PAS merupakan sebuah parti yang memperjuangkan Islam menjadi amalan dan
teras kepada masyarakat di Malaysia. Menjadikan Islam sebagai teras
perjuangan bermakna menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan
utama dalam merancang perjalanan dan menentukan tindakan yang ingin
diambil. Ulama pula menjadi teraju utama perjuangan PAS kerana merekalah
yang lebih hampir kepada Al-Quran dan As-Sunnah, dan merekalah yang
selayaknya memimpin sebuah gerakan Islam.
Islam adalah panduan, Islam juga adalah
matlamat dan cita-cita perjuangan PAS. Sepertimana yang disebut oleh
Saidina Omar R.A: “Kita adalah kaum dimuliakan oleh Allah dengan Islam.
Sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, Allah akan
menghinakan kita.”
Islam tidak memerlukan teras tambahan
kerana kesempurnaan kandungan yang ada pada Islam. Dibimbangi, tokok
tambah yang dibuat, diambil pula daripada sumber yang tidak Islamik,
menjejaskan hala tuju perjuangan Islam itu sendiri. Firman Allah Taala
di dalam Al-Quran: “Pada hari ini Aku (Allah) telah sempurnakan bagi
kamu Agama (Deen = cara hidup) kamu, dan Aku cukupkan ke atas kamu
nikmat-nikmatKu, dan Aku redha Islam menjadi Agama (Deen = cara hidup)
bagi kamu.” (Surah Al-Maidah, 5 : 3)
Menjadikan Islam sebagai teras juga
membawa makna matlamat utama perjuangan ialah mencari keredhaan Allah.
Berjuang bukan kerana jawatan dan kedudukan, sebaliknya berjuang
sehingga sanggup berkorban harta dan nyawa semata-mata untuk mencari
keredhaan Allah dan meninggikan kalimah Allah yang Maha Tinggi.
Misi Islam ialah beramal kerana Allah, Dialah yang lebih layak menjadi
tempat rujukan dan menjadi pemutus dalam setiap tindakan hamba-hambaNya.
Dahulu, Tanah Melayu pernah menjadikan
Islam dan segala undang-undang yang terdapat di dalamnya sebagai
perlembagaan dan sumber rujukan utama. Namun, pencerobohan dan
penjajahan oleh imperialis barat telah mengganggu-gugat kedudukan Islam
sehinggalah pada hari ini, rakyat Malaysia sendiri lupa akan asal-usul
juga sejarah yang pernah dilakarkan oleh ulama silam.
Imperialis Barat bukan sahaja datang membawa misi untuk menjajah Tanah Melayu, bahkan mereka membawa doktrin dan ideologi yang memisahkan masyarakat, khususnya pentadbiran di Tanah Melayu ini daripada Islam.
Imperialis Barat bukan sahaja datang membawa misi untuk menjajah Tanah Melayu, bahkan mereka membawa doktrin dan ideologi yang memisahkan masyarakat, khususnya pentadbiran di Tanah Melayu ini daripada Islam.
Konsep demokrasi yang diperkenalkan juga
merupakan antara doktrin yang Berjaya mereka terapkan di dalam amalan
pentadbiran Kerajaan Malaysia. Sungguhpun begitu, PAS menggunakan ruang
yang ada untuk terus memastikan agenda Islam dapat diperjuangkan dalam
suasana demokrasi. Malah bersama-sama dengan Pakatan Rakyat memastikan
keadilan dan demokrasi dapat ditegakkan kembali di Malaysia. Ini kerana,
demokrasi selagi tidak melampaui batas, adalah diterima dan boleh
menjadi platform yang baik untuk memperjuangkan Islam. Hasilnya,
Kerajaan Negeri Kelantan terus aman dan berkembang dan dipimpin dengan
Islam menjadi teras utama kerajaan.
Demokrasi pula merujuk kepada kuasa
rakyat dan penyertaan ramai dalam membuat sesuatu keputusan. Konsep
majoriti merupakan asas kepada demokrasi. Dalam konteks negara
demokrasi, parti yang mendapat lebih banyak undi akan terpilih sebagai
parti pemerintah. Semua parti politik yang menyertai pilihanraya di
Malaysia, menerima hakikat ini. Sekalipun proses demokrasi di Malaysia
tidak begitu menjamin hak semua rakyat, khususnya parti politik, kita
perlu bersetuju bahawa proses demokrasi ini adalah proses terbaik untuk
memastikan keharmonian politik dan sosial di Malaysia.
Begitupun, Islam tidak boleh
disamaertikan dengan proses Demokrasi. Kebenaran Islam tidak bergantung
kepada ramainya penyokong. Apalagi hukum-hakam dalam Islam, bukanlah
subjek yang boleh dipertimbangkan melalui suara majoriti. Namun, situasi
dalam negara demokrasi memerlukan sokongan ramai untuk memastikan Islam
berjaya ditegakkan. Maka menjadi tanggungjawab semua umat Islam di
Malaysia tidak kira dari parti Umno Barisan Nasional, lebih-lebih lagi
dari parti PAS untuk memperjuangkan Islam melalui lunas-lunas demokrasi.
Islam merupakan agama Allah. Ia
disampaikan oleh para Nabi dan Rasul, melalui proses yang pelbagai.
Namun, ia bukanlah suatu yang boleh dipertimbangkan untuk diterima atau
ditolak, sebaliknya menjadi tanggungjawab setiap individu muslim untuk
melaksanakan Islam dalam kehidupan.
PAS sebagai sebuah parti politik
mengambil bahagian dalam pilihanraya, sebagai tanda penerimaan dan
persetujuan bahawa Malaysia sebuah negara yang demokratik. PAS juga
berkeyakinan penuh bahawa melalui jalan demokrasi ini, PAS mampu
mencapai matlamatnya memaknakan kedudukan Islam sebagai agama rasmi
negara. Walaupun bersetuju untuk menyertai proses demokrasi, tetapi PAS
perlu kekal sebagai parti Islam yang tulen. Menggabungkan diri dalam
perjuangan Islam sahaja sudah cukup indah dan sempurna tanpa
menyamakannya dengan mana-mana bentuk ideologi dan pemikiran.
PAS sebagai sebuah parti politik tidak
pernah menjadikan Islam sebagai bahan dagangan politik untuk
mendapatkan kuasa, apa lagi menjadikan Islam sebagai mangsa demokrasi
sehingga isi kandungannya boleh dipisah-pisahkan sesuka hati.
Sebaliknya, PAS komited menjadikan Islam sebagai teras perjuangan dan
menjadikan Malaysia ini Negara yang berkebajikan adalah selaras dengan
misi ini.
Bahkan Allah Taala melantik seluruh umat
manusia, tidak terkecuali walau seorangpun, sebagai khalifah yang
menjadi wakil pemerintahan di muka bumi. Bermakna, manusia seluruhnya
memikul tanggungjawab untuk memakmurkan dan memelihara dunia ini dengan
penuh keharmonian dan keadilan.
Oleh : Muhammad Ismi Mat Taib
Penulis ialah Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.