Khamis, 31 Januari 2019

KENAPA GABUNGAN BN DAN PAS MENAKUTKAN PAKATAN HARAPAN?

Keputusan PRK Parlimen Cameron Highlands hakikatnya mengesahkan bahawa jika berlaku kerjasama antara BN dan PAS sudah tentu mampu menatijahkan keputusan yang memberangsangkan.

Sebab itulah PH hakikatnya gerun dan amat takut jika kerjasama ini benar-benar berlaku. Jika dianalisis secara terperinci keputusan PRU 14 lepas, kerusi BN yang dimenangi di 79 kerusi Parlimen boleh berubah menjadi 126 kerusi Parlimen jika PAS-BN betul-betul bergabung dan bertanding satu lawan satu dalam PRU 14 lalu.
   
Selain 18 kerusi yang sememangnya telah dimenangi PAS, Gabungan BN dan PAS secara teorinya berdasarkan jumlah undi yang diperolehi kedua-dua parti, sepatutnya mudah mengalahkan PH di 29 kerusi Parlimen lain. Antara 29 Parlimen tersebut termasuklah seperti berikut:

1. Kerusi P002 Kangar, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (15306) dan PAS (8465), mengatasi undi calon PH-PKR yang menang (20909) sebanyak 2862 undi.

2. Kerusi P005 Jerlun, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (12413) dan PAS (12829), mengatasi undi calon PH-PPBM yang menang (18695) sebanyak 6547 undi.

3. Kerusi P006 Kubang Pasu, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (16975) dan PAS (13375), mengatasi undi calon PH-PPBM yang menang (29984) sebanyak 366 undi.

4. Kerusi P008 Pokok Sena, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (18390) dan PAS (23401), mengatasi undi calon PH-AMANAH yang menang (28959) sebanyak 12832 undi.

5. Kerusi P010 Kuala Kedah, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (19400) dan PAS (23143), mengatasi undi calon PH-PKR yang menang (36624) sebanyak 5919 undi.

6. Kerusi P014 Merbok, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (20830) dan PAS (19618), mengatasi undi calon PH-PKR yang menang (30902) sebanyak 9546 undi.

7. Kerusi P015 Sungai Petani, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (23963) dan PAS (22760), mengatasi undi calon PH-PKR yang menang (45532) sebanyak 1191 undi.

8. Kerusi P017 Padang Serai, di mana gabungan undi calon BN-MCA (15449) dan PAS (22911), mengatasi undi calon PH-PKR yang menang (31724) sebanyak 6636 undi.

9. Kerusi P018 Kulim-Bandar Baharu, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (18299) dan PAS (12885), mengatasi undi calon PH-PKR yang menang (23159) sebanyak 8025 undi.

10. Kerusi P057 Parit Buntar, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (13655) dan PAS (12312), mengatasi undi calon PH-AMANAH yang menang (16753) sebanyak 9214 undi.

11. Kerusi P063 Tambun, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (33341) dan PAS (14948), mengatasi undi calon PH-PPBM yang menang (38661) sebanyak 9628 undi.

12. Kerusi P074 Lumut, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (21555) dan PAS (10135), mengatasi undi calon PH-AMANAH yang menang (21955) sebanyak 9735 undi.

13. Kerusi P077 Tanjong Malim, di mana gabungan undi calon BN-MCA (19314) dan PAS (10311), mengatasi undi calon PH-PKR yang menang (24672) sebanyak 4953 undi.

14. Kerusi P080 Raub, di mana gabungan undi calon BN-MCA (17500) dan PAS (7866), mengatasi undi calon PH-DAP yang menang (20659) sebanyak 4707 undi.

15. Kerusi P082 Indera Mahkota, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (17628) dan PAS (17515), mengatasi undi calon PH-PKR yang menang (28578) sebanyak 6565 undi.

16. Kerusi P083 Kuantan, di mana gabungan undi calon BN-MCA (13667) dan PAS (14696), engatasi undi calon PH-PKR yang menang (22807) sebanyak 5556 undi.

17. Kerusi P088 Temerloh, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (22094) dan PAS (14734), mengatasi undi calon PH-AMANAH yang menang (23998) sebanyak 12830 undi.

18. Kerusi P089 Bentong, di mana gabungan undi calon BN-MCA (23684) dan PAS (5706), mengatasi undi calon PH-DAP yang menang (25716) sebanyak 3674 undi.

19. Kerusi P093 Sungai Besar, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (16636) dan PAS (7220), mengatasi undi calon PH-PPBM yang menang (17350) sebanyak 6506 undi.

20. Kerusi P094 Hulu Selangor, di mana gabungan undi calon BN-MIC (27392) dan PAS (16620), mengatasi undi calon PH-PKR yang menang (40783) sebanyak 3229 undi.

21. Kerusi P096 Kuala Selangor, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (21344) dan PAS (8535), mengatasi undi calon PH-AMANAH yang menang (29842) sebanyak 37 undi.

22. Kerusi P109 Kapar, di mana gabungan undi calon BN-MIC (26412) dan PAS (31425), mengatasi undi calon PH-PKR yang menang (47731) sebanyak 10106 undi.

23. Kerusi P112 Kuala Langat, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (26127) dan PAS (18731), mengatasi undi calon PH-PKR yang menang (43239) sebanyak 1619 undi.

24. Kerusi P119 Titiwangsa, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (19701) dan PAS (6845), mengatasi undi calon PH-PPBM yang menang (23840) sebanyak 2706 undi.

25. Kerusi P129 Kuala Pilah, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (17845) dan PAS (4347), mengatasi undi calon PH-PPBM yang menang (18045) sebanyak 4147 undi.

26. Kerusi P133 Tampin, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (21433) dan PAS (4598), mengatasi undi calon PH-AMANAH yang menang (22435) sebanyak 3596 undi.

27. Kerusi P136 Tangga Batu, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (27761) dan PAS (8961), mengatasi undi calon PH-PKR yang menang (32420) sebanyak 4302 undi.

28. Kerusi P149 Sri Gading, di mana gabungan undi calon BN-UMNO (18223) dan PAS (4548), mengatasi undi calon PH-PPBM yang menang (21511) sebanyak 1260 undi.

29. Kerusi P165 Tanjung Piai, di mana gabungan undi calon BN-MCA (20731) dan PAS (2962), mengatasi undi calon PH-PPBM yang menang (21255) sebanyak 2438 undi.

