Rabu, 21 Januari 2015

Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari | Ilmu Tasawuf Kotor ?


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.... Bila kita membicarakan berkaitan tasawuf, maka kita tidak boleh lari dari membicarakan berkenaan dengan hati atau qalbi yang merupakan alat atau instrumen terpenting dalam menghidupkan jiwa tasawuf. Ramai yang terkeliru dengan makna dan istilah hati atau qalbi ini.Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa paras kita,tapi Allah memandang hati kita. Bukankah hati itu istana Allah? oleh itu,mengapa kita tidak mahu mengkaji misteri hati atau jantung kita sendiri secara fizikal dahulu sebelum kita menggunakannya menjadi alat untuk menyampaikan kita pada mengenali diri kita dan seterusnya mengenal Allah.

Sabda Nabi SAW bermaksud ; “ Didalam tubuh manusia itu,ada seketul darah,jika darah itu baik ,maka baiklah manusia tersebut dan jika darah itu kotor maka kotorlah manusia itu. Sesungguhnya ketulan darah itu ialah hati (qalbi)”.

Kata Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i dalam kitabnya Tanbihut Thullab fi Ma’rifati Malikil wahhab : “ maka Qalbi(hati),tatkala sempurna penyiapannya dan kuat cahayanya dengan sebab berkekalan melakukan zikir yang maha tinggi bagi muraqabah yang siap sedia bagi musyahadah menjadilah ia sebagai cermin tajalli ketuhanan.adalah dia menghimpunkan antara kedua lautan muraqabah dan musyahadah.Dia tempat pertemuan bagi sekalian alam.Yang demikian itu ialah ‘Arsyullah ( Kerajaan Allah) sebagaimana yang telah diceritakan dalam hadis “hati(qalbi) orang beriman itu adalah istana Allah”[ al-ma’rifah- jld 2-Hj Wan Mohd Shagir,m/s 59]

Hati atau Qalbi adalah tempat jatuhnya tilikan Allah,bila hati bersih ia ibarat cermin,kata Al-Ghazali.Ia juga tempat hambanya yang terpilih beroleh ilmu berupa ilmu Laduni atau ilmu batin seperti sabda Rasul yang bermaksud “ilmu itu ada dua macam.Pertama;ilmu lisan,sebagai hujjah Allah dan hambanya. Kedua;ilmu batin yang bersumber di lubuk hati,ilmu inilah yang berguna untuk mencapai tujuan pokok dalam ibadat”(Buku Sirrul-Asrar- Syeikh Abdul Qadir Al-jailani,m/s 19).Kata Sheikh Abdul Qadir lagi dalam kitabnya Sirrul-Asrar: “mula-mula manusia memerlukan ilmu syariat agar badannya mempunyai kegiatan dalam mencari makrifat pada makrifat sifat,iaitu ‘darajat’.kemudian manusia menginginkan ilmu batin agar ruhnya mempunyai kegiatan untuk mencapai makrifat pada makrifat zat. Untuk tujuan ini manusia harus meninggalkan segala sesuatu yang menyalahi syariat dan tariqat. Hal ini akan dapat dicapai dengan melatih diri meninggalkan keinginan nafsu walaupun terasa pahit dan melakukan ruhaniyyah dengan tujuan mencapai redha Allah serta bersih dari riya’(ingin dipuji orang lain) dan sum’ah(mencari kemasyhuran).