjukkan sejahil orang arab jahiliyyah juga memahami bahawa terdapat perbezaan diantara agama yang mereka anut dengan agama yang dibawa oleh nabi Muhammad. Akan tetapi pada hari ini begitu boros sekali ungkapan ini kerap disebut oleh orang muslim yang sudah jelas kepada mereka tentang ajaran al Quran yang memisahkan diantara kebenaran dan kebatilan.
Kesimpulan
Perkataan “semua agama sama” adalah kalimah yang tidak patut menjadi ucapan dikalangan masyarakat yang beragama. Kerana jika diambil sikap sebegitu hakikatnya ia adalah sikap seorang tidak beragama langsung.
Ada beza diantara perkataan “Semua agama menganjurkan berbuat baik” dengan “Semua agama membawa ke syurga”. Jika perkataan pertama itu ia boleh dibincangkan lagi akan tetapi jika perkataan “Semua agama menyembah Tuhan yang sama, atau semua agama menuju ke syurga” itu adalah ucapan seseorang yang tidak memahami agama langsung. Jika seseorang itu beragama dan percaya kepada keimanan ajarannya pasti tidak akan terkeluar perkataan ini kerana realitinya tidak sebegitu.
Malah hal ini juga pasti diakui oleh penganut agama lain mengikut kepercayaan mereka bahawa agama mereka juga tidak sama dengan agama lain. Malah dengan wujudnya perbezaan itu tidak semestinya tidak boleh bertoleransi. Ia adalah soal keimanan yang masing-masing memiliki keyakinan dan hujah. Maka persembahkanlah hujah itu jika kita berada di pihak yang benar seperti dianjurkan oleh al Quran:
Katakanlah “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”. (Surah al Baqarah: 111)
R&D Team Multiracial Reverted Muslims
Jumaat, 15 Jun 2018
“LEBIH BAIK BUKAN ISLAM YANG BERAMANAH DARIPADA MUSLIM YANG KORUP" - Pernyataan yang perlu diluruskan
Pada pemerhatian saya, sejak pasca PRU14 pernyataan “lebih baik bukan islam yang beramanah daripada muslim yang korup” sering digunakan dalam kalangan netizen pro Pakatan Harapan (PH) di media sosial bagi mengabsahkan beberapa tindakan kerajaan melantik orang bukan Islam ke jawatan “sensitif” dalam kabinet dan terkini ialah jawatan Peguam Negara (AG).
Sebelum mereka perlu lebih jauh, saya ingin membuat sedikit muhasabah bahawa pernyataan demikian walaupun ada asas kebenarannya daripada segi prinsip keadilan Islam tetapi ia bukanlah suatu kaedah syarak, prinsip usul fiqh atau kaedah fiqh yang standard boleh digunakan secara meluas dalam menetapkan hukum.
Berdasarkan telaah saya, pernyataan itu mula menjadi popular dengan sedikit pindaan, sebenarnya berasal daripada penegasan Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah (661-728 H) dalam kitab al-Hisbah. Beliau membicarakan tentang keadilan pegawai kerajaan seperti dalam nukilan berikut :
الجزاء في الدنيا متفق عليه أهل الأرض، فإن الناس لم يتنازعوا في أن عاقبة الظلم وخيمة، وعاقبة العدل كريمة، ولهذا يروى: "الله ينصر الدولة العادلة وإن كانت كافرة، ولا ينصر الدولة الظالمة وإن كانت مؤمنة"
“Balasan di dunia memang disepakati oleh semua manusia. Mereka tidak pernah berbalah betapa akibat kezaliman (yang dirasai) adalah teruk manakala akibat keadilan (yang diperolehi) adalah kemuliaan. Justeru itu, terdapat riwayat menyebut “Allah akan menolong negara yang adil walaupun kafir dan tidak akan membantu negara yang zalim walaupun mukmin (Islam)”
Kata-kata Ibn Taimiyyah itu betul dalam konteks kesejahteraan hidup rakyat di DUNIA berjaya dikecapi dalam negara bukan Islam jika menepati ciri-cirinya. Orang kafir yang baik juga berhak mendapat kesenangan dan keamanan di dunia ini jika mentadbir dengan baik. Hal ini turut dinyatakan dalam sebuah riwayat Muslim, Rasulullah SAW pernah bersabda :
إن الله لا يظلم مؤمنا حسنة، يعطى بها في الدنيا، ويجزى بها في الآخرة، وأما الكافر فيطعم بحسنات ما عمل بها لله في الدنيا، حتى إذا أفضى إلى الآخرة لم تكن له حسنة يجزى بها. رواه مسلم
“Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seorang mukmin walaupun untuk satu kebaikan. Dia akan memberikannya di dunia dan mengganjari kebaikan itu di akhirat. Manakala orang kafir, diberikan (kenikmatan) dengan pelbagai kebaikan yang dia buat di dunia ini demi Allah sehingga sampai ke akhirat kelak, tiadalah baginya ganjaran balasan nanti”.