Berdasarkan di atas, jika dijumlahkan kerusi yang dimenangi BN (79 Parlimen), PAS (18 Parlimen) dan 29 Parlimen yang tidak sepatunya dimenangi PH jika wujud penggabungan antara BN dan PAS, maka gabungan BN-PAS sepatutnya dengan mudah menubuhkan Kerajaan dengan jumlah kerusi Parlimen sebanyak 126.

Sebab itulah PH bersungguh-sungguh mahu memastikan kerjasama BN dan PAS ini tidak akan berlaku. Namun Alhamdulillah PRK Parlimen Cameron Highlands telah membuktikan bagaimana kerjasama BN dan PAS telah meningkatkan majoriti BN daripada hanya 597 pada PRU14 kepada 3238 undi dalam PRK yang baru selesai.

Kita doakan agar Allah permudahkan dan merealisasikan kerjasama ini demi memastikan perjuangan Agama, Bangsa dan kestabilan tanahair tercinta dapat dipertahankan.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

28 Januari 2019
6.30 pagi

(Kajian asal telah dibuat oleh sahabat saya Pensyarah UUM Dr Kamarul Zaman Yusof)

Selasa, 29 Januari 2019

JANGAN BATALKAN ECRL, IKUTI USUL MB TERENGGANU

1. Sekali lagi Menteri Besar Terengganu Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar membuktikan bahawa beliau sememangnya seorang teknokrat sejati yang berpandangan jauh.  Di saat para Menteri Pakatan berantakan sesama sendiri tentang status projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Dr. Ahmad Samsuri sebaliknya mengajukan satu demi satu usul penyelesaian konkrit demi kepentingan negara umumnya dan negeri Terengganu khususnya.

2. Hakikatnya, sejak Ogos 2018 lagi beliau mengusahakan agar projek ECRL ini – yang digelar sebagai ‘Penyembelih Singapura’ oleh media antarabangsa – tidak dibatalkan begitu sahaja oleh kerajaan Pakatan Harapan.

3. Menteri Besar daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ini sebaliknya mencadangkan kerajaan Pakatan agar membuka tender baharu kepada syarikat tempatan atau luar negara yang berminat untuk meneruskan projek yang cukup bernilai strategik itu.

4. Pertimbangan Dr Ahmad Samsuri ini amat relevan lagi rasional memandangkan proses awal pelaksanaan projek ECRL ini sudah pun berjalan – antaranya termasuklah pembinaan laluan, stesen, terowong dan jambatan serta pengambilan alih tanah.

5. Memetik jawapan beliau kepada media pada 22 Ogos 2018 lalu: “…ada terowong sudah digali sejauh 50 meter dan pada hemat saya, langkah menghentikan pelaksanaan projek ini satu kerugian, sepatutnya boleh buat proses baru membuka tender kepada syarikat tempatan untuk adakan kerjasama dengan luar negara pada kos munasabah”.

6. Terbaru, Dr. Ahmad Samsuri tidak sama sekali bertindak mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh apabila percanggahan terbuka meletus antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Azmin Ali dengan Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng berhubung penamatan kontrak ECRL dengan kontraktor utama China, China Communication Construction Company Ltd (CCCC).

7. Sebaliknya, Menteri Besar Terengganu ini – yang memiliki latar belakang profesion pakar aeroangkasa – mengusulkan supaya skala projek ECRL ini diubahsuai berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan Persekutuan.  Seperti mana menurut beliau: "Saya sedar kekangan bagi projek yang sangat positif ini adalah faktor kewangan, jadi di peringkat Persekutuan wajar untuk mempertimbangkan pelaksanaan ECRL dengan skala lebih kecil supaya objektif awal pembangunannya tercapai".

8. Sesungguhnya, jika kerajaan Pakatan menamatkan sepenuhnya projek ECRL tanpa mempertimbangkan kesemua usul Dr. Ahmad Samsuri ini, maka impak negatif ke atas prospek jangka panjang ekonomi dan kepentingan strategik negara tidak dapat dielakkan lagi.  Dalam situasi keyakinan pelabur yang masih belum pulih, sebarang keputusan yang tidak bijak melibatkan ECRL akan merudumkan lagi imej serta reputasi kita.

9. Demikian juga dari segi impak ke atas pembangunan jangka panjang serta pengurangan jurang antara wilayah Pantai Timur dengan Pantai Barat.  Peluang negeri-negeri Pantai Timur untuk melonjakkan Keluaran Negara Kasar mereka sebanyak 1.5% akan terhapus.  Peluang negeri-negeri Pantai Timur untuk memangkin ekonomi penduduk setempat di sepanjang laluan terlibat serta menjadikan ECRL sebagai mod pengangkutan penting bagi komoditi akan terjejas teruk.

10. Dari perspektif prospek kepentingan strategik negara juga, perancangan jangka panjang untuk memanfaatkan pemindahan teknologi dari China juga berpotensi terjejas.  Antara yang turut menjadi perhatian ialah rancangan kolaborasi ‘Diplomasi Kereta Api’ Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke dengan CRRC China untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran peralatan kereta api di rantau Asia Tenggara.

11. Paling kritikal tentulah peluang untuk kita memecahkan dominasi sekian lama Singapura dalam kegiatan aktiviti maritim dunia.  Sangat tidak bijak sekiranya kerajaan Pakatan bertindak melepaskan peluang ini: perkiraan jelas menunjukkan bahawa pemindahan kargo sebesar satu tan dari Shenzhen, China ke Pelabuhan Klang melalui Kuantan-ECRL hanya memakan masa selama 135 jam dengan kos sebanyak USD56 dollar berbanding laluan Singapura yang memakan masa selama 165 jam.

12. Perlu diingat, lebih separuh daripada muatan tanan armada perdagangan tahunan melalui pusat yang sempit di Selat Melaka, dan ia membentuk satu pertiga daripada keseluruhan trafik maritim di seluruh dunia.

13. Minyak yang diangkut menerusi Selat Melaka dari Lautan Hindi, dalam perjalanan ke Asia Timur melalui Laut China Selatan, adalah sebesar tiga kali ganda berbanding jumlah yang melalui Terusan Suez dan lima belas kali ganda jumlah yang transit di Terusan Panama. 

14. Realitinya, China pada hari ini sahaja sudah benar-benar terdesak untuk mendapatkan tenaga yang baharu. Simpanan minyak yang dikawal Beijing pada 2014 hanya berjumlah 1.1 peratus daripada jumlah simpanan minyak dunia, sedangkan penggunaan minyaknya adalah berjumlah lebih daripada 10 peratus pengeluaran minyak dunia manakala penggunaan tenaganya adalah lebih daripada 20 peratus kesemua penggunaan tenaga di dunia. 

