Selasa, 31 Ogos 2021

Rasulullah SAW wajib diikuti

 


SETIAP penganut Islam bukan sahaja berikrar menerima kerasulan Baginda, bahkan wajib menjadikan Baginda teladan bagi hamba Allah yang berwawasan dunia sehingga akhirat. Firman Allah:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ (الأحزاب 21).

“Sesungguhnya adalah menjadi kewajipan kamu, menjadikan pada diri Rasulullah S.A.W ikutan yang terbaik kepada sesiapa yang mengharapkan keredhaan Allah dan keselamatan di hari Akhirat” (Al Ahzab:21)

Firman Allah dengan perintah dan amaran:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ   (7:الحشر).

“Apa-apa yang di bawa oleh Rasulullah S.A.W ambillah dan apa-apa yang dilarangnya tinggalkanlah dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu sangat keras balasannya.”(Al Hasyr: 7)

Muhammad S.A.W adalah Rasul terakhir sebelum ditamatkan ajal dunia. Semua para Rasul itu pilihan Allah yang menjadi contoh pelaksanaan hikmah kejadian makhluk manusia di alam bumi dengan sifat kejadian yang istimewa berfitrahkan jasad, akal, roh, kedirian, berkeluarga dan bermasyarakat. Berbeza dengan makhluk yang lain.

Peranan manusia ialah beribadah (memperhambakan diri kepada Allah) dan berkhilafah (mentadbir alam bumi dengan petunjuk Allah daripada Islam) menunaikan amanah (pelaksanaan Syariat Allah) Yang Maha Adil kepada makhluknya. Konsep ini hanya terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna dan lengkap melalui sebahagian prinsip yang tetap dan sebahagian yang boleh berubah serta berbeza. Kesempurnaan ini tidak mampu dicipta oleh akal dan pengalaman manusia sahaja tanpa hidayah (petunjuk) daripada Allah pencipta alam. 

Bagi Rasul akhir zaman dikurniakan Al-Quran yang diwahyukan menjadi mukjizat ilmu, berbeza dengan mukjizat para Rasul terdahulu. Tugas Rasul akhir zaman ini adalah kepada seluruh manusia di semua benua dan sepanjang zaman. Pelaksanaannya pula ditafsirkan oleh Rasulullah S.A.W dalam segala aspek, merangkumi Iman, Islam dan Ihsan. Bermula dengan tarbiyah jati diri dan keluarga serta persaudaraan kemanusiaan keseluruhannya, sehinggalah menegakkan masyarakat madani di bawah negara masyarakat majmuk. Ini dilaksanakan oleh Baginda setelah melakukan Hijrah ke Yathrib yang ditukar namanya kepada Madinah, sinonim dengan perkataan Madani dan Al-Din yang sempurna itu.

Rasulullah S.A.W berdakwah secara langsung kepada semua mereka yang ada di sekeliling Baginda, menghantar perutusan kepada raja-raja dan pemimpin dan mengarahkan kalangan umatnya yang meneruskan dakwah supaya bergerak ke seluruh pelosok dunia. 

Negara Islam Madinah yang berkonsepkan Islam yang berkuasa memerintah dengan menerima kewujudan masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama, termasuk kalangan bukan Islam. Adapun kalangan yang menolaknya diterima tanpa permusuhan dan yang bermusuh pula dihadapi dengan adil dan berperikemanusiaan. 

Rasulullah S.A.W menolak segala tawaran ketika masih berada di Mekah, tawaran ditabal menjadi raja, dilantik menjadi ketua yang diberi kekayaan melimpah ruah. Ini kerana bercanggah dengan Islam, kerana semua tawaran itu adalah ciptaan manusia tanpa hidayah daripada Allah. 

Islam yang dilaksanakan sepenuhnya tidak akan mampu dihujah oleh penentangnya. Allah menegaskan dengan firman ketika Haji Wada’ (selamat tinggal) yang selepasnya diwafatkan Rasulullah S.A.W.

الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا (3) المائدة

“Pada hari ini orang kafir (yang menentang Islam itu) telah berputus asa daripada agama kamu. Maka jangan kamu takut menghadapi mereka, takutlah kepada Ku. Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu, Aku juga telah menyempurnakan nikmat Ku (Islam) kepada kamu dan Aku telah redha hanya Islam menjadi ajaran anutan kamu.”(Al Maidah:3)

Generasi awal yang membawa ajaran Islam selepas kewafatan Rasulullah S.A.W telah berjaya menumbangkan kuasa besar yang zalim, apabila rakyat seluruh jajahan takluknya menerima pemerintahan Islam tanpa paksaan. Keadaan ini dapat disaksikan di kawasan yang dikuasai pengaruh Islam di sepanjang jalan sutera di Asia Tengah, seterusnya Asia Tenggara, sehingga ke Afrika dan sebahagian Eropah. Dalam tempuh tidak sampai satu abad, para pendukung Islam itu mencapai kemenangan yang dijanjikan oleh Allah:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فِي الأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ (55)النور .

“Allah telah berjanji kepada mereka yang beriman dan mengerjakan amal soleh bahawa Dia akan jadikan mereka kalangan yang memerintah di bumi sebagaimana pernah dikurniakan kepada mereka yang sepertinya di zaman dahulu. Di kala diberikan Islam agama yang diredhai-Nya itu berkuasa memerintah, lalu bertukarlah keadaan daripada ketakutan menjadi aman, dalam keadaan mereka semua beribadah kepada Ku (Allah)  dan tidak menyekutui Aku (Allah) dengan sesuatu yang lain. Dan sesiapa yang kufur selepas itu, nescaya mereka menjadi orang-orang yang fasik.”(An Nur: 55)

Generasi awal yang melangsungkan Islam selepas wafatnya Rasulullah S.A.W memerintah negara berteraskan empat perkara penting daripada ajaran Islam yang diwarisinya iaitu Beriman Kepada Allah, Beriman Kepada Hari Akhirat, Konsep Taqwa dan Konsep Rahmat.

