Ahad, 21 Februari 2016
RESOLUSI KONGRES RAKYAT NEGERI PULAU PINANG
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
Kongres Rakyat Negeri Pulau Pinang yang bertemakan “Membina Pulau Pinang Sejahtera” yang diadakan pada hari ini 12 Jamadilawal 1437 Hijrah bersamaan 21 Februari 2016 di Yayasan An-Nadhoh, Pulau Pinang yang disertai oleh rakyat dari pelbagai lapisan , kaum dan pegangan agama , mengisytiharkan resolusi berikut:
MENYEDARI bahawa mendahulukan kebajikan rakyat adalah aspek terpenting yang menjadi tanggungjawab pemerintah untuk dilakasanakannya dengan amanah dan adil,
MENGINSAFI bahawa rakyat mempunyai hak untuk bersuara dan menegur pemerintah yang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan menuntut supaya salah pentadbiran kerajaan diperbaikki.
MEMAHAMI bahawa segala aspek pembangunan yang menyentuh kepentingan rakyat termasuk persoalan ekonomi , sosial , seni budaya , politik , pendidikan , kesihatan , pentadbiran , perundangan dan pengurusan sumber bumi perlu dikendalikan dengan cermat , berhemat dan penuh kebijaksanaan ,
MEYAKINI bahawa rakyat berhak memastikan kerajaan yang melaksanakan tanggungjawab dengan mengutamakan kebajikan rakyat dipileh untuk diberi mandat menerajui pemerintahan berdasarkan sistem pemilehan yang adil, bebas dan demokratik.
DENGAN INI MENGISTIHARKAN bahawa kami:
1. Bertekad membina Negeri Pulau Pinang yang mengutamakan kesejahteraan rakyat melalui pengemblengan dan gerakan kesedaran rakyat melibatkan seluruh lapisan, dari golongan masyarakat bawahan hinggalah pemimpin kerajaan, agar melaksanakan dasar pembangunan yang betul bagi menjayakan cita-cita Membina Pulau Pinang Sejahtera.
2. Menjadikan agenda pendidikan sebagai isu terpenting untuk memupuk kesedaran rakyat ke arah perubahan sosial, ekonomi dan politik yang adil, partisipatif dan demokratik serta mendidik rakyat agar mengelak pendekatan yang boleh menimbulkan suasana kucar kacir dan tidak harmonis di negeri Pulau Pinang.
3. Memperkasa dan mengangkat peranan wanita dalam pelbagai sektor yang boleh membantu golongan ini membangunkan potensi yang ada dalam diri mereka serta memperketatkan undang-undang agar wanita tidak dieksplotasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
4. Bertindak menitiberatkan kebajikan rakyat dari sudut ekonomi dan pendidikan kepada semua kaum serta menyediakan program-program kemasyarakatan dengan memberi fokus kepada permasalahan sosial. Selain itu, pihak yang berwajib perlu bertegas dalam berhadapan dengan kepesatan pusat-pusat hiburan, rumah urut, kegiatan maksiat dan “gengsterism”.
5. Kenaikan kos sara hidup rakyat yang semakin runcing, perhatian serius seharusnya diusahakan dalam membela masyarakat negeri ini terutama mereka yang berada didalam sektor industri. Pemerincian akta-akta yang melibatkan kebajikan pekerja perlu diperhalusi agar memberi manfaat pada semua dan bukannya menindas.
6. Meningkatkan mutu pendidikan Sekolah Agama Rakyat dengan memberikan peruntukan yang sekata serta hak kesamarataan dan keistimewaan sama seperti sekolah kebangsaan serta tidak dipolitikkan isu pendidikan Sekolah Agama Rakyat dalam melahirkan generasi insan yang berilmu dan menjunjung tinggi nilai agama.
7. Kongres juga memberi perhatian terhadap pembelaan hak dan tanggungjawab kepada peniaga-peniaga Melayu dalam mengurangkan jurang ekonomi dan penindasan serta menyediakan peluang perniagaan yang sama terhadap semua kaum demi melahirkan negeri Pulau Pinang yang menegakan keadilan untuk semua.
8. Memastikan agar sumber negeri Pulau Pinang diurus dengan berkesan, menghindari pembangunan yang menjejaskan kualiti alam sekitar , meneliti dasar-dasar kerajaan dengan mengambil kira faktor ekonomi semasa, dan kepentingan rakyat juga perkara yang berkaitan sumber air, hasil laut serta sektor perikanan bagi mengelak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab demi mengekalkan daya saing dan daya maju ekonomi negeri Pulau Pinang dengan mapan untuk generasi kini dan generasi masa depan .
9. Bertindak untuk mendesak Kerajaan Negeri dan Persekutuan berperanan dengan berkesan mentadbirurus negeri Pulau Pinang dengan amanah dan berintegriti demi kebajikan rakyat; serta mengekang segala amalan rasuah , salahguna kuasa dan pembaziran wang awam , menghentikan sebarang tindakan yang menyusahkan rakyat seperti pelaksanaan GST untuk semua golongan, menaikkan kos harga rumah, pengambilan tanah tanpa pampasan setimpal, pengurusan dan pembangunan tanah wakaf yang tidak efektif serta pelbagai bayaran perkhidmatan awam yang membebankan kos sara hidup rakyat .
10. Mengkaji, meneliti dan menghalusi semua tuntutan yang disuarakan dalam Kongres Rakyat Negeri PulauPinang; seterusnya merumuskan sebuah Pelan Tindakan Rakyat Pulau Pinang seperti berikut:
PELAN TINDAKAN KONGRES RAKYAT NEGERI PULAU PINANG
1. Menubuhkan pasukan petugas khas bagi setiap sektor isu rakyat untuk diambil langkah susulan.
2. Menghasilkan sebuah memorandum rakyat Pulau Pinang untuk dipanjangkan kepada Kerajaan Negeri dan Pusat dengan tujuan tindakan dilaksanakan ke atas semua usul yang dinyatakan dalam Kongres Rakyat.
3. Mengadakan dialog dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan berdasarkan isu yang dibangkit oleh pembicara di Kongres Rakyat.
4. Menganjur perhimpunan rakyat berdasarkan isu utama yang dibangkit agar memperinci tuntutan yang dibahaskan dalam Kongres Rakyat.
5. Menubuhkan seketariat tetap Kongres Rakyat Negeri Pulau Pinang bagi mengambil langkah susulan dan menjadi pusat pengembelingan rakyat.
Sekian
Pengarah Kongres Rakyat PP.
Ust Yusni Mat Piah