15. Saat ini sahaja 80% daripada keseluruhan import minyak China adalah melalui Selat Melaka – hinggakan bekas Presiden China Hu Jintao pada 2003 memperkenalkan istilah ‘Dilema Melaka’.

16. Penggunaan tenaga di negara-negara Asia yang sedang membangun dijangka akan meningkat sebanyak dua kali ganda menjelang tahun 2030 nanti – separuh daripada pertumbuhan terbabit adalah dari China. 

17. Terbukti, lonjakan permintaan dalam tempoh beberapa tahun ini pastinya menjanjikan peluang besar kepada ECRL – apatah lagi dalam keadaan hubungan Singapura-Beijing yang semakin hari semakin dingin.

18. Maka jelas anggaran penggunaan kargo ECRL yang dijangka mencecah 60 juta tan setiap tahun nanti adalah realistik – ditambah pula berdasarkan ‘trend’ permintaan import tenaga dari China yang dijangka akan meningkat berlipat kali ganda menjelang tahun 2030.

19. Ringkasnya, usul yang dicadangkan Menteri Besar Terengganu Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar untuk menyelamatkan projek ECRL demi kepentingan strategik negara ini wajib dipertimbangkan sedalam-dalamnya oleh kerajaan Pakatan.  Ketepikanlah perbezaan politik, buanglah pemikiran berasaskan kapitalis-neoliberal yang mementingkan untung rugi jangka pendek semata-mata.  Sebaliknya, contohilah pendekatan teknokrat Dr. Ahmad Samsuri yang berorientasikan kepentingan strategik negara untuk jangka masa panjang.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Isnin, 28 Januari 2019

Islam hilang kuasa politik, wajib kembali bersatu


IZWAN ABDUL HALIM  27 JANUARY 20

KUALA LUMPUR: Orang Islam harus sedar bahawa mereka telah kehilangan kuasa dalam politik tanah air pada hari ini, demikian peringat Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, walaupun menguasai pemerintahan negeri, tetapi suasana politik umat Islam ketika ini berada dalam keadaan yang sangat lemah di mana negara sedang diperintah oleh majoriti bukan Islam.

"Perdana Menteri yang memimpin parti Bersatu hanya (ada) 13 kerusi sahaja. Banyak (lagi) PAS, PAS (ada) 18 kerusi. PKR bukan parti Islam, bukan parti Melayu, parti campuran Melayu dan bukan Melayu.

"PAN bukan parti Melayu, bukan parti Islam, (tetapi) parti yang ditubuhkan oleh PKR dan DAP untuk melawan PAS. Umno rebah, tak jadi Kerajaan Pusat.

"Yang memerintah negara kita hari ini, 66 kerusi bukan Islam, 58 Melayu ada Islamnya mentah. Walaupun penduduk Islam 65 peratus, yang bukan Islam (hanya) 35 peratus," ujarnya.

Perkara tersebut dinyatakan beliau pada program Bicara Kerajaan Sejahtera sempena Karnival Kijal Sejahtera di Bandar Baru Kijal, Kemaman, kelmarin.

Berikutan itu katanya, parti-parti bukan Islam ini berani membuat tuntutan yang menghina Islam sehingga ke peringkat mengemukakan untuk menyamakan Islam dengan agama lain.

Kemuncaknya bidas beliau, mereka berani mengemukakan usul di Parlimen untuk menghapuskan hak keistimewaan Bumiputera secara tersembunyi menerusi usaha ratifikasi ICERD.

Dedahnya, pengisytiharan tersebut adalah agenda Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dikuasai oleh Freemason Yahudi lalu ianya telah dibawa ke Parlimen Malaysia.

"Saya berucap di Parlimen memberanikan diri memberi amaran. Sekiranya PH berani menyalahgunakan suara untuk meluluskan ICERD, menyamakan Islam dengan agama lain, menghilangkan hak Bumiputera dan Melayu, saya memberi amaran.

"PAS boleh mengerah berjuta manusia turun ke jalan raya. Saya tak sangka ucapan ini disambut oleh Ahli-ahli Parlimen Melayu termasuk Umno dengan takbir dalam Parlimen.

"Maka berlakulah himpunan yang besar di Kuala Lumpur, menyebabkan mereka berundur. Alhamdulillah, itu yang mampu kita buat," katanya.

Menurutnya lagi, umat hari ini terpaksa memikul kesalahan yang dibuat pemerintah dulu di mana mereka sengaja membanyakkan jumlah pengundi dalam kawasan Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah hingga ratusan ribu pengundi.

Sedangkan terangnya, kawasan Parlimen di Pantai Barat hanya mempunyai sekitar 30,000 pengundi, manakala Sabah dan Sarawak sekitar 10,000 pengundi bagi membanyakkan kerusi di situ, tetapi menghalang kerusi di negeri boleh dimenangi PAS.

Oleh itu beliau menyeru supaya orang Islam mengembalikan kekuatan dan menghentikan perkelahian hingga berpecah sesama sendiri, sebaliknya bangun atas kewajipan dan memahami awlawiyat.

"Orang bukan Islam jangan takut. Islam menentang assabiyah perkauman. Tetapi dalam masa yang sama, Islam mesti mempertahankan kepimpinan dan ketuanan Islam untuk memerintah negara," ujarnya.

- HARAKAHDAILY 27/1/2019

Rabu, 9 Januari 2019

LARANGAN MENYOKONG KEZALIMAN

Maksudnya : Sesungguhnya selepasku ini akan adanya pera pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolongan kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga) dan sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan akan dari kalangannya dan dia akan mendatangkan telaga di syurga. (Kata al-Haitami: Hadith ini diriwayatkan oleh oleh Ahmad, al-Bazzar dan al-Tabarani di dalam al-Kabir dan al-Ausod . Para perawi salah satu sanad al-Bazzar dan Ahmad adalah para perawi Sahih al-Bukhari)

KETERANGAN
Dengan wahyu Allah, Allah telah mengkhabarkan kepada NabiNya tentang keadaan-keadaan yang bakal berlaku selepas ketiadaan baginda. Antaranya, akan wujudnya para pemimpin yang zalim dan penipu. Sesiapa yang menyokong mereka maka Nabi s.a.w. tidak mengakuinya sebagai pengikut baginda dan tidak akan membenarkan mereka meminum air telaga di syurga, dalam kata lain tidak memasuki syurga melainkan diazab di atas jenayah sokongan mereka kepada para pemimpin jenis tersebut. Sesiapa yang tidak menyokong dan menolong para pemimpin yang zalim dan pembohong maka dia adalah pengikut Nabi dan akan memasuki syurga.

