Rabu, 24 Ogos 2016
UCAPAN PENANGGUHAN KONGRES RAKYAT TERENGGANU
YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang -
Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu.
Rabu, 17 Ogos 2016
Turki - Permata yang Sedang Berkilau
Catatan Khas: Turki, Permata yang Sedang Berkilau
1. Alhamdulillah, semalam telah berlangsungnya program ceramah perdana yang bertajuk Senario Politik Asia Tengah Pasca Cubaan Rampasan Kuasa Turki yang disampaikan oleh Presiden PAS, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Apabila diberikan tugasan sebagai Program Coordinator, misi utama yang perlu saya laksanakan ialah memastikan majlis berjalan dengan lancar daripada awal sehinggalah ia melabuhkan tirai dengan jayanya.
2. Pada asalnya, pihak kami telah pun menyediakan meja kuliah dan kerusi agar Tuan Guru dapat berucap sambil duduk sahaja memandangkan beliau kurang sihat dan keletihan pulang dari Turki masih belum hilang dek kerana kepadatan jadual tugasan. Namun, beliau sendiri pula yang meminta untuk berucap sambil berdiri seperti biasa. Beliau berucap selama 1 jam 15 minit di pentas Dataran KUIZM, Taman Melewar.
3. Bagi sesiapa yang hadir di situ mahupun mendengar melalui Radio Hijau FM ataupun menonton melalui FB live pasti akan terpukau dengan syarahan yang Tuan Guru Presiden sampaikan. Bagaikan berada dalam kuliah subjek Tamadun Islam di universiti, pada lewat malam kita dihidangkan dengan sejarah, pengalaman dan fakta yang agak berat untuk kita hadam. Sempat juga saya buat catatan ringkas, tetapi mana mungkin selembar kertas cukup untuk saya catatkan kesemua isi penting syarahan tersebut yang jauh lebih bernilai daripada Fitnah RM 90 Juta.
**Nota:
Diperingatkan agar para pembaca menarik nafas yang panjang dan keadaan yang tenang untuk membaca catatan di bawah ini yang panjangnya sebanyak 3100 patah perkataan.
4. Tuan Guru memulakan ucapan dengan membaca Al Quran, ayat 10-13 Surah As Sof, ayat ini berkisar mengenai kepentingan dan kelebihan memperjuangkan agama Allah. Ayat ini ayat yang sama dibacakan oleh Qari ketika Himpunan Raksasa yang dihadiri 5 Juta orang di Turki baru-baru ini. Suasana yang tidak pernah berlaku pada zaman pemerintahan Kamal Attarturk dahulu.
5. Tuan Guru memetik kata-kata Saidina Umar Al Khattab bahawa kita adalah ummat yang diberikan kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita meninggalkan Islam (mencari cara lain untuk menang) Allah akan hukum kita menjadi umat yang hina. Bangsa Turki adalah salah satu kaum yang dipilih untuk menegakkan Islam. Islam yang bagaimana.? Islam yang sempurna sepertimana dalam Al Quran ayat 3 Surah Al Maidah yang diturunkan di Padang Arafah ketika Hajjatul Wada'.
Beratnya ayat ini diturunkan sehinggakan unta yang ditunggang oleh Rasulullah S.A.W ketika itu terduduk.
6. Generasi para Sahabat ditarbiah mengikut Islam acuan Allah ini yang diturunkan di bumi yang kosong tidak ada hasil, telah berjaya menyebarkan Islam ke seluruh penjuru dunia. Hanya dalam masa 80 tahun ia sampai ke perbatasan negeri China, melalui Asia Tengah, menguasai Utara Afrika, menyeberangi ke Eropah, menguasai Andalusia-Sepanyol. Mereka berjaya membina tamadun Islam dengan petunjuk hidayah Allah, mengumpulkan ilmu-ilmu dunia yang digabungkan dengan ilmu wahyu. Tamadun Barat hanyalah ciplak dan serpihan sahaja daripada Tamadun Islam kerana ia meninggalkan aspek hidayah Allah sehingga menyebabkan berlakunya kemusnahan yang kita saksikan sendiri.
