*Catatan Khas: Tragedi Memali, Luka Lama Yang Belum Diubati*
(Nota: Sila baca dengan penuh sabar dan tenang kerana artikel ini sepanjang 4200 patah perkataan)
1. Rentetan daripada kekecohan yang berlaku dalam program Nothing to Hide 2.0, kisah dukaTragedi Memali bergema kembali.
Tun Dr Mahathir gagal menjawab soalan yang dikemukakan tetapi sekalian juak penyokongnya bersorak bertepuk tangan tatkala beliau berkata mangsa Memali yang dibunuh itu adalah kerana mengikut SOP Polis.
Apa pendirian terkini Mat Sabu dan Mahfuz Omar terhadap kenyataan Tun Mahathir ini.?
Bukankah kamu berdua dahulu antara yang paling lantang mengecam kezaliman Tun Dr Mahathir dalam hal ini.?
Oh, demi impian ke Putrajaya, semua itu sudah dilupakan.
Tun Dr Mahathir kini dinobat sebagai negarawan dan bakal calon PM 2.0 oleh PH.
2. Tuan Guru Presiden PAS turut mengulas mengenai isu Memali ini. Antaranya beliau menyebut;
"Namun ramai yang melempar batu menyembunyikan tangan dalam mengulas isu sejarah hitam ini. PAS hanya menyebut pepatah Arab yang berbunyi:
"Dia yang memukul saya, dia pula yang menangis. Dia yang menzalimi saya, dia pula yang mengadu"
Tiada guna mengungkit cerita lama sejarah hitam itu tanpa bertaubat dan meminta maaf sekiranya bersalah, dan tanpa membetulkan keadaan dengan membayar yang perlu dibayar dan mengganti yang perlu diganti."
3. Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim pula menyatakan PAS mendesak agar satu Suruhanjaya Diraja diwujudkan bagi menyiasat semula tragedi Memali bagi memberikan keadilan kepada semua pihak dan membersihkan nama-nama mereka yang tidak bersalah.
4. Tragedi Memali adalah sejarah hitam yang tidak akan dapat dipadamkan daripada sejarah negara pada era pentadbiran ala diktator oleh Tun Dr Mahathir. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) iaitu tahanan tanpa bicara digunakan sewenangnya oleh Tun Dr Mahathir terhadap musuh politik UMNO.
Almarhum Ustaz Ibrahim Libya dibunuh bersama 13 lagi muridnya manakala 4 orang anggota polis turut terkorban dalam tragedi yang berlaku pada 19 November 1985.
Kerajaan telah membentangkan Kertas Putih Memali iaitu Kertas Perintah 21 Tahun 1986 di Parlimen bagi menjelaskan apa yang berlaku dalam Tragedi Memali mengikut versi Kerajaan.
5. Pada 12 Mac 2002, Almarhum Ustaz Dato' Fadzil Bin Md Noor yang pada ketika itu bergelar Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Pendang telah memperjelas dengan panjang-lebar isu Tragedi Memali ini ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Parlimen.
Ucapan Almarhum Ustaz Fadzil itu agak panjang iaitu selama 4 jam beliau berucap. Rakaman video suasana perbahasan yang hangat itu boleh ditonton di youtube. Begitu menarik sekali kerana kita dapat lihat kemampuan Almarhum menjawab persoalan sekaligus menangkis gangguan yang dibuat oleh Ahli Parlimen BN.
6. Berikut adalah sebahagian intipati utama Ucapan Almarhum Ustaz Fadzil berpandukan Penyata Rasmi Parlimen (Handsard) yang bertarikh 12 dan 13 Mac 2002;
a) Malangnya saya katakan tadi, negara-negara ketiga termasuk Malaysia mengambil kesempatan daripada isu terrorism ini, isu keganasan untuk bertindak ke atas penentang-penentang politik mereka termasuk di negara kita.
RTM menggunakan kesempatan untuk memburukkan Taliban dan dikaitkan dengan PAS, keganasan Taliban dikaitkan dengan PAS. Saya tidak hendak membela Taliban kerana kami PAS tidak ada hubungan apa-apa dengan Taliban. Tetapi adilkah RTM?
Adilkah Menteri Penerangan dan Setiausaha Parlimen, budaknya, memberi gambaran buruk tentang Taliban kerana menyekat kebebasan wanita. Kemudian dikaitkan disiarkan dalam gambar yang sama perhimpunan PAS, Muktamar PAS, apa hubungan muktamar PAS dengan Taliban?
Kalau tidak mempunyai niat yang jahat untuk membuat fitnah.