Mukmin yang sebenar akan bimbang dan merasa takut dengan amaran ini. Tidak mengapa seseorang dipecat dari menjadi ahli sesuatu pertubuhan, tetapi yang yang sangat bahaya dan menakutkan apabila kita dipecat dari menjadi pengikut Nabi s.a.w. Di manakah golongan ini akan berhimpun di akhirat jika Nabi s.a.w. tidak menerima mereka sebagai pengikutnya? Sesungguhnya asas utama kezaliman pemerintahan yang wujud sekarang adalah kerana tidak melaksanakan syariat Allah. Firman dalam Surah al-Maidah ayat 45:

Maksudnya : Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka adalah orang-orang yang zalim.

Dengan kezaliman yang asas ini para pewaris Fir`aun menambahkan lagi kezaliman demi kezaliman. Membolot harta rakyat dan menzalimi setiap yang bangun menasihatinya.

Larangan Menyokong Puak Yang Mungkar

Firman Allah dalam Surah al-`An`am, ayat 68 :

Maksudnya : Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

Kata al-Qadi Abu Bakr Ibn al-`Arabi: “Ayat ini adalah dalil bahawa tidak dihalalkan duduk bersama ahli mungkar”( Ahkam al-Quran, jld. 2, m.s. 260, cetakan Dar al-Fikr)

Duduk bersama golongan munkar tidak dibenarkan apatah lagi menyokong, membantu dan menolongnya.

Firman Allah dalam Surah an-Nisa` ayat 140: Maksudnya:Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka.

Kata al-Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini: “Ayat ini menjadi dalil wajibnya menjauhi ahli maksiat apabila jelas kemungkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka bererti redha dengan perbuatan mereka.”

Katanya lagi: “Firman Allah إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ (kalau demikian, kamu sama seperti mereka) sesiapa yang duduk dalam majlis maksiat (menderhakai Allah) dan tidak membantahi mereka maka dia menanggung dosa yang sama seperti mereka. Maka hendaklah dia membantah mereka sekiranya mereka bercakap dan melakukan maksiat. Sekiranya dia tidak mampu untuk membantahi mereka maka hendaklah dia meninggalkan mereka supaya tidak termasuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini (Tafsir Ayat al-Ahkam, jld. 5, 418, Dar al-Fikr, Beirut)

Sesiapa yang terus menyokong golongan atau pemimpin yang melakukan kejahatan dan kezaliman serta mempermainkan ayat-ayat Allah, maka sesungguh dia sama-sama menanggung dosa dengan pemimpin tersebut. Mungkin dia berkata, saya tidak menzalimi orang lain, atau mempersendakan agama tetapi sekadar menjadi ahli biasa parti sahaja, sedangkan pemimpinnya zalim dan jahat maka dia turut menanggung dosa.

Firman Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 66-67- Maksudnya : Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul. Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.

Demikianlah halnya ahli neraka yang dahulu menjadi pengikut setia para pemimpin yang melanggari ajaran Allah dan RasulNya. Mereka yang taat dan terus setia sehingga akhirnya mereka dihumbankan ke dalam neraka.

Firman Allah dalam Surah Hud ayat 113:

Maksudnya:Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

Sabtu, 5 Januari 2019

Ulama’ penyambung tugas memimpin umat

Oleh Mohd Fadly Samsudin

ULAMA adalah pewaris nabi. Sesungguhnya nabi tidak meninggalkan kepada umatnya harta kekayaan tetapi ilmu pengetahuan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan ulama di muka bumi seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk kepada musafir dan pelayar di waktu malam, apabila terlindungnya bintang tersebut mereka akan terpinga-pinga kehilangan petunjuk.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).
Siapakah sebenarnya ulama yang dikatakan pewaris nabi itu? Apakah pula peranan masyarakat bagi mengangkat martabat ulama?

Sejarah turut membuktikan pembabitan ulama dalam perjuangan merebut kemerdekaan. Justeru, tugas dan peranan terbesar ulama adalah menjalankan urusan pembangunan masyarakat supaya mereka hidup bersatu padu, rukun dan makmur.

Mereka menanggung amanah besar bagi menyampaikan kebenaran berdasarkan ilmu yang mereka miliki. Berbicara mengenai politik, ada yang mengatakan ia sesuatu yang kotor dan penuh dengan penipuan.

Jika kita melihat sejarah politik bangsa, ulama turut berperanan penting mencatat nama dalam pembentukan negara.

Malah, sistem pentadbiran, pendidikan, perundangan dan ekonomi umat Islam sinonim dengan sistem Islam.

Jelas karektor yang dimiliki golongan ilmuwan berkenaan menjadi lambang kekuatan iman dan harapan umat Islam supaya kekal berpegang teguh kepada ajaran yang suci dan benar.

Ibnu Abbas berkata: “Ulama adalah orang yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dan tambahnya lagi: Orang alim tentang Allah Maha Penyayang adalah orang yang tidak melakukan syirik dengan Allah sesuatu pun serta dia menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan. Dia turut memelihara wasiat-Nya disamping yakin bahawa dia tetap akan menemui-Nya dan Dia bakal menghitungkan amalannya.

Ulama mengetahui bagaimana sunnatullah (peraturan Allah) berkenaan kejadian manusia dan semua kejadian di alam ini.

Semakin tinggi ilmu, bertambah takut mereka kepada Allah. Berlainan dengan sesetengah lainnya, apabila bertambah ilmunya makin bertambah ingkar kepada Allah.

Golongan ulama mengamalkan segala ilmu yang dipelajarinya. Mereka memiliki hati yang bersih daripada maksiat dan syirik dan tidak tamak dengan habuan dunia.

Saidina Abu Bakar, Umar Al-Khattab, Uthman Ibnu Affan dan Ali Ibnu Abi Talib adalah beberapa nama agung yang mengambil tempat selepas kewafatan baginda Rasulullah sebagai khalifah.

Sistem yang dijalankan ketika pemerintahan Khalifah ar-Rasyidun membawa kemakmuran berpanjangan serta keadilan saksama kepada umatnya.

Itulah kesan langsung kejayaan pimpinan ulama yang menjadi pentadbir. Mereka bukan sekadar penasihat kepada kerajaan tetapi pelaksana dasar negara.

Bagi menghadapi pelbagai cabaran alaf baru, ulama perlu mempersiapkan diri mengikuti perkembangan semasa selain memahami perkara baru yang muncul timbul agar mereka dapat menanganinya dengan baik.