7. Apabila kaum Arab meninggalkan Islam, Allah gantikan kaum lain bersilih-ganti yang memimpin Islam. Di antaranya ialah kaum Turki yang berasal dari Asia Tengah, bangsa ini bertempat dari Anadol sehingga Siberia dan perbatasan China. Mereka diislamkan sepenuhnya pada zaman Kerajaan Abbasiyyah, dididik oleh para ulamak Asia Tengah seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Tirmizi, Imam Ibnu Majah dan para ilmuan Islam yang lain.
8. Dalam suatu peristiwa, Baghdad jatuh ke tangan kaum Tartar yang terkenal dengan ganas, dipimpin oleh Genghis Khan disambung oleh Hulagu Khan yang telah menakluk China,dan India. Allah memunculkan Kerajaan Mamalik di Mesir yang dipimpin oleh Sultan Zahir Baybars berketurunan Turki yang memimpin bala tentera Islam yang setia. Sultan Zahir dengan panduan Ulamak seperti Imam Nawawi dan Imam Izzuddin Abdus Salam, yang juga merupakan tokoh Mazhab As-Syafie yang terkenal. Mereka menanamkan semangat Islam, memperbetulkan kerajaan yang rasuah dan yang suka bermewah itu diubah untuk berhadapan dengan Tentera Tartar.
9. Dikisahkan Sultan Zahir Baybars meminta fatwa ulamak supaya dipungut cukai yang sebanyak-banyaknya daripada rakyat untuk sumbangan jihad menentang kemaraan Tartar. Kebanyakan ulamak mengatakan dibolehkan kerana negara dalam keadaan darurat kecuali Imam Nawawi dan Imam Izzuddin Abdus Salam. Imam Izzuddin ini diberikan gelaran Sultonul Ulama’, bukannya Ulama’ ul Sulton,ini ada bezanya seperti Islam Hadhari berbeza dengan Hadhoroh Islam. Syeikh Imam Izzuddin ini ada mengarang kitab khusus berkenaan Maqasid Syariah, sesiapa yang nak belajar bab ini kena baca kitab ini, jangan ambil tengah jalan. Beliau digelar Sultonul Ulama’ kerana di dalam satu majlis yang dihadiri Sultan, beliau berkata adalah haram bagi Tuanku mengambil cukai daripada rakyat selagi Tuanku tidak membelanjakan dahulu kemewahan yang ada di dalam istana ini termasuk diri Tuanku sendiri yang pernah menjadi hamba tawanan Kerajaan Abbasiyyah, Tuanku kena jual diri dahulu,sekiranya masih tidak cukup,barulah dikutip cukai daripada rakyat. Para ulamak lain yang turut hadir bagaikan sudah mahu mengangkat kain jubbah mereka kerana takut percikan darah sekiranya kepala Syeikh Imam Izzuddin dipancung, rupanya beliau tidak dipancung. Nasihat beliau telah diterima dan dilaksana oleh Sultan.
10. Berlakulah peristiwa Ain Jalut, pada 25 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 3 September 1260. Tentera Sultan Zahir dan Qutuz Mesir telah berjaya mengalahkan Tentera Tartar. Ini jasa kaum Turki. Mengikut pandangan Ibnu Khaldun dalam Kitabnya Al Muqaddimah, bahawa secara tabiinya bangsa yang dijajah akan terpengaruh dengan penjajah yang berkuasa dan kuat. Tetapi, ketika Tartar memerintah dengan undang-undang yang mencampurkan Islam, Yahudi, Kristian dan akal fikiran, para ulamak menolak undang-undang sebegini. Rakyat memilih untuk bersama para ulamak. Selepas Tartar dikalahkan, mereka pula yang memeluk Islam. Syeikh Hassan An Nadawi menyebut, hanya dalam sejarah Islam berlakunya keadaan penjajah memeluk agama rakyat yang dijajah. Kerajaan ini lah juga yang berjaya membina tamadun tersendiri ketika menjadi Kerajaan Mogul di India.
