Ustaz Shamsul Zaman (Ustaz Budak)- Jangan Syirik Dengan Allah
Matlamat hidup manusia
Setiap manusia mempunyai matlamat hidup di dunia
ini. Mereka yang tidak mempunyai matlamat hidup pasti akan
terumbang-ambing dibawa arus dunia. Namun tidak semua manusia yang
mempunyai matlamat hidup di dunia ini hidup dalam keadaan tenang.
Siapakah dalam dunia fana ini yang hidup dengan jiwa yang tenang?
Dalam al-Quran, Allah telah menyatakan beberapa
golongan manusia yang mempunyai tumpuan tertentu dalam kehidupan mereka.
Ada segolongan manusia yang dinyatakan dalam al-Quran yang tumpuan
hidup mereka hanyalah makan dan berseronok. Allah berfirman:
Dan (sebaliknya) orang-orang kafir menikmati
kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana
binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat
tinggal mereka. (Muhammad: 12)
Al-Quran juga ada menjelaskan tentang sekumpulan manusia yang matlamat mereka hanyalah hiasan dan kesenangan hidup yang fana. Allah berfirman:
Dihiaskan(dan dijadikan indah) kepada manusia:
kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu
perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak
bertimbun-timbun dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi
terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.
Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi
Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).
(Aali-Imran: 14)
Al-Quran juga menjelaskan tentang sekumpulan manusia yang menjadikan hidup mereka hanya untuk mewujudkan huru-hara, membuat kerosakan dan mencetus suasana yang tidak selamat dan tidak aman. Mereka ini disebutkan oleh Allah dalam firmanNya:
Dan di antara manusia ada orang yang tutur
katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati
(mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah
menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang
yang amat keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia pergi
(dengan mendapatkan hajatnya), berusahalah dia dibumi, untuk melakukan
bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan
(binatang ternak dan manusia), sedang Allah tidak suka kepada bencana
kerosakan. (al-Baqarah: 204 – 205)
Cuba kita semak diri kita, adakah kita mempunyai
agenda dan matlamat hidup seperti yang dinyatakan dalam ayat-ayat
al-Quran di atas. Adakah kita termasuk dalam salah satu golongan di
atas, atau kita memiliki semua cirri-ciri di atas?
Kita perlu sedar tentang hakikat penciptaan manusia
ini bukan sesuatu yang sia-sia. Allah mempunyai agenda dalam mencipta
manusia dan kita perlu menyedari akan objektif tersebut. Firman Allah
taala dalam surah ad-Dzariayat ayat 56:
Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu. (ad-Dzariyat: 56)
Tujuan utama Allah menciptakan manusia adalah supaya manusia menjadi abdi kepadaNya,
dengan melaksanakan semua suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Oleh
itu, seseorang yang dipandang oleh Allah dengan pangkat “Hamba” adalah
mulia di sisiNya.
Selain itu, Allah juga menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi. Firman Allah:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” … (al-Baqarah: 30)
Dalam ayat ini, ternyata Allah telah memberikan manusia suatu kedudukan yang tinggi dengan memilih manusia sebagai khalifah,
jawatan yang tidak diterima oleh makhluk lain. Namun jawatan penting
ini merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul bukan sebagai
pangkat atau kedudukan yang perlu dibangga-banggakan.
Oleh yang demikian, dalam menjalankan amanah ini, peranan manusia perlu selari dengan arahan Allah seperti firmanNya:
Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan
orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (dalam berbuat) yang
ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang
yang beruntung. (Aali- Imran: 104)
Allah menyatakan bahawa manusia beroleh keuntungan
(di dunia dan akhirat) dengan melaksanakan tugasan tersebut. Pelaksanaan
suruhan amar ma’ruf dan nahi mungkar hanya dapat dilaksanakan dengan
efektif dengan adanya kuasa. Kekuasaan yang ada pada manusia ini perlu
disalurkan dengan cara yang betul dan adil.
Bukan menggunakan kekuasaan untuk mendapat makanan
yang mahal dan lazat serta berseronok seperti golongan pertama. Bukan
juga menggunakan kuasa untuk memuaskan nafsu dengan segala bentuk
kebendaan samada wanita, harta benda, pangkat dan sebagainya sebagaimana
golongan kedua. Dan sepatutnya jauh sekali menggunakan kuasa untuk
membuat kerosakan di bumi seperti golongan ketiga. Tanpa kekuasaan,
kebenaran mungkin dilihat sesuatu yang dusta. Oleh itu, kekuasaan (yang
adil) adalah perlu dalam memelihara kebenaran.
Marilah kita sama-sama menyemak di manakah
kedudukan kita sekarang ini. Marilah kita bersama-sama memahami tujuan
kehidupan ini. Menjadi hambaNya yang patuh dan taat. Menjadi khalifah
yang amanah dan jujur. Semoga kita beroleh ketengan jiwa.
Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. (al-Fajr: 27 – 28)