Jumaat, 8 April 2016

Sujud Syukur, Sujud Sahwi dan Sujud Tilawah



Sujud Syukur

Sujud Syukur sunat dilakukan apabila seseorang itu mendapat sesuatu nikmat seperti lahir seorang anak, mendapat harta, terlepas dari bahaya dan lain-lain.Ia bertujuan melahirkan rasa terimakasih kepada Tuhan di atas nikmat tersebut.

Dalam hal ini, terdapat hadis Nabi s.a.w seperti berikut:

" Dari Abi Bakrah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w apabila telah datang kepadanya sesuatu urusan yang menyenangkannya, atau ia gembira kerana sesuatu, lalu ia sujud menekurkan ke tanah sebagai berterimakasih kepada Allah ta'ala".

Sujud syukur ini hanya dilakukan di luar sembahyang kerana ia tidak berhubungan dengan soal sembahyang. Syaratnya sama seperti sujud tilawah iaitu:

1. Suci dari segala najis di badan, pakaian dan tempat.
2. Menutup aurat
3. Menghadap kiblat

Rukunnya pula ialah :

1. Berniat untuk sujud syukur
2. Membaca takbiratul ihram, ketika sujud
3. Satu kali sujud
4. Memberi salam sesudah dudu



Sujud Sahwi

Sahwi bermaksud lupa sesuatu. Pengertian dari segi syarak adalah terlupa sesuatu di dalam solat. Sujud sahwi adalah sujud yang dilakukan sebanyak dua kali setelah selesai bacaan Tahiyat akhir dan sebelum salam; ia dikerjakan untuk menutup kecacatan dalam pelaksanaan solat kerana terlupa, dan hukumnya adalah sunat.

Doa sujud sahwi adalah seperti berikut:

Ertinya: "Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa."

Sebab-sebab sujud sahwi ada tiga: kerana kelebihan, kerana kekurangan, dan kerana ragu-ragu.

Sujud Sahwi Kerana Kelebihan

Barangsiapa terlupa di dalam solatnya lalu tertambah rukuk, atau sujud, dan sebagainya, maka dia perlu sujud sahwi.

Sujud Sahwi Kerana Kekurangan

Barangsiapa, justeru terlupa, lalu meninggalkan salah satu sunat ab'adh, maka ia harus sujud sahwi sebelum salam. Misalnya, makmum terlupa tahiyyat awal dan hanya teringat setelah sempurna qiam (berdiri tegak), maka dia tidaklah perlu duduk kembali dan cukup baginya sujud sahwi. Namun, sekiranya dia teringat sebelum separuh bangkit untuk qiam, maka bolehlah dia kembali duduk dan menyempurnakan tahiyyat awal dan tidak perlu sujud sahwi.

Sujud Sahwi Kerana Ragu-ragu

Keragu-raguan di dalam solat adalah kerana tidak meyakini sama ada terlebih atau terkurang, umpamanya seseorang ragu sama ada dia di dalam rakaat ketiga atau keempat. Keraguan ada dua jenis:

Sekiranya seseorang lebih cenderung kepada satu hal (waham, atau lebih 50% pasti), umpamanya dia lebih meyakini dia kini di dalam rakaat ketiga dan bukan rakaat keempat, maka dia harus menurutkan mengambil sikap kepada yang lebih ia yakini, kemudian dia melakukan sujud sahwi setelah salam.

Sekiranya seseorang itu ragu-ragu antara dua hal, dan tidak condong pada salah satunya (dzan, atau hanya 50-50 pasti), maka dia harus mengambil sikap kepada hal yang sudah pasti akan kebenarannya, iaitu jumlah rakaat yang sedikit. Kemudian menutupi kekurangan tersebut, lalu sujud sahwi sebelum salam.

Hal-hal Penting Berkenaan Dengan Sujud Sahwi

Apabila seseorang meninggalkan salah satu rukun solat secara tidak sengaja, dan ia belum sampai pada rukun yang sama di rakaat berikutnya, maka ia wajib kembali kepada rukun yang tertinggal itu, dan kembali meneruskan solat dari situ. Sekiranya dia sudah berada pada rukun yang tertinggal itu pada rakaat berikutnya, maka rukun yang tertinggal itu dianggap terganti dengan rukun pada rakaat berikutnya itu. Pada kedua-dua hal ini, wajib dia melakukan sujud sahwi setelah salam atau sebelumnya.