Kita tidak pernah membalas keganasan dengan keganasan apa lagi hendak memulakan keganasan.
b) Ada orang PAS yang dibunuh, kita tidak bertindak balas. Bangunan PAS dipecahkan kita tidak bertindak balas. Dipukul, disepak dan diterajang, kita tidak bertindak balas. Malah kita commit dengan perjuangan yang berdasarkan kepada Islam dan memenuhi ciri-ciri demokrasi.
c) Kemudian, apabila mereka melihat isu Taliban bukan merupakan isu yang tajam untuk memusnahkan PAS, mereka memilih pula klip video Memali.
Video Memali
– peristiwa yang berlaku 17 tahun yang lalu – fitnah Memali itu begitu berat ditanggung oleh PAS, yang melibatkan terkorbannya seorang alim, seorang ulamak serta murid-muridnya dan wanita yang menjadi balu dan anak-anak yang menjadi yatim.
Atas nasihat polis juga, permintaan polis, dia kata, PAS janganlah lagi mengadakan hari-hari peringatan peristiwa 19 November 1985 di Memali. Kita akur dengan permintaan itu. Selepas itu PAS tidak pernah lagi mengadakan hari-hari peringatan Memali. Saya akan bercerita tentang perkara ini.
Tiba-tiba RTM menghidupkan semula, kerajaan menghidupkan balik. Membuka semula luka yang sudah berparut. Fitnah yang sudah tidur digerakkan semula oleh UMNO. UMNO hendaklah takut kepada ancaman yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah sabdanya: [Membaca sepotong hadis] "Fitnah itu tidur, Allah melaknat siapa yang menggerakkan, mengejutkan fitnah yang sedang tidur."
d) Siapa yang membangkitkan semula fitnah Memali ini.? UMNO.
Ini dua orang yang bertanggungjawab, Menteri Penerangan, Setiausaha Parlimennya, budak ini.
Yang kedua-dua mereka ini ada masalah. Menteri Penerangan ada kes dalam penyiasatan BPR atas pendakwaan yang dibuat oleh wakil rakyat Besrah, yang dia masih menyimpan lagi sembilan dokumen tentang tingkah laku dan salah laku, penyelewengan yang dilakukan oleh Menteri Penerangan waktu dia menjadi Menteri Besar Pahang. Mana punya harta itu?
Apakah dengan perbuatannya menyiarkan semula klip video Memali itu akan menutup kesalahan-kesalahannya.
Ini orang yang bermasalah, morally dan legally. Dari segi undang-undang, dari segi moral, dia seorang yang bermasalah.
e) Kemudian, buatlah klip video Memali, ini fitnah. Apa tujuan kalau tidak hendak memburukkan Ibrahim Libya rahimallah dan hendak mengaitkan PAS dan memburukkan PAS. Ini menyalahi akhlak Islam. Tetapi saya tujukan kepada Menterinya dan Setiausaha Parlimennya. Setiausaha Parlimennya sahabat baik, belajar sama dengan saya dahulu tetapi dia belajar sekerat jalan dia lari keluar. Dia berhenti. Yang ini saya baru kenal, kenal-kenal sudah teruk sudah. Ini tidak ada akhlak.
Orang yang sudah mati dicerca sedangkan Nabi kita bersabda, [Membaca sepotong hadis] yang bermaksud:
“Sebutlah kebaikan-kebaikan orang yang sudah mati dari kalangan kamu”. Bukan sahaja kalangan orang Islam, orang yang tidak Islam pun, Rasulullah melarang menyebut keburukan mereka.
Dalam satu peperangan bagaimana apabila peperangan itu berhenti ada di kalangan sahabat yang mencerca beberapa orang pemimpin-pemimpin musyrikinnya yang mati, Nabi melarang mereka, jangan kamu cerca mereka. Cercaan itu akan menyakiti hati keluarga mereka. Itu terhadap orang yang bukan Islam, musuh. Ini terhadap orang Islam, seorang alim, dicerca begitu rupa, tidak ada akhlak.
Ini orang yang hendak mengendalikan Kementerian Penerangan yang hendak membentuk pemikiran rakyat, orang yang tidak berakhlak macam ini.
Biarlah Perdana Menteri buat reshuffle Kabinetlah.
f) Ibrahim Libya, dia seorang pendakwah bekerja di Pusat Islam, di bawah Syeikh Ahmad Awang - Ustaz Ahmad Awang - dan dia diakui sebagai pendakwah yang terbaik di Kuala Lumpur, di Wilayah Persekutuan pada waktu itu. Dia mempunyai kelulusan dan kelayakan, pulang ke kampung untuk mendidik orang-orang kampung dan mendidik ahli PAS, pernah bertanding dalam pilihan raya. Dia memimpin murid- muridnya. Dia bersyarah, memang dia seorang ahli pidato yang baik yang dapat menarik ramai peminat.
Akhirnya dia menubuhkan sekolah agama, mendidik anak-anak muridnya dan keluar bersyarah di mana-mana. Kemudian kerajaan membuat keputusan untuk menahan dia di bawah ISA. ISA adalah satu akta yang zalim. Dan kita dari dahulu mengatakan ISA sebuah akta yang zalim walaupun kerajaan bangga kononnya Amerika pun hendak ikut cara Malaysia hendak menggunakan ISA. Bangga apa?
Kalau orang ikut cara kita yang tidak baik, banggakah?
Kita berbangga kalau perkara yang kita buat itu baik, adil, saksama, orang ikut, baru kita berbangga.
Kalau undang-undang yang ada pada kita undang-undang yang zalim, undang-undang yang tidak adil, undang-undang yang tidak baik, orang hendak ikut, kita banggakah?
Bolehkah seorang perompak bank mengatakan dia berbangga kerana ada orang lain yang mahu ikut jejak langkah dia menjadi perompak? Banggakah ini? Ini fikiran.
g) Dia tidak mahu menyerah diri dia, itu sahaja. Dia tidak mahu menyerah diri dia. Dan saya pada waktu itu sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah. Setelah hampir dua tahun dia macam dikongkong, ditahan, dikepung di kampung dia sendiri, saya mengambil daya usaha untuk menemui Ketua Polis Negeri Kedah, Dato’ Abdul Aziz Hashim nama dia.
Saya berbincang dengan dia dan dihadiri bersama oleh Ketua Cawangan Khas Negeri Kedah pada waktu itu. Pada waktu itu, dia belum Dato’ lagi. Nama dia Abdul Aziz Hashim yang telah meninggal dunia. Saya berbincang dengan Ketua Polis Negeri Kedah. Saya kata: “Dato, Ustaz Ibrahim ini sudah hampir dua tahun dia dikepung, dia tidak boleh keluar. Di mana dia pergi, polis tahu dia hendak pergi, polis sudah tunggu berates-ratus orang. Jadi, dia macamlah ditahan di bawah ISA juga walaupun dia tidak ditahan.”
Saya kata, “Tidak bolehkah Dato’ tengok keadaan pun sudah tenang, apa salahnya Dato’ membuat satu perakuan kepada Menteri Dalam Negeri, Dato’ Musa Hitam pada waktu itu, supaya menarik balik waran penangkapannya di bawah ISA. Biar dia hidup bebas macam orang lain juga.”
Panjang saya berbincang dengan Ketua Polis Negeri Kedah ini. Saya Nampak dia macam bersetuju dan dia mengatakan kepada saya, “Saya akan fikirkan”. Saya harapkan dia menulis, tetapi peristiwa 19 November telah berlaku.
Saya tidak pasti sama ada dia telah menulis atau tidak menulis.
h) Peristiwa ini berlaku adalah kerana tekanan-tekanan UMNO. Ini adalah kenyataan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Radzi. Dalam satu kenyataan Radzi Syeikh Ahmad yang pada waktu Peristiwa Memali, beliau menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri dan waktu beliau memberi kenyataan ini, beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri Perusahaan Utama, ketika perebutan berlaku dalam UMNO dalam pemilihan pada tahun 1987 yang kemudiannya diikuti dengan “Operasi Lalang”.
Dalam pada itu katanya, desakan supaya polis dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan menyekat kegiatan PAS yang ekstremis, juga disuarakan di Perhimpunan Agong UMNO pada bulan September 1985 oleh dua orang wakil negeri Kedah iaitu Yusof Rahman yang juga telah meninggal dunia, bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah, dan Haji Abdul Manaf Ahmad yang sekarang menjawat sebagai Timbalan Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Menurutnya dan juga atas desakan daripada Ketua UMNO Bahagian Baling yang juga telah meninggal dunia iaitu Haji Saroji Harun, juga pernah menjadi Ahli Parlimen Baling, menurutnya atas desakan dua orang wakil di Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1985, beliau telah pergi ke Baling dan menemui ahli-ahli jawatankuasa UMNO bahagian yang berkenaan; turut dianggotai oleh setiausaha politik Dato’ Seri Sanusi Joned iaitu Bahadur Shah ikut sama dalam rombongan itu.
Mereka desak dan terus mendesak supaya satu tindakan diambil. Apabila balik ke Kuala Lumpur, saya pun menyampaikan hasrat mereka kepada Dato’ Musa. Atas desakan UMNO!
i) Persoalan yang saya selalu bangkitkan dan pimpinan PAS selalu bangkitkan:
Apakah kesalahan Ibrahim Libya yang membolehkan dia dibunuh?
