Ahad, 8 Mac 2015
Mencari Bantuan Allah
Mencari Bantuan Allah
Salam,
1- Kita sering mendengar bahawa Allah itu maha Berkuasa dan maha Kaya. Tetapi bagaimanakah kita mahu mendapatkan bantuan Allah dalam kehidupan kita?
Tidakkah kita mendengar Kata Allah?:
أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ
"Ketahuïlah, sesungguhnya bantuan Allah itu adalah dekat" [Al-Baqarah: 214]
3- Namun, hendaklah difahami ayat tersebut daripada awalnya, yang memberikan gambaran kepada bantuan Allah. Kata Allah:
أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ
"Adakah kamu menyangka yang kamu akan memasuki syurga? Dan belum datang kepada kamu seperti apa yang telah berlalu sebelum kamu? Telah menimpa mereka kemiskinan dan kesakitan, dan mereka digegarkan sehingga berkata Rasul itu dan orang-orang yang beriman bersamanya: Bilakah bantuan Allah? Ketahuïlah, sesungguhnya bantuan Allah itu adalah dekat" [Al-Baqarah: 214]
4- Wahai orang yang mengharapkan bantuan Allah, adakah anda mengharapkan bantuan percuma tanpa ujian? Atau tanpa ditimpa sebarang kemiskinan dan kesakitan, atau tanpa digegarkan keimanan anda?
5- Tidakkah anda yakin dengan Kata Allah?:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ
"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membantu Allah, Dia akan membantu kamu" [Muhammad: 7]
6- Orang membantu Allah, Allah akan memberikan mereka kemenangan, sehingga tiada siapa pun dapat mengalahkan orang-orang yang dibantu Allah. Kata Allah:
إِنْ يَنْصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ
"Jika Allah membantu kamu, maka tiada pengalah bagi kamu" [Ali `Imran: 160]
7- Dan hendaklah diketahuï bahawa Allah menolong sesiapa yang dikehendaki-Nya. Kata Allah:
بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ
"Dengan bantuan Allah, Dia membantu sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dia adalah yang maha Perkasa, yang Maha Pengasih" [Ar-Rum: 5]
8- Dengarkan kata Nabi ini:
احفظ الله يحفظك ، احفظ الله تجده تجاهك ، إذا سألت فاسأل الله ، وإذا استعنت فاستعن بالله ، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء ، لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك ، وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء ، لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك ، رفعت الأقلام وجفت الصحف
"Jagalah Allah, Dia akan menjaga kamu. Jagalah Allah, kamu akan dapati Dia menghadap kamu. Apabila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah. Dan apabila kamu meminta tolong, maka mintalah tolong dengan Allah. Dan ketahuïlah bahawa umat itu, jika mereka berkumpul untuk memberi kamu manfa`at dengan sesuatu, mereka tidak akan memberi manfa`at kepada kamu melainkan dengan sesuatu yang telah Allah tetapkannya untuk kamu. Dan jika mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan sesuatu, mereka tidak akan memudharatkan kamu melainkan dengan sesuatu yang Allah telah tetapkannya ke atas kamu. Telah diangkat qalam-qalam, dan telah kering suhuf" [At-Tirmizi/ 2516, sahih]
9- Ayat yang sangat baik untuk direnung oleh orang yang beriman yang mengharapkan bantuan Allah, Allah merakamkan di dalam Al-Qur’an:
إِنَّهُ مَنْ يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ
"Sesungguhnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan ganjaran bagi orang-orang yang berlaku baik" [Yusuf: 90]
10- Tidakkah janji Allah ini cukup besar bagi orang yang beriman? Kata Allah:
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا
"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, Dia akan menjadikan baginya jalan keluar" [At-Talaq: 2]
11- Tidakkah jalan keluar daripada sesuatu masalah itu merupakan suatu bentuk pertolongan yang sangat besar?
12- Dan Kata Allah:
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْرًا
"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, Dia akan menjadikan baginya – daripada urusannya – kemudahan" [At-Talaq: 4]
13- Dan tidakkah dimudahkan dalam urusan itu suatu bentuk pertolongan daripada Allah?
14- At-Tabariy merekodkan bahawa Al-Hasan berkata tentang orang-orang yang bertaqwa:
اتَّقَوْا ما حُرِّم عليهم، وأدَّوا ما افتُرِض عليهم
"Mereka menjauhi apa yang diharamkan ke atas mereka, dan mereka melaksanakan apa yang diperintahkan ke atas mereka."
15- At-Tabariy juga merekodkan bahawa Ibni `Abbas berkata tentang orang-orang yang bertaqwa:
أي الذين يحذَرُون من الله عز وجل عقوبتَه في تَرْك ما يعرفون من الهُدى، ويرجون رحمَته بالتَّصديق بما جاء به
"Iaitu orang-orang yang berjaga-jaga dengan Allah daripada hukumannya pada meninggalkan apa yang mereka tahu daripada petunjuk, dan mereka mengharapkan rahmat-Nya dengan membenarkan apa yang Dia datangkan dengannya."
16- Wahai orang-orang yang mengharapkan bantuan Allah, untuk mendapatkan bantuan Allah, anda akan menerima ujian daripada Allah.
17- Wahai orang-orang yang mengharapkan bantuan Allah, Allah membantu sesiapa yang Dia kehendaki.
18- Wahai orang-orang yang mengharapkan bantuan Allah, Allah tidak akan menyia-nyiakan apa yang anda harapkan dan lakukan.
19- Wahai orang-orang yang mengharapkan bantuan Allah, anda perlulah bertaqwa untuk mendapat bantuan Allah.
20- Dan untuk menyemak ketaqwaan anda, tanyakan diri anda soalan-soalan ini:
a) Adakah anda menjauhi apa yang diharamkan ke atas anda?
b) Adakah anda melaksanakan apa yang diperintahkan ke atas anda?
c) Adakah anda ada meninggalkan mengamalkan sebarang ilmu yang anda pelajari? Tanpa takut kepada cemuhan masyarakat, atau kekangan adat, atau penentangan orang-orang di sekeliling anda?
d) Adakah anda mengharapkan rahmat Allah di atas petunjuk-Nya? Atau mungkin anda mengharapkan wang ringgit daripada manusia? Atau mungkin anda mengharapkan rahmat manusia dengan menyembunyikan apa yang Tuhan telah berikan ilmu kepada anda?
21- Semaklah iman anda, dan bertaqwalah kepada Allah!
22- Bantuan Allah yang anda cari, dan rahmat Allah, maka kenapa anda mencari pula rahmat manusia dan mengetepikan petunjuk Allah?
23- Semaklah iman anda, dan bertaqwalah kepada Allah! Dan bersabarlah!
WaLlahu a`lam.
Ditulis oleh Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin