Fenomena Hebah dan Fitnah: Mudahnya ke Neraka Dengan Media Baru
Di
dalam khutbah wuquf di Arafah yang saya dengar secara langsung dari
Masjid Nimrah tengahari tadi, antara perkara yang ditekankan oleh khatib
ialah bahaya menggunakan media baru untuk menyebarkan berita yang masih
belum pasti kebenarannya ke pengetahuan umum. Khatib menyebut bahawa
antara media yang kerap digunakan ialah internet.
Zaman sekarang, penyebaran maklumat seupama ini berlaku pantas dengan berkembangnya pelbagai aplikasi internet seperti website, weblog dan Facebook serta laman interaksi sosial yang lain.
Zaman dahulu, penyebaran itu berlaku secara lisan. Proses sebegini biasanya lambat, akan tetapi dipercepatkan dengan hawa nafsu manusia yang suka melapor dan mendengar berita sensasi, apatah lagi yang membabitkan aib orang lain.
Kalau tidak percaya, bagi mereka yang mempunyai blog, cuba masukkan entri dengan tajuk yang panas seperti wanita melayu berbogel, sejadah sujud, ulamak rasuah atau ahli parlimen berkhalwat, nescaya blog anda akan panas dengan hit yang tinggi.
Ada sesetengah manusia suka menyebarkan berita dengan segera kerana sengaja ingin memburukkan imej orang lain. Lantas, terjebaklah mereka dengan pelbagai jenis dosa seperti mengumpat, memfitnah, mengadu domba dan seumpamanya. Tidak kurang juga, untuk menambahkan lagi rencah dan perisa, maka ditokok tambah berita yang sedia ada, lalu berlakulah pembohongan.
Ada yang membuat kerja sebegini kerana mereka merasakan perbuatan itu amatlah makruf. Rasa terhormat dan mulia dengan tindakan mereka itu, lalu diprojekkan diri mereka dengan imej yang baik dan intelek, dengan menyatakan contohnya Saidina Umar yang ditegur dengan wanita dengan amaran pedangnya secara terbuka. Di dalam Islam, kita dilarang menyapu ‘habuk di bawah karpet’. Di dalam Islam, perlu ada check and balance. Di dalam Islam, perlu ada amar makruf dan nahi munkar. Maka, absahlah kerja-kerja mereka.
Walau apa pun juga pegangan kita di dalam fenomena hebah-hebah ini, satu perkara yang dipersetujui oleh semua, akan tetapi bukan semua menginsafinya, iaitulah apa jua yang kita ucapkan dan kita tulis, akan dicatat oleh Allah SWT sebagai bahan bukti mahkamah akhirat kelak. Firman Allah dalam surah Qaf ayat 18:
مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلاَّ لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
Tidak
ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang
dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa
sedia (merekodnya).
Al-Quran sebenarnya telah menyentuh akan fenomena ini. Berfirman Allah SWT di dalam surah al-Nisa’ ayat 83:
وَإِذَا
جَآءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ ٱلأَمْنِ أَوِ ٱلْخَوْفِ أَذَاعُواْ بِهِ وَلَوْ
رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُوْلِي ٱلأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ
ٱلَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلاَ فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ
وَرَحْمَتُهُ لاَتَّبَعْتُمُ ٱلشَّيْطَانَ إِلاَّ قَلِيل
Dan
apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau
kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan
sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang
yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh
orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka
dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada
kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja
(iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu)
Di
dalam semua kitab tafsir muktabar, diperjelaskan bahawa ayat ini
menceritakan akan perihal manusia ketika mendengar berita yang
menyenangkan atau kurang menyenangkan. Dalam konteks ketika penurunan
wahyu ini, perkara yang menyenangkan (الامن) itu diterangkan sebagai
berita kemenangan tentera Muhammad, sementara berita yang tidak
menyenangkan (الخوف) itu merujuk kepada berita kekalahan umat Islam.
Ketika tibanya khabar angin seumpama itu, maka orang munafiq hakiki, dan
juga mukmin yang terpalit dengan sifat al-nifaq akan bersegera untuk
menghebahkannya kepada orang lain tanpa langsung ada sikap untuk
memeriksa kebenarannya. Tujuannya, pelbagai. Diterangkan dalam kitab
tafsir, sebahagiannya bertujuan untuk menunjukkan dirinya sebagai
manusia hebat kerana sering mendapat berita dan maklumat terkini lagi
sensasi. Selain itu, ada juga yang menghebahkannya untuk tujuan
memburukkan imej Rasulullah, contohnya semasa peristiwa khabar ifki.
Ada yang bertujuan untuk melemahkan psikologi umat Islam yang lain. Ada
yang bertujuan untuk mempermainkan emosi Rasulullah. Dan tidak kurang
juga yang melakukannya sebagai perang saraf untuk melemahkan semangat
umat Islam ketika itu.
Watak
yang memainkan kisah itu semasa zaman Rasulullah dan juga para sahabat
adalah ramai. Yang termasyhur ialah Abdullah bin Ubai bin Salul.
Walaupun dalam satu riwayat disebut bahawa jenazah beliau disembahyangi
dan dikafankan dengan jubah Rasulullah (kerana politik pintar nabi dan
juga rasa hormat kepada permintaan anak beliau yang Muslim) sehingga
membangkitkan bantahan Umar, akan tetapi Rasulullah berkata yang jubah
baginda tidak dapat menghalang perbuatan Abdullah bin Ubai yang ketika
hidupnya suka menjadi tukang hebah dan wartawan sensasi, daripada
dibaham api neraka. Di dalam ayat di atas, kumpulan ini disifatkan
sebagai mereka yang mengikut jejak langkah syaitan.
Itu
kumpulan pertama, yang apabila dapat berita atau khabar angin, terus
menghebahkannya kepada massa. Akan tetapi, di sana ada kumpulan kedua,
yang mana ketika didatangi dengan maklumat sama ada yang sejuk atau yang
panas, maka sikap mereka ialah merujuk kepada Allah, Rasul, dan juga
orang-orang yang berautoriti di kalangan mereka. Ulil amri saya
terjemahkan sebagai orang yang berautoriti, supaya kita tidak sempit
memahaminya sebagai semata-mata pemimpin negara sahaja. Ia boleh jadi
sebagai naqib, pengerusi persatuan, bapa, cikgu dan seumpamanya,
bergantung kepada siapa kita dan bentuk berita dan maklumat yang sampai.
Ini kerana orang-oang yang berautoritilah mampu untuk memberikan
pengesahan dan penjelasan sebenar terhadap maklumat tersebut.
Akan
tetapi, Allah memberitahu kita bahawa kumpulan kedua ini hanyalah
sedikit sahaja. Mereka ini ialah golongan minoriti di dalam masyarakat.
Justeru, golongan minoriti seumpama ini biasanya sukar untuk
memperbetulkan yang salah dan meluruskan yang bengkok.
Menjadi
mangsa fitnah atau berita mengenai diri dihebah tanpa kebenaran di
media baru, adalah satu perkara yang perju dijangka oleh para pendakwah.
Pun demikian, sehebat mana sekalipun pendakwah itu, perasaan kecil di
dalam hatinya akan tersentuh juga apabila berhadapan dengan fitnah
seumpama ini. Apatah lagi sekiranya fitnah itu datang daripada
orang-orang yang hampir dengannya, seperti sahabat karib, pembantu
peribadi dan juga rakan setugas.
Sama
seperti semua orang, saya juga pernah mengharungi fitnah seumpama ini.
Memang sedih juga sekiranya fitnah ini datang daripada orang-orang yang
berada di sekeliling kita. Kadang-kadang gaya percakapan kita
disalahertikan lantara perbezaan budaya bahkan dialek, lalu
dihebahkanlah ‘kebiadaban’ kita. Lantas disimpanlah perasaan benci yang
membuak-buak selama bertahun-tahun tak berkesudahan. Pantang nampak ,
habis dibelasahnya. Pantang bersuara, walaupun menerusi institusi
musyawarah, habis dibantahnya dengan fitnah yang ditokok-tambah. Nak
nampak baik, maka dihiasilah dengan al-Quran dan al-Hadith. Lalu
ditaburlah onar serta duri dalam perjalanan dan pergerakan kita. Memang
jijik juga kadang-kadang, apatah lagi saya pernah mendengar rakaman
langsung sesetengah sahabat karib yang melakukan pembohongan
terang-terangan ke atas diri saya untuk kepentingan serta kepuasan
dirinya.
Sekiranya
kita berhadapan dengan fitnah seumpama ini, jalan terbaik yang perlu
kita ambil ialah bersabar sahaja. Walaupun kadang-kadang sampai tahap
dituduh sebagai munafiq, atau ada ciri-ciri orang munafiq, biarlah si
tukang fitnah ini memuaskan hati dan melepaskan geramnya. Dalam
bersabar, perlu rasa simpati dengan mereka kerana begitu mudah mendapat
dosa. Kita akan jadi mulia sekiranya kita terus memberikan kemaafan
kepada mereka, dan walaupun tanpa sebab, kita memohon ampun kepada
mereka. Dalam kehidupan berdakwah, kita perlu kenal siapa musuh kita.
Perlu menghalusi apa kerja kita. Bukanlah rakan-rakan sekeliling kita
itu perlu dijadikan musuh. Dan bukanlah membalas kesilapan kawan dengan
kejahatan yang lain itu merupakan kerja kita. Musuh kita ramai di luar
sana, dan kerja kita juga amat banyak belum terlaksana.
Tukang
penyebar fitnah seumpama ini, sekiranya mereka betul-betul musuh dan
munafiq hakiki, maka itu adalah kerja mereka. Berhadapan dengan mereka
perlu meniru politik pintar nabi ketika berhadapan dengan munafiq di
Madinah. Tetapi sekiranya ia datang daripada orang dalam dan orang
sekeliling yang terdiri daripada orang-orang Mukmin, maka mereka perlu
insaf dan sedar. Dalam perbahasa mengenain beriman kepada Rasul,
bukankah kita sepatutnya beri’tiqad bahawa hanya Rasulullah sahaja insan
yang ma’sum dan sempurna? Ini bermakna yang manusia lain, walaupun
bertaraf presiden, perdana menteri, ustaz atau tuan guru, tidak lepas
daripada melakukan kesilapan.
Apabila rakan muslimnya melakukan kesilapan, maka kita perlu bersedia untuk menerimanya dan memaafkannya. Itu tanda iman. Kalau betul-betul salah dan munkar, maka tegurlah dengan cara yang sepatutnya, berhadapan atau melalui orang-orang yang berautoriti seperti dalam firman Allah dan sabda Nabi. Sekiranya kita terus marah, lalu menghebahkannya kepada massa, itu merupakan tanda yang iman kita terhadap ketidakma’suman orang lain selain Rasulullah, sedikit bermasalah, lantaran kita menonjolkan sendiri sikap kita untuk tidak menerima kesilapan manusia biasa.
Apabila rakan muslimnya melakukan kesilapan, maka kita perlu bersedia untuk menerimanya dan memaafkannya. Itu tanda iman. Kalau betul-betul salah dan munkar, maka tegurlah dengan cara yang sepatutnya, berhadapan atau melalui orang-orang yang berautoriti seperti dalam firman Allah dan sabda Nabi. Sekiranya kita terus marah, lalu menghebahkannya kepada massa, itu merupakan tanda yang iman kita terhadap ketidakma’suman orang lain selain Rasulullah, sedikit bermasalah, lantaran kita menonjolkan sendiri sikap kita untuk tidak menerima kesilapan manusia biasa.
Bagi
yang diuji dengan fenomena hebah dan fitnah ini, antara cara yang turut
dicadangkan oleh nabi Muhammad SAW ialah duduk diam sahaja. Ini
berdasarkan sepotong hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim seperti
berikut:
انها ستكون فتنة القاعد فيها خير من القائم و القائم خير من الماشي و الماشي خير من الساعي
Sesungguhnya
akan terjadi fitnah, orang yang duduk (diam) adalah lebih baik daripada
yang berdiri. Orang yang berdiri adalah lebih baik daripada orang yang
berjalan. Dan orang yang berjalan adalah lebih baik daripada orang yang
berlari.
