Pisah agama dan politik tidak masuk syurga?
Siapa ekstrem, antara ulama yang mahu memperbetulkan aqidah umat Islam atau orang yang mengaku Islam namun tidak sedar aqidah tergelincir?
Aqidah yakni pegangan hidup seseorang muslim. Ia akan menjadi rosak apabila mereka tidak yakin hukum hakam yang diturunkan oleh Allah kepada umat manusia.
Sedangkan dalam surah Al Maaidah:49 Allah berfirman yang bermaksud;
"Engkau hukumlah antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah engkau turut hawa nafsu mereka dan berwaspadalah terhadap mereka supaya jangan mereka menyesatkan engkau dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepada engkau.”
"Jika mereka berpaling, ketahuilah bahawa hanya Allah mengkehendaki supaya mereka ditimpa seksaan kerana sebahagian dosa mereka sendiri. Sesungguhnya kebanyakan manusia orang-orang fasik."
Maka sesiapa yang engkar terhadap suruhan agama itu ianya secara jelas menzalimi dirinya sendiri.
Bekas pensyarah kanan pengajian Islam UKM, Dr Muhammad Muhd Daud berkata, sesiapa yang menolak ajaran yang terkandung dalam al Quran secara jelas telah tergelincir aqidahnya.
Misalnya tindakan mengasingkan politik dan agama dalam pentadbiran negeri atau negara ia boleh merosakkkan aqidah seseorang.
Begitu juga pemerintah yang beragama Islam tetapi tidak mahu melaksanakan hukum yang ditetapkan agama dan lebih parah lagi apabila pihak yang mahu melaksanakan Islam cuba dihalang melalui kuasa yang mereka miliki, katanya di sini.
Akhbar hari ini melaporkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ekstrem apabila menganggap dasar yang dibawa Umno (pisahkan agama dan politik) tidak akan membawa ahlinya ke syurga. Ekoran itu pelbagai pihak mengecam Menteri Besar Kelantan itu. Antaranya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilaporkan menyebut tiada nas dalam al Quran dan Hadis mensyaratkan seorang itu perlu menjadi ahli sesuatu parti sebelum boleh masuk syurga.
Dr Mohamad yang juga Adun Tendong berkata, dalam situasi sekarang semua orang tahu pihak mana yang berjuang mendaulatkan Islam dan kumpulan mana yang meminggirkan Islam. Menurutnya pihak yang bersekongkol dengan pemerintah yang tidak ada cita-cita untuk menegakkan agama Islam tentunya akan lebih jauh daripada mendapat balasan syurga.
Bekas pemimpin pelajar Melayu di Universiti Al Azhar Mesir, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, apabila sesebuah parti itu memisahkan politik dan iman sudah tentu ia tersasar jauh daripada landasan Islam.
"Politik adalah sebahagian amalan dalam agama. Ini kerana pada zaman Rasulullah saw masjid dijadikan pusat mentadbir, mengatur strategi perang dan mengurus zakat. "Latihan perang juga diadakan di halaman masjid di zaman baginda. Dan usaha memisahkan agama dan politik dimulakan agama Kristian. "Dalam agama Kristian orang kuat agama hanya dibenarkan berada di gereja dan pentadbiran negara diurus orang politik," katanya.
Beliau yang juga Ketua Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan berkata, apabila perkara pokok dalam Islam diketepikan sudah tentu ia merosakkan aqidah seseorang. Dan katanya apabila aqidah rosak macam mana seseorang itu mahu mendapat balasan syurga di akhirat kelak.
Oleh itu katanya kenyataan Mursyidul Am PAS mengenai mana-mana pihak yang mendokong parti yang memisahkan agama dan politik tidak akan masuk syurga adalah tepat sekali.