Apa jenayah yang dia lakukan? Tidak ada sebarang rekod jenayah yang dilakukan oleh Allahyarham Ibrahim Libya. Dia tidak merompak harta benda orang, dia tidak merogol anak isteri orang, dia tidak mencabuli kehormatan orang dan tidak pernah membunuh orang. Dia tidak pernah menggelapkan wang rakyat, wang kerajaan. Tidak ada wang PPRT yang digelapkan, yang diselewengkan oleh Ibrahim Libya sebagaimana pemimpin UMNO melakukannya.
Apa alasannya dia dibunuh? Tidak ada alasan. Syarie pun tidak ada alasan, undang-undang negara pun tidak ada alasan untuk membunuh atau menembak dia.
j) Waktu selepas peristiwa itu Kerajaan Negeri Kedah memanggil Ahli-ahli Dewan Rakyat, Parlimen, Dewan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan untuk mendengar satu taklimat yang diberikan
oleh polis negeri Kedah mengenai peristiwa Memali. Saya pada waktu menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri dan saya menghadiri taklimat itu yang disampaikan oleh Pengarah Cawangan Khas Negeri Kedah pada waktu itu, iaitu Encik Nor Aziz Hashim. Dia memberi tiga sebab kenapa Ibrahim Libya diambil tindakan...
Ini penting untuk catatan sejarah.
Dia memberi sebab antaranya dia mengatakan bahawa pertama, kerana Ibrahim Libya memberi perlindungan kepada aktivis-aktivis komunis dalam kawasan perumahan.
Yang kedua, Ibrahim Libya mempunyai senjata-senjata yang merbahaya.
Yang ketiga, saya tidak pasti mungkin tuduhan mengatakan Ibrahim Libya membina kubu dalam kawasan rumahnya yang kemudian apabila Ketua Polis Negara yang bercuti belajar di London pulang, iaitu Tan Sri Haniff pergi melawat ke tempat itu, akhbar melaporkan, Haniff bertanya, "Di mana kubu?
Adakah pongsu yang dianggap kubu?"
Selepas Pengarah Nor Aziz memberi taklimat, saya bangun menyoal, saya kata "Mana dia kenyataan kerajaan dan kenyataan polis menunjukkan di antara mereka yang ditangkap itu aktivis komunis? Mana dia?" Mana dia senjata-senjata?
Dia tidak boleh menjawab.
Tidak ada – tidak ada aktivis komunis, tidak ada senjata, tidak ada kubu. Tetapi ada juga di antara polispolis hutan - waktu itu nama Polis Hutan lagi, sekarang baru tukar nama PGA, nama 'hutan' sudah tidak ada lagi. Ada juga di antara mereka yang datang menemui pimpinan PAS mengatakan kami menyesal kerana kami diberitahu yang kami hendak serang dan kami hendak bunuh itu ialah komunis.
Ada seorang konstabel polis nama Jaafar, dia telah meninggal dunia, dia datang bertemu dengan Yusuf Hussin, sahabat baik dan orang kanan Ibrahim Libya sebab Yusuf Hussin dibebas daripada tahanan ISA, dia datang membawa sebilah pisau yang diambil di rumah Ibrahim Libya, pisau kecil untuk memotong daging. Dia datang menyerahkan pisau itu kepada Yusuf dan minta Yusuf lakukan apa yang hendak lakukan kepada dia kerana dia telah terlibat dalam peristiwa Memali.
Yusuf kata kalau kamu menyesal, kalau kamu merasa kamu bersalah, marilah ikut aku berceramah atas pentas PAS beritahu kepada orang ramai katakan kamu minta maaf kepada keluarga yang terkorban.
Dia kata "Kalau saya buat begitu dalam servis habislah kerja saya."
Yusuf kata "Kalau kamu tidak buat begitu aku tidak boleh buat apa-apa."
Ini berlaku. Kepada RTM saya minta, ini Menteri Penerangan, Setiausaha Parlimennya boleh pergi jumpa Yusuf Hussin di Alor Setar atau di rumahnya di Baling, di Memali boleh tanya dia, dia masih hidup.
Ini kenyataan daripada bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri yang menyebutkan UMNO mendesak-mendesak dalam Perhimpunan Agung UMNO, dalam perjumpaan-perjumpaan, UMNOlah bertanggungjawab.
k) Sebab itu saya menyoal apa kesalahan yang dilakukan oleh Ibrahim Libya yang dia berhak dibunuh, yang dia layak dibunuh –tidak ada!
Dan kematian empat anggota polis pun tidak diketahui siapa yang sebenarnya menembak mereka, sebab tidak ada bedah siasat dibuat untuk menentukan peluru mana yang masuk ke dalam tubuh mereka, peluru siapa?
