Isnin, 30 April 2018

BUAT TABLIGH, ARQAM, HIZBU TAHRIR, TAREKAT DAN SEBAGAINYA; DAFTARLAH SEBAGAI PENGUNDI

Saya ingin ajak kepada semua muslim, warganegara Malaysia khususnya dari apa jua latarbelakang anda untuk berdaftar sebagai pengundi. Ia bukan sahaja  tanggungjawab setiap rakyat, tapi juga kewajipan setiap muslim.

Kenapa saya berkata begitu? Kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi dalam menentukan pemimpin negara. Di tangan pemimpin terletaknya keputusan untuk melakukan apa sahaja terhadap negara ini samada yang halal atau yang haram. Demokrasi memberi hak kepada setiap rakyat memilih pemimpin yang mereka mahu. Caranya ialah mengundi pada pilihanraya.

Benar. Demokrasi adalah ciptaan barat (walaupun ideanya diambil dari tamadun Islam). Kita tidak sekali-kali beriman bahawa demokrasi adalah sistem Islam. Namun sekiranya kita umat Islam mengambil langkah boikot demokrasi dan boikot pilihanraya, ia akan didominasi oleh pihak lain dalam negara ini.

Sedarlah negara kita hanya memiliki sekitar 60 peratus muslim. Bermakna non muslim 40%. Jika kita boikot, mungkin peratus muslim akan berkurang hingga ke 30-20%. Sedangkan penganut agama lain komited berdaftar sebagai pengundi. Tidak mustahil dengan kelekaan mengundi ini menyebabkan pemimpin negara akan datang adalah pilihan orang bukan Islam.

Justeru saya mohon mana-mana jemaah Islam yang menolak demokrasi dan memboikot pilihanraya supaya berfikir dua kali. Kalaupun berpendapat demokrasi ini haram dan tidak syar'ie, fikirkan semula ia sebagai darurat yang diharuskan kerana menolak mafsadah yang sangat besar; bimbang negara jatuh ke tangan musuh Islam.

Walaupun ada pengalaman lepas menunjukkan demokrasi tidak memberikan kemenangan kepada Islam, tetapi sekurangnya kita berusaha. Jadikan faktor-faktor penggulingan FIS di Algeria dan IM di Mesir sebagai panduan untuk kita berjaga-jaga.

Kepada jemaah-jemaah Islam lain. Jalankanlah operasi jemaah anda seperti biasa. Kami tidak menghalang. Bahkan dalam perkara yang baik dan tidak bercanggah, pasti kami sokong. Cuma minta sedikit kompromi, benarkanlah ahli anda mengundi. Mintalah mereka berdaftar.

Urusan melantik pemimpin bukan sekadar urusan dunia. Ia bakal dipersoal di hari akhirat kelak.. Jika ditakdirkan dengan sebab kita tidak mengundi maka kemenangan berpihak kepada musuh Islam, lalu dasar-dasar negara yang menjamin urusan agama ini dihapuskan olehnya, maka menjawablah kita di hadapan Allah nanti. Sesungguhnya tiada satu pun perkara yang akan terlepas dari hisab Allah walau sebesar zarah.

Allah berfirman kepada semua orang beriman:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang layak menerimanya).
[An-Nisa:58]

Wajib menjalankan perintah tuhan melantik pemimpin yang akan menggalas amanah kepada yang benar-benar layak. Jika wajib, maka apa hukum meninggalkannya? Apakah amanah terbesar selain dari kuasa pemerintahan.

Yang mahu meneruskan agenda dakwah fardi, teruskan. Ia amat baik sekali. Yang berjuang menegakkan khilafah, teruskan. Kami juga berkongsi cita-cita yang sama. Yang mengambil pendekatan zikir dan pembersihan jiwa, tafaddol. Anda memiliki peranan tersendiri. Namun tolonglah hanya untuk sekali seumur hidup berdaftar sebagai pengundi dan sekali untuk setiap 4-5 tahun untuk keluar mengundi. Kerja-kerja politik selain itu serahkan sahaja pada kami.

Menolak politik dan pemerintahan bakal menyebabkan agama kita makin lemah. Sabda Rasulullah SAW:

لتنقضن عرى الإسلام عروة عروة، فكلما انتقضت عروة تشبث الناس بالتي تليها، فأولهن نقضاً الحكم، وآخرهن الصلاة

Akan terurai sedikit demi sedikit ikatan Islam. Setiapkali terungkai, manusia akan berpaut pada ikatan yang seterusnya. Maka perkara pertama yang akan terurai adalah pemerintahan, dan yang terakhir adalah sembahyang.
(HR Ahmad)

Saya merayu.

28 September 2016

#Alang_Ibn_Shukrimun

Rabu, 18 April 2018

Ungkapan kata-kata manis yang meracunkan

SAYA menarik perhatian terhadap bantahan yang dikemukakan oleh beberapa orang tokoh ilmuan dan masyarakat terhadap kenyataan yang terkandung di dalam hebahan rasmi Rt. Rev. Bernard Paul yang berbunyi seperti berikut:

“Dahulu kita telah membebaskan diri kita dari pemerintahan penjajah; sekarang kita sedang bertungkus-lumus untuk membebaskan diri kita dari “kayu-kayu mati” yang menindas, melemahkan semangat, yang berbohong dengan diri mereka, bahawa mereka ‘mendahulukan rakyat’.”

“Tidak ada kerajaan dan pemerintahan yang bersih; tidak ada pilihan raya yang bersih; tidak ada institusi yang bersih; tidak ada penguatkuasa undang-undang yang bersih; tidak ada pengurusan kewangan dan sumber yang bersih; tidak ada pemimpin bersih yang boleh dipercayai.”

“Perhatikan peningkatan rasuah dan skandal; Institusi-institusi yang gagal seperti kehakiman, SPRM, sistem pendidikan; pertambahan hutang-hutang asing; ahli-ahli politik pemecah-belah; dan lain-lain.”

Hebahan rasmi Rt. Rev. Bernard Paul ini dan satu lagi hebahan rasmi, iaitu Bishop’s Circular No: BP/2018/014 yang mengarahkan semua “Parishes and religious houses” untuk berdoa supaya Tuhan campur tangan dan berlaku perubahan dalam PRU-14, adalah bagi menggesa penganut agama Kristian supaya menukar kerajaan dalam PRU-14.

Imam Ali bin Abi Talib R.A pernah menegaskan:

كلمة حق أريد بها باطل

“Ucapan pada zahirnya satu kebenaran, padahal tujuannya kebatilan dan kejahatan.”

Mereka sebenarnya termasuk bala tentera penjajah yang dilatih bagi mengekalkan teori atau ideologi sekularisma yang dianut oleh penjajah itu mengikut kitab Bible yang menjadi rujukan dan pegangan mereka.

Give to Caesar that belongs to Caesar; and to God the things that are God’s” (Matthew 22:21)

Then Jesus said to them, "Give back to Caesar what is Caesar's and to God what is God's." And they were amazed at him. (Mark 12:17)

Kesimpulan maksudnya: “Berikanlah kepada Kaisar apa yang milik Kaisar dan kepada Allah apa yang milik Allah”.