Fatwa atau pandangan perlu dilontar selaras dengan zaman dan bertepatan dengan syariah Islamiah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu menjalankan hukum (pemerintahan) di kalangan mereka berdasarkan kepada apa yang diturunkan oleh Allah”. (Surah al-Maidah ayat 48).

Ulama perlu melakukan perubahan kepada umat Islam. Mereka perlu melihat kembali sejarah bagaimana Nabi Muhammad dan sahabatnya berdakwah.

Sebagai seorang daie (pendakwah) mereka perlu ada sifat sabar, berhikmah, teladan baik, lemah lembut, bersikap ramah, kasih sayang, menyeru hormat-menghormati, saling nasihat-menasihati serta memuliakan saudara lain.

Seruan dakwah yang berpaksikan ‘hikmah dalam dakwah’ perlu bergema di seluruh pelusuk tempat untuk mengajak umat Islam mengenal Islam dengan lebih sempurna.

Golongan ulama perlu berusaha melindungi umat Islam dari segala penyelewengan dalam agama seperti amalan bid’ah, khurafat, syirik, tahyul dan maksiat.

Mereka hendaklah membongkar segala penyimpangan yang cuba disebarkan kepada umat Islam. Justeru, kita perlu mengiktiraf ulama sebagai pemimpin yang berwibawa.

Rasulullah memperjelaskan ciri yang perlu ada bagi mereka yang ingin menyambung warisan baginda adalah menentang penyelewengan golongan melampaui batas.

Segala penyelewengan agama contohnya ajaran syiah perlu diperangi habis-habisan kerana ia menyebabkan umat Islam dalam kekacauan.

Abu Nu’aim menyatakan bahawa Nabi mengatakan, “Dua macam golongan manusia yang apabila keduanya baik maka akan baiklah masyarakat. Tetapi, apabila keduanya rosak maka akan rosaklah masyarakat itu. Kedua golongan manusia itu adalah ulama dan pemerintah.”

Pensyarah Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan Universiti Malaya (UM), …… berkata ulama secara lateralnya bermaksud orang berilmu tetapi dalam konteks Malaysia ia dirujuk kepada golongan berilmu berkaitan Islam.

“Jika diterjemahkan maka ia boleh dianggap sebagai pakar agama Islam. Belum ada piawaian khusus mengukur siapa yang dianggap ulama dan sebaliknya,” katanya.

Rahimi berkata, ulama mempunyai tanggungjawab besar terhadap ilmu yang mereka miliki.

Allah nyatakan dalam surah at-Taubah ayat 122 bahawa: “Hendaklah ada sekumpulan mereka keluar mendalami agama dan hendaklah memberi amaran kepada kaumnya apabila dia kembali kepada mereka.

“Allah gunakan perkataan (inzar bermaksud amaran) dalam ayat ini menunjukkan bahawa dalam situasi tertentu ulama perlu menggunakan pendekatan tegas dalam memberi peringatan kepada masyarakat walaupun pendekatan hikmah adalah keutamaan.

“Ulama berperanan penting dalam pembinaan masyarakat kerana sebagai umat Islam, agama perlu menjadi terma rujukan utama dalam segala tindakan yang diambil.

“Mereka perlu berperanan dalam menanam kesedaran, membina pengetahuan, memimpin penghayatan serta memantau pelaksanaan cara hidup umat agar sentiasa selaras dengan tuntutan agama,” katanya.

Beliau berkata golongan ulama perlu mempunyai pendirian dan jangan bersikap berkecuali namun pendirian mereka mestilah bersandarkan ilmu agama yang di miliki.

“Masyarakat salah faham berkenaan politik kerana mereka melihat berpolitik bererti menyertai parti politik. Saya berpendapat ulama perlu berpolitik tetapi tidak terpesong daripada landasan agama.

“Lebih baik jika mereka tidak menonjolkan ‘warna tertentu’ agar teguran mereka akan didengar semua pihak tanpa prejudis.

“Jika mereka terbabit dengan parti tertentu, suara mereka lebih didengari pengikut parti berkenaan saja,” katanya.

Rahimi berkata tidak salah menyertai parti politik tetapi mereka mesti bertanggungjawab terhadap kefahaman agama yang mereka miliki.

“Jangan berparti sekadar untuk mendapat manfaat peribadi kerana ia bertentangan dengan tanggungjawab mereka terhadap ilmu yang dimiliki,” katanya.

Beliau berkata, tohmahan terhadap golongan ulama akan timbul jika perjuangan menyebar serta menegakkan ajaran agama dicemari dengan kepentingan peribadi termasuk kebendaan, pangkat, kedudukan, dan penghormatan.

“Justeru, pastikan perjuangan mereka menjunjung kebenaran daripada Allah,” katanya.

Rabu, 2 Januari 2019

Keutamaan berpolitik Islam berbanding hanya berzikir.

SABDA Rasulullah SAW:

سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله ، إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله ، ورجل قلبه معلق بالمساجد ، ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه ، ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إني أخاف الله . ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه ، ورجل ذكر الله خالياً ففاضت عيناه

Tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah
pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya

(1) Pemimpin yang adil,
(2) Pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah.
(3) Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid,
(4) Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah juga,
(5) Lelaki yang diajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah’,
(6) Seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta
(7) Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.

[HR Bukhari & Muslim]

Tujuh perkara ini sangat payah untuk dilakukan. Sebut sahaja mudah. Sebab itulah mereka layak mendapat naungan di hari akhirat kelak.

Disebut yang pertama sekali mendapat naungan Allah SWT pemimpin yang adil. Ini perkara yang paling payah sekali. Pemimpin ni urusan politiklah. Orang kata politik ini kotor, jahat, hodoh, rasuah dan sebagainya. Tapi berada di tempat pertama dalam senarai.

Hal ini kerana ia sangat sukar untuk dicapai. Nak naik jadi pemimpin payah, nak memerintah pun payah. Bila naik jadi pemerintah, dapat pangkat besar pula. Kedudukannya tinggi, terdedah kepada rasuah, terdedah kepada segala kemudahan dan segala kesenangan. Namun dia tetap teguh menegakkan syariat.

Orang yang berjuang di medan politik untuk menegakkan Islam, setelah diberi kemenangan oleh Allah taala dia menegakkan pula Islam itu dengan adil, maka ini orang pertama dipayung oleh Allah pada hari kiamat nanti.

Di antara mereka adalah Nabi SAW. Ini yang pertama sekali. Kemudian para khulafa ar-Rasyidin, seterusnya para khalifah dan pempin-pemimpin Islam yang adil.

