Isnin, 8 April 2013

'Politik Tiada Kena Mengena Dengan Islam' Satu Pemikiran Yang Sangat Salah











Islam adalah suatu cara hidup yang merangkumi setiap perkara sejak kita bangun dari tidur sehingga kita tidur, dari kita dihidupkan sehingga kita kembali (mati), dari pemerintahan sebuah khilafah kepada adab-adab di dalam tandas, semuanya ada dalam Islam. Dalam memahami perkara ini, saya petik kata-kata Al-Imam Hassan Al-Banna yang mengulas mengenai kesyumulan Islam ;

“Kita meyakini hukum-hakam Islam dan pengajarannya yang syumul dan menyusun kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Sesungguhnya ada manusia yang menyangka pengajaran ini hanya berkaitan dengan soal ibadat dan kerohanian serta tidak melibatkan bidang-bidang yang lain. Mereka telah tersilap dengan sangkaan sebegini. Islam adalah aqidah dan ibadat, tanahair dan bangsa, agama dan Negara, amal dan rohani, Al-Quran dan ‘pedang’.”

Politik atau As-Siyasah juga merupakan salah satu cabang penting dalam Islam yang semakin diketepikan peranannya hari ini. Ini disebabkan oleh politik semasa di Malaysia yang dicemari dengan jenayah-jenayah rasuah, bohong, seksual dan pecah amanah. Masyarakat mula melihat politik dengan pandangan yang jijik justeru mereka mula meninggalkan dunia politik.



Ini merupakan suatu bentuk doktrinisasi kotor dari pihak tertentu yang semestinya mahu mengekalkan kuasa mereka. Ini kerana, apabila masyarakat mula ‘mual’ dengan politik tanah air, sebahagian dari mereka tidak mahu terlibat dan ambil peduli terhadap isu-isu semasa yang berlaku di sekeliling mereka termasuk soal memilih pemerintah. Cukup dengan akademik, kerjaya dan rumahtangga.

Ini seterusnya memudahkan bagi kelompok yang berkuasa  untuk terus berkuasa kerana sikap masyarakat yang tidak lagi peduli tentang politik semasa. Maka, proses pemurnian terhadap persepsi kepada politik mesti dilakukan. Politik ‘rosak’ pada hari ini kerana pengamalnya dan bukan beerti kita perlu menolaknya (politik).


Politik Dan Al-Quran
Al-Quran ada menghubungkan politik dengan Islam dan perlunya kepada kita untuk berpolitik dalam menegakkan syariat Islam. Antaranya firman Allah SWT :


“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia, supaya kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah SWT memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah SWT adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah SWT dan taatilah Rasul(nya), dan ulil amri di antara kamu .Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu,maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah SWT dan hari kemudian, yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah An-Nisa’ : 58-59)

Ayat-ayat suci Al-Quran di atas menjelaskan kewajipan :
  • Berlaku adil dengan perintah Allah SWT dan hukumnya terhadap seluruh manusia tanpa batas agama, bangsa, Negara dan keadaan.
  • Wajib diadakan pemimpin yang dinamakan Ulu Amri (kepimpinan negara yang beriman).
  • Ketaatan rakyat kepada pemimpin selepas dari ketaatan kepada Allah SWT dan RasulNya.
  • Perlembagaan yang meletakkan al-Quran dan Sunnah adalah hukum tertinggi.
  • Kaitan politik dengan beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat yang menjadi tunggal penting kepada rukun iman.
  • Perkara asas yang kita perlu bangkitkan adalah mengenai perkaitan antara Islam dan politik. Seperti yang disebutkan pada perenggan awal tulisan ini, Islam juga merangkumi soal politik. Sebab itu, di dalam Al-Quran tidak hanya membicarakan soal ibadat semata-mata, tetapi juga membangkitkan soal perundangan  sepertimana ayat dari Surah An-Nisa’ di atas.


    Soal kepentingan menegakkan keadilan dan hukumnya kepada seluruh manusia,bagaimana mahu menegakkan keadilan Islam dan hukumnya jika kita membiarkan kezaliman yang memerintah malah lebih buruk mengambil sikap bersekongkol dengan mereka atas tujuan-tujuan tertentu. Politiklah yang memainkan peranan itu kerana politik adalah jalan menegakkan syariat Islamjalan menegakkan keadilan Islam dan jalan meruntuhkan kezaliman.

    Begitu juga soal bagaimana Allah SWT memberi penekanan yang sangat tinggi kepada politik sehingga politik dikaitkan dengan iman. Justeru kita boleh menilai sendiri kepentingan politik dalam Islam sehingga menyentuh perkara dasar dalam agama.

    Ini adalah beberapa keterangan yang mengaitkan Islam dan politik yang mesti dihadami oleh setiap muslim pada hari ini.





    Politik dan Para Rasul
    Dikalangan para rasul, ada sebahagian dari mereka yang bukan hanya menjadi pemimpin agama malah pada masa yang sama mereka adalah pemimpin sebuah negara. Antaranya Nabi Sulaiman AS dan bapanya Nabi Daud AS, menguasai kerajaan dunia juga nabi yang terakhir, Nabi Muhammad SAW juga merupakan pemimpin Madinah Al-Munawwarah.
    Tambahan pula dikalangan mereka ada yang menggerakkan gerakan menentang kerajaan zalim di zaman masing-masing, ada yang mati dibunuh sehingga syahid seperti Nabi Zakaria AS dan Nabi Yahya AS, ada yang dipenjara dan lain-lain. Ini sebagai bukti kukuh, Islam yang dibawa oleh para nabi bukan hanya bercakap soal ibadat,solat dan bukan hanya di dalam masjid tetapi merangkumi soal perundangan, menegakkan keadilan dan meruntuhkan kezaliman.

    Maka, sebagai sedikit rumusan dalam tulisan ringkas ini ialah :
    1. Mesti kita meyakini bahawa Islam adalah sebuah cara hidup yang merangkumi seluruh dari aspek kehidupan kita, tidak tertinggal walau sekecil-kecil perkara.
    2. Kita perlu memahami kaitan politik dengan Islam dan kepentingannya untuk kita menguasai medan politik ini dalam membawa aspirasi syari’at Allah SWT dalam bidang perundangan negara khususnya.
    3. Jalan yang paling utama dalam konteks menegakkan syariat Islam di Malaysia adalah melalui jalan politik.
    4. Politik hari ini mesti dibersihkan dari jenayah-jenayah pihak tertentu dengan mengembalikan manusia kepada politik yang diajar oleh Islam.