Al-Quran yang mewajibkan umatnya beriman kepada Nabi Isa A.S, Rasul Allah dan Hamba-Nya serta beriman kepada kitab Injil yang asal menegaskan firman Allah:

وَيُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ (48) وَرَسُولًا إِلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنِّي قَدْ جِئْتُكُمْ بِآيَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ أَنِّي أَخْلُقُ لَكُمْ مِنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ فَأَنْفُخُ فِيهِ فَيَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِ اللَّهِ وَأُبْرِئُ الْأَكْمَهَ وَالْأَبْرَصَ وَأُحْيِ الْمَوْتَى بِإِذْنِ اللَّهِ وَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا تَأْكُلُونَ وَمَا تَدَّخِرُونَ فِي بُيُوتِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَةً لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (49) وَمُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَلِأُحِلَّ لَكُمْ بَعْضَ الَّذِي حُرِّمَ عَلَيْكُمْ وَجِئْتُكُمْ بِآيَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ (50) إِنَّ اللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ (51)} [آل عمران: 48 – 51[

“Kami kurniakan ilmu kepadanya (Isa A.S) berkenaan kitab, kebijaksanaan, Kitab Taurat dan Injil (48). Dan kami lantik Dia menjadi Rasul (messenger) kepada Bani Israel. Sesungguhnya Aku (Isa A.S) berkata; Aku tunjukkan untuk kamu (mukjizat) patung burung daripada tanah, aku tiupkan padanya, menjadi burung yang sebenar (berterbang) dengan izin Allah, Aku juga menyembuhkan orang yang berpenyakit kronik buta, dan sopak dan hidupkan orang yang telah mati dengan izin Allah, aku beritahu apa yang kamu makan dan yang kamu simpan sembunyi di rumah kamu. Itu menjadi tanda (mukjizat) untuk kamu supaya kamu beriman. (49) Supaya kamu juga percaya kepada Kitab Taurat (perjanjian lama) dan supaya aku halalkan kepada kamu sebahagian daripada yang pernah diharamkan terhadap kamu. Aku bawakan kepada kamu ayat (tanda bukti) daripada Tuhan Kamu. Maka bertaqwalah kepada Allah dan taatilah kepadanya. (50) Sesungguhnya Allah sahaja Tuhan kamu, Beribadat kepadanya sahaja. Inilah jalan yang betul (51).” (Surah Ali-Imran: 48-51)

Parti-parti sekular dilindungi oleh gereja yang meneruskan warisan penjajah itu. Menterjemahkan Islam daripada perkataan ‘religion’ bukannya ‘Al-Din’ mengikut bahasa Al-Quran. Malangnya ada kalangan mereka menjadi ahli Zionis (Pertubuhan Yahudi) yang mereka percaya membunuh dan mensalibkan Nabi Isa A.S. Adapun kami umat Islam percaya Nabi Isa tidak disalib, bahkan Isa akan kembali di akhir zaman menyatukan umat Kristian kembali bersama umat Islam.

Saya tercium betapa DAP mendapat bayangan kalangan mereka itu, menjadikannya sangat galak berjuang merobek Perlembagaan Persekutuan, mendesak supaya merendahkan kedudukan Islam dan melemahkan Institusi Raja-Raja Berperlembagaan secara senyap dan sindiran. Mereka bergabung dengan golongan anti hadis dan liberal. Kalangan ahli politik yang mencari jalan pintas bergayut bersama, sama ada kalangan umat Islam yang bebal sepak terajang politik atau yang buta politik, dan juga kalangan bukan Islam.

Islam meletakkan para paderi yang tidak bermusuh terhadap Islam. Al-Quran menunjukkan betapa kasih sayang terhadap para paderi yang dirakamkan dalam Firman Allah:

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَوَدَّةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَى ذَلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ [المائدة: 82[

“Kamu pasti mendapati kalangan paling bermusuh terhadap orang-orang yang beriman itu ialah orang Yahudi dan Musyrikin. Dan kamu dapati yang paling dekat dan mengasihi orang-orang yang beriman itu daripada kalangan yang berkata kami adalah orang-orang Nasora (Kristian). Mereka itu terdiri daripada kalangan para paderi dan pendita dan mereka tidak takabur (sombong).” (Surah Al-Maidah: 82)

Islam yang sebenar berjaya membuktikan kerajaan yang bersih, adil dan rahmat. Apa yang berlaku kini bukannya model Islam yang sebenar. Walaupun sudah ada undang-undang menentang rasuah dan salah laku tetapi dihilangkan roh Islamnya kerana pemisahan politik daripada agama.

Mereka terus mempertahankan prinsip dan konsep ideologi penjajah itu, contohnya direalisasikan penentangannya terhadap RUU 355 kerana tujuannya memperkenalkan sedikit hukum Islam yang berbeza dengan undang-undang warisan penjajah dalam hanya hukuman sebatan yang sama sebutannya, tetapi berbeza konsep dan caranya. Walaupun dalam perkara yang berkait umat Islam tanpa menyentuh penganut bukan Islam, tetapi mereka menentang juga dengan berbagai helah dan mempengaruhi penganut Islam dan mengugut kalangan bukan Islam yang terus menghormati hubungan masyarakat majmuk.

Kami dapat membaca yang tersirat daripada kenyataannya bagi meminggirkan Islam daripada Perlembagaan dan memperkecilkan Raja-raja yang menjadi Ketua Agama yang dibandingkan seperti kayu-kayu mati. Padahal mereka yang mengerat akarnya supaya mati, bukannya ditukar bajanya daripada baja ciptaan penjajah kepada baja Islam.

Kalau para ulama PAS yang berjubah dan berserban turun ke medan bertanding pilihan raya menjadi calon, maka saya juga mencabar supaya mereka itu terjun ke medan politik bersama parti yang dipilihnya tanpa mencabut jubah paderi yang dipakai itu.

Cukuplah jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Parlimen yang terdekat menegaskan, bahawa hanya pemimpin PAS yang tidak disoal siasat oleh SPRM. Bukan PAS mahu mengangkat diri sendiri kerana dilarang oleh Islam, tetapi pihak lain yang memberi jawapan. Rahsianya kerana Islam menjadi akidah perjuangan yang meletakkan politik menjadi sebahagian daripada agama.

Kisah benar dalam sejarah Islam, apabila seorang wanita penjual susu di zaman Khalifah Umar R.A meletakkan air ke dalam susu di waktu malam untuk dijual di pasar besoknya. Tiba-tiba anak gadisnya menegur: “Ibu jangan menipu!”. Ibunya menjawab: “Khalifah Umar tidak tahu!”. Maksudnya ketua negara yang menguatkuasakan undang-undang tidak tahu kerana dilakukan waktu malam, penguatkuasa sedang tidur. Si anak gadis menjawab: “Walaupun Umar tidak tahu, tetapi Tuhan Umar Maha Mengetahui”.