11. Kerajaan yang dipimpin oleh Tartar yang memeluk Islam ini ditadbir bukannya mengikut Islam yang sebenar, mereka membunuh rakyat yang tidak mahu memeluk Islam. Lalu, mereka ditundukkan oleh Kerajaan Saljuk yang berpusat di Konya, Turki. Berkebetulan Kesatuan Ulamak Islam Sedunia memilih Bandar Konya yang bersejarah itu sebagai tempat untuk persidangan 2016, keputusan itu dibuat sebelum berlakunya peristiwa rampasan kuasa yang gagal. Kerajaan Saljuk ini tidak dapat bertahan lama, ia diganti dengan Kerajaan Uthmaniyyah yang ditubuhkan oleh Uthman Razi Urtugul pada 1299. Kerajaan Uthmaniyyah ini memimpin Islam daripada Tahun 1299 sehingga 1924. Ada rekod yang mengatakan ia telah berakhir pada 1923 apabila berlakunya Perjanjian Lausanne di Switzerland yang melibatkan British, Perancis, Itali, Rusia dan Jepun yang membatalkan Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Turki memimpin Islam selama 6 abad iaitu 600 tahun, Islam masuk ke Eropah sehingga ke Bulgaria, Yugoslavia, dan sekitarnya. Dahulunya, Kerajaan Melaka berbaiah kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah dan begitu juga dengan Kerajaan Acheh yang menguasai rantau alam Melayu ini berbaiah yang sama.
12. Berlakunya kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah kerana orang Islam tidak lagi berpegang kepada Islam. Kerajaan itu menguasai Laut Mediterranean, Laut Hitam, sebahagian Laut Arab dan Utara Lautan Hindi, menyebabkan berlakunya pengembaraan Vasco Da Gama dan Marco Polo. Beliau belajar mengenai ini, rupanya pengembara ini merancang untuk mengepung dunia Islam. Itulah berlakunya kejatuhan Kerajaan Melaka pada 1511 selepas Kerajaan Islam Sepanyol pada 1492. Seorang ilmuan Filipina mendedahkan kejatuhan Kerajaan Melaka dirayakan di Vatican City. Kemudian, berlakunya serangan pemikiran melalui penanaman semangat kebangsaan nasionalisme, yang diambil kesempatan daripada kelemahan kerajaan Turki Uthmaniyyah yang ratusan tahun memerintah. Negara-negara Arab mula bangkit menentang kerajaan Turki Uthmaniyyah dengan kaedah menyokong kuasa penjajah seperti Inggeris dan Perancis.
13. Selepas tumbangnya Kerajaan Turki Uthmaniyyah , berlaku pula Perjanjian Sykes-Picot yang melibatkan Inggeris, Perancis dan Rusia yang membahagikan negeri-negeri yang berada di bawah penguasaan Khilafah sebelum ini. Mereka melagakan umat Islam melalui perbezaan kaum dan mazhab. Apabila Iran dikuasai Syiah, Yaman dikuasai oleh Mazhab Zaidiyyah, Oman dikuasai oleh Mazhab Ibadi-Khawarij, disemangatkan untuk menentang Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang bermazhab Sunni. Di Semenanjung Arab yang dikuasai oleh golongan Wahabbi yang menentang Mazhab As Syairah dan Maturidiah, dan Kaum Arab menentang Turki di atas nama kebangsaan Arab. Mereka menyokong kuasa Barat kerana syok dengan janji untuk dinaikkan sebagai khalifah yang baru. Secara rasminya, pada tahun 1924 jatuhlah Kerajaan Turki Uthmaniyyah.