Sebab itu, saya minta dua orang Menteri Penerangan dan Setiausaha Parlimen jumpa Yusof Hussin, orang kanan yang bersama Ibrahim Libya yang masih hidup pada hari ini.
Soal siapa tembak siapa, ini sebab itu saya kata panggil Yusof, Yusof yang menyaksikan perkara itu, jumpa dia, apa payah sangat hendak jumpa dia, leceh sangatkah hendak jumpa dia, dia orang miskin, dia orang kampung, tidak boleh jumpa dia, kalau hendak mencari kebenaran. Dia yang tengok, dia yang ada pada waktu itu.
l) Apa erti untuk menangkap Ibrahim Libya pergi dengan satu angkatan macam hendak memerangi musuh, lengkap dengan senjata, lengkap dengan sub machinegun, lengkap dengan M16, dengan kereta kebal, dengan kereta meriam. Ini mengingatkan kita macamlah juga peristiwa untuk menangkap Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada malam 20 September 1998 yang lalu, tiga tahun yang lalu.
m) Berdakwah. Ada pelbagai bentuk sekatan yang dibuat oleh kerajaan bukan satu sekatan, bukan semua 'duat', para 'duat' itu diambil tindakan seperti diambil tindakan terhadap Ibrahim Libya.
Ada banyak sekatan-sekatan lain dibuat termasuk sekatan-sekatan melalui ceramah. Tetapi Ibrahim Libya kerana beliau tidak mahu menyerah diri di bawah akta yang zalim, itu sahaja.
Dan ini tidak boleh dilibatkan dengan PAS. Ada pemimpin PAS yang dikeluarkan waran untuk ditangkap di bawah ISA dan mereka ditangkap dan PAS tidak melarang mereka untuk mereka membiarkan diri mereka ditangkap tetapi kita membuat bantahan kemudian.
Tetapi Ibrahim Libya, tetapi dia hanya sendiri, tidak mahu menyerahkan dirinya, apakah kalau dia tidak mahu menyerahkan dirinya di bawah ISA, dia dijatuhkan hukuman bunuh?
Bila mahkamah lain menjatuhkan hukuman yang dia layak dibunuh.
n) Mengenai dengan fatwa. Ini saya hendak menceritakan, kami waktu itu pimpinan PAS Kedah, telah menemui Majlis Fatwa Kedah apabila Majlis Fatwa Kedah memanggil kami.
Kami pergi, dan kami berbincang dengan Majlis Fatwa Kedah, kami memberi pendapat kami tentang kematian Ibrahim Libya. Pada waktu itu Majlis Fatwa hanya mendengar pandangan kami dan tidak menjawab dan tidak menolak hujah-hujah yang kami berikan. Kemudian Majlis Fatwa membuat satu ruling.
Sebab itu kami tidak membangkitkan lagi perkara itu. Kami menerima, kami tidak mengadakan sambutan peringatan seperti yang dikatakan tadi, hari peringatan, kami memberhentikan sambutan hari peringatan dan kami menerima apabila Majlis Agama yang dititahkan oleh Tuanku Sultan Kedah untuk menukar batu-batu nisan di perkuburan Ibrahim Libya dan murid-muridnya – kami menerima.
o) Tuan Yang di-Pertua, saya ingin memberi penjelasan tentang perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat bagi Arau tadi mengenai dengan apakah RTM menyiar sapenuhnya gambar-gambar yang dirakamkan di Memali. Itulah yang kita minta, kita minta supaya kalau RTM hendak menyiarkan klip video Memali, siarkan dengan adil, jangan hanya mengambil bahagian-bahagian daripada peristiwa itu kemudian diulas untuk menyokong mereka, untuk kepentingan mereka.
Kenapa tidak disiarkan satu gambaran yang sangat menyayat hati?
Sebab itu saya meminta supaya Menteri Penerangan dan Setiausaha Parlimen berbincang dan menemubual, merakamkan kenyataan daripada Yusof Husin, orang kanan Ibrahim Libya yang menyaksikan peristiwa yang berlaku. Kejadian yang tidak digambarkan dalam klip video yang difitnahkan dan di propaganda oleh RTM ialah dimana dalam peristiwa itu, ketika Allahyarham Ibrahim Libya ditembak, dari depan, dari kiri dan dari kanan.
Saya menyaksikan mayatnya, saya menyaksi mayat Allahyarham Ibrahim Libya di rumah mayat di Hospital Sungai Petani, apabila saya pergi ke sana selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah ditangguhkan pada tengah hari. Dia memang ditembak di bahagian depan.
Mengikut apa yang diterangkan oleh Yusof Husin ini, apabila Ibrahim Libya ditembak dan dia jatuh, isterinya memangku di bahagian kepala Ibrahim untuk mengingatkan dia supaya dia melafazkan kata-kata Lailahaillallah.