Khalifah Umar yang mengintip terus menandakan rumah itu. Tiba-tiba gadis yang beriman dan budiman itu dipinangkan untuk puteranya. Ya! anak ketua negara berkahwin anak penjual susu yang miskin. Keberkatannya melahirkan zuriat seorang bernama Umar bin Abdul Aziz yang pernah menjadi idola Ketua Menteri Pulau Pinang dahulunya.

Rahsianya apabila Islam meletakkan semua urusan manusia termasuk memerintah negara dan politik berwawasan Akhirat mengikut perhitungan dosa dan pahala atau syurga dan neraka.

Maka usaha meminggirkan Islam daripada Perlembagaan Persekutuan, melemahkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, melumpuhkan atau membatalkan institusi yang berkaitan dengan Islam hendaklah ditentang habis-habisan. Tegasnya wajib menolak parti-parti yang berhasrat demikian, kalangan bukan Islam berbagai agama juga wajib menolak langkah yang mahu mengekalkan agenda penjajah yang telah kita sama-sama menghalaunya.

Semua kaum dan penganut berbagai agama dalam masyarakat majmuk memilih demokrasi sama ada parti-parti dalam Perikatan dahulu (Umno, MCA, MIC, USNO, PBB dan lain lain) termasuk PAS yang terus rela menjadi pembangkang menerima Perlembagaan Persekutuan yang ada berteraskan Islam Agama Persekutuan dan hak kebebasan kepada agama-agama lain, serta Raja Berperlembagaan bersama sistem demokrasi yang damai. Semuanya mengetahui masih banyak kelemahannya yang wajib diubah secara merdeka daripada saki baki pemikiran penjajah dan pengaruhnya.

PAS berjuang secara damai memilih pendekatan demokratik melakukan perubahan yang sangat menghormati hubungan masyarakat majmuk walaupun sekadar berkuasa khususnya di peringkat negeri Kelantan, paling lama penuh sabar menghadapi tekanan dan kepungan dengan mengutamakan hubungan dalam konsep federalisma yang lebih diutamakan daripada kepentingan negeri dan satu kaum dan satu agama sahaja tanpa paksaan terhadap bukan Islam.

Maka PAS menentang sekeras-kerasnya terhadap kalangan yang merungkai Perlembagaan yang merosakkan, bukan penambahbaikan. Lebih membahayakan lagi kalangan yang menjadi jentera penjajah yang menjadikan Islam sebagai musuh sehingga boleh mengancam kedaulatan negara.

PAS tetap beristiqamah di atas dasar dan konsep tersebut walaupun menang atau kalah sehingga laksana burung yang bertongkat paruh sehingga akhir hayat.

Firman Allah:

وَلَا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ ۖ وَقُولُوا آمَنَّا بِالَّذِي أُنزِلَ إِلَيْنَا وَأُنزِلَ إِلَيْكُمْ وَإِلَٰهُنَا وَإِلَٰهُكُمْ وَاحِدٌ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ (46(

“Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah: "Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri". (Surah Al-Ankabut: 46)

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Rejab 1439 / 16 April 2018 - HARAKAHDAILY 16/4/2018

_AC_

Isnin, 16 April 2018

12 JAWAPAN KEPADA 12 FITNAH KE ATAS PAS

*Fitnah 1* : PAS bergabung dengan Umno dimainkan sejak 2008.

Jawapan : Fitnah ini diulang-ulang bagi menghilangkan kepercayaan ahli dan penyokong PAS kepada pimpinan. Namun hingga ke hari ini sudah 10 tahun fitnah dimainkan, PAS dan Umno masih tidak bergabung.

*Fitnah 2* : PAS Tongkat Umno dimainkan sejak 2017.

Jawapan : Menjelang PRU14, PAS umumkan akan berlawan dengan Umno di 130 kerusi Parlimen. PAS telah berlawan dengan Umno sebelum sebelum DAP ditubuhkan pada  1966, sebelum PKR ditubuhkan pada 1999, PAN 2015 dan PPBM 2016. Jadi adalah normal jika PAS bertanding melawan Umno walaupun sudah tidak bersama Pakatan kerana itu memang tradisi PAS. Isu PAS tongkat Umno hanya propaganda politik Pakatan selepas PAS menolak untuk bersama mereka.

*Fitnah 3* : PAS terima 90 juta dari Umno (versi Sarawak Report 2016)

Jawapan : Fitnah mula disebarkan oleh  editor Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown  pada 2016. Pas beri amaran untuk saman. Sebelum disaman, Claire memadam semua artikel fitnah dan membuat kenyataan bahawa semua artikel itu hanya berdasarkan andaian. Pada 2017, PAS mengheret Claire ke Mahkamah di London dimana lokasi sebenar akhbar itu beroperasi. Mahkamah London kemudian arah Claire membayar RM84,000 sebagai kos prosiding pendakwaan kerana gagal menyerahkan bukti. Pada 2018, Claire meminta Mahkamah membatalkan saman PAS kerana beliau gagal menyediakan bukti atas fitnah yang disebarkan.

*Fitnah 4* : PAS terima 90 juta dari Umno (versi Husam 2017)

Jawapan : Sehingga ke hari ini Husam masih enggan membuat laporan SPRM dan Polis ke atas PAS. Husam juga masih gagal menamakan individu yang menerima wang tersebut. Husam yang sebelum ini mengatakan wang tersebut masuk dalam akaun Affin Bank individu tertentu masih gagal tunjukkan bukti transaksi. Selepas di desak, Husam cabar PAS tunjuk bukti  salinan akaun bank yang menyatakan transaksi berkenaan. Anehnya orang yang dituduh pula yang perlu tunjuk bukti untuk mengesahkan fitnah yang dia buat. Sepatutnya Husam la yang tunjuk bukti itu.

*Fitnah 5* : PAS terima Dana 1MDB.

Jawapan : Pada 2017, Orang yang menyebarkan fitnah ini iaitu Rafizi Ramli (Naib Presiden PKR) akhirnya akui bahawa yang terima dana dari 1MDB bukannya PAS tetapi, Nasharuddin Mat Isa, mantan Timbalan Presiden PAS yang dipecat pada 2013.

*Fitnah 6* : Klip audio suara Nik Abduh berhubung PAS terima 90 juta dari Umno.

Jawapan : Husam pun tak pasti itu suara Nik Abduh atau tidak. April 2017, barulah Klip audio dihantar ke London untuk disemak oleh pakar selepas beberapa minggu ia disebarkan terlebih dahulu. Hingga kini tiada sebarang pengesahan dari mana-mana pakar audio bahawa klip video itu adalah suara Nik Abduh. Dan sangat lucu, sekali lagi Husam minta PAS sahkan yang suara itu adalah suara Nik Abduh. Sepatutnya Husam la yang tunjuk bukti itu untuk sahkan yang suara itu milik Nik Abduh.