Apabila sujud sahwi dilakukan setelah salam, maka harus pula melakukan salam sekali lagi.
Apabila seseorang yang melakukan solat meninggalkan sunat ab'adh secara sengaja, maka batallah solatnya.
Jika ketinggalan kerana lupa, kemudian dia ingat sebelum beranjak dari sunat ab'adh tersebut, maka hendaklah dia melaksanakannya dan tidak perlu sujud sahwi.
Jika ia teringat setelah melewatinya tapi belum sampai kepada rukun berikutnya, maka hendaklah dia kembali melaksanakan rukun tersebut, lalu sujud sahwi selepas salam.
Jika ia teringat setelah sampai kepada rukun yang berikutnya, maka sunat ab'adh itu gugur, dan dia tidak perlu kembali kepadanya untuk melakukannya, akan tetapi perlu sujud sahwi sebelum salam.
Sekiranya seseorang itu terlupa sujud sahwi dan teringat hanya selepas memberi salam maka bolehlah ia sujud sahwi, dengan syarat ingatan itu timbul dalam masa yang tidak begitu lama.
Sekiranya imam terlupa sujud sahwi, makmum bolehlah sujud sahwi setelah imam memberi salam.



SUJUD TILAWAH DI LUAR SEMBAHYANG

Sepertimana yang telah dijelaskan bahawa sujud tilawah itu sunat juga dilakukan di luar sembahyang iaitu setelah selesai menghabiskan bacaan ayat sajdah atau mendengarnya, jika hendak melakukan sujud tilawah hendaklah berniat sujud tilawah kemudian bertakbir iftitah seperti takbiratul ihram dalam sembahyang.

Niat sujud tilawah ini adalah wajib bersandarkan kepada hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam :

Maksudnya: “Sesungguhnya amal perbuatan itu hanyalah dengan niat”

Begitu juga dengan takbir iftitah hukumnya adalah wajib kerana ia adalah merupakan syarat sujud tilawah itu menurut pendapat al-ashah.

Di samping berniat di dalam hati ia juga disunatkan melafazkan niatnya itu, seperti:

Ertinya:“Sahaja aku melakukan sujud tilawah kerana Allah Ta‘ala”

Kemudian itu bertakbir sekali lagi untuk melakukan sujud tanpa mengangkat tangannya. Apabila hendak bangun dari sujud adalah disunatkan ketika mengangkat kepalanya dengan bertakbir.

Adalah disunatkan menurut pendapat al- shahih memanjangkan bacaan takbir yang kedua ketika hendak sujud sehingga ia meletakkan dahinya ke tempat sujud, dan juga bagi takbir yang ke tiga ketika bangkit dari sujud sehingga duduk semula.(Al-Majmuk 3/561)

Setelah ia bangun dari sujud maka disudahi dengan salam iaitu dalam keadaan dia duduk tanpa bertasyahhud. Salam menurut pendapat al-azhar adalah wajib kerana ia merupakan syarat sebagaimana di dalam kitab Syarah Al-Minhaj. Kesimpulannya perkara yang dituntut yang juga merupakan rukun sujud tilawah bagi yang melakukannya bukan di dalam sembahyang ialah niat sujud, takbir seperti yang dilakukan ketika hendak mengangkat takbir untuk menunaikan sembahyang, sujud dan juga salam.

Perlu diingat bahawa untuk melakukan sujud tilawah di luar sembahyang ini tidak disunatkan bangun dari duduk untuk berdiri (qiam) kemudian melaksanakan sujud, bahkan memadailah hanya dalam keadaan duduk. Sementara itu jika dia dalam keadaan berdiri maka dilakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdirinya itu kemudian membaca takbir dan sujud.

(At-Tibyan Fi Adab Hamalatil Quran 118)