Sementara ibunya yang sudah tua dan bapanya yang sudah tua memangku di sebelah kiri dan sebelah kanan. Ketika itu mengikut Yusof, Ibrahim hanya boleh melafazkan kalimah Allah, lah, tiba-tiba datang sekumpulan polis menyeret tangan isterinya dan ibu bapanya. Dengan keras menyeret tangan mereka yang sedang memangku tubuh suaminya dan anakanak mereka dan anak mereka diseret oleh polis, dibiarkan Ibrahim terlentang seorang diri. Keganasan ini kenapa tidak ditunjuk, kenapa tidak digambarkan, kenapa disembunyikan?
Ini sebab saya katakan tidak ada akhlak, tidak amanah, tidak jujur kecuali membuat fitnah dan membangkitkan fitnah yang sudah tidur. Allah melaknat orang menggerakkan fitnah yang sedang tidur. Saya ulangi hadis [Membaca sepotong hadis], fitnah itu tidur kata Rasulullah, Allah melaknat orang yang membangkitkannya.
p) PAS tidak ada peluang untuk menjawab, berbulan-bulan RTM menyiarkan daripada peristiwa Taliban sambung dengan Memali, berbulan-bulan. Kenapa Majlis Fatwa Kebangsaan berdiam diri pada waktu itu? Seolah-olah sengaja membiarkan RTM menyiarkan dan bila hampir Persidangan Parlimen, kita tidak diberi peluang untuk menjawab. Bila kita hendak mengadakan majlis ceramah untuk memperjelaskan, kita diserang oleh polis. Barulah Majlis Fatwa Kebangsaan membuat kenyataan meminta semua pihak memberhentikan percakapan dan apa juga bentuk berkenaan dengan peristiwa Memali. Adilkah ini?
Adilkah ini? Adilkah kalau satu kumpulan perompak merompak rumah kita dan mengambil habis harta benda kita, tiba-tiba apabila tuan rumah itu bangun dengan keluarganya untuk menentang, perintah dikeluarkan: “Berhenti semua tindakan!” Adakah adil? Perompak telah merompak habis harta benda, kita hendak membantah, tidak boleh, kita hendak menentang tidak boleh.
Adilkah? Saya bukan tidak menghormati Majlis Fatwa Kebangsaan, saya menghormati Majlis Fatwa Kebangsaan, tetapi biar Majlis Fatwa Kebangsaan bertindak dengan adil. Kenapa larangan itu tidak dibuat di waktu awal RTM membuat siaran ini, berbulan bukan sehari dua.
Pada hari Persidangan Parlimen baru-baru ini waktu saya hendak pulang, saya sempat bertanya dengan Setiausaha Parlimen, “Kementerian Penerangan, adakah lagi klip video Memali?” “Ada lagi.”.
Saya kata, “Bagus, siar!” Sebab rakyat, rakyat sudah bosan dan mual dan benci. Apa mereka fikir rakyat akan menyokong mereka dengan cara fitnah begitu? Membongkarkan perkara-perkara yang sudah lama dan memang RTM menjadi sindrom, menceritakan perkara-perkara lama termasuk filem-filem lama, tak ada idea baru.
q) Saya minta adil. Kita bersedia untuk patuh, terima pandangan. Semalam saya pun beritahu orang surat khabar kerajaan berhenti dahulu, tetapi beri peluang kepada kita untuk memberi penjelasan, kemudian kita akan berhentikan. Kita pun sudah lama berhenti tidak bercakap soal isu Memali ini dan suasana masyarakat pun sudah pulih.
Apa tujuannya, kalau tidak untuk fitnah. Apa lagi perancangan yang hendak dibuat untuk menghapuskan imej PAS. Apa lagi konspirasi yang hendak dibuat, apa lagi yang difikirkan oleh Jeneral Maulud yang bertempat di Putrajaya itu untuk merancang, untuk membuat sesuatu, untuk menghancurkan PAS dan parti Pembangkang, apa lagi?
Trak polis sudah dibakar, video Memali sudah disiar, Taliban sudah disiar, apa lagi yang hendak dibuat? Kami tiada tempat untuk mengadu, hendak berjumpa dengan Menteri berkenaan, tidak bersedia hendak berjumpa, hanya kami mengadu kepada Allah. Itulah tempat untuk mengadu.
Jadi hendak beritahu, itulah tempat pengaduan kami orang-orang PAS, hanya kepada Allah.