Natijah daripada amalan keadilan, kebaikan dan perancangan kemas yang dilakukan oleh pemimpin kafir akan mendatangkan hasil positif kepada rakyat jelatanya kerana sunnatulLah terhadap alam adalah seperti itu. Manusia yang baik sentiasa disukai manusia tanpa mengira agama. Amru bin al-As, yang menjadi gabenor Mesir zaman Umar al-Khattab juga memahami hal yang sama.
ولما سمع عمرو بن العاص المستوردَ بن شدادَ يحدث عن النبي صلى الله عليه وسلم بقوله: تقوم الساعة والروم أكثر الناس. قال له عمرو: أبصر ما تقول؟ فقال المستورد: أقول ما سمعت من رسول الله صلى الله عليه وسلم. فقال عمرو: لئن قلت ذلك؛ إن فيهم لخصالا أربعا: إنهم لأحلم الناس عند فتنة، وأسرعهم إفاقة بعد مصيبة، وأوشكهم كرة بعد فرة، وخيرهم لمسكين ويتيم وضعيف، وخامسة حسنة جميلة وأمنعهم من ظلم الملوك. رواه مسلم.
Apabila beliau mendengar sebuah hadis daripada al-Mustawrid bin Syidad, bahawa Rasulullah SAW bersabda “Akan berlaku kiamat semasa rakyat Rom ramai”. Amru memohon penjelasan daripada kata-kata al-Mustawrid. Beliau menjawab itu hadis yang didengar daripada Rasulullah SAW. Kata Amru, jika kamu berkata demikian, (benarlah) kerana mereka (orang Rom) mengamalkan empat ciri iaitu golongan paling tenang ketika kekacauan, paling bingkas bangkit selepas bencana, paling pantas tegak selepas kekalahan, berbuat baik kepada orang miskin, anak yatim dan orang lemah. Ciri kelima yang baik cantik dan paling tegar menentang kezaliman raja”.
Amru mendedahkan beberapa faktor kekuatan kerajaan pimpinan Hercules, maharaja Rom sebagai motivasi kepada tentera Islam agar melakukan hal sama apatah lagi kemuliaan Islam dan janji Allah bakal menjadi ciri keenam yang melebihkan mereka daripada tentera Rom.
Kembali kepada kata-kata Ibn Taimiyyah itu, ia tidak lain kecuali suatu kritikan “keras” terhadap pemimpin kerajaan Mamlukiyyah yang lemah, zalim dan korup sehingga mudah dikalahkan tentera Tatar. Jatuh bangun ummah terletak pada tangan mereka. Apatah lagi zaman itu, negara-negara Islam menghadapi serangan tentera Salibiyyah (Perancis). Kejatuhan umat Islam adalah berpunca daripada kefasadan pemerintah Islam, yang menyebabkan kesengsaraan pada rakyat Damsyik.
Mentashihkan salahfaham!..
Di sini, saya menegaskan bahawa objektif pernyataan “Allah akan menolong negara yang adil walaupun kafir dan tidak akan membantu negara yang zalim walaupun mukmin (Islam)” merupakan satu muhasabah kepada umat Islam agar cakna tentang politik yang adil dan mempastikan pemerintah mereka dalam kalangan muslim yang tidak korup. Ia bukanlah sejauh seperti yang difahami oleh netizen hari ini dalam kata-kata mereka “bukan Islam yang amanah lebih baik daripada muslim yang korup)” sehingga membelakangkan calon muslim lain yang adil dan cekap. Jika benar kepercayaan mereka, sudah tentu Ibn Taimiyyah akan mewar-warkan pernyataannya sebagai hujah untuk melakukan reformasi politik zaman beliau. Sedangkan realitinya kerajaan Mamlukiyyah terus diterajui oleh sultan dan pemempin beragama Islam.
