Selasa, 25 Julai 2017

Pembangunan Bukan Atas Sentimen Politik.

Rasanya Perdana Menteri dan Dato' Mustapha Mohamad tak perlu meletakkan syarat BN tawan Kelantan sebagai umpan untuk menawarkan pelbagai limpahan projek pembangunan kepada Kelantan.

Sehingga kedetik dan saat ini, Kelantan masih sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia. Orang Kelantan membayar pelbagai cukai dan hasil kepada Kerajaan Persekutuan. Orang Kelantan juga menyumbang pelbagai tenaga dan kepakaran untuk Kerajaan Persekutuan.

Di Kelantan ada Jabatan Persekutuan dan Jabatan Kerajaan Negeri. Ada jalan persekutuan dan ada jalan negeri walau kualiti jalan persekutuan di Kelantan khususnya yang menghubungkan Kota Bharu ke sempadan Terengganu di Bukit Yong kelihatan tak sepadan dengan tarafnya sebagai jalan persekutuan. Beza yang sangat ketara antara kualiti jalan persekutuan di sebelah sempadan Negeri Terengganu berbanding Kelantan padahal ia dibina oleh Kerajaan Persekutuan yang sama. Saya adalah salah seorang pengguna tegar laluan ini dengan kekerapan biasa 2 kali sehari.

Pernah saya bawa seorang tetamu Mindanao melalui jalan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu yang secara spontan bertanya kenapa keadaan jalan tiba-tiba berubah selepas melintasi sempadan Kelantan - Terengganu di Bukit Yong. Kata tetamu ini, "Kalau di tempat kami di Mindanao, jalan yang melalui kampung orang Kristian cantik sebaliknya jalan yang melalui kampung orang Islam sangat teruk walau ia sebenarnya sebatang jalan yang sama." Saya hanya senyum.

Walau Kelantan diperintah oleh PAS, Kerajaan Kelantan tentunya sedia bekerjasama sepenuhnya dengan Kerajaan Persekutuan demi membangunkan Kelantan. Contohnya Kerajaan Kelantan telah bersetuju untuk menjadikan kawasan pantai Bachok sebagai tempat industri gas tetapi akhirnya kerajaan Umno/BN pimpinan Mahathir mendaratkan gas yang dilombong dari perairan Kelantan ke Songkhla, Thailand yang jaraknya kira-kira 270 km dari pelantar carigali gas berkenaan berbanding dengan jarak untuk ke Pantai Bachok hanya 170 km. Saya pernah berkesempatan hadir memberikan kuliah di pelantar gas yang dimaksudkan. Sebab itu saya tahu jaraknya dari Pantai Kelantan. Saya juga mengesahkan bahawa pelantar gas berkenaan berada dalam perairan Kelantan.

Lebuhraya Pantai Timur setakat ini hanya melalui negeri Pahang dan Terengganu sahaja. Sedangkan sedia maklum bahawa yang dimaksudkan dengan negeri Pantai Timur ialah Pahang, Terengganu dan Kelantan. Kenapa tak disambung sampai ke Kelantan?

Umum sedia maklum, jumlah penerbangan sehari di Lapangan Terbang Kota Bharu ke pelbagai destinasi mencecah 47 penerbangan berbanding hanya 7 penerbangan sahaja sehari di Lapangan Terbang Kuala Terengganu. Tapi kalau banding saiz lapangan terbang dan kemudahan serta kelengkapan, tentunya Lapangan Terbang Kuala Terengganu jauh meninggalkan Kota Bharu. Kita tak pertikaikan projek pembesaran dan pemodenan Lapangan Terbang Kuala Terengganu tetapi persoalannya kenapa Lapangan Terbang Kota Bharu tidak dibesarkan dan dimodenkan sama berdasarkan keperluan?

Saya buat bandingan antara Kelantan dan Terengganu kerana dua negeri ini mempunyai latar belakang masyarakat dan sosio ekonomi yang hampir sama serta hubungan yang dekat dan erat lalu saling memerlukan.

Pembangunan mesti dibina berdasarkan keperluan, bukan meletakkan sentimen perbezaan politik sebagai alasan.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
25 Julai 2017