(Selepas itu disebutkan baki enam golongan yang lain seperti di dalam hadis.)

Yang terakhir dalam senarai adalah golongan yang berzikir. Ini disebut nombor tujuh. Adapun nombor satu adalah yang berpolitik. Kita ingatkan yang duduk berzikir inilah nombor satu. Rupanya yang bergaul dengan orang.

Kenapa begitu?

Kerana bergaul dengan orang itu menunaikan tiga kewajipan yang menjadi sebab dijadikan manusia. Pertama beribadat, kedua berkhilafah dan yang ketiga menegakkan syariat Allah. Yang berzikir pula menunaikan hanya satu kewajipan iaitu beribadat sahaja.

Ada seorang sahabat ketika bermusafir di padang pasir, beliau bertemu satu tempat yang terdapat mata air yang tidak putus walaupun di musim kemarau. Lalu dia terfikir ada baiknya untuk beliau membawa anak isterinya ke sana. Buat rumah di sana, bercucuk tanam dan mendiami kawasan tersebut. Tak perlu bercampur dengan orang lain. Cukup dengan buat ibadat di sana sahaja.

Tetapi beliau ingin mengajukan perkara tersebut kepada Rasulullah terlebih dahulu. Setelah berjumpa baginda dan menyatakan hasratnya, Rasulullah SAW melarangnya. Menurut baginda, sesungguhnya sehari kamu berada bersama orang ramai, menghadapi ujian dan masalah, bertahan dengannya, menjalankan amar makruf nahi mungkar, adalah lebih baik daripada kami berada di sana 70 tahun.

Namun akan berlaku pula di akhir zaman, bencana dan fitnah dalam perkara agama sehingga seseorang itu tidak boleh menyelamatkan dirinya. Terlalu banyak maksiat dan kemungkaran. Tidak ada jemaah Islam sehingga boleh menggugat imannya jika dia meneruskan hidup. Maka boleh dia beruzlah, mengasingkan dirinya daripada orang ramai untuk menjaga agamanya seperti Ashabul Kahfi.

Itu dalam keadaan yang sangat lemah. Ini akan berlaku di mana-mana tempat di dunia. Tempat kita tak berlaku lagi. Tetapi ada negara yang menerima tekanan terhadap Islam sangat kuat sehingga nak mengajar atau belajar agama tidak dibenarkan. Akan ditangkap, dibunuh dan diapa-apakan. Maka bolehlah mereka menyembunyikan diri. Itulah dia beruzlah. – HARAKAHDAILY

Petikan kuliah Jumaat Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
5 Rabiul Awwal 1439 24 November 2017

Selasa, 1 Januari 2019

Kepentingan Perjuangan Menegakkan Politik dan Negara Islam - Ketua DPPP


بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله قائد الدعاة والمجاهدين وعلى آله وصحبه أجمعين

Tabiat aqidah ianya menjurus ke arah menjelmakan amal, jihad dan haraki. Aqidah bukannya suatu doktrin kaku yang tidak menghasilkan apa-apa tindakan atau amal. Jelmaan aqidah yang hakiki dapat dilihat pada sirah perjuangan Rasul saw dan partisipasi para sahabat dalam jihad dan haraki.

Manifestasi aqidah mereka adalah cetusan dari tuntutan firman Allah,


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ هُمْ الصَّادِقُونَ

{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)}

(al-Hujurat : 15)

Ayat di atas memperlihatkan kepada kita bahawa keimanan menghasilkan keyakinan kepada Allah dan Rasul serta mencetuskan jihad dan perjuangan dalam kehidupan seseorang yang beriman itu.

Ini dapat dilihat melalui penegasan asSyahid Sayyid Qutub yang mengambarkan konsep aqidah yang hidup dan haraki di mana ia mengatakan :

“ Ketika al-Quran itu membina aqidah dalam hati nurani ummah pada waktu yang sama pula ia sama-sama mengharungi perjuangan menentang masyarakat jahiliyyah, berbimbingan tangan dengan ummah Islam; sepertimana ia berbimbingan tangan mengharungi perjuangan hebat mengikis sisa-sisa jahiliyyah dari hati nurani manusia, dari moral dan realiti hidup mereka dan dari percaturan inilah lahirnya pembinaan aqidah itu, bukan dalam bentuk teori dan tidak pula dalam bentuk teologi serta bukan dalam bentuk perdebatan, tetapi dalam bentuk jamaah yang hidup dan penyusunan haraki yang langsung mengenai kehidupan yang terjelma dalam jamaah muslimin itu sendiri …" (1)

Tabiat Perjuangan Islam
Aqidah yang hakiki akan menjelmakan amal dan perjuangan. Rasulullah saw dan para sahabat telah mengariskan manhaj dalam menampilkan amal dan perjuangan dalam Islam sepertimana yang di kehendaki oleh Allah.

Dan satu tabiat serta sunnah Rasul saw dan para sahabah bahawa jelmaan amal dan perjuangan itu haruslah direalisasikan melalui amal jamaiy dan haraki (berjamaah/berparti dan berorganisasi). Perjuangan secara berjamaah atau berparti ini adalah sunnah rasul dan sunnah para rasul-rasul yang terdahulu yang tercatat dalam al-Quran.


وَكَأَيِّنْ مِنْ نَبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ

{Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.}

(Aali - Imran : 146 )


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُونوا أَنصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ

{ Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu pembantu-pembantu agama Allah, sepertimana yang diucapkan oleh Isa putera Maryam kepad pengikut-pengikutnya yang setia, siapakah pembantu-pembantu ku pada jalan Allah ?. Lalu berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia : Kamilah pembantu agama Allah.. }

(as-Saff 14)


قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنْ اتَّبَعَنِي

{ Katakanlah : inilah jalanku yang lurus, aku bersama pengikut ku menyeru ke jalan Allah dengan keterangan yang nyata…}

(Yusuf 108)


وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنْكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُون َ

{ Dan hendaklah ada di kalangan kamu suatu ummah (kumpulan) yang menyeru kepada kebaikan. Dan memerintahkan kepada ma’aruf serta mencegah dari kemungkaran. Dan merka itulah orang-orang yang beruntung}

(ali Imran 104)


Kepentingan Berpolitik Untuk Menegakkan Daulah Islam


إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا (58) يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا

{Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.}

( anNisa’ : 58)

Ayat di atas menunjukkan Allah memerintahkan umat Islam agar menyerahkan amanah mereka kepada orang yang layak. Dan di antara amanah yang paling besar ialah amanah untuk ‘menegakkan agama dan memerintah dunia ini dengan agama itu- إقَامَةُ الدِّينِ وَسِيَاسَةُ الدُّنيَا بِه ’.


