Jumaat, 27 Mei 2016
Cara Menghilangkan Nafas Berbau
Cara Menghilangkan Nafas Berbau terdapat beberapa cara tradisional bagi menghilangkan bau mulut dan nafas yang amat berkesan jika dapat dilakukan secara istiqamah. Anda harus rajin dan yakin mengamalkan cara tradisional ini bagi mengatasi bau mulut demi kesihatan dan menjaga maruah serta meningkatkan harga diri. Hasilnya antum akan lebih bersemangat dan berkeyakinan ketika berkomunikasi dengan orang lain.
Banyak cara atau tips yang boleh antum lakukan untuk mengatasi bau nafas yang kurang enak dan memalukan itu, antaranya:
1. Sirih
Sirih adalah antiseptic yang baik bagi mengatasi bau mulut, maka antum gunakanlahnya untuk atasi bau yang tidak enak di mulut. Caranya :~
a) Cuci bersih daunnya kemudian di rebus menggunakan air anggaran 1.5 gelas. Setelah itu dibiarkan hingga air rebusan sirih menjadi sejuk, dan gunakan untuk berkumur selepas antum menggosok gigi.
b) Rendam beberapa helai daun sirih dalam air suam selama 5 minit. Minum air tersebut. Antum amalkan setiap hari.
2. Serai Wangi Dan Kulit Limau Kasturi
Ambil 3 batang serai wangi dan 3 biji kulit limau kasturi. Antum tumbuk kedua-duanya hingga lumat. Masukkan ke dalam periuk kecil dan tuang air sehingga ¾ tinggi periuk kemudian antum jerangkan sehingga mendidih. Setelah mendidih, tutup api dan biarkan sejuk. Tapis dan ambil airnya untuk dikumur sebanyak 2-3 kali sehari. Amalkan selalu.
3. Daun Jambu Batu
Ambil anggaran 15 helai pucuk jambu batu atau daun yang muda. Antum tumbuk daun tersebut hingga lumat dan masukkan ke dalam gelas yang berisi separu air. Tambahkan sedikit garam dan kacau. Tapis dan ambil airnya untuk dikumur sebanyak 2-3 kali sehari. Amalkan selalu.
4. Cengkih
Ambil anggaran 3 atau 5 kuntum bunga cengkih kemudian direbus dengan air secukupnya atau rendamkan ke dalam segelas air suam selama kira-kira 5 minit. Setelah itu dibiarkan hingga sejuk dan air rebusannya antum gunakan untuk berkumur. Amalkannya pada waktu pagi dan petang iaitu 2 kali sehari.
5. Menghisap Kulit Kayu Manis
Kulit kayu manis mengandungi sebatian yang dapat membantu untuk menghilangkan masalah nafas berbau. Selain daripada itu, ia juga mampu untuk mengurangkan bakteria yang menjadi punca masalah nafas berbau.
Kunyah sebatang kulit kayu manis yang kecil setiap malam sebelum tidur. Telan airnya, hampasnya dibuang. Amalkan setiap malam. Jika antum menghisap kulit kayu manis setiap hari, ia dapat mengurangkan kehadiran bakteria punca nafas berbau sebanyak 50% berbanding orang yang tidak menghisapnya.
6. Bunga Lawang
Bunga lawang (star anise) bersifat sebagai antibakteria dan antikulat, serta kandungan ‘linalool’ dalam bunga lawang bersifat sebagai antioksidan sehingga sangat baik untuk kesihatan tubuh.
Ambil sekuntum atau 3 kuntum bunga lawang kemudian direbus dengan air secukupnya atau rendamkan ke dalam segelas air panas selama kira-kira 5 minit. Setelah itu dibiarkan hingga suam dan airnya boleh antum gunakan untuk minum atau berkumur. Amalkannya pada waktu pagi dan petang iaitu 2 kali sehari. Bunga lawang juga boleh dikunyah untuk menghilangkan nafas berbau busuk. Secara tak langsung, ia juga dapat merawat penyakit asma, bronchitis dan batuk kering, antara penyebab nafas berbau.
7. Asam Jawa Dan Gula Merah
Satu cara lagi bagi menghilangkan nafas dan mulut berbau. Antum bancuh sedikit asam jawa, gula merah dengan air panas. Minumlah setiap malam sebelum tidur. Amalkan sekerap mungkin, InsyaAllah tiada lagi nafas berbau yang memalukan antum.
8. Gorengan Hampas Kelapa
Ambil anggaran segenggam hampas kelapa dan gorengkan di dalam kuali tanpa minyak. Gorengkannya hingga kekuningan. Angkat dan dibiarkan sejuk. Kemudian antum ambil dan kunyah-kunyahkannya hingga hancur. Ia boleh dimakan atau diluahkan.
Di samping itu, antum amalkan meminum air suam dengan kerap. InsyaAllah kesannya akan dapat dilihat beberapa hari selepas itu.
9. Meminum Teh Hijau Dan Daun Pudina
Cara lain yang mungkin boleh antum lakukan secara amalan tradisi, misalnya dengan minum air teh hijau atau dengan meminum air rendaman daun pudina sekurang-kurngnya 2 kali sehari.
Penutup
Menghadapi masalah mulut atau nafas berbau memang membuatkan antum berasa malu untuk bercakap dengan orang lain. Cubalah antum amalkan mana-mana petua tradisional mudah di atas, InsyaAllah dapat mengatasi masalah bau mulut dan nafas antum dengan berkesan.
Apa yang penting antum mesti yakin bahawa yang menyembuhkan antum daripada sesuatu penyakit bukan benda lain, melainkan Allah SWT sahaja. Segala sesuatu dalam dunia ini tak akan beri manfaat atau mudharat, hanya melainkan dengan izin Allah SWT sahaja. Manusia hanya mampu berihktiar, hanya Allah yang menyembuhkan segala penyakit. Mudah-mudahan usaha ini diberkati dan dirahmati Allah. Amin Ya Allah.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
وَالسَّلاَمْ