Beriman kepada Allah menjadikan Ketua Negara tidak boleh mengatasi hukum Syariat atau undang-undang negara, semuanya dikawal sempadan hukum Syariat. Maka tidak ada sesiapa yang bebas daripada tindakan undang-undang sekiranya melakukan kesalahan. Setiap Ketua Negara samada bernama Khalifah atau Raja dan sebagainya tidak ada kekebalan di bawah Syariat Allah.

Beriman kepada Hari Akhirat, menjadikan seseorang itu tidak terlepas daripada balasan selepas meninggal alam dunia, dimana hukumannya lebih keras sekiranya menipu atau menyalahgunakan kuasanya di alam dunia. 

Konsep taqwa pula menjadikan ketaatan kepada Allah adalah kedudukan martabat manusia, bukannya keturunan, warna kulit, pangkat dan harta.  

Adapun rahmat kepada seluruh alam itu mencipta keadilan untuk semua, termasuk terhadap penganut bukan Islam dan pihak musuh. Juga mencipta hak asasi manusia yang sebenarnya mengikut sifat kemanusiaannya yang berbeza dengan binatang dan makhluk lain yang ada haknya juga. 

Islam yang berpandukan petunjuk Allah, menghormati akal manusia dan pengalamannya mengikut bangsa dan tempat masing-masing. Ini menjadikan Islam menerima segala yang baik dari seluruh pelosok dunia daripada tamadun kebendaannya yang bermanfaat dan menolak segala keburukan yang dinamakan jahiliyyah, temasuk jahiliyah Arab di Mekah bangsa Rasulullah S.A.W sendiri. Maka terciptalah Tamadun Islam yang murni berasaskan ilmu wahyu daripada Allah, kemajuan sains teknologi ciptaan akal serta ilmu dan pengalaman manusia yang berpandukan Hidayah Wahyu.

Allah menghuraikan ciri -ciri Islam kepada mereka yang berkuasa memerintah negara dengan firman-Nya:
 
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الأُمُورِ (41)الحج.

“Mereka (kumpulan Islam) yang kami berikan kepada mereka kekuasaan memerintah di bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan dan mereka mencegah kemungkaran. Ingatlah! Bagi Allah jua kesudahan segala urusan.”(Al Hajj: 41)

Ciri-ciri ini merangkumi hubungan diri dengan Allah (solat), ekonomi yang adil (zakat), dakwah dan kehebatan undang-undang (amar maaruf dan nahi mungkar) dan berwawasan akhirat (balasan Allah).

Islam tidak memisahkan ibadat, politik, ekonomi dan dakwah. Di mana urusannya akan dihisab apabila kembali kepada Allah setelah berlakunya hari Kiamat. Ini menjadikan seluruh kegiatan manusia berkait dengan Islam dan perhitungan Allah. 

Adapun kejatuhan umat Islam selepasnya kerana leka dengan kemajuan dunia sahaja sehingga meninggalkan petunjuk Islam, sehingga memutuskan hubungan segala cara kehidupan dengan petunjuk Allah.

Adapun Tamadun Barat yang menciplak Tamadun Islam pula, sedang megalami kemusnahannya kerana menolak Hidayah Allah daripada ajaran Islam yang sempurna. 

Kini, Tamadun Barat tanpa iman dan budiman sedang memusnahkan diri manusia sejagat dengan senjata pemusnah, politik, ekonomi, kezaliman dan penjajahan, serta pembangunan kebendaan yang merosakkan diri, alam sekitar dan seluruh kehidupan alam dunia. Berbeza dengan kedatangan Islam menjadi penyelamat bukannya penjajah.

Firman Allah:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (41) قُلْ سِيرُوا فِي الأَرْضِ فَانظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِن قَبْلُ كَانَ أَكْثَرُهُم مُّشْرِكِينَ (42) فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ الْقَيِّمِ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ يَوْمٌ لاَّ مَرَدَّ لَهُ مِنَ اللَّهِ يَوْمَئِذٍ يَصَّدَّعُونَ (43)  الروم.

“Telah zahirlah kerosakan di darat dan lautan dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia, supaya dirasakan sebahagian daripada perkara yang dilakukan oleh mereka, mudah-mudahan mereka kembali (ke pangkal jalan setelah bersalah). Katakanlah! Berjalanlah kamu di muka bumi, lihatlah bagaimana akibat menimpa golongan yang terdahulu. Sebenarnya kebanyakan mereka melakukan dosa syirik. Tegakkanlah wajahmu beristiqamah bersama ajaran yang betul (Islam), sebelum datangnya hari yang tidak dapat ditolak  berlakunya. Pada hari mereka diasingkan (sebahagianya  ke syurga dan sebahagian lagi ke neraka).”(Ar Rum: 41-43)

Terserlah kebenaran firman Allah dengan tersebarnya penyakit diri, keluarga, masyarakat dan kemusnahan alam sekitar kerana melakukan perkara yang haram, menolak yang wajib, yang halal dan diharuskan, serta mencipta undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah Yang Maha Penyayang dan Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Bacalah Firman Allah:

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاء شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ وَلَوْلا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (21)الشورى.

“Apakah mereka punya sekutu-sekutu (tuhan-tuhan selain Allah)? Yang mencipta hukum syariat sendiri  dalam urusan agama dan cara hidup tanpa keizinan Allah? Kalaulah tidak kerana firman Allah menjanjikan adanya keputusan (di hari kiamat) nescaya mereka telah dijatuhkan hukuman (di dunia ini). Dan disediakan kepada orang-orang yang zalim itu azab neraka yang menyakitkan.”(As Syura: 21)

Jika dikaji betapa ajaran selain daripada Islam itu tidak memenuhi fitrah kemanusiaan di mana ia tidak mampu untuk menjalinkan hubungan penting yang sekali-kali tidak boleh dipisahkan daripada perkara kehidupan manusia dan agamanya.

Ada ajaran yang mementingkan jasad tanpa roh, atau roh tanpa jasad. Ada yang mementingkan hak kebebasan individu tanpa mengambil kira hak masyarakat, atau menjaga kepentingan masyarakat sehingga mengorbankan hak individu, berkeluarga dan berbangsa. Begitulah seterusnya menggunakan akal dan ilmu manusia sahaja tanpa Hidayah Wahyu yang dibawa para Rasul, sehingga berlakunya kepincangan dan kerosakan dalam kehidupan manusia dan alam sekitarnya.

