Khamis, 21 September 2017

Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) telah gagal.

Program untuk nak mengurangkan beban rakyat dengan janji rakyat boleh mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang lebih murah antara 30% - 50% dengan mewujudkan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M)  telah gagal. Terbukti ianya hanya  satu program atas nama rakyat tetapi dimonopoli oleh pemilik kontrak pengendali KR1M, Mydin Mohamad Holding Bhd. Juga objektif untuk menjadikan KR1M sebagai tempat bagi pemasaran hasil dari industri kecil dan sederhana ( IKS) tak berlaku sama sekali. Monopoli bekalan barangan adalah milik Mydin Mohamad Holding Bhd!

Bukan setakat harga barangan yang tiada beza malah sebahagiannya lebih mahal dari harga pasaran, kualiti barangan juga sangat mengecewakan. Antara rungutan yang biasa saya dengar ialah susu pekat yang tak pekat dan sabun basuh baju yang tak membersihkan baju. Kesian rakyat yang dimomokkan dengan barangan murah, realitinya bukan setakat tak murah malah tak berkualiti sama sekali. Biasa juga kita dengar rungutan bahawa KR1M adalah Mydin yang menyamar atas nama rakyat.
Monopoli dalam perniagaan tentunya akan memangsakan pengguna.

Apakah pihak berkuasa KPDNKK ketika membuat perancangan mewujudkan KR1M tak nampak dengan senario yang bakal berlaku ini? Setelah lebih kurang 6 tahun beroperasi, akhirnya 185 KR1M seluruh negara yang diwujudkan secara berperingkat bermula  tahun 2011 ditutup bermula Isnin lepas. Walau Menteri bertanggungjawab menyatakan penutupan ini hanya sementara untuk penambahbaikan, tetapi penutupan secara besar-besaran ini mengambarkan seriusnya masalah yang melanda KR1M.

Matlamat nak mengurangkan beban rakyat adalah murni. Silapnya kerana kerajaan tak melihat masalah ini dari punca dan pokok permasalahan yang utama. Mustahil para Menteri tak diberikan nasihat oleh penasihat-penasihat ekonomi tentang bagaimana kesan berantai kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat boleh berlaku. Punca yang paling utama ialah kenaikan harga minyak. Di sinilah bermulanya nadi pergerakan ekonomi. Setiap kali kenaikan harga minyak pastinya disusuli dengan kenaikan harga barangan keperluan harian. Setiap kali harga minyak naik, air mata rakyat akan jatuh.

Naik turun harga minyak setiap minggu di Malaysia sudah tak ada teori ekonomi yang mampu menjelaskannya. Ketika harga minyak dunia naik, harga minyak kita naik. Ketika harga minyak dunia turun, minyak kita tak turun. Malah ketika harga minyak dunia turun, harga minyak kita boleh naik! Kesan berantai ekoran kenaikan harga minyak kepada peningkatan kos sara hidup telah berlaku secara menyeluruh. KR1M hanyalah angan-angan penyelesaian berbentuk picisan yang tak kesampaian. Penyelesaian yang tak berpijak pada realiti sebenar punca masalah.

Sekumpulan gajah liar telah mengganas memusnahkan kebun pisang milik penduduk yang terletak di tepi hutan. Membekalkan penduduk dengan anak pisang harga murah untuk ditanam semula bagi mengantikan kebun pisang yang musnah bukan penyelesaian masalah. Nanti gajah liar akan datang mengganas lagi. Lebih menyedihkan bila anak pisang yang kononnya murah rupanya tak berkualiti. Punca masalah iaitu gajah liar ini perlu ditangkap dan dipindahkan ke lokasi yang jauh dari penduduk. Kemudian barulah bekalkan anak pisang untuk ditanam semula. Jangan lupa bekalkan yang berkualiti kerana rakyat bukannya bangsat!

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
21 September 2017