Dengan rendah hati, saya ingin menegur para netizen agar berhati-hati.Pernyataan tersebut TIDAK SEWAJARNYA digroomed secara meluas dan “terbuka” kerana beberapa faktor :
i. Skop perbincangan kelayakan memimpin dalam hukum fiqh adalah dalam konteks pemimpin Islam, bukannya bukan Islam. Hal ini mencakupi hujah ayat 28 surah al-Qasas tentang sifat al-qawiyy al-amiin yang masih mengutamakan nilai iman dan taqwa.
ii. Percanggahannya dengan petunjuk (dalalah) nas syarak yang lebih muhkam, qat’iy dan jelas yang mana menyeru umat Islam saling mendokong kepimpinan mereka antara satu sama lain.(Al-Anfal : 72 ; Al-Taubah : 71).
iii. Tidak sejajar dengan penglibatan bukan Islam pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan pemerintahan khulafa’ al-Rasyidin. Amalan itu berlaku dalam konteks kepakaran yang diperlukan dalam hal-hal baharu diterokai oleh kerajaan. Bukan Islam tidak diletakkan dalam kondisi sebagai ‘policy maker’ bersama pemimpin Islam lain.
iv. Perbezaan dalam sistem politik semasa. Memang orang bukan Islam diangkat ke jawatan besar pada zaman Umayyah dan Abbasiyyah. Namun dominasi khalifah dalam kerajaan bersifat mutlak dan perlantikan atau perlucutan jawatan mereka tertakluk sepenuhnya kepada beliau. Keadaan masa kini berbeza dengan sistem politik di zaman Umayyah dan Abbasiyyah berbentuk monarki, khalifah menjadi khalifah secara warisan dan jemaah menteri bukan dilantik oleh rakyat dalam PRU.
v. Nas-nas yang mengecam kezaliman perlu difahami dalam konteks yang betul. Iaitu arahan agar semua pemimpin dan umat Islam mengikut kapasiti tanggungjawab masing-masing bagi mempastikan pelbagai kemaslahatan rakyat terbela. Sekiranya mampu, rakyat wajib menggantikan pemimpin yang jahat, zalim dan fasiq dengan pemimpin lain yang baik, adil dan warak. Kemampuan tersebut perlu selari dengan ruang yang disediakan oleh sistem politik zaman sestiap zaman.
Akhirul kalam…
Kerajaan yang adil semestinya meletakkan semua manusia pada satu taraf sosial yang sama dalam bermuamalah (menguruskan kehidupan sosial), menyerahkan tugas dan jawatan kepada calon yang berkelayakan di samping tidak mengamalkan diskriminasi terhadap bangsa, keturunan, bahasa dan budaya tanpa pertimbangan sepatutnya. Perlantikan bukan Islam sebagai menteri kewangan dan peguam negara lebih tepat diletakkan dalam bidang kuasa SIASAH SYAR'IYYAH* Perdana Menteri. Wallahu a’lam.
Ruang lingkup keadilan sangat luas meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Kerajaan mesti bertindak dengan adil sama ada terhadap penyokong kerajaan dan juga pembangkang. Dalam menghadapi pembangkang, kerajaan tidak boleh menganiaya atau menafikan hak mereka, walaupun wujudnya permusuhan. Perbezaan pandangan itu tidak menjadi faktor kerajaan tidak berlaku adil kepada mereka. Kerajaan juga perlu menjamin keadilan dalam negara. Sebarang anasir berbentuk pemikiran, idea, tindakan dan kegiatan yang menyalahi prinsip keadilan seperti semangat perkauman, anti sesuatu bahasa dan membenci minoriti Islam tidak boleh diterima dan mesti dihapuskan.
Muhasabah INI TIDAK SAMA SEKALI bertujuan menentang setiap keputusan kerajaan. Ia tidak lebih daripada nasihat yang baik daripada rakyat marhaen. Mohon maaf jika berlaku khilaf kefahaman.
Dr. Mohd Hapiz Mahaiyadin
*Isu perlantikan bukan Islam dlm kerajaan telah saya bahaskan sebelum ini.