Akhirnya, Pujangga Islam Mustafa Lutfi Manfaluti pernah menegaskan: “Kita tidak perlu kepada teori ahli falsafah dan pendeta Greece, Rom dan Parsi atau pemikir bukan Islam daripada Timur dan Barat, kerana kita punya Rasulullah S.A.W yang menjadi teladan terbaik.”

“Inilah Penyelesaian Kita”
 
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Ahad, 15 Ogos 2021

Janji Allah Untuk Orang Yang Beriman

Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi janji kepada orang-orang beriman dengan janji-janji yang sangat banyak di dunia dan akhirat.

A.Janji-janji kepada orang-orang beriman di dunia

Di antaranya:

  1. Keberuntungan, seperti firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (QS. Al-Mukminun:1)
  2. Petunjuk, seperti firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: dan sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’alaadalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus. (QS. Al-Hajj:54)
  3. Pertolongan, seperti firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: .Dan kami selalu berkewajiban menolong orang-orang yang beriman. (QS. Ar-Ruum:47)
  4. Kemuliaan/kekuatan, seperti firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mu’min, (QS. Al-Munafiqun: 8)
  5. Khilafah dan keteguhan di muka bumi, seperti firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:  Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berjanji kepada orang-orang yang beriman diantara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan merubah (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentausa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. (QS. An-Nuur: 55)
  6. Membela mereka, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala membela orang-orang yang telah beriman. (QS. Al-Hajj:38)
  7. Rasa aman, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. (QS. Al-An’aam:82)
  8. Keselamatan, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Kemudian Kami selamatkan rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman, demikianlah menjadi kewajiban atas Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman. (QS. Yunus:103)
  9. Kehidupan yang baik, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. (QS. An-Nahl:97)
  10. Orang-orang kafir tidak bisa menguasai mereka, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:  dan Allah Subhanahu wa Ta’ala sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang yang beriman. (QS. An-Nisaa`:141)
  11. Mendapat berkah, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya. (QS. Al-A’raaf:96)
  12.  Kebersamaan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang khusus, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: dan sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala beserta orang-orang yang beriman. (QS. Al-Anfaal:19)

B. Adapun yang dijanjikan di akhirat

Di antaranya adalah:

  1. Masuknya orang-orang beriman ke dalam surga, kekal di dalamnya, dan keridhaan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Allah Subhanahu wa Ta’ala menjanjikan kepada orang-orang yang mu’min lelaki dan perempuan, (akan mendapat) surga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya, dan (mendapat) tempat-tempat yang bagus di surga ‘Adn. Dan keridhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah lebih besar; Itu adalah keberuntungan yang besar. (QS. At-Taubah:72)
  2. Melihat Allah Subhanahu wa Ta’ala, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Wajah-wajah (orang-orang mu’min) pada hari itu berseri-seri. Kepada Rabbnyalah mereka melihat. (QS. Al-Qiyamah :22-23)

Sifat-sifat yang dijanjikan di dunia tidak ada dalam kehidupan kaum muslimin pada saat ini. Ini menunjukkan lemahnya iman mereka. Tidak ada jalan untuk mendapatkannya atau melihatnya kecuali dengan memperkuat iman yang ada saat ini dengan iman yang dituntut, agar kita bisa mendapatkan janji-janji Allah Subhanahu wa Ta’ala yang disebutkan di dunia terhadap iman, yaitu agar iman dan amal perbuatan kita seperti iman para nabi dan sahabat serta amal perbuatan mereka.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Maka jika mereka beriman kepada apa yang kamu telah beriman kepadanya, sungguh mereka telah mendapat petunjuk; dan jika mereka berpaling, sesungguhnya mereka berada dalam permusuhan (dengan kamu). Maka Allah Subhanahu wa Ta’ala akan memelihara kamu dari mereka. Dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (QS. Al-Baqarah:137)

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya dan kepada kitab yang Allah Subhanahu wa Ta’ala turunkan kepada Rasul-Nya, serta kitab yang Allah Subhanahu wa Ta’ala turunkan sebelumnya. Barangsiapa yang kafir kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan hari kemudian, maka sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya. (QS. An-Nisaa`:136)

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaithan. Sesungguhnya syaithan itu musuh yang nyata bagimu. (QS. Al-Baqarah:208)

Menjunjung perintah-perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala dan menjauhi larangan-larangan-Nya dibangun atas iman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan senantiasa menggambarkan keagungan al-Khaliq (Yang Maha Pencipta) dan Raja Diraja di dalam hati. Hal itu dengan cara memperbanyak berzikir kepada-Nya Subhanahu wa Ta’ala. Dan untuk menetapkan gambaran ini dan tertanamnya di dalam hati, Allah Subhanahu wa Ta’ala mensyari’atkan kepada hamba-hamba-Nya dalam hal mengingatkan yang selalu diulang-ulang, amal yang silih berganti, yaitu ibadah. Apabila iman bertambah dan menjadi kuat, niscaya amal ibadah bertambah dan bertambah kuat. Kemudian segala kondisi menjadi baik dengan beruntung mendapatkan kebahagiaan di dua negeri. Dan sebaliknya juga sebaliknya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah Subhanahu wa Ta’ala, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang. (QS. Al-Ahzaab:41-42)

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya. (QS. Al-A’raaf:96)

Jumaat, 13 Ogos 2021

Hidayah Itu Milik Allah

 Sesungguhnya Allah SWT memberi hidayah dan petunjuk kepada manusia melalui pelbagai cara. Dengan itu setiap insan perlu berusaha untuk mendapatkan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT melalui cara-cara yang telah ditentukan-Nya. Allah SWT mengutuskan para Nabi dan Rasul, serta diturunkan bersama mereka beberapa kitab suci. Selepas zaman kenabian, Allah SWT mengiktiraf pula para ulama sebagai pewaris nabi yang bertindak mengajak umat manusia kepada keredhaan Allah SWT. Semua itu merupakan bukti yang jelas atas adanya ketersediaan pelbagai cara dan saluran bagi manusia untuk memperolehi hidayah daripada Allah SWT.

