Perbincangan al-Quran dan al-Sunnah
tentang sikap berdiam diri dari kemungkaran dan bersikap negatif
terhadap mereka yang melakukannya sama ada pemerintah ataupun rakyat
adalah suatu perbincangan yang menggoncangkan perasaan mereka yang
memiliki sebesar biji sawi iman di dalam hatinya.
Firman Allah bermaksud:
"Orang-orang kafir Yahudi
dari Bani Israil telah dilaknat (di Dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil)
melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu
disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh." (78)
"Mereka sentiasa tidak
berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan
ceroboh), Yang mereka lakukan. Demi Sesungguhnya amatlah buruknya apa
Yang mereka telah lakukan." (79)
(Surah al-Ma’idah: 78-79)
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa di kalangan kamu
yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia merubahnya dengan tangan,
sekiranya dia tidak mampu maka dengan lidah, sekiranya tidak mampu maka
dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman.”
Adalah suatu sangkaan yang silap bahawa kemungkaran terhad pada zina, meminum arak dan apa yang ada pada makna keduanya.
Menghina
kehormatan rakyat adalah suatu kemungkaran yang besar. Menipu dalam
pilihanraya adalah kemungkaran yang besar. Tidak memberikan kesaksian
dalam pilihanraya adalah kemungkaran yang besar kerana ia menyembunyikan
kesaksian. Menyerahkan pemerintahan kepada bukan ahlinya adalah
kemungkaran yang besar. Mencuri harta awam adalah kemungkaran yang
besar. Memonopoli barangan yang diperlukan oleh orang ramai untuk
kepentingan individu ataupun kumpulan adalah kemungkaran yang besar.
Menahan manusia tanpa jenayah yang diputuskan oleh mahkamah yang adil
adalah kemungkaran yang besar. Menyiksa manusia di dalam penjara dan
pusat tahanan adalah kemungkaran yang besar. Memberi, menerima dan
menjadi orang tengah bagi rasuah adalah kemungkaran yang besar.
Mengambil hati dan memuji-muji pemerintah yang batil adalah kemungkaran
yang besar. Menjadikan musuh Allah dan musuh umat sebagai pemimpin
dengan mengenepikan orang yang beriman adalah kemungkaran yang besar.
Begitulah kita mendapati ruang bagi
kemungkaran semakin meluas hinggakan ia mencakupi kebanyakan perkara
yang dianggap oleh manusia sebagai urusan asasi bagi politik. Apakah
seorang Muslim yang cintakan agamanya dan sentiasa berusaha memperolehi
keredhaan Tuhannya akan berdiam diri? Ataupun lari berundur daripada
medan apabila berhadapan dengan kemungkaran dan sebagainya kerana takut
ataupun mahu menyelamatkan diri?
Perasaan seperti ini sekiranya tersebar
di kalangan umat, maka telah berakhirlah risalahnya dan mereka akan
terhapus kerana mereka telah menjadi umat lain bukannya suatu umat yang
telah disifatkan oleh Allah dengan firmannya bermaksud:
"Kamu (Wahai
umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah)
umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik
dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta
kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah
ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang
semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di
antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang
fasik." (Surah ali-‘Imran: 110)
Tidak hairan sekiranya kita mendengar amaran Nabi s.a.w. kepada umat dalam masalah seperti ini, baginda telah bersabda:
“Apabila kamu melihat umatku
takut untuk berkata kepada orang zalim: Wahai orang zalim, maka telah
diucapkan selamat tinggal untuk mereka.”
Ertinya, mereka sudah tidak layak untuk hidup.
Seorang muslim dengan kedudukan imannya
dituntut agar tidak menjadi penonton terhadap kemungkaran walau apapun
jenisnya. Sama ada ia berbentuk politik, ekonomi, kemasyarakatan ataupun
thaqafah. Bahkan dia hendaklah menentangnya dan berusaha merubah dengan
tangannya sekiranya dia mampu. Kalau tidak mampu, maka menggunakan
lidah dan penjelasan. Sekiranya dia tidak mampu merubah dengan lidah,
maka dia berpindah ke peringkat lain yang paling rendah iaitu berubah
dengan hati yang telah dijadikan oleh hadith sebagai: “Selemah-lemah
iman.”
Ia dinamakan oleh Rasulullah s.a.w.
sebagai mengubah dengan hati kerana ia adalah tanggungan jiwa dan
perasaan menentang kemungkaran, mendokong dan membela penentangan ini.
Tanggungan ini bukanlah perkara negatif
sebagaimana yang disangkakan. Sekiranya ia negatif, ia tidak akan
dinamakan sebagai merubah oleh hadith tersebut.
Tanggungan yang berterusan bagi jiwa,
perasaan dan hati semestinya pada suatu masa akan menghasilkan usaha
yang positif. Kemungkinan ia akan menjadi satu revolusi umum ataupun
letusan yang menghancurkan sekiranya tekanan berterusan. Tekanan yang
berterusan akan mencetuskan
letupan yang merupakan satu sunnah Allah di
kalangan makhluk-Nya.
Sekiranya hadith ini menamakan sikan ini
sebagai ‘merubah dengan hati’, maka hadith Nabi s.a.w. yang lain telah
menamakannya sebagai ‘jihad dengan hati’ yang merupakan darjat jihad
yang paling rendah sebagaimana ia juga adalah darjat iman yang paling
rendah. Muslim telah meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud secara marfu’:
“Tidak ada seorang nabi pun
yang diutuskan oleh Allah di kalangan umat sebelumku melainkan wujud
daripada umatnya itu golongan Hawariyun (pembantu) dan para sahabat yang
mengambil Sunnahnya dan mematuhi perintahnya. Kemudian dia meninggalkan
selepas mereka para pengganti yang berkata apa yang tidak mereka
lakukan dan melakukan apa yang tidak diperintahkan. Sesiapa yang
berjihad menentang mereka dengan tangan maka dia adalah seorang Mukmin.
Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan lidah maka dia adalah
seorang Mukmin. Sesiapa yang menentang mereka dengan hati maka dia
adalah seorang Mukmin dan tidak ada di sebalik itu iman walaupun sebesar
biji sawi.”