14. Cuba cek di internet, bila hari kebangsaan bagi negara Arab.? Kita di Malaysia, menyambut Hari Kebangsaan pada hari British keluar sedangkan Negara Arab menyambut menyambut Hari Kebangsaan pada hari Uthmaniyyah keluar. Walaupun diusahakan oleh Syeikh Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al Afghani yang mencadangkan projek perpaduan ummat Islam, dan projek mega rel landasan keretapi dari Turki melalui Mekah, Madinah sehingga ke India. Ini bagi membolehkan orang Islam di Asia Tenggara pergi Haji naik keretapi berjumpa orang Islam di tempat lain dan mengeratkan perpaduan sesama ummat Islam. Projek fasa pertama dari Turki, Syiria ke Madinah yang masih ada kesan sejarah rel keretapi itu sekarang yang mana projek ini dibiayai oleh wakaf ummat Islam. Namun, ia diletupkan oleh Revolusi Arab di atas semangat kebangsaan dengan nasihat Lawrence of Arabia.
15. Kerajaan sekular di Turki bermula selepas tumbangnya Kerajaan Uthmaniyyah. Sekularisme ini diteguhkan melalui Perlembagaan Turki dengan kawalan negara Barat, dan gerakan Zionis dan Freemason. Ketika Tuan Guru belajar di Madinah pada tahun 1969, beliau membaca satu buku dalam yang bertajuk “Asraul Masuniyyah” dalam Bahasa Arab yang dikarang oleh Jeneral Javad Rafaat Aatalkhan. Jeneral Tentera Turki ini pernah menangkap ejen-ejen Yahudi yang dibawa oleh British ke Israel yang mendedahkan gerakan Freemason di samping Zionis untuk menakluk dunia setelah jatuhnya Kerajaan Uthmaniyyah. Oleh kerana Turki ini bangsa yang kuat mempertahankan Islam maka Islam dihalang begitu kuat di Turki berbanding tempat –tempat lain.
16. Sekiranya kemenangan Islam di Indonesia pada tahun 1955 yang dipimpin oleh Parti Masyumi,gabungan Nahdatul Ulamak dan Muhammadiyyah serta kumpulan lain, ia hanya mampu bertahan selama 1 tahun lalu dijatuhkan. Begitulah juga dengan kemenangan Front Islamic Salvation (FIS) di Algeria pada tahun 1991 dan sama juga dengan kemenangan Ikhwanul Muslimin pada tahun 2012 baru-baru ini. Di Turki, Perlembagaannya menyebut Sekularisme sebagai akidah mereka, Tentera sebagai pengawal Sekularisme melalui perlembagaan tidak bertulis. Mana-mana pemerintahan yang cuba mengembalikan pemerintahan Islam, Tentera wajib mengambilalih kuasa tersebut dengan sokongan kuasa Barat.
17. Walaupun demikian, mereka tidak dapat memadamkan cahaya-cahaya Islam.Pada tahun 1956, Adnan Manderes yang memimpin Parti Demokrat menang pilihan raya dan menjadi Perdana Menteri Turki. Beliau berusaha mengembalikan Islam di Turki, dengan hanya menubuhkan kembali Sekolah Imam Khotib (Sekolah Agama) untuk melatih imam dan bilal. Presiden Erdogan pernah bersekolah di sini. PM Adnan Manderes juga membuka peluang kepada rakyat Turki menunaikan Haji, memajukan bidang pertanian sehingga berjaya mengeksport hasilnya ke pasaran Eropah. Hanya dengan usaha ini tanpa menyentuh pun aspek sekular dalam perlembagaan, Tentera Turki menggulingkan PM Adnan Manderes dengan menangkapnya bersama 3 Menteri yang lain dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
18. Pada tahun 1970 an muncul pula Profesor Najmudin Erbakan, seorang jurutera terkenal di Jerman yang mencipta jentera berat termasuk yang menggunakan diesel.Jentera yang dibanggakan oleh Jerman itu dicipta oleh jurutera Islam. Beliau pulang ke Turki, membuka fakulti kejuruteraan yang melahirkan ribuan jurutera baru. Beliau masuk politik dengan menubuhkan parti yang hanya bertahan selama 4 bulan sebelum diharamkan kerana beliau orang yang kuat berpegang kepada Islam. Lalu, beliau menubuhkan lagi parti baru kerana di sana mudah diluluskan tubuh parti. Parti ini bertahalluf siasi dengan parti Kamal Attartur dan mencapai kemenangan. Beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1972, dan berjaya memajukan industri yang menghasilkan 30,000 jentera berat diesel setahun. Pada ketika itu berlaku juga rusuhan kaum di Cyprus di mana ummat Islam Turki di situ bergaduh dengan etnik Greece yang dihantar oleh British. Dengan pengaruh Erbakan, Tentera Turki datang menyelamatkan nyawa ummat Islam Turki di Cyprus.