Perlu difahami, walaupun Allah SWT telah menyediakan pelbagai cara untuk menyampaikan petunjuk dan hidayah kepada umat manusia, akan tetapi Allah SWT tidak pernah memaksa mereka untuk menerima saranan itu dan tidak pula pernah memaksa mereka untuk beriman kepada-Nya. Sehinggakan ada seseorang yang dibesarkan di rumah seorang Nabi, akan tetapi dia tidak dapat menerima petunjuk daripada Nabi tersebut, bahkan cenderung menentangnya. Sebaliknya, ada pula seseorang yang dibesarkan di dalam lingkup istana Firaun, akan tetapi dia beriman dan membesar sebagai seorang muslim di kalangan keluarga Firaun dan isterinya.

Petunjuk seperti ini berkait rapat dengan kesanggupan seseorang itu untuk menerima perintah dan hidayah daripada Allah SWT. Allah SWT hanya menyediakan pelbagai cara dan saranan untuk manusia menerima hidayah dan perintah daripada-Nya. Namun begitu penerimaan tersebut amat bergantung kepada kehendak individu itu sendiri. Walaupun keadaan penerimaannya itu cukup misteri, akan tetapi untuk menerima petunjuk dan hidayah itu mempunyai syarat-syaratnya yang tersendiri yang telah ditetapkan Allah SWT.

Al-Quran telah menyatakan, bahawa untuk menerima petunjuk dan hidayah ada beberapa syarat yang perlu dilakukan. Kenyataan ini sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah SWT;

وَأَمَّا ثَمُودُ فَهَدَيۡنَٰهُمۡ فَٱسۡتَحَبُّواْ ٱلۡعَمَىٰ عَلَى ٱلۡهُدَىٰ فَأَخَذَتۡهُمۡ صَٰعِقَةُ ٱلۡعَذَابِ ٱلۡهُونِ بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ

Maksudnya“Dan adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepada mereka, lalu mereka mengutamakan kesesatan daripada hidayah dan petunjuk; maka mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan.”

(Surah Fushshilat: 17)

Dengan erti kata lain, Allah SWT telah menyediakan salah satu cara untuk memberi petunjuk kepada kaum Tsamud dengan diutuskan Nabi Ṣāliḥ as. kepada mereka. Namun sebaliknya mereka lebih mengutamakan kesesatan daripada menerima petunjuk (hidayah), sehingga mereka diseksa dan berakhir di api neraka.

Allah SWT juga telah berfirman,

رُّسُلٗا مُّبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى ٱللَّهِ حُجَّةُۢ بَعۡدَ ٱلرُّسُلِۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمٗا

Maksudnya“Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Al-Nisā’: 165).

Walaupun Allah SWT telah mengutuskan sejumlah Rasul kepada sekelompok manusia, namun tidak semuanya dapat menerima petunjuk Allah tersebut. Mereka lebih banyak menolak dengan pelbagai alasan yang diberikan daripada menerima ajakan dan seruan para Rasul untuk beriman.

Di samping itu, Allah SWT juga telah berfirman;

إِنَّآ أَرۡسَلۡنَٰكَ بِٱلۡحَقِّ بَشِيرٗا وَنَذِيرٗاۚ وَإِن مِّنۡ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٞ

Maksudnya“Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (Agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.”

 (Surah Fāthir: 24).

Di samping Allah SWT mengutus para Rasul dan Nabi untuk menerangkan bagi sekelompok manusia, Allah juga mentakdirkan di antara mereka ada yang mahu menerima seruan para Rasul itu dengan berlapang dada, bahkan terdapat juga di kalangan mereka yang menolaknya. Mereka yang menolak itu lebih memilih kesesatan daripada petunjuk.

Allah SWT juga telah berfirman;

مَّنِ ٱهۡتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهۡتَدِي لِنَفۡسِهِۦۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيۡهَاۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٞ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۗ وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبۡعَثَ رَسُولٗا

Maksudnya“Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”

(Surah Al-Isrā’: 15).

Allah SWT sengaja mengutus sebilangan para Nabi dan Rasul kepada sekelompok manusia, agar mereka menerima petunjuk daripada Allah. Ketentuan Allah SWT ini adalah sebagai hujah supaya mereka tidak beralasan, mengapa tidak diutus sebilangan Nabi dan Rasul kepada mereka, sehingga menyebabkan mereka lebih memilih jalan kesesatan. Kini, giliran kita yang telah diutuskan seorang Nabi dan Rasul yang bernama Muhammad SAW. Dengan pengutusan tersebut, tiada lagi alasan yang boleh diberikan untuk menolak petunjuk daripada Allah SWT. Hal yang demikian disebabkan, kita semua telah mendengar seruan Nabi SAW melalui al-Quran dan al-Sunnah yang beliau ditinggalkan.

Malahan Allah SWT juga telah menentukan para alim ulama yang menjadi penerus kepada tugasan para nabi dan rasul untuk memelihara dan memperbaiki keadaan agama Islam serta umatnya. Semua itu dilaksanakan oleh Allah SWT agar umat manusia mahu menerima petunjuk. Bahkan kesemuanya itu adalah merupakan kemurahan Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya. Namun begitu, mahu ataupun tidak seseorang hamba itu untuk menerima petunjuk daripada Allah SWT, sangat tergantung kepada kemahuannya sendiri.

Allah SWT mentakdirkan petunjuk dan kesesatan secara bersamaan. Allah SWT mengutus Nabi SAW di tengah-tengah kaum Quraisy, dan beliau menyampaikan agama Islam kepada mereka. Di antara mereka ada yang menerima secara langsung dan segera mentaati aturan yang disampaikan, seperti yang dilakukan oleh Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq ra., kerana di lubuk sanubari Abu Bakar telah diberi cahaya keimanan oleh Allah SWT.