Ini adalah amanah kepimpinan ummah dan negara. Kerana kewujudan kepimpinan ummah dan negara (politik) ialah untuk menegakkan agama dan memerintah dunia (politik) dengan agama itu. Oleh itu menjadi kewajiban apabila memilih pemimpin negara dan politik hendaklah memilih yang layak memikul amanah itu.

Allah telah perjelaskan kepada kita ciri-ciri kepimpinan yang layak. Antaranya ialah :


إِنَّمَا وَلِيُّكُمْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (55) وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمْ الْغَالِبُونَ

{ Sesungguhnya pemimpin kamu adalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan mereka tunduk (kepada Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang} .

(al-Maidah 55-56)

Kita tidak dapat melantik kepimpinan politik negara setakat ini melainkan melalui proses politik yang ada sekarang ini. Oleh itu menjadi tanggung jawab kita untuk melibatkan diri dengan perjuangan politik untuk menggangkat pemimpin politik dan negara yang layak. Melantik orang yang tidak layak untuk memikul amanah yang besar itu akan membahayakan ummah dan negara.


Sabda Rasulullah saw : Jika amanah disia-siakan, tunggulah saat kehancuran. Ada sahabat bertanya : bagaimana menyia-yiakannya ? Baginda saw menjawab : jika urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya

(al-Bukhari)

Begitu juga Allah memerintahkan kita melaksanakan dan menghukum manusia dengan adil. Bagaimana kita hendak menghukum manusia dengan adil kalau kita tidak menguasai pemerintahan negara. Kita perlu kepada pemerintahan untuk mengubah dasar perundangan negara agar dasar itu berada dalam acuan Islam.


Bila dasar perundangan telah Islam, barulah mahkamah dapat memutuskan hukum berdasarkan hukum Islam yang adil. Ini juga memperlihatkan kepada kita betapa perlunya kita menegakkan pemerintahan Islam yang mana cara untuk menegakkannya adalah kembali kepada penglibatan dengan kerja-kerja politik.

Berkata Imam al-Mawardi : Tidak ada perbedaan pendapat di kalangan para ulama’ bahawa hukum menegakkan khilafah (daulah) adalah fardhu kifayah, seperti jihad dan sebagainya…(2)Berkata Sheikh Taqiyuddin an Nabhani : Tanpa adanya daulah, kewujudan Islam sebagai aqidah dan sistem kehidupan akan menjadi pudar, yang ada hanya Islam sebagai upacara peribadatan serta sifat akhlakiyyah semata-mata. Kerana itu daulah Islam harus tetap ada dan keberadaannya bukan untuk sementara. (3)

Berkata asSyahid Abdul Qadir Audah : Sesungguhnya Islam mewajibkan seluruh manusia mematuhi seluruh hukum yang diturunkan Allah danmewajibkan mereka supaya berhakimkan kepada hukum itu dan menjalankan hukuman dan pemerintahan dengan hukum yang diturunkan Allah sahaja, bukan dengan hukum lain. Pengertian dan kesimpulan dari semuanya ialah bahawa hukum dan pemerintahan itu adalah salah satu dasar dan sumber asli Islam, yang merupakan tiang tempat tegaknya dan doktrin Islam (4)

Berkata Dr Yusuf al-Qardhawi : …ijma’ umat yang kukuh, yang diyakini sepanjang sejarah, bahawa Islam adalah aqidah dan syariah, agama dan daulah, ibadah dan qiyyadah, salat dan jihad, bahawa Rasullullah saw adalah pemimpin pertama bagi daulah Islam, dan para penganti baginda selepas itu juga mengikuti jalannya yang telah diterokai…(5)

Berkata Dr al-Qardhawi lagi : Sejarah Islam telah mengungkapkan kepada kita bahawa Rasullullah saw telah berusaha sedaya mungkin dengan mengerahkan kekuatan dan pemikiran dengan dukungan wahyu untuk mendirikan daulah Islam bagi dakwah dan penyelamat ummah (6)

Kepentingan Mendukung Perjuangan Islam Melalui PAS
1. Dasar dan Matlamat PAS

Dasar dan matlamat perjuangan PAS adalah untuk mendaulatkan Islam dalam bentuknya yang menyeluruh dan lengkap melengkapi. Ianya meliputi aqidah dan syariah, ad-din dan daulah, ibadah dan qiyyadah, akhlak dan jihad dalam usaha untuk menjelmakan individu, keluarga dan ummah muslim yang menepati piawaian Allah.

Apa yang hendak diperjuangkan Parti Islam ialah agar seluruh aspek kehidupan manusia seperti politik, ekonomi, pendidikan, undang-undang, kekeluargaan, budaya, ketenteraan, hubungan antarabangsa dan sebagainya lagi diletakkan di dalam acuan Islam yang meliputi dasar-dasar aqidah, akhlak dan syariah yang diredhai Allah (7)

2. PAS Sebagai HizbulLah


وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنْكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُون َ

{Hendaklah ada di kalangan kamu segolongan ummat yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh yang ma’aruf dan mencegah yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung

(ali-Imran 104)


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا يَخَافُونَ لَوْمَة َ لائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (54) إِنَّمَا وَلِيُّكُمْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُون َ(55) وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمْ الْغَالِبُونَ

{ Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka menyintai Allah, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin dan bersikap keras terhadap orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela. Itulah karunia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang Ia kehendaki dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya penolong (pemimpin) kamu ialah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, maka sesungguhnya hizbulLah (golongan Allah) itu lah yang pasti menang}.

(al-Maidah 54-56)

Ciri-ciri hizbulLah atau partai Allah yang tersebut dalam ayat di atas itu ialah :

i. Mencintai Allah dan dicintai oleh Allah
ii. Berlemah lembut sesama mukmin
iii. Bersikap tegas terhadap kuffar
iv. Berjihad pada jalan Allah
v. Tidak gentar kepada celaan dan gangguan manusia
vi. Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman dijadikan pemimpin

PAS wujud sebagai menyahut tuntutan Allah agar ada sebuah jamaah yang melakukan kerja-kerja al-khair dan menyediakan wasilah untuk menjelmakan ciri-ciri hizbullah di dalamnya serta melakukan jihad yang berterusan melalui penyusunan kerja yang tersusun.


إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنيَانٌ مَرْصُوص ٌ

{ Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berjuang pada jalanNya dalam barisan yang tersusun seakan-akan mereka seperti bangunan yang tersusun kukuh }

(as Saff : 4)

3. PAS berjuang menegakkan negara Islam
Tentang wajibnya umat menegakkan negara yang dengannya tertegaknya sistem Islam yang menyeluruh dan lengkap telah dijelaskan melalui ayat-ayat dan pandangan-pandangan ulama’ di atas. Perjuangan untuk menegakkan negara Islam bukanlah kerja kecil yang boleh diselesaikan secara individu, malah ianya harus digerakkan secara berjamaah sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Rasullullah saw bersama generasi sahabah dahulu.


Dunia Islam hari ini secara realitinya adalah kosong dari daulah dan khilafah Islamiyyah. Dr Shalah as Showi menyebutkan : Yang dimaksudkan dengan kekosongan dari imam atau khilafah adalah ketiadaan pemerintahan syari’yyah yang melaksanakan seluruh aturan syari’yyah pada sesuatu zaman atau tempat. Begitu juga dengan ketiadaan imam kalau imam itu murtad atau menganti beberapa hukum dan merubah hukum-hukum Islam, maka dengan itu gugurlah baia’h terhadap imam atau khalifah itu. (8)

Berkata Dr Muhammad Naeem Yassin : Tetapi sekiranya seorang hakim atau pemerintah itu mentadbir hal ehwal rakyatnya tanpa berpandukan kitab Allah maka tidak wajib ditaati dan berdosa pula orang yang melihatnya tetapi mendiamkan diri (tidak berjuang merubah keadaan). (9)

Berkata al-Ustaz Abdul Rahman Muhammad Khalid : Termasuk dalam konteks maaruf yang paling agung ialah mendirikan khilafah dan tegaknya hukum Allah, juga mengoreksi para penguasa pengkhianat dan zalim. Jadi ini merupakan amal jamaiy yang sama sekali tidak dapat dilakukan secara individu. Maka menjadi kewajiban kaum muslimin untuk mendirikan jamaah yang mampu menegakkan khilafah dan mampu mengoreksi pemerintah.

Begitu juga halnya jika jamaah yang mereka bentuk itu tidak mampu melaksanakan tujuan untuk menjadi khilafah atau mengoreksi pemerintah maka mereka tetap berdosa. Sebab yang diwajibkan itu bukan sekadar membentuk jamaah sahaja, tetapi membentuk gerakan dakwah yang mampu melaksanakan gerakan tadi dan bukannya semata-mata jamaah sosial kemasyarakatan atau ikatan cendekiawan atau kelompok-kelompok thoriqah atau sebagainya yang tidak mampu untuk melaksanakan kewajiban syara’ bagi menegakkan khilafah atau mengoreksi pemerintah. (10)

Berkata Dr Yusuf al-Qardhawi : Beralih kepada sunnah, Rasulullah saw bersabda : Barangsiapa yang mati dan di lehernya tidak ada baiah (kepada khalifah Islam) maka dia mati dengan kematian jahiliyyah (Muslim).

Tidak diragukan setiap muslim haram berbaiah (ikrar taat setia) kepada pemerintah manapun yang tidak taat kepada Islam. Baiah yang boleh membebaskan seseorang dari dosa (mati jahiliyyah) ialah baiah terhadap pemerintah yang melaksanakan Islam. Jika pemerintah seperti itu tidak ada, maka setiap umat Islam adalah berdosa sehingga adanya khalifah yang menegakkan hukum Islam dan ianya boleh diberi baiah. Setiap muslim tidak terlepas dari dosa melainkan dua jalan yang selamat :

a. Ingkar kepada pemerintah yang zalim itu jika ia tidak berkuasa untuk membaikinya.b. Berusaha secara berterusan dan berjamaah untuk mewujudkan khilafah Islam sehingga tertegaknya kehidupan yang menepati kehendak Islam yang sebenar. (11)

Berdasarkan huraian di atas jelas kepada kita bahawa kewajiban umat Islam di Malaysia ialah berjuang secara berterusan dalam Jamaah Islam untuk mewujudkan pemerintahan Islam yang melaksanakan dasar-dasar Islam dalam negara, kerana setakat hari ini umat Islam masih bebas untuk menyertai perjuangan Islam itu.

Tidak memadai setakat engkar sahaja dalam hati, kerana ruang untuk berjuang itu masih terbuka kepada ummah ini. PAS sebenarnya wujud sebagai wadah amal jamaiy untuk menampung perjuangan ini.

Penutup


قَدْ كَانَ لَكُمْ آيَةٌ فِي فِئَتَيْنِ الْتَقَتَا فِئَةٌ تُقَاتِلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَأُخْرَى كَافِرَةٌ

Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik.

(Aali - Imran : 13 )

Kewujudan PAS dan manhaj perjuangannya adalah berdasarkan kepentingan Islam yang sebenarnya adalah dituntut oleh Allah kepada setiap individu muslim sepertimana yang tertera melalui nash-nash al-Quran dan hadis serta pandangan dan ijma’ ulama’ yang telah dikemukakan di atas.

Umat Islam sebenarnya tidak perlu ragu untuk bersama dengan perjuangan PAS kerana perjuangan Islam oleh PAS ini secara jelas menepati kehendak Islam itu sendiri. Dalam erti kata lain melibatkan diri dengan perjuangan Islam melalui PAS ini adalah merupakan ibadah kepada Allah kerana penglibatan diri dengan perjuangan Islam adalah perkara yang telah diwajibkan oleh Allah kepada kita semua.


والله أعلم

(1) Sayyid Qutub. Petunjuk sepanjang jalan
(2) Imam al-Mawardi . al-Ahkam as-Sulthoniyyah
(3) Sheikh Taqiyuddin an-Nabhani . Nazhomul hukmi fil Islam
(4) as-Syahid Dr Abdul Qadir Audah . Harta dan pemerintahan dalam Islam
(5) Dr Yusuf al-Qardhawy. Nahwa wahdah fiqriyyah lil ‘amilin lil Islam
(6) Dr Yusuf al-Qardhawy. Fiqh ad-Daulah fil Islam
(7) rujuk Perlembagaan PAS dan tulisan/ucapan pimpinan PI
(8) Dr Solah as-Showy. Mafhumuha wa kaifiyatu luzumiha fi waqi’ inalmu’ashir
(9) Dr Muhammad Naem Yasin. Al-Jihad
(10) Sheikh Abd Rahman Khalid. Seputar soal jawab gerakan Islam
(11) Dr Yusuf al-Qardhawy. Fiqh ad-Daulah fil Islam

http://nasrudintantawi.blogspot.com/2009/02/kepentingan-perjuangan-menegakkan.html