19. Namun, tidak lama kemudian kerajaan tersebut digulingkan dengan Erbakan dipenjarakan dan dikenakan larangan berpolitik. Pada tahun 1980 an, beliau menubuhkan pula Parti Refah, dan seterusnya pada tahun 1998 menang pilihan raya hasil kerjasama dengan parti-parti lain. Erbakan dilantik menjadi Perdana Menteri Turki, yang mana beliau membina gabungan G 8 Negara umat Islam; Turki, Malaysia, Pakistan, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Nigeria dan Iran bagi menjana ekonomi dunia Islam. Lalu, kerajaan beliau digulingkan lagi oleh Tentera Turki dan dikenakan larangan berpolitik. Kemudian, tubuh pula Parti Saadat, namun Erdogan yang asalnya dari parti yang sama telah membawa pendekatan yang baru. Erdogan menubuhkan Parti Keadilan (AKP) yang berasaskan politik liberal.
20. Tuan Guru Presiden menceritakan pengalaman beliau yang pernah diminta menjadi pendamai ketika berlakunya krisis antara Erdogan dan gurunya, Erbakan. Hal ini kerana Tuan Guru Presiden mempunyai hubungan yang erat dengan Erbakan, beliau menasihati Erbakan untuk berbaik dan bersatu dengan Erdogan. Lalu,beliau dimarahi selama 6 jam oleh Erbakan dalam bahasa Turki dan dijawab dengan hujah melalui khidmat jurubahasa. Tuan Guru Presiden tidak mampu untuk menjawab apabila Erbakan mendedahkan perjanjian Erdogan dengan jeneral Tentera Turki untuk tidak melaksanakan Islam.
21. Siapa pula Fethullah Gulen.? Pemimpin yang menaja gerakan Sufi, politiknya liberal, Islam untuk Bangsa Turki sahaja, tegakkan Islam dengan nasionalisme Turki, perlu berbaik dengan Israel, Eropah, Yahudi dan Kristian supaya 3 agama ini bersatu. Oleh kerana Erdogan mengambil pendekatan yang liberal juga, maka Fethullah Gulen menyokongnya dan berjaya menang besar dalam pilihan raya. Erdogan mendedahkan kesemua PM Turki termasuk dirinya sendiri pernah masuk ke dalam gerakan Gulen kecuali Erbakan. Apabila Erdogan menggerakkan Kapal bantuan Marvi Marmara ke Gaza, Gulen tidak bersetuju kerana akan bermusuh dengan Israel. Gulen pergi ke Vatican City, melawat Israel, berjumpa dengan rabai Israel. Dia mempunyai dana yang begitu besar mencecah billion atau trillion. Dia menyumbang kepada Sekolah Missionary sebanyak 2 Billion. Di Malaysia ini pun ada rangkaian sekolah Tahfiz di bawah Gulen. Dengan pendekatan ini, kuasa Barat Eropah boleh menerima Gulen.