Walau bagaimanapun, terdapat juga yang menolak tuntunan daripada Rasulullah SAW dengan keras, seperti Abu Jahal. Dia lebih memilih kesesatan daripada menerima ajakan Rasulullah SAW kepada Islam. Tentunya semua itu terjadi kerana telah ditakdirkan oleh Allah SWT bagi diri Abu Jahal sebagai seorang kafir yang menentang Islam sehingga dia mati dalam keadaan kafir di medan peperangan Badar. (Lihat: Imam Ibnu Katsir, Al-Bidāyah wa al-Nihāyah, Jld. 3, Hlm. 287)

Al-Quran memperjelaskan tentang adanya petunjuk dan seruan kepada rahmat Allah SWT. Terdapat  satu ayat, seperti telah disebutkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

وَٱللَّهُ يَدۡعُوٓاْ إِلَىٰ دَارِ ٱلسَّلَٰمِ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ

Maksudnya“(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).”

(Surah Yunus: 25).

Walaupun Allah SWT mengajak manusia ke jalan petunjuk, akan tetapi menerima atau tidaknya petunjuk itu sangat bergantung kepada kemahuan manusia; sesuai dengan kehendak-Nya. Sebab, Allah SWT akan memberi petunjuk atau kesesatan bagi siapa pun yang dikehendaki-Nya. Bagaimana pun cara yang dapat mengajak manusia ke arah jalan petunjuk, pasti Allah SWT akan anugerahkannya kepada manusia. Akan tetapi, ketentuannya sangat bergantung kepada takdir dan kehendak Allah SWT jua.

Kitab al-Quran adalah sumber petunjuk terbesar. Namun begitu, tidak semua orang mahu menerimanya, walaupun telah disebutkan bahawa al-Quran adalah petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa. Sebagaimana telah disebutkan di dalam firman Allah SWT:

ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ

Maksudnya“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;”

(Surah al-Baqarah: 2).

Daripada firman Allah SWT di atas dapat difahami, bahawa untuk menerima petunjuk daripada al-Quran hendaklah terlebih dahulu menjadi orang-orang yang bertakwa. Dari segi takdir, setiap insan hendaklah berusaha menjadi orang-orang yang bertakwa. Hal ini jelas seperti yang telah disebutkan di dalam firman Allah SWT berikut ini;

أُوْلَٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدٗى مِّن رَّبِّهِمۡۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Maksudnya“Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.”

(Surah al-Baqarah: 5).

Orang-orang yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat, menunaikan semua kewajipan agama seperti puasa, zakat, dan beriman kepada kitab Allah yang diturunkan kepada para Nabi. Malah mereka beriman pula kepada alam akhirat, maka orang-orang seperti itulah yang disebut sebagai orang-orang yang bertakwa. Golongan yang sengaja diberikan petunjuk oleh Allah SWT sesuai dengan takdir-Nya yang telah tercatat di dalam kitab di Lauh al-Mahfuz.

Demikian lagi firman Allah SWT;

وَكَذَٰلِكَ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ رُوحٗا مِّنۡ أَمۡرِنَاۚ مَا كُنتَ تَدۡرِي مَا ٱلۡكِتَٰبُ وَلَا ٱلۡإِيمَٰنُ وَلَٰكِن جَعَلۡنَٰهُ نُورٗا نَّهۡدِي بِهِۦ مَن نَّشَآءُ مِنۡ عِبَادِنَاۚ وَإِنَّكَ لَتَهۡدِيٓ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ  ٥٢ صِرَٰطِ ٱللَّهِ ٱلَّذِي لَهُۥ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِۗ أَلَآ إِلَى ٱللَّهِ تَصِيرُ ٱلۡأُمُورُ  ٥٣

Maksudnya“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan al-Quran itu ke jalan yang lurus, Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.”

(Surah al-Syurā: 52-53).

Penjelasan daripada firman Allah SWT di atas dapat difahami, bahawa petunjuk terbahagi kepada dua;

Pertama; berupa perantara yang dapat menyampaikan sesuatu seperti adanya kitab-kitab suci dan adanya para Nabi serta Rasul.

Kedua; ada yang berupa petunjuk yang telah diciptakan oleh Allah SWT di qalbu (sanubari) manusia.

Terdapat petunjuk yang disematkan ke dalam sanubari manusia melalui perantara, dan ada pula yang disematkan tanpa melalui perantara. Dengan erti kata lain, ia dimasukkan secara langsung oleh Allah SWT ke lubuk sanubari seseorang atas kehendak-Nya. Iaitu, petunjuk secara langsung yang disebutkan sebagai anugerah rahmat Allah SWT kepada seseorang hamba.

Di samping itu, terdapat pula petunjuk dan kesesatan yang Allah SWT diberikan secara bersamaan. Seperti telah disebutkan melalui sebuah hadis berikut ini, “’Umar Ibnul Khattab menyebutkan, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, ‘Aku diutus sebagai seorang da’i (penyeru) dan muballigh (penyampai), akan tetapi masalah petunjuk bukan berada di tanganku sedikit pun. Demikian pula Allah menjadikan iblis sebagai perayu, akan tetapi masalah kesesatan bukan berada di tangannya sedikit pun.” (Imam al-‘Uqaili meletakkan riwayat ini dalam al-Dhu’afâ’, Jilid 2, hadis nombor 8. Lihat pula penjelasannya dalam Mîzân al-I’tidâl, karya Imam al-Dzahabi, Jilid 2, Hlm. 416. Juga dalam kitab Kanzu al-Ummâl, karya Imam al-Muttaqi, Jilid 1, Hlm. 546.)

Lazimnya manusia menghendaki sesuatu, dan Allah SWT yang menciptakan segala sesuatu yang dikehendaki oleh manusia itu. Walaupun Allah SWT telah mentakdirkan dalam perjalanan kehidupan manusia untuk mendapatkan pahala itu sangat terbatas, ditambah pula dengan dorongan nafsu yang fitrah suka melakukan segala bentuk dosa dan keburukan. Maka ia merupakan suatu cabaran yang utama kepada umat manusia untuk mencari petunjuk kepada kebaikan. Natijahnya, setiap manusia perlu gigih berusaha untuk mendapat petunjuk (hidayah) yang baik dari sisi Allah SWT, supaya dapat melakukan sesuatu yang baik pula di dalam kehidupan ini. Jika ditinjau dari sudut ini, maka setiap manusia wajib selalu berharap untuk dikurniakan petunjuk daripada Allah SWT agar dapat melakukan segala perbuatan yang baik sesuai dengan apa yang diredhai-Nya. Fahamilah, hidayah itu milik Allah SWT.