*Fitnah 7* : Anak Lelaki Sulung Almarhum TG Nik Aziz, Nik Omar sertai PAN dan bakal MB Kelantan.

Jawapan : 15 April 2018, Nik Omar Nik Abdul Aziz mengesahkan tidak menyertai PAN dan tidak akan bertanding dimana-mana kerusi. Wan Rahim akhirnya terdiam selepas bertahun memainkan fitnah yang Anak Lelaki Sulung TGNA itu bersama PAN.

*Fitnah 8* : Ahli PAS Putrajaya ambil Pil Kuda ketika kempen PRU13.

Jawapan : Tengku Adnan Mansor hanya membuat andaian selepas membaca berita Anak Husam Musa ditangkap kerana disyaki menjual pil kuda pada Disember 2017. Husam Bertanding atas tiket PAS di Putrajaya pada 2013. Walaubagaimana pun beliau di pecat PAS pada 2016. Isu Pil Kuda hanya muncul pada 2017 dan hanya melibatkan anak Husam, bukannya petugas PAS seperti di dakwa oleh Setiausaha Agung Umno itu. Laporan polis telah dibuat dibawah Akta Berita Palsu 2018.

*Fitnah 9* :  Presiden PAS Sokong GST.

Jawapan : Hanipa Maidin (PAN) menemplak Fitnah RTM dan TV3 yang memanipulasi Ucapan TG Abdul Hadi Awang di Parlimen sebagai menyokong GST. Beliau mengesahkan bahawa Presiden PAS tolak GST. Ini sekaligus mematikan fitnah Muhyiddin Yasin, Presiden PPBM yang turut mendakwa Presiden PAS Sokong GST kerana beli
au juga salah tafsir kenyataan Presiden PAS. Dalam Manifesto PRU14 PAS jelas menetapkan akan menghapuskan GST dan SST jika diberi mandat oleh rakyat.

*Fitnah 10* : PAS tidak serius bentang pindaan RUU 355 (Akta Mahkamah Syariah).

Jawapan : Pindaan RUU355 adalah usul persendirian ahli parlimen bukannya dari Kerajaan BN. Jadual mesyuarat dan Pengerusi mesyuarat adalah dari BN. Merekalah yang tetapkan bila usul persendirian dari PAS ini boleh dibentang atau tidak kerana PAS adalah parti pembangkang. BN tidak memberikan laluan mudah, manakala ahli Parlimen PH pula memperlekeh Presiden PAS sebagai gagal. Sepatutnya jika mereka jujur BN Dan PH beri kerjasama menyokong dan memaksa Speaker Parlimen beri laluan usul ini dibentangkan.

*Fitnah 11* : Undang-undang Hudud menindas hak asasi bukan Islam.

Jawapan : Undang-undang Hudud adalah untuk orang Islam sahaja, bukan Islam bebas mengunakan undang-undang sivil sedia ada. Tindakan DAP menakut-nakutkan bukan Islam dengan menolak hudud secara terbuka adalah menghina hak demokrasi umat Islam. Hudud adalah undang-undang jenayah yang sepatutnya menjadi sebahagian dari senarai undang-undang Syariah.

*Fitnah 12* : PAS diresapi oleh kumpulan pengganas ISIS.

Jawapan : Dakwaan Mat Sabu ini dijawab oleh Ust Norazli Musa selepas gambar lawatan kemanusian beliau pada 2015 diviralkan dengan andaian kononnya PAS beri bantuan pada ISIS. Siasatan mengesahkan bahawa individu yang memegang senjata dalam gambar yang diviralkan adalah Pengawal Lapangan Terbang yang diarah mengawal keselamatan beliau sepanjang misi bantuan kemanusiaan ke Syria, bukannya pejuang ISIS.

Sesungguhnya musuh-musuh PAS tidak pernah berhenti menyebarkan fitnah bagi menghalang kebangkitan PAS sebagai parti yang terbaik dalam memperjuangkan hak rakyat berlandaskan Islam.

Kepada pemimpin kaki fitnah, bertaubatlah dan akuilah kesilapan kamu. Hidup ini hanya sementara, jangan tunggu sudah mati baru nak bertaubat.

Kepada kaki penyebar fitnah ingat, Allah telah berfirman dalam *Surah Al-Hujuraat ayat 6*:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan"

Kepada pemimpin dan ahli PAS yang difitnah bersabarlah dan semoga Allah bongkarkan segala fitnah yang dilemparkan dengan kebenaran dan rahmatNya.

"Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (Rasul dan Ulil Amri). Kalau tidaklah karena kurniaan dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikut syaitan, kecuali sebahagian kecil saja (di antaramu)." - *Surah An-Nisa' ayat 83*.

Herman Samsudeen
Mid Valley City
16 April 2018

Ahad, 15 April 2018

TAFSIRAN AYAT AL QURAN BERKENAAN PELANTIKAN NON MUSLIM SEBAGAI PEMIMPIN


1. Surah Ali Imran: 28

لَّا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۖ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلَّا أَن تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً ۗ

Maksudnya: “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu).”

Menurut Syeikh Wahbah az-Zuhaily, ayat ini diturunkan berkenaan sekumpulan orang Islam yang yang menjadikan segolongan orang Yahudi yang mempunyai niat jahat terhadap Islam, dan mereka enggan untuk menjauhi mereka meskipun telah dinasihati dan diperingatkan berkali-kali tentang tipu-daya mereka.

Ayat ini ditafsirkan pula melalui ayat 118 surah yang sama apabila Allah SWT menyebut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi.”

Rujuk Al-Tafsir al-Munir (3/199)

2. Surah al-Nisaa’: 144

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.”

Menurut Ibn ‘Asyur, orang-orang kafir dalam ayat ini merujuk kepada Musyrikin Quraish dan ahli kitab di Madinah, dimana kecenderungan kebanyakan mereka adalah bermusuh terhadap sifat dan berpakat dengan kelompok munafiq untuk menghancurkan Islam

Rujuk Al-Tahrir wa al-Tanwir (5/243).

3. Surah al-Ma’idah: 57-58

يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَكُمْ هُزُوًا وَلَعِبًا مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَالْكُفَّارَ أَوْلِيَاءَ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ ﴿٥٧﴾  وَإِذَا نَادَيْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ اتَّخَذُوهَا هُزُوًا وَلَعِبًا ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْقِلُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan ugama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan - dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu: menjadi penolong-penolong; dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman. Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal. ”

Ibn ‘Asyur sewaktu mentafsirkan ayat ini menyebut bahawa kalimah kuffar merujuk kepada Musyrikin yang tinggal di Madinah yang menzahirkan keislaman sedangkan sebenarnya tidak beriman atau dalam kata lain munafiq i’tiqadi. Terdapat sebahagian orang Islam yang tertipu dengan perlakuan dan penampilan zahir mereka. Diriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas menyebut: Sebahagian orang Yahudi dan Musyrikin ketawa sewaktu melihat kaum Muslimin sujud di dalam solat

Rujuk Al-Tahrir wa al-Tanwir (6/241)

Beliau menambah lagi, wala’ atau kesetiaan kepada orang kafir yang dilarang ialah wala’ sepenuhnya dalam erti kata kesetiaan dari sudut agama. Maka kerana itu ayat ini ditafsirkan dengan ayat ke-51 surah yang sama, وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ yang bermaksud sesiapa yang mengambil orang kafir sebagai teman rapat, maka mereka termasuk dalam kalangan orang kafir tersebut (Al-Tahrir wa al-Tanwir: 6/242).