Ketika
berlakunya gejala fitnah, khususnya selepas pembunuhan Saidina Uthman,
ramai para sahabat yang mengambil sikap berdiam diri sahaja tanpa
menyebelahi mana-mana pihak bagi mengelakkan diri daripada terjebak
dalam gejala fitnah. Ini termasulah Zubair bin al-Awwam serta Abdullah
bin Khabab. Ini merupakan tindakan yang betul. Dalam masa yang sama, ada
juga yang terpaksa mengharungi dan berhadapan dengan fitnah tersebut,
seperti yang dilakukan oleh Saidina al-Hasan. Tindakan beliau bukannya
salah, kerana beliau tidak membalas fitnah dengan fitnah, akan tetapi
dengan hikmah, walaupun akhirnya diri beliau yang terpaksa menjadi
korban.
Sekiranya
kita menjadi mangsa fitnah, lalu kita membalas dendam dengan melakukan
fitnah yang serupa, percayalah bahawa tindakan itu adalah satu kesilapan
besar dan tidak langsung menyelesaikan masalah. Kita mungkin puas
memfitnah orang lain dalam ucapan dan tulisan kita dalam blog sebagai
contohnya, akan tetapi tulisan itu akan terus kekal diingati sama
seperti kekal degilnya sikap kita yang enggan memaaf dan melupakan
kesalahan orang lain. Sedangkan dalam ilmu tazkiyatunnafsi, para ulamak
salaf sering menyatakan bahawa terdapat dua perkara yang perlu kita
lupakan untuk menyucikan hati kita, iaitu kebaikan yang kita buat untuk
orang lain dan juga kesilapan orang lain terhadap kita. Kalau kerap
diulang dan ditulis, maka sampai bila-bila kesilapan orang lain itu akan
diingati, maka sentiasa ‘berjagalah’ fitnah itu.
KESIMPULAN
Gejala
cepat menghebahkan berita ini adalah suatu fenomena yang akan
berterusan sehinggalah qiamat kelak. Berdasarkan pemerhatian, gejala ini
berlaku antara lain kerana:
a. Sikap manusia yang gelojoh dalam menghebahkan maklumat.
b. Sikap manusia yang ingin menunjukkan dirinya hebat mempunya maklumat terpantas, cepat tahu dan cepat menganalisa.
c. Sifat manusia yang tamak ingin mendapatkan pengaruh dan keuntungan.
d. Sifat manusia yang sentiasa berbalah, lalu dihebahkanlah berita pihak lain untuk melemahkannya, dan dalam masa yang sama ingin menunjukkan kekuatan dirinya.
e. Sifat manusia yang tidak rasa bertuhan, tidak merasakan dirinya sentiasa diperhatikan Allah, serta tidak takut bahawa apa sahaja yang tertulis dan diucapkan, akan dibalas kelak di hari akhirat.
Sedang
kita mengiktiraf terdapat beberapa jenis kemungkaran yang sekiranya
nyata dan jelas kesalahannya, yang ada keperluan menghebahkannya untuk
mencegahnya berulang kembali, akan tetapi perlu diingati yang bahawa
berita yang masih samar atau sekadar didengari daripada pihak ketiga,
perlulah diperiksa kesahihannya dan dinilai sama ada perlu dihebahkan
atau sebaliknya.
Sekiranya
tangan masih menggatal ingin menulis fitnah, serta lidah masih menebal
untuk bercakap, apa kata kita didik tangan dan lidah kita supaya
takutkan Allah. Berkatalah perkara yang baik dan pasti sahaja
kebenarannya. Yang selamat, ialah berdiam sahaja. Sabda nabi Muhammad SAW seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا او ليصمت
Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka berkata baiklah kamu atau diam sahaja.
Aduhai,
alangkah mudahnya ke neraka dengan menggunakan media baru untuk hebah
dan fitnah. Sekali terucap dan tertulis, ribuan membacanya, maka
berantai-rantailah dosanya. Tunggu sahajalah berapa ramai yang akan
menuntut saman malunya di mahkamah akhirat kelak.
Petikan : http://abidfana.com/2009/11/27/mudahnya-ke-neraka-dengan-media-baru/#more-659