Wallahu’aklam.

Jumaat, 6 Ogos 2021

Islam dan politik

 POLITIK sebahagian dalam Islam


Tidak dapat dinafikan bahawa politik merupakan sebahagian dalam Islam. Ini kerana sifat syariat Islam itu sendiri bersifat komprehensif atau syumuliah yang merangkumi pelbagai aspek dalam lapangan kehidupan. Dari sekecil-kecil perkara sehingga ke peringkat yang besar.

Politik dari sudut makna asas ialah urus tadbir. Ia merupakan gelagat manusia dalam mengurus sesuatu urusan bagi mencapai sesuatu tujuan. Secara spesifiknya, politik yang difahami secara langsung di minda dalam kerangka semasa ialah kuasa pemerintahan dan pentadbiran negara.

Difahami dari sudut makna itu, maka politik yang diguna pakai sekarang mengambil terjemahan dari perkataan Arabnya yang berbunyi siyasah (السياسة). Dan perkataan ini diguna pakai oleh Rasulullah S.A.W dalam menyatakan para Rasul yang memimpin atau mengurus urusan kaum mereka iaitu Bani Israil sebagaimana teks hadith dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:


كَانَت بَنُو إسرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبياءُ، كُلَّما هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبيٌّ، وَإنَّهُ لا نَبِيَّ بَعدي، وسَيَكُونُ بَعدي خُلَفَاءُ فَيَكثُرُونَ

“Adalah Bani Israil, mereka dipimpin urusannya oleh para Nabi. Ketika seorang Nabi wafat, Nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada Nabi setelahku, namun akan ada ramai para khalifah.”

(al-Bukhari dan Muslim)


Difahami dari hadith di atas, menunjukkan politik dengan erti kata urus tadbir urusan mereka yang berada di bawah pimpinannya. Lantaran itu, politik Islam memimpin urusan manusia untuk mencapai kebaikan di dunia dan membawa mereka ke jalan Allah S.W.T.

Justeru, politik ialah:


تدبير أمور الناس عامة في جلب المصالح ودفع المفسد في شؤون الحياة

“Urus tadbir urusan manusia umumnya dalam membawa maslahat dan menolak kerosakan pada urusan kehidupan.”


Dan politik yang dinisbahkan pada sifat Islam tidak boleh lari dari:

(1) Panduan dari al-Quran dan as-Sunnah.
(2) Pertimbangan maslahat dan mudarat pada neraca syarak bukan nafsu emosi.
(3) Mendaulatkan agama dan menegakkan syariat sebagai punca kuasa bagi merealisasikan kejayaan di dunia dan akhirat kelak.

Politik berdasarkan perintah Allah S.W.T

Jika ditanya mana dalil berpolitik? Asasnya adalah mengambil maksud dan tanggungjawab pada peranan khalifah yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T berikut:


وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ إِنِّی جَاعِلࣱ فِی ٱلۡأَرۡضِ خَلِیفَةࣰۖ

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”

[Al-Baqarah: 30]


Syeikh Abu Hasan Ali an-Nadwi di antara para ulamak yang mendefinisi khalifah yang dimaksudkan ialah:


إقامة / حراسة الدين وسياسة الدنيا به

“Mendirikan atau menjaga agama dan mengurus dunia dengannya (panduan agama).”


Malah penekanan politik dan berhubung kaitkan dengannya seperti kuasa, pemerintahan, pentadbiran dan apa sahaja turut ditekankan oleh ulamak tasawuf terkenal iaitu Imam al-Ghazali menerusi kata-katanya:


الدين والسلطان توأمان… الدين أس والسلطان حارس وما لا أس له فمهدوم وما لا حارس له فضائع

“Agama dan kekuasaan bagaikan saudara kembar… Agama adalah asas dan kekuasaan adalah penjaganya. Apa saja yang tak ada asasnya akan hancur, dan apa saja yang tak ada penjaganya akan lenyap.”

(al-Ghazali, al-‘Iktiqad fi al-Iqtishad)


Meninggalkan politik dan membiarkan politik dikuasai oleh golongan perosak menjadi satu kesalahan di sisi agama. Malah inilah yang disukai oleh musuh agama. Umat Islam akhirnya akan dikuasai urusan mereka oleh golongan perosak yang membawa kerosakan.

Malah lebih teruk jika umat Islam termakan doktrin sekularisme yang memisah agama dan urusan politik. Amaran dari Syeikh Mustafa Sabri, mufti terakhir Khilafah Uthmaniyyah dengan memberi peringatan tegas dan ancaman bahawa memisahkan agama dengan politik, adalah jalan paling mudah untuk menjadi kafir.

Hal ini kerana tempelak dari Allah kepada ahli kitab apabila mereka menjuzukkan agama menurut nafsu. Diambil apa yang disukai dan dibuang pada perkara yang dibenci.

Firman Allah S.W.T:


أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَـٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضࣲۚ فَمَا جَزَاۤءُ مَن یَفۡعَلُ ذَ ٰ⁠لِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡیࣱ فِی ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَاۖ وَیَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِ یُرَدُّونَ إِلَىٰۤ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ

“Maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.”

[Al-Baqarah: 85]

Politik dalam menyempurnakan tanggungjawab syahadah

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya yang berjudul ‘Jarimah al-Riddah Wa ‘Uqubatuha’ menyatakan bahawa dalam asas tauhid pada syahadah لا إله إلا الله iaitu ‘Tiada Tuhan melainkan Allah S.W.T’ terdapat 3 unsur asas dalam menjelaskannya. 3 unsur ini dimuatkan di dalam satu surah di dalam al-Quran, iaitu surah Al-An’am:

(1)


أن يكون الله ربا

“iaitu tidak ada Tuhan melainkan Allah S.W.T.”


Firman Allah S.W.T:


قُلۡ أَغَیۡرَ ٱللَّهِ أَبۡغِی رَبࣰّا وَهُوَ رَبُّ كُلِّ شَیۡءࣲۚ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Apakah (patut) aku mencari tuhan selain Allah, padahal Dialah tuhan bagi segala sesuatu.”