4. Surah Al-Mumtahanah : 1

يَا أَيُّهَا الَّذ

ِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُم مِّنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ ۙ أَن تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ رَبِّكُمْ إِن كُنتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِي سَبِيلِي وَابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي ۚ تُسِرُّونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَأَنَا أَعْلَمُ بِمَا أَخْفَيْتُمْ وَمَا أَعْلَنتُمْ

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu karena kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu.”

Para ulama’ tafsir telah bersepakat bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan perbuatan Hathib bin Abi Balta’ah yang menulis surat kepada kafir Quraish mengenai persiapan Rasulullah s.a.w untuk menunaikan umrah pada tahun perjanjian Hudaibiyah. Pandangan lain menyebut ayat ini diturunkan sewaktu Nabi ingin membuka Kota Mekah (Fathu Makkah) namun ia tidak kuat

Rujuk Al-Tahrir wa al-Tanwir (28/132)

5. Surah al-Mumtahanah: 8-9

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ . إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Melalui dua ayat ini, Allah SWT telah menegaskan bahawa ‘illah pengharaman menjadikan orang kafir sebagai teman rapat, pemimpin atau ikutan itu adalah kerana mereka menzahirkan permusuhan terhadap Islam dan menghalau kaum Muslimin daripada tanah air mereka. Adapun yang tidak bersifat dengan yang demikian, maka terkecuali daripada pengharaman ini. Al-Qistu dalam ayat ini bermaksud berlaku adil, manakala al Birru pula berbuat baik, termasuklah bergaul dengan baik dan memuliakan mereka

Rujuk Al-Tahrir wa al-Tanwir (28/151-152).

KESIMPULAN

Hasil penelitian terhadap ayat-ayat al-Qur’an di atas beserta penjelasan para mufassir dan melihat kepada asbab nuzul, kami dapat simpulkan bahawa kesemua ayat di atas adalah diturunkan dalam konteks hubungan yang tegang antara kaum Muslimin pada zaman Rasulullah saw dengan sebahagian Musyrikin Quraisy dan sebahagian orang Yahudi yang memusuhi agama Islam dengan permusuhan yang nyata. Maka celaan dan larangan daripada menjadikan orang kafir sebagai wali / teman rapat/ penolong terpakai kepada kalangan bukan Muslim yang menzahirkan permusuhan dan kebencian kepada Islam dan yang memerangi orang-orang Islam.

Sabtu, 14 April 2018

Fatwa Mufti WP 'memihak' calon DAP?

PENDAHULUAN

Sejurus setelah Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, mengeluarkan fatwa berkenaan hukum asal mengundi calon bukan Islam di dalam pilihan raya adalah harus, cybertrooper Muslim daripada PAN dan PKR mula menudingkan jari dan menghalakan fatwa itu ditujukan kepada PAS.

PAS dilabelkan sebagai gagal memahami nas dalam kerangka Maqasid Syariah, berfikiran cetek, jumud dan tidak selari dengan fatwa mendalam yang dikeluarkan oleh SS Mufti Wilayah.

Semuanya kerana PAS telah memutuskan sebarang kerjasama dengan Parti DAP atau parti-parti yang ada hubungan kerjasama dengan DAP.

Sebenarnya fatwa itu bukan menyatakan wajib mengundi calon bukan Islam. Ia adalah harus dengan beberapa syarat yang perlu dipenuhi.

Menghuraikan salah faham

Salah faham ini berlaku kerana cybertrooper Muslim daripada PAN dan PKR beranggapan bahawa semua non-Muslim di negara kita adalah penyokong DAP.

DAP adalah non-Muslim. Dan non-Muslim adalah DAP. Inilah titik tolak kepada segala salah faham ini.

Sebenarnya, masyarakat bukan Islam di negara kita memilih pelbagai wadah politik bagi menyuarakan hak dan kehendak mereka. Bukan memilih DAP sahaja. Dan ada juga yang masuk PKR. Ramai juga yang lebih senang bergiat dalam NGO berbanding terlibat langsung dalam parti-parti politik. Ada juga yang bersikap tidak memihak.

Jika kita dapat memahami hakikat ini, mudahlah untuk kita faham bahawa PAS hanya memutuskan hubungannya dengan DAP. Bukan dengan keseluruhan masyarakat non-Muslim.

PAS menyatakan ia sedia bekerjasama dengan parti politik, NGO atau tokoh non-Muslim yang tidak bersama DAP dan tidak memusuhi agenda PAS memartabatkan perundangan syariat di negara kita.

Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)

Lebih daripada itu, PAS mempunyai sayap bukan Islamnya sendiri iaitu DHPP. Ahli-ahli Dewan ini adalah bukan Islam daripada pelbagai agama dan anutan. Tetapi mereka melihat penyelesaian secara Islam yang diterajui oleh PAS adalah amat tepat, bersesuaian dengan masyarakat majmuk dan sangat terbuka. Justeru memberi faedah dan manfaat kepada semua warganegara, sama ada Islam atau bukan Islam.

DHPP memberi penerangan kepada bukan Islam bahawa PAS tidak seperti Umno yang berteraskan ideologi berteraskan bangsa semata-mata, bahkan teras PAS adalah Islam. Islam pula adalah bersifat universal, tidak menzalimi dan adil untuk semua.

DHPP menerangkan aspek kebaikan perlaksanaan Hukum Hudud di Kelantan dan Terengganu. Betapa Hukum Hudud hanya terhad untuk orang Islam sahaja. Golongan bukan Islam pula tidak terlibat dengan perlaksanaan Hukum Hudud itu. Mereka bebas mengikut Undang-undang Jenayah sedia ada.

Dengan itu, bolehlah dikatakan bahawa anggota DHPP memenuhi semua syarat yang digariskan oleh SS Mufti Wilayah bagi mengharuskan mereka diundi di dalam sesebuah pilihan raya.

Oleh kerana itulah, Presiden PAS telah membayangkan kemungkinan meletakkan calon DHPP mewakili PAS di kawasan-kawasan yang sesuai.

Kenapa dulu PAS pernah bekerjasama dengan DAP?

Ya, dulu PAS pernah bekerjasama dengan DAP. Sebabnya PAS dan DAP sama-sama bersetuju menjatuhkan kerajaan BN yang penuh dengan skandal, penyelewengan dan salah guna kuasa. PAS dan DAP juga bersolidariti dengan DS Anwar Ibrahim yang dizalimi dan diaibkan dengan dahsyatnya oleh rejim Tun Mahathir.

