Khamis, 5 Oktober 2017

*FASTAQIM, SATU METHOD YANG BERANI DAN BERSIFAT MEREMPUH*

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

1) Himpunan Fastaqim 2.0 dilihat berjaya merekrut ratusan ribu ahli dan penyokong PAS turun berhimpun menjayakan program-program yang dirancang. Bilangan kehadiran yang diperdebat samada puluhan ribu atau ratusan ribu, itu isu lain.

2) Saya katakan Fastaqim 2.0 adalah method yang berani, dikala hampir semua parti politik dalam negara semakin kurang bernafsu untuk membuat perhimpunan besar, kerana fenomena media sosial dan kelesuan generasi muda untuk berhimpun.

3) Hatta perhimpunan besar seperti Bersih juga kelihatan sukar untuk dilakukan ketika ini. Bukan tidak boleh, tetapi penganjurnya akan teragak-agak kerana bimbang jumlahnya tidak besar - pasti merobek semangat dan menjadi bahan ketawa. Sepatutnya Bersih perlu adakan satu lagi himpunan besar sebelum pilihanraya, kerana pilihanraya sudah dekat, dan tuntutan Bersih terdahulu tidak ditunai sepenuhnya. Apakah SPR sudah bersih imejnya di mata penganjur Bersih dan sekutunya?

4) Nyata tidak mudah untuk gembeling crowd besar ketika ini, tetapi Fastaqim berjaya dari segi pengajuran. Menang atau kalah pilihanraya, itu isu lain. Fastaqim bukan sahaja medan untuk PAS memperlihatkan sokongan sebagai perang psikologi terhadap lawan-lawannya, malah ia menjadi medan menguji keteguhan ahli yang sanggup bersusah payah menghadirinya, serta menjadi satu medium pemimpin menyampaikan maklumat dan bertemu ahli.

5) Di zaman media sosial yang rancak hari ini, siapa lagi yang mahu buat ceramah mega begitu, sedangkan orang boleh tengok live youtube, facebook dan sebagainya. Jika ada pun tentu kerusi lebih banyak daripada orang hadir. Hal inilah yang membuatkan ceramah-ceramah umum semakin kurang, sekalipun untuk menyampaikan maklumat.

6) Rafizi yang suka membuat pendedahan pun tidak berani untuk menganjur ceramah umum kerana bimbang audiens tidak ramai. Sebab itu beliau agak genius, menggunakan medium Facbook live untuk menyampaikan maklumat. Beliau berjaya memanfaatkan teknologi yang ada untuk mengatasi masalah. Tak perlu anjur ceramah, cukup sekadar duduk dalam rumah untuk membuat pendedahan. Dari segi penyampaian maklumat, ia berkesan.

7) Sama seperti Umno/BN, menggunakan jentera media massa untuk menyampaikan maklumat dan propaganda. Ia berkesan dari segi penyampaian maklumat.

8) Tetapi Fastaqim bukan sekadar menyampaikan maklumat. Ia merangkumi perang psikologi, penyampaian maklumat dan menguji keteguhan ahli serta penyokong sekaligus. Ia adalah perhimpunan yang berani dan merempuh halangan kelesuan generasi muda serta media sosial. Dari segi moral, PAS telah berjaya memberi mesej kepada umum bahawa mereka telah bersedia menghadapi PRU14 bersendirian seperti yang dilaung-laungkan. Tidak ada kecelaruan dan perebutan kerusi. Ready to move.

Sekian, semoga berjaya.