(al-An’am: 164)


(2)


أن يكون الله وليا

“Iaitu tidak ada wali (pelindung) melainkan Allah S.W.T”


Firman Allah S.W.T:


قُلۡ أَغَیۡرَ ٱللَّهِ أَتَّخِذُ وَلِیࣰّا فَاطِرِ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ وَهُوَ یُطۡعِمُ وَلَا یُطۡعَمُۗ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Apakah aku akan menjadikan pelindung selain Allah yang menjadikan langit dan bumi, padahal Dia memberi makan dan tidak diberi makan”.


(al-An’am: 14)


(3)


أن يكون الله حاكما

“Iaitu tidak ada hukum yang wajib diikuti melainkan hukum Allah S.W.T.”


Firman Allah S.W.T:


أَفَغَیۡرَ ٱللَّهِ أَبۡتَغِی حَكَمࣰا وَهُوَ ٱلَّذِیۤ أَنزَلَ إِلَیۡكُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ مُفَصَّلࣰاۚ وَٱلَّذِینَ ءَاتَیۡنَـٰهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ یَعۡلَمُونَ أَنَّهُۥ مُنَزَّلࣱ مِّن رَّبِّكَ بِٱلۡحَقِّۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِینَ

“(Katakanlah wahai Muhammad): “Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta Syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (mengenai yang benar dan yang salah)?” Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu.”

(al-An’am: 114)


Yang dimaksudkan dengan unsur yang ketiga tersebut ialah tidak mencari hukum yang selain daripada hukum yang diturunkan oleh Allah S.W.T sebagai undang-undang dalam kehidupan. Wajib bagi manusia sekalian untuk membuang atau menolak kepatuhan bagi segala hukum-hakam selain hukum Allah S.W.T dan yang bertentangan dengan-Nya. Ini termasuklah peraturan dan perundangan yang bercanggah dengan syariat Islam.

Lantaran itu, politik yang menjadi punca kuasa sesuatu perundangan adalah untuk melaksanakan hukum dan syariat Allah menerusi perundangan yang dibentuk. Tanpa politik, perlaksanaan hukum dan syariat yang memerlukan punca kuasa perundangan tidak mampu dilaksanakan.

Politik Sekularisme punca segala masalah

Serangan pemikiran ke atas umat Islam merupakan cabaran besar. Meskipun tiada alat senjata yang diangkat namun serangan penyelewengan pemikiran lebih merbahaya. Di antara serangan pemikiran tersebut ialah doktrin Sekularisme.

Asasnya apa sahaja serangan pemikiran dari sudut ideologi Barat ialah menjauhkan manusia dari nilai agama dan berpegang kepada panduan agama dalam kehidupan.

Disebabkan itu, ideologi Barat atas nama apa sekalipun adalah bertujuan:


“View of life of without God centric”


Menjadikan manusia bertindak tanpa memikirkan soal dosa dan pahala. Apa yang dilakukan adalah semata-mata keinginan dan kepuasan nafsu. Nilai hak manusia diangkat secara mutlak dan dijadikan perjuangan agung. Pasak kehidupan berteraskan ‘human centric’ dengan laungan slogan hak asasi manusia (human right).

Agama diketepikan atau ‘dibuang’ dari skop kehidupan termasuk politik. Inilah bahaya dalam kehidupan seorang muslim yang sepatutnya. Kehidupan seorang muslim berteraskan paksi keimanan. Tidak hanya memikirkan keuntungan di dunia tetapi yang lebih utama memastikan kejayaan dan keselamatan di akhirat kelak.

Sekularisme menjadi hal agama dalam ruang lingkup terhad dalam batasan bangunan masjid dan surau. Malah di dalam pengajian agama pula dibuang silibus yang berkaitan politik, jihad, negara Islam dan apa yang mempunyai kaitan.

Apabila agama disempitkan, politik pula tiada kaitan panduan dari agama maka masuklah unsur politik jenis Machivialle iaitu matlamat menghalalkan cara. Demi sesuatu yang diinginkan maka akan dilakukan tanpa mengira soal dosa pahala, batasan halal haram kerana yang diberikan kepentingan ialah mencapai matlamat yang dikehendaki.

Kesannya lahirlah ‘politikus’ yang banyak bermain persepsi negatif demi memenangi ke atas pihak lawan dengan cara jahat. Rakyat dijadikan mangsa kerana rakyat hanya alat demi meraih jawatan, kuasa dan pangkat. Hilangnya sifat amanah dalam menjalankan tugas.

Benarlah sabda Rasulullah S.A.W:


إذا ضيعت الأمانة فانتظر الساعة” قال: كيف إضاعتها؟ قال: “إذا وُسِدَ الأمرُ إلى غير أهله فانتظر الساعة”

“Apabila hilangnya sifat amanah maka nantikanlah kehancuran. Lelaki Badwi bertanya: Bagaimana hilangnya sifat amanah? Sabda Baginda S.A.W: Apabila diserahkan urusan kepada yang bukan ahlinya maka nantikanlah kehancuran.”

(Riwayat al-Bukhari)

Hilangnya sifat amanah kerana tiada panduan agama dalam berpolitik. Politikus menjadi hamba nafsu. Nilai iman sudah hilang maka tiada lagi sifat amanah. Hadith dari Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لا إيمان لمن لا أمانة له

“Tiada iman bagi seseorang yang tiada amanah baginya”

(Riwayat Ahmad)


Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 31/1/2020

Khamis, 5 Ogos 2021

Amalan Manusia Akan di Hisab dan di Balasi di Hari Akhirat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Setiap amalan manusia samaada amalan yang kecil atau besar semuanya akan di hisab dan di tanya oleh Allah SWT di hari akhirat nanti. Termasuk setiap anggota manusia samaada mata. telinga, hidung, kaki, tangan, mulut, kepala, rambut dan kulit manusia akan di tanya satu persatu dan akan menjadi saksi . Anggota manusia tidak akan berbohong dan mereka akan berkata benar. Satu persatu mereka akan menjawab dan menjadi saksi di atas perbuatan manusia!

