Sabtu, 22 Julai 2017
Nadwah Ulama Antarabangsa - Telah Meluluskan 10 Resolusi Penting
[Nadwah Ulama Lulus 10 Resolusi]
Oleh: Samihah Ismail
KOTA BHARU, 22 Julai – Nadwah Ulama Antarabangsa yang melibatkan penyertaan aktif 10 wakil dari rantau Asia dan Timur Tengah telah meluluskan 10 resolusi penting hari ini.
Nadwah anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) itu telah berlangsung di Kelantan Trade Centre (KTC).
Ia berobjektif menghimpunanka organisasi dan para daie rantau Asia Tenggara dan Timur Tengah serta membangkitkan kesedaran terhadap keperluan kesepaduan gerak kerja dakwah.
Nadwah kali ini menampilkan kelainan dari sudut format yang merangkumi pembentangan kertas kerja, pidato, forum dan sesi soal jawab.
Resolusi yang diisytiharkan itu menjadi simbol kesepaduan perbincangan yang telah berlangsung selama 3 hari.
Resolusi yang disepakati itu telah dibacakan oleh Pengerusi Nadwah Ulama, Ustaz Dato Dr Nik Zawawi Salleh.
Berikut adalah resolusi yang tersebut:
1. Mewujudkan Kesatuan Ulama Asia dan Timur Jauh yang berpusat di Kuala Lumpur untuk menyelaraskan isu-isu yang berkaitan umat Islam.
2. Mewujudkan permuafakatan antara negara minoriti dengan negara majoriti Muslim agar kekuatan Islam dapat digarap secara berkesan dan sekali gus dapat menaungi umat Islam yang lemah.
3. Memastikan segala isu dan permasalahan dalam setiap negara Islam dan umat Islam tidak perlu dilibatkan campur tangan pihak luar (negara Barat) dalam menanganinya.
4. Mempelopori usaha untuk mengharmonikan isu-isu khilafiyyah di kalangan masyarakat supaya tidak memberi ruang kepada musuh memecahbelahkan kesatuan umat Islam.
5. Mempergiatkan pengembangan ilmu Islam di kalangan masyarakat di negara masing-masing dengan pelbagai wasilah yang ada.
6. Mengambil inisiatif yang bersungguh-sungguh untuk melahirkan ulama pelapis yang akan mewarisi kepimpinan ulama di seluruh negara rantau Asia.
7. Menangani permasalahan dan isu umat Islam yang ditindas di negara-negara minoriti Muslim seperti Chechnya, Pattani, Rohingya, Kasymir, wilayah Xingjang dan lain-lain.
8. Mengecam sekeras-kerasnya tindakan terkutuk yang telah dilakukan oleh rejim Zionis Yahudi dengan penutupan Masjidil Aqsa yang bertujuan untuk meroboh dan memusnahkannya.
9. Memahamkan masyarakat khasnya umat Islam bahawa Islam adalah agama pembawa kesejahteraan dan kesederhanaan ke arah mengekang pengaruh radikalisme dalam kalangan umat Islam.
10. Mengembleng tenaga ulama untuk mengembalikan peradaban Islam rantau ini sebagai model peradaban Islam sejagat.
Bacaan oleh beliau itu disambut dengan gema laungan takbir oleh para peserta tanda mempersetujui semua resolusi yang telah disytihar.