Sebab itu, bagi kami tiada tempat untuk kami mengadu melainkan kepada Allah. Munajat kami, doa kami, solat hajat walaupun ditempelak oleh UMNO, apa PAS buat solat hajat, Allah tidak terima. Mereka harus faham, Allah tidak akan menolak doa orang yang dizalimi. Penerimaan itu bergantung dalam pelbagai corak. Ini harus dibaca. Mungkin hukuman Allah itu tidak turun serta merta dan ianya berlaku dalam pelbagai bentuk dan cara.
r) Selepas peristiwa Memali dan pembunuhan Allahyarham Ibrahim Libya, kami melihat perpecahan mula berlaku dalam UMNO. Timbalan Presidennya, Timbalan Perdana Menterinya pada waktu itu meletakkan jawatan, krisis UMNO berlaku dalam tahun 1987, ramai orang-orang UMNO yang tersingkir, pemimpin UMNO yang tersingkir datang meminta kasihan belas daripada PAS.
Kami tidak menyimpan perasaan dendam termasuk Ahli Parlimen bagi Jelebu yang sekarang menjawat jawatan Menteri yang mengumumkan dia telah membakar jambatan, sekarang dia merangkak semula dan menjadi pengancam,kenyataan-kenyataannya sentiasa mengancam PAS, mengugut PAS lalunya dialah menagih simpati daripada PAS. Perpecahan dalam UMNO berlaku berterusan sampai hari ini.
Ini satu daripada bentuk azab, ‘Iqab’. Malapetaka yang berlaku dalam negara kita, bencana yang berlaku dalam negara kita, musibah yang menimpa negara kita, isu penambakan laut oleh Singapura. Ini satu musibah yang sedang dihadapi oleh negara kita. Dalam hadis menyatakan bahawa satu musibah yang ditimpakah oleh Allah adalah disebabkan kemaksiatan yang dilakukan oleh hambaNya.
s) Pendirian saya sudah tetap mengenai isu Memali satu kezaliman yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO atas desakan Parti UMNO.
Tentang kedudukan Ibrahim Libya, syahid atau tidak syahid, pendirian PAS Kedah, saya menyatakan, sewaktu kita bertemu dengan Ahli-ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah, kami menyatakan pendirian kami menyokong pendirian yang diambil oleh penduduk tempatan di Kampung Parit Panjang bahawa Ibrahim Libya adalah syahid. Kami mempertahankan pendirian kami.
Di depan Ahli Majlis Fatwa dengan hujah-hujah kami bersandarkan kepada kitab-kitab rujukan kami yang muktabar. Di antaranya ialah kitab Fiqah, As-Shafie, Khalyubi dan Ummairah dan kitab Fiq Hambali yang ditulis oleh seorang ulama dalam mazhab Hambali iaitu Ibnu Khudamah dalam kitab Al-Mughuni. Tetapi apabila Majlis Fatwa mengeluarkan kenyataan dan mengeluarkan keputusan, kami tidak lagi memperbesarkan isu itu…..
t) Mereka yang menyangkal Majlis Fatwa yang menafikan, Majlis Fatwa yang berlainan, merekalah yang bertanggungjawab untuk menggali semula kubur itu dan memandikan Ibrahim Libya, menyembahyangkan jenazahnya dan mengapankan. Itu kewajipan mereka. Bukan kerja PAS, bukan tugas PAS. Tugas UMNO untuk mendesak Majlis Fatwa bagi membuktikan kebenaran fatwa mereka, lihat.
Saya, waktu kami pimpinan PAS telah bertemu dengan Majlis Fatwa, kami minta supaya Majlis Fatwa pergi melihat tempat kejadian itu sebelum mengeluarkan fatwa. Tetapi itu semua tidak dilakukan. Tetapi kami akur kemudian. Sebab itu sebagaimana saya katakan tadi, bahawa apabila Majlis Agama Islam Negeri Kedah membuat keputusan atau titah Tuanku Sultan Kedah untuk menukar batu nisan, kami terima. Kami akur, tidak apalah, saya bagi tahu kepada sahabat-sahabat di Memali, terima, Ini perintah Tuanku, Sultan yang memerintah. Kita terima Tuanku Sultan Kedah.
u) Saya hendak ceritalah bagi jelas supaya masyarakat boleh dengar, ini catatan sejarah, rekod.
Tuanku Sultan Kedah ini bukan sebarang Sultan. Seorang yang lembut budi bahasa, halus budi bahasa dan sangat bersopan santun. Tinggi pekertinya. Baginda berangkat menziarahi perkuburan Allahyarham Ibrahim Libya dan murid-muridnya di Kampung Parit Panjang.
Ini menunjukkan Ibrahim Libya bukan penjenayah.