Jika manusia melakukan amal soleh, taat kepada semua perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya maka akan berbahagialah dia setelah melalui mizan dan mahkamah Allah SWT. Tetapi sebaliknya jika manusia hidup di dunia penuh maksiat dan dosa, hari-hari membuat fitnah, mengumpat, menzalimi orang lain, tinggalkan solat, merampas hak orang lain, menipu dalam mengejar kekuasaan dan harta dunia, awas!!! manusia akan hidup menderita berpanjangan. Keseronokan manusia bersama ketua dan kumpulan masing-masing dan berbangga dengan menghina kumpulan lain tidak bermakna langsung dan tidak membantu untuk menolak azab Allah SWT.atau dengan lain perkataan, "tak berbaloi langsung"

Mencegah Kemungkaran :

Pengertian Hadis :

عَنْ اَبِى سَعِيدِ الْخُدْرِي قَالَ سَمِعْتُ
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرهُ بِيَدِهِ
فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ
فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ اَضْعَفُ الاِيمَانِ

Daripada Abu Said al Khudri r.a. katanya :Aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda :
"Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman (Hadis sahih riwayat Muslim)

Berdasarkah hadis di atas ada beberapa tingkat iman dan amalan seorang mukmin apabila dia melihat sesuatu kemungkaran iaitu terdapat tiga cara-cara mencegah kemungkaran:

1. Mengubah dengan tangan

2. Mengubah dengan lidah

3. Mengubah dengan Hati

Huraiannya :

1. Mengubah dengan tangan.

Mengubah dengan kuasa yang ada pada seseorang mengikut kemampuannya dan bidang kuasa masing-masing. Setiap orang hendahlah mencegah kemungkaran yang berlaku dikalangan ahli atau orang dibawah tanggungjawabnya.

Contoh :

a. Bapa cegah kemungkaran keluarganya

b. Guru cegah kemungkaran murid-muridnya

c. Ketua negara cegah kemungkaran rakyatnya

d. Rakyat menggunakan tangannya (mengundi) untuk memilih pemimpin melalui pilihanraya. Dengan ini tangannya akan menolak pemimpin yang zalim.

Nabi SAW bersabda :

...لُلُّلُمْ رَاعٍ وَلُلُّلُمْ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِّيَّتِهِ ....

Maksudnya : "...Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap orang yang di bawah pimpinannya...." (Hadis sahih riwayat Bukhari)

Ramai di kalangan umat Islam hari ini menganggap memangkah dan mengundi di dalam pilihanraya adalah perkara biasa dan tidak ada kaitan dengan dosa dan pahala atau tidak ada kaitan dengan keadilan di hari akhirat. Mereka membuat pilihan hanya berdasarkan emosi dan perasan. Mudah terpengaruh dengan ajakan kawan atau terpengaruh dengan imbuhan yang diberikannya. Ada pula yang beranggapan nak undi pun boleh tak undi pun tak apa. Ada pula yang keliru tidak memahai maqasid syar'iyah dengan mengatakan undi ini adalah haram.

Kalian perlu faham bahawa jika kalian memilik orang zalim, pemimpin rasuah, pemimpin yang merendahkan hukum-hukum Islam ini bermakna kalian telah bersubahat membuat kerosakan di muka bumi. Kalian akan mendapat saham dosa jika pemimpin yang kalian pilih tidak berlaku adil dan melanggar hukum-hukum Allah SWT. Tangan kalian itu akan menjadi saksi apa yang kalian lakukan. Berdasarkan hadis di atas kalian perlu mencegah kemungkaran dengan "tangan-tangan kalian", tolaklah pemimpin yang terang-terang tidak berakhlak Islam , tidak menutup aurat bagi wanita, meghina ulama dan sunah Nabi SAW, menggalakkan maksiat dan kemugkaran, suara rakyat di sekat, rakyat dihukum tanpa melalui perbicaraan yang adil, fitnah seks bermahalajalela dibiarkan berkembang dalam masyarakat, perasuah dibebaskan dan para pendakwah disekat untuk menyampaikan risalah Islam!

Di hari akhirat nanti pengikut (termasuk rakyat yang memberi mandat) dan pemimpin akan berbalah sesama mereka kerana mereka semua tidak dapat menyelamatkan diri masing-masing.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan mereka sekalian tetap akan berhimpun mengadap Allah (untuk dihisab pada hari kiamat); kemudian orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi pemimpinnya): "Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut kamu; maka adakah kamu dapat menolak daripada kami sedikit dari azab Allah? " Mereka menjawab: "Kalaulah Allah menunjukkan jalan selamat kepada kami, tentulah kami tunjukkan jalan itu kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja kepada kita, sama ada kita menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk melepaskan diri (dari azab itu)". (Surah Ibrahim ayat 21)

2. Mengubah dengan lidah.

Mencegah dengan lidah bermaksud memberi nasihat dan bimbingan yang baik. Setiap orang hendahlah mencegah kemungkaran yang berlaku dikalangan ahli atau orang dibawah tanggungjawabnya .

Seruan Nabi SAW :

a. Kita disuruh menyeru manusia kepada melakukan kebaikan dan

b. mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran

c. Jika kita meninggalkan kedua-duanya , maka Allah akan menjadikan orang-orang yang jahat sebagai pemimpin kita. Ketika itu juga doa-doa dikalangan kita juga tidak lagi mustajab.

3. Mengubah dengan hati.

Mencegah dengan hati bermaksud membenci kemungkaran dan menjauhkannya. Mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.

Kesannya :

a. Kemungkaran hanya tidak belaku pada dirinya sahaja.

b. Kemungkaran tidak akan hilang atau berkurangan.

Hayatilah maksud hadis di atas dan beramallah dengan baik dan betul. Janganlah kalian melakukan kesilapan untuk kali keduanya. Utamakanlah yang pertama iaitu cegah kemugkaran dengan tangan kalian barulah diikuti dengan peringkat lisan dan hati. Gunakanlah tangan kalian sebaik-baiknya untuk mengundi kerana jika kalian betul dalam pemilihan kebaikannya kalian sendiri akan menikmatinya begitu juga jika salah atau tersilap berat tanggungannya yang akan kalian terima. Pastikan kalian lakukan semata-mata kerana Allah SWT dan mencari keredaan-Nya.