22. Hubungan Gulen dan Erdogan kian tegang apabila Turki gagal menjadi ahli European Union (EU). Antara syarat kemasukannya tidak boleh melaksanakan syariat Islam, kerajaan mestilah dipilih melalui demokrasi. Erdogan berkata demokrasi ini bukan sahaja untuk Kristian tetapi termasuk juga untuk Islam. Maka, berlakulah sebaran dakwah, masjid diimarahkan dan gerakan Islam tidak dihalang di Turki. Pemimpin gerakan Islam dari negara lain boleh bernaung dan mendapat suaka politik di Turki. Segala tuntutan EU telah ditunaikan tetapi tetap mereka menghalang Turki daripada menjadi ahli EU. Mereka tahu bahawa sekiranya Turki masuk EU akan menyebabkan pasaran Turki jauh lebih besar dari pasaran EU. Mereka bimbang dengan kebangkitan Islam melalui Turki.
23. Maka, berlakulah usaha merampas kuasa dengan mempengaruhi sebahagian Tentera Turki yang rapat dengan Gulen. Tuan Guru Presiden mendapat info daripada beberapa orang diplomat kedutaan bahawa Duta Amerika dan pegawai kanannya sudah 5 hari lebih awal keluar dari Turki sebelum berlakunya rampasan kuasa, wartawan CNN sudah datang 2 hari lebih awal untuk membuat liputan. Rancangan ini diatur di negara yang berhampiran dengan Jerman oleh kumpulan Zionis dan Freemason dengan kerjasama Intelligent Barat bagi menyekat kebangkitan Islam di Turki.
24. Sebelum itu, berlakunya provokasi iaitu Jet Turki menembak jatuh Jet Rusia, Turki diheret ke dalam kancah pertempuran di Syria, dan mereka mahu Turki terlibat dengan peperangan secara langsung tanpa keterlibatan mereka. Rupanya, ada ‘batu di sebalik udang’. Rusia memberikan maklumat intelligent nya kepada Turki berkenaan provokasi ini.
25. Antara tokoh penting yang berjaya menggagalkan rampasan kuasa ini ialah Presiden Erdogan, PM Binali Yildirim, dan Ketua Perisik Hakan Fidan. Hakan Fidan ini telah pun mengambil langkah awal beberapa tahun dulu dengan memutuskan hubungan dengan Intelligent Israel. Turki mendapat maklumat bahawa Israel menghantar ejennya ke Iran bagi menggagalkan program nuklear dan sistem pertahanan Iran. Turki berkerjasama dengan Iran dan hasilnya banyak ejen Israel berjaya ditangkap di Iran. Ini adalah perkara yang tersirat.
26. Pada perancangan awalnya, rampasan kuasa akan dilancarkan pada jam 4.00 pagi ketika orang lena tidur. Pihak Intelligent Presiden Erdogan sudah mendapat maklumat berkenaan rampasan kuasa ini. Ketua Perisik Hakan Fidan terus pergi ke Markaz Tentera bertanya kepada Panglima Soluhi Akar mendapat maklumat.? Panglima dan jeneral lain tidak tahu mengenai hal ini. Apabila pihak yang merancang tahu maklumat sudah bocor, mereka segerakan pelaksanaan awal 4 jam. Ini adalah pertolongan Allah. Rampasan tidak jadi berlaku pada saat orang tidur.
27. Panglima Tentera Darat segera memaklumkan kepada Presiden Erdogan agar meninggalkan hotel tempat percutiannya itu kerana pengkhianat sudah bergerak. Kesemua pesawat dan helicopter dilarang terbang melainkan pesawat Erdogan dan 4 jet yang ditugaskan untuk menyelamatkan Erdogan. Panglima Tentera Udara yang mengetuai rampasan kuasa telah mengarahkan jet dan pesawat yang dikuasainya turut terbang sehingga keluar pula arahan dari Panglima Tentera Darat dan PM agar kesemua jet dan pesawat ini ditembak. Berlakulah pertempuran di Ankara, Istanbul termasuklah serangan di Parlimen dan Markaz Tentera. Pasukan Komando dan Polis yang setia digerakkan. Ketua Perisik Hakan Fidan meminta Presiden Erdogan membuat ucapan menyeru rakyat keluar ke jalan raya beramai-ramai dan Hakan sendiri akan memimpin operasi dan dia sanggup mati. Stesen TV penting ditawan oleh pengkhianat, namun dalam masa 10 minit rakyat berjaya merampasnya kembali. Rakyat Turki keluar secara spontan, masjid diarahkan azan sehingga kesemua samada yang solat atau tak solat, yang bertudung atau yang tak bertudung, kesemuanya keluar menyekat kemaraan Tentera yang merampas kuasa.