Bahkan DAP juga bersetuju agar Hudud dilaksanakan di Kelantan dengan syarat ia tidak melibatkan bukan Islam. Dasar DAP ketika itu sehingga memberi peluang kepada pimpinan PAS untuk berdialog dengan golongan bukan Islam di dalam majlis-majlis anjuran mereka mengenai Qisas, Hudud dan Takzir.

Hubungan baik itu sehingga ada pimpinan DAP memetik ayat al-Quran dalam ceramah-ceramah umum mereka dan juga dalam ucapan mereka di Parlimen.

Apa masalah dengan DAP sekarang?

DAP pada hari ini sudah berubah. Mereka memusuhi PAS daripada segenap segi. Bahkan mereka memusuhi hak umat Islam untuk beramal dengan Syariat Islam sepenuhnya.

DAP beberapa kali memutuskan hubungan dengan PAS gara-gara dasar mereka yang berubah tentang Hukum Hudud. DAP Sarawak memutuskan hubungan dengan PAS ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak. Walaupun ketika itu PAS dan DAP masih sebagai komponen Pakatan Rakyat.

Ini disebabkan oleh kerana DAP bimbang kerjasama dengan PAS menyebabkan DAP bakal kehilangan undi di dalam pilihan raya itu, kerana musuh politiknya di Sarawak akan mengaitkan DAP dengan menyokong Hudud.

Agenda hukuman jenayah berkaitan Hudud, Qisas dan Takzir ditolak dengan bersungguh-sungguh oleh DAP. Sekejap kerana kerana mahu mengekalkan Malaysia yang 'Sekular' mengikut kefahaman mereka. Sekejap kerana 'kononnya' memperjuangkan hak golongan bukan Islam.

DAP juga bermati-matian tidak bersetuju dengan agenda PAS untuk memperkasakan Undang-undang dan Mahkamah Syariah melalui usul persendirian RUU355. Usul yang turut disokong oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan.

Beberapa perubahan dasar DAP yang lain terhadap PAS

Selain Hudud, YAB Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP secara terang-terang dalam ucapannya menunjukkan sokongan terbuka kepada pimpinan PAS tertentu yang sanggup berkompromi dengan dasar baru DAP itu. Dia juga sehingga mengisytiharkan putus hubungan dengan Presiden PAS, tetapi tidak putus hubungan dengan PAS. Ini sangat melampau dan tidak beretika.

DAP juga pernah cuba menguasai Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu dan kini sedang menguasai PH. DAP tegas untuk memandulkan sebarang usaha membina semula negara dengan mengikut acuan Islam yang syumul. Usaha DAP ini turut disokong kuat oleh beberapa pimpinan PKR, PAN, Umno, MCA dan Gerakan.

DAP akhir-akhir ini seperti Umno juga, menyerang Kerajaan Kelantan bertubi-tubi dengan pelbagai fitnah dan persepsi yang sangat buruk dan negatif. Walhal Kerajaan Kelantan adalah sifar rasuah dan mendapat pelbagai anugerah 'Good governance' oleh pelbagai badan profesional yang diiktiraf. Dengan itu dasar PAS terhadap DAP pun berubah. Tidak susah untuk memahaminya.

Penutup

PAS mengalu-alukan fatwa seperti fatwa SS Mufti Wilayah yang cermat, mendalam, mudah difahami dan diselitkan dengan perbahasan dalil secara ringkas dan tuntas.

Menariknya, PAS sudah lama mengamalkan sikap yang bertepatan dengan hukum yang disuarakan oleh Sahibus Samahah dalam fatwa terbarunya ini Bayan Lin Nas Siri ke-129.

Sepatutnya semua parti politik menjadikan fatwa itu sebagai panduan dalam berurusan dengan golongan bukan Islam dalam politik negara kita. Golongan bukan Islam pula wajar sekali memerhatikan fatwa itu sebagai panduan berurusan dengan masyarakat Islam secara harmoni di negara kita.

Sedikit tambahan, PAS turut juga mengambil kira faktor majoriti penduduk kawasan yang ditandingi, sama ada Muslim atau non-Muslim lebih ramai. Turut diambil kira ialah faktor tradisi pertandingan melibatkan Muslim atau bukan Muslim di kawasan 50-50. Dan beberapa pertimbangan terhadap faktor-faktor lain.

ZAKARIA ISMAIL
AJK PAS Kawasan Marang
13 April 2018 - HARAKAHDAILY 13/4/2018

Jumaat, 13 April 2018

Mengenali Islam liberal dan bahaya seruan liberalisme.

MENGGUNAKAN rasional akal dalam menafsir agama dengan alasan membuka ruang dimensi berfikir semakin berleluasa di tanah air kita.

Dengan terjahan dunia langit terbuka kelompok ini dengan aktif menebarkan sikap serta pandangan mereka, bahkan secara terbuka mengadakan bantahan awam untuk berekspresi akan tuntutan-tuntutan mereka. Mereka secara terbuka menyerang institusi agama negara ini serta berkolabarasi dengan sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan mereka.

Terjahan kepada Islam berlangsung sepanjang zaman dan menuntut umat Islam berdada dengan penyelewengan ini. Antara kebobrokan yang kian mendapat tempat dalam kalangan umat Islam yang jahil ialah fahaman Islam liberal, menyusup secara diam dan pantas dalam akar ummah di pelbagai posisi.

Isu ini semakin menjadi hangat dengan pihak berkuasa agama melarang wacana Mustapha Akyol, seorang sarjana Turki yang ingin menebarkan fahaman agamanya kepada rakyat negara ini, kita melihat bagaimana kelompok Islam liberal negara ini bersungguh-sungguh mempertahankan kewajaran wacana Mustapha Akyol.

Bentuk-Bentuk Pemikiran Golongan Islam Liberal

1. Mereka menganut fahaman pluralisme

Iaitu fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka. Orang Islam tidak boleh meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar. Sebaliknya mereka hendaklah mengiktiraf agama lain juga benar dan betul. Urusetia Jaringan Islam Liberal, Ulil Abshar Abdalla dalam majalah Gatra (Indonesia) keluaran 21 Disember 2002 menyatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran”.

Dengan fahaman inilah, maka lahirnya ideologi Pancasila di Indonesia. Darinya juga, penganut fahaman Islam liberal menyeru agar dibenar perkahwinan campur antara agama kerana semua agama adalah benar dan betul dan perkahwinan sebegini sememangnya telah diamalkan di Indonesia menunjukkan kejayaan besar golongan Islam liberal di sana. Di Malaysia, penularan fahaman pluralisme dapat dilihat dalam kes-kes berikut:

a. Sambutan Kongsi-Raya iaitu menyambut perayaan agama secara bersama-sama di antara agama-agama di Malaysia (Islam, Hindu, Cina dan Kristian). Sekalipun telah ditegur oleh mufti dan para ulama dalam Muzakarah Ulamak 2006 (13 Jun) di Perak sebagai bertentangan dengan Islam, namun golongan Islam liberal menolak pandangan mufti dan ulama-ulama tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot atau berpemikiran tertutup; dan

b. Kerana terpengaruh dengan fahaman pluralisme inilah maka beberapa Menteri Muslim dan sebuah NGO muslim (iaitu Sisters In Islam) telah turut menyokong penubuhan InterFaith Council (IFC) atau Majlis/Suruhanjaya Antara Agama-Agama. Suruhanjaya Antara Agama ini dicadangkan oleh MCCBCHS atau Majlis Kristian Budha Hindu dan Sikh Malaysia melalui memorandum yang telah dihantar ke Majlis Peguam pada 21 Ogos 2001.

2. Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia

Dalam isu murtad – seperti kes Lina Joy (yang nama asalnya Azlina Jailani), golongan Islam liberal di Malaysia antara yang mendesak agar penganut Islam diberi hak untuk murtad dari agama (Islam) tanpa sebarang tindakan undang-undang dan tanpa tertakluk dengan keputusan Mahkamah Syariah. Seorang peguam yang juga merupakan ahli Parlimen daripada parti kerajaan iaitu Zaid Ibrahim pernah mengungkapkan isu murtad ini dalam satu forum yang dianjurkan oleh SUHAKAM pada 9 September.

Bagi kelompok Islam liberal yang jahil ini mereka berhujah bahawa hak untuk murtad menurut mereka adalah kebebasan beragama yang juga diakui oleh al-Quran. Mereka menyalah tafsirkan ayat Allah yang berbunyi; “Tidak ada paksaan dalam agama”. (Al-Baqarah; 256)

Menurut tafsiran ulama tafsir yang muktabar, ayat di atas hanya terpakai bagi orang bukan Islam, yakni mereka tidak harus dipaksa untuk menganut Islam kecuali dengan kerelaan sendiri. Adapun bagi penganut Islam, maka mereka wajib beramal dengan segala tuntutan Islam termasuk tuntutan memelihara akidah dan iman.

Dalam kes murtad, orang Islam yang keluar daripada agama akan dikenakan hukuman yang berat di akhirat dan di dunia. Hukuman di akhirat ia akan dihumbankan Allah dalam neraka untuk selama-lamanya.

Adapun hukuman di dunia ia akan dibunuh sebagaimana yang sabit dengam dalil as-Sunnah yang sahih iaitu sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa menukar agamanya (yakni murtad), maka hendaklah kamu membunuhnya”. (Riwayat Imam Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan lain-lain dari Ibnu Abbas).

3. Ayat-ayat al-Quran perlu ditafsir semula agar selari dengan peredaran zaman

Menurut golongan Islam liberal, al-Quran perlu ditafsir semula tanpa terikat dengan tafsiran ulama terdahulu. Tafsiran ulama terdahulu telah jauh ketinggalan dan tidak sesuai lagi untuk zaman sekarang. Dalam mentafsir al-Quran tidak perlu terikat dengan ilmu Asbabun-Nuzul, Nasikh wal Mansukh, tafsiran Rasulullah, para sahabat dan ahli-ahli tafsir terdahulu. Memadai menurut mereka tafsiran itu menepati logik akal dan rasional.

“Semua umat Islam perlu kembali kepada asas-asas Islam dengan menolak tafsiran klasik (lama) yang telah ketinggalan zaman. Kepada umat Islam, kita menyeru supaya digerakkan usaha-usaha membuat tafsiran al-Quran berdasarkan kaedah saintifik”. (Kassim Ahmad, 12 Oktober 2000, News Straits Times)

Jelasnya, golongan Islam liberal mengajak umat Islam kepada penafsiran ayat-ayat al-Quran berdasarkan ilmu akal semata-mata. Kerana itu mereka awal-awal lagi telah menolak hadis Nabi yang bermaksud, “Sesiapa yang mentafsir al-Quran dengan akal fikirannya semata-mata, maka sediakanlah tempat duduknya dari api neraka” dengan mendakwa hadis tersebut bercanggah dengan al-Quran yang menyeru manusia supaya berfikir, merenung dan menggunakan akal.

4. Mempertikai syariat Allah dan hukum-hakam fiqh dengan hujah rasional

Pada pandangan mereka hukum syariat Islam adalah ciptaan ulama dan fuqaha. Oleh itu, mereka menganggap syariat Islam tidaklah suci secara sepenuhnya dan ia terdedah kepada penilaian semula dan kritikan termasuklah hukum-hakam syariat yang qatie. Antara hukum-hakam syariat yang menurut pandangan mereka perlu dinilai semula ialah:

a. Hukum faraid yang tidak sama rata antara lelaki dan wanita;

b. Keharusan poligami bagi lelaki;

c. Kewajipan bertudung kepala ke atas wanita;

d. Hukuman bunuh ke atas orang murtad;

e. Hukum jenayah hudud yang menurut mereka adalah pengaruh budaya Arab Jahiliyah;

f. Larangan wanita daripada menjadi pemimpin termasuklah dalam solat;

g. Hak mutlak suami untuk mencerai isteri;

h. Larangan perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam; dan

i. Undang-undang moral agama yang dikatakan melanggar hak asasi dan kebebasan manusia.

Demi menjayakan hasrat mereka itu maka mereka menyeru kepada pembaharuan fiqh secara bebas tanpa perlu merujuk kepada ulama dan disiplin ilmu Usul Fiqh. Golongan Islam liberal menolak autoriti ulama dalam bidang agama. Mereka amat menekankan kebebasan berpendapat bahawa sesiapa sahaja berhak bercakap tentang agama.

5. Menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama

Golongan Islam liberal menentang penguatkuasaan undang-undang moral berteraskan agama kerana menurut mereka undang-undang tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia.

Sebagai contohnya, tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) suatu ketika dulu menahan para pengunjung Islam di pusat-pusat hiburan telah mendapat bantahan keras dari Sisters In Islam dan 50 NGO yang lain.

Mereka telah mengemukakan memorandum kepada pihak kerajaan supaya tidak menggunakan pendekatan undang-undang untuk mengawasi akhlak rakyat kerana tindakan itu dianggap bercanggah dengan hak asasi manusia.

Malah dalam satu kenyataannya SIS meminta pihak kerajaan agar membubarkan semua undang-undang agama yang menghalang rakyat daripada mengecapi hak asasi peribadi dan bersuara.

Malahan pertubuhan itu juga tidak bersetuju dengan apa cara dan usaha menggunakan undang-undang untuk memelihara iman seorang muslim. Hal ini kerana persoalan yang berkaitan dengan moral dan agama dianggap sebagai hak peribadi dan kebebasan tersebut tidak seharusnya dikawal dengan menggunakan kuasa perundangan.