Bukan penderhaka. Bukan bughah dalam istilah Islam. Kita tidak hendak menyeret Baginda dalam perbahasan ini. Tetapi hendak membuktikan, menunjukkan bukti empirical.
v) Soalnya, saya telah menyatakan tadi, Ibrahim Libya tidak bersedia menyerahkan dirinya kerana dia hendak ditahan di bawah ISA, satu akta yang zalim sebab itu dia tidak bersedia hendak menyerahkan diri kepada ISA. Polis hendak memeriksa dia, menyiasat dia dengan menggunakan ISA. Itu yang dia tidak boleh terima. Tetapi kalau kerajaan hendak menyelesaikan dengan baik perkara ini, perkara yang sudah berlaku tidak guna. Kerajaan boleh menghantar satu pasukan, kumpulan Majlis Fatwa umpamanya kerana ini melibatkan isu agama, isu syariat.
Sebab itu bila kita bertanya kepada ahli-Ahli Majlis Fatwa, adakah kerajaan mendapat fatwa daripada Majlis Fatwa sebelum kerajaan bertindak yang sampai cara bertindak itu sudah sampai kepada peringkat membunuh, tidak ada! Jadi Majlis Fatwa hanya dirujuk untuk mendapat pengesahan tindakan itu. Tidak adil, menzalimi juga Majlis Fatwa.
7) Sepanjang ucapan perbahasan Almarhum Ustaz Fadzil mengenai isu Memali ini, seramai 9 orang Ahli Parlimen BN, 5 orang Ahli Parlimen PAS dan seorang Ahli Parlimen PKR yang bangun mencelah.
Mereka adalah Puan Hajah Mastika Junaidah binti Husin (BN Arau) , Datuk Haji Mohd. Ali bin Haji Hassan (BN Tebrau) Dato’ Haji Noh bin Haji Omar (BN Tanjong Karang), Raja Dato' Ahmad Zainuddin bin Raja Haji Omar (BN Larut), Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz (BN Sri Gading), Tan Sri Dato' Seri Dr. Abdul Hamid Pawanteh (BN Kangar), Datuk Ruhanie bin Haji Ahmad (BN Parit Sulong), Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed (BN Shah Alam), Dato' Haji Mohd. Khalid bin Mohd. Yunus (Timbalan Menteri Penerangan), Tuan Mohamad bin Sabu (PAS Kuala Kedah), Mahfuz bin Haji Omar (PAS Pokok Sena), Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron (PAS Rantau Panjang), Tuan Mohd. Apandi bin Haji Mohamad (PAS Jeli), Tuan Taib Azamudden bin Md. Taib (PAS Baling) dan Tuan Saupi bin Daud (KeADILan Tanah Merah).
8. Sehingga kini, tiada siasatan rasmi yang dibuat oleh Kerajaan bagi merungkai apakah yang berlaku sebenarnya dalam Tragedi Memali.?
Antara individu utama yang dikaitkan dengan tragedi ini ialah Tun Musa Hitam yang merupakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri yang mengawal Polis.
Dalam satu forum Diskusi di Kelantan pada tahun 2014, beliau ada mendedahkan bahawa sebenarnya Tun Dr Mahathir ada di dalam Malaysia ketika kejadian itu berlaku bukannya di China seperti yang orang ramai sangkakan. Beliau menyatakan kesediaan bertanggungjawab atas apa yang berlaku dan PM Tun Dr Mahathir juga kena bertanggungjawab atas prinsip collective responsibility.
Tun Musa Hitam disoal oleh moderator adakah Tun kesal dengan kejadian ini.?
Beliau menjawab,
"Titik hitam di dalam kehidupan politik saya ialah Memali.
Saya hendak cakap terus terang. Saya berasa apa kata orang 'guilty' ke dari segi accountability. Saya berasa sangat-sangat sedih. Takkanlah saya hendak buat sebegitu rupa dengan zalim. Tidak, tetapi ia terjadi di bawah saya.
Di bawah siapa.? Di bawah Menteri yang berkenaan. Inilah sistem kerajaan yang harus diterima. Accountability, kalau di negeri-negeri lain, boleh berhenti atau dibuang. Tetapi, culture waktu itu tidak wujud.
Saya berani menyatakan, saya berasa sangat sedih. Apabila saya berhenti, saya pergi Mekah. Saya berdoa, bertaubat, Ya Allah Ya Tuhanku, dosa aku banyak, bukan sahaja Memali. Dosa saya yang paling besar ialah Memali.
Saya tidak boleh lupakan perkara ini. Saya tidak boleh berasa suka dalam hal ini. Bukan cara saya. Tetapi, tanggungjawab telah diberi dan dijalankan. Akauntabiliti, terpulanglah kepada samada Mahkamah atau rakyat jelata membuat pertimbangan."
Catatan oleh;
*Syed Ahmad Fadhli*
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
17 Ogos 2017