KOTA SARANG SEMUT, 30 Rejab 1438H, Khamis – “Islam itu suci dan bersih. PAS boleh membawa isu seperti ini ke peringkat yang lebih tinggi.”
Demikian kata wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Kumutha Raman ketika memberi ucapan pada Muktamar Dewan Muslimat PAS, malam tadi.
“Mereka merasa telah memberi nikmat kepadamu dengan keislaman mereka. Katakanlah: “Janganlah kamu merasa telah memberi nikmat kepadaku dengan keislamanmu, sebenarnya Allah, Dialah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjuki kamu kepada keimanan jika kamu adalah orang-orang yang benar,” kata Kumutha yang memetik ayat 17 surah Al-Hujurat ketika memberi ucapan.
Kumutha memang tidak asing lagi di kalangan perwakilan dan penyokong PAS, khususnya di Johor
Beliau turut teruja untuk terus bekerjasama dengan muslimat PAS dan menyokong apa yang dibawa oleh parti itu, seperti Akta 355 dan hukum hudud yang hanya dilaksanakan ke atas orang Islam sahaja.
Katanya, Malaysia adalah sebuah negara yang mengikhtiraf masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama.
Beliau turut mengingatkan betapa pentingnya untuk sama-sama menyoroti penindasan masyarakat negara lain, terutama etnik Rohingya, di mana umat Islam dibunuh dengan kejam, wanita dirogol, tidak diberikan peluang pendidikan, malah dinafikan hak untuk tinggal di sana dan akhirnya terpaksa menjadi pelarian di negara lain.
“Muslim di sana juga tidak dibenarkan menunaikan haji dan melaksanakan korban sedangkan ia merupakan tuntutan utama untuk orang Islam,” katanya.
Kumutha mencadangkan Malaysia bekerjasama dengan negara-negara lain untuk menghentikan kekejaman dan meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada etnik Rohingya, seperti mana pergolakan di Syria yang meraih simpati masyarakat seluruh dunia.