Dr Riduan Mohd Nor
Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI

Artikel ini pertikan   dari  Ismaweb

Khamis, 5 April 2018

Tun sahkan Islam beliau memang tidak betul

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF

KE hadapan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir, membaca tulisan terbaru Tun bertajuk “Islam Saya” yang menjawab tulisan saya bertajuk “Pemikiran Islam Yang Tidak Betul Sebab Terbesar Tun Dr Mahathir Tidak Layak Jadi Perdana Menteri” mengesahkan lagi betapa tidak betulnya pemikiran Islam Tun.

Untuk makluman Tun, soal pemikiran Islam tidak betul Tun yang mengutamakan akal fikiran ini bukan sahaja dinyatakan oleh Almarhum Datuk Dr Harun Din malah oleh ramai lagi agamawan tanah air, termasuk mereka yang sekarang berada di keliling Tun.

Memang betul al-Quran menyebut berkali-kali akan mustahaknya mengguna akal fikiran dan tidak disebut dalam al-Quran larangan berfikir dan terima sahaja semua pendapat dari pakar Islam, tetapi mengguna akal fikiran ini ada kaedahnya di dalam Islam.

Akal sebagai antara sumber ilmu memang diakui tetapi, seperti disebut oleh Imam as-Syafi’ie; “Sesungguhnya akal mempunyai batasan yang menjadi penghujung kemampuannya sebagaimana penglihatan mempunyai batasan yang menjadi penghujung pandangannya”.

Tun sendiri pernah menyebut, di dalam ucapan Tun di The Oxford Centre For Islamic Studies pada 16 April 1996 mengenai “di mana Quran atau Hadis tidak jelas, sarjana boleh memberikan pandangan atau ijtihad, mengguna kemampuan berfikir”.

Di dalam ucapan Tun yang tidak diketahui siapa penulisnya ini Tun mengakui bahawa ilmu yang berteraskan wahyu adalah lebih tinggi dari ilmu yang berteraskan akal, di mana bila ada dalil qat’ie atau jelas di dalam Quran atau Hadis maka akal tidak boleh diguna.

Bukan sebarang orang yang boleh berijtihad kerana ada syarat-syarat yang perlu dipatuhi seperti menguasai Bahasa Arab, mempunyai pengetahuan di dalam al-Quran dan al-Sunnah, mempunyai pengetahuan mengenai ilmu Usul al-Fiqh serta ijma’ dan khilaf.

Masalah Tun ialah Tun suka mempertikaikan, dengan mengguna akal fikiran, perkara-perkara yang sudah ada dalil qat’ie atau jelas di dalam Quran atau Hadis seperti pensyariatan Hudud dengan menyebut, pada 26 Februari 2012, “Hudud tidak terdapat dalam al-Quran”.

Bukan setakat Tun sahaja, malah anak Tun sendiri, iaitu Datuk Paduka Marina, juga menyebut perkara sama sebelum ini, termasuk di dalam akhbar The Star pada 18 Julai 2012 bahawa kononnya “None of the so-called Hudud punishments can be found in the Quran”.

Jika Tun dan Datuk Paduka Marina membaca al-Quran dengan betul maka sudah pasti akan didapati bahawa istilah 'Hudud' terdapat dalam al-Quran, antara lainnya di dalam ayat 187 dan 229 Surah al-Baqarah, ayat 13 dan 14 Surah al-Nisa’ serta ayat 1 Surah al-Talaq.

Jika al-Quran dibaca dengan betul maka sudah pasti akan didapati bahawa hukum Hudud terdapat dalam al-Quran, antara lainnya di dalam ayat 38 Surah al-Ma’idah (curi), ayat 33 Surah al-Ma’idah (hirabah), ayat 3 Surah al-Nur (zina) dan ayat 4 Surah al-Nur (qazaf).

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata di dalam portal berita Malaysia Kini pada 23 Ogos 2012 bahawa “orang yang menentang hukum yang ada di dalam al-Quran, dia terkeluar agama” dan “kalau pertikai Hudud itu sendiri, dia telah keluar agama”.

Begitu juga dengan Timbalan Penasihat Umum PAN, Abdul Ghani Samsudin, yang menyebut, pada 3 Januari 2013, bahawa kenyataan Tun bersabit “Hudud tiada dalam al-Quran” adalah “kenyataan salah yang perlu ditarik balik dan menggugat akidah umat Islam”.

Masalah Tun ialah Tun mempunyai kefahaman salah mengenai perkara ini di mana, di dalam ucapan Tun di Al-Azhar University pada 10 Mei 1998, Tun menyebut kononnya “hanya jika ucapan dua kalimah syahadah ditolak barulah seseorang itu terkeluar dari agama Islam”.

Tun juga nyata tidak mampu memahami perkara asas di dalam Islam dengan menyebut “Hadis Nabi termasuk dalam bahagian sunnah dalam Islam. Mengamal sunnah adalah baik dan mendapat pahala untuk akhirat. Tetapi jika tidak mengamalnya tidak berdosa.”

Malah, perkara yang sama turut pernah Tun nyatakan pada 26 Februari 2014 di mana Tun menyebut: “Ada gesaan bahawa yang sunat itu wajib dan mesti diterima dan diamalkan... Hadis adalah sunnah Nabi. Saya ingin tahu sama ada Hadis wajib dan mesti diterima.”

Sedih sekali melihat Tun tidak tahu membezakan antara 'Sunat' sebagai salah satu daripada hukum syarak taklifiyang lima dengan 'Sunnah' yang menjadi sumber syariat yang paling utama selepas al-Quran yang jika ditolak boleh menyebabkan seseorang itu murtad. 

Masalah Tun juga ialah Tun suka mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum sedangkan aliran pemikiran liberal ini telah diputuskan sebagai sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 25-27 Julai 2006.

Hakikat bahawa Tun tidak memahami Islam jelas terlihat di dalam pengakuan Tun pada 23 Januari 2018 bahawa “sesungguhnya banyaklah perkara yang mengelirukan saya berkenaan agama Islam” dan “banyak lagi dari ajaran Islam dan amalannya yang mengeliru(kan) saya”.

Jika Tun memahami Islam sudah tentu Tun tidak akan mengakui bahawa banyak dari ajaran Islam dan amalannya yang mengeliru(kan) Tun dan sudah tentu Tun tidak akan bertanya “jika babi disembelih dengan menyebut nama Tuhan, haram lagikah daging babi itu?”.

Tun juga mempunyai kefahaman salah terhadap ajaran Islam di mana Tun menyebut, pada 6 Februari lalu, “bukan kita nak ambik semua (ajaran Islam) masuk” yang bercanggah dengan ayat 208 Surah al-Baqarah mengenai kewajiban menerima Islam secara keseluruhan.

Ia juga berbeza dari kehendak majoriti umat Islam, yang tertera di dalam kenyataan Almarhum Tan Sri Prof Dr Ahmad Ibrahim, bahawa Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada umat Islam untuk melaksanakan seluruh tuntutan agama mereka.

Perkara ini malah sering ditegaskan kembali oleh pelbagai pemimpin Islam lain seperti oleh Pengerusi Kanun PAN, Mohamed Hanipa Maidin, yang menulis pada 12 Jun 