28. Bekas Panglima Tentera U.S, Jeneral Wesley Clark mengatakan kegagalan rampasan kuasa ini kerana 4 sebab:
- gagal menangkap dan membunuh Presiden Erdogan
- media sosial tidak dapat dikawal
- tentera tidak mencukupi
- rakyat tidak bersama tentera
Parti pembangkang turut bersama mempertahankan Kerajaan Erdogan dengan mengerahkan penyokong mereka turun ke jalan raya kerana mereka sudah muak dengan rampasan kuasa tentera. Lori majlis bandaraya digunakan untuk menyekat kemaraan tentera. Tidak lama kemudian, serangan ini berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya perancang utama.
29. Kebanyakan negara hanya menunggu dan lihat siapa yang menang.? Apabila rampasan kuasa gagal, barulah mereka kononnya mendokong kerajaan demokrasi di Turki. Tuan Guru ketika ditemuramah oleh TV Turki ditanya apa harapan kita orang Islam.? Tuan Guru menjawab harapan kami untuk melihat Turki kembali memimpin kebangkitan dunia Islam. Kita perlu menerima hakikat bahawa negara Iran bermazhab Syiah yang telah bebas melalui revolusinya itu tidak dapat menguasai dunia umat Islam yang sebanyak 90% bermajoriti Sunni. Iran sudah mula buat pembaharuan dengan mengadakan solat Jumaat, solat tidak dijamakkan, tidak membina hubungan dengan Israel. Tuan Guru Presiden menegaskan sepertimana nasihat Almarhum Erbakan bahawa Turki dan Iran perlu kerjasama dengan negara yang bermusuh dengan kuasa-kuasa Barat. Kuasa Barat yang pernah mengisytiharkan Orde Baru Dunia hendak memimpin dunia seluruhnya dengan menjadikan Islam sebagai pencabar kepada mereka. Merekalah yang memburukkan Islam dengan menyebarkan fitnah Islam yang melampau dan ganas. Mereka mendesak agar para perampas kuasa ini tidak dibunuh sedangkan mereka juga yang membunuh jutaan nyawa umat Islam di Iraq, Afghanistan dan lain-lain.
30. Pengajaran yang paling baik ialah semangat Islam kembali di Turki. Tuan Guru memetik kata-kata seorang pemuda yang lumpuh kerana tercedera akibat pertempuran rampasan kuasa yang berucap di himpunan raksasa di Turki berkata, “Saya sanggup mati kerana hendak balik kepada Islam dan kami lebih rela ditanam di dalam tanah kerana mati yang mulia menegakkan Islam daripada hidup di atas bumi, hidup yang hina. Kita bukan hendak menggalakan kekerasan tetapi kita mahu mengajar kepada musuh jangan anggap orang Islam ini lemah. Cahaya agama Allah tidak akan dapat dipadamkan oleh sesiapa sahaja walau dengan apa jua cara sekalipun.
*Tamat juga akhirnya..
Nah, lihatlah lautan ilmu Tuan Guru Presiden PAS.
Beliau boleh bersyarah selama 1 jam berkenaan tajuk ini dengan hanya sesekali sahaja merujuk nota ringkas fakta penting. Beliau berjaya mengadunkan ilmu, kefahaman, dan pengalamannya dalam konteks realiti semasa. Sungguh, umat Islam di Malaysia patut merasa bertuah memiliki tokoh hebat ini yang kita harapkan akan memimpin kebangkitan Islam di Malaysia dan dunia amnya.
Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli,
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS,
9.40 p.m, Isnin, 15 Ogos 2016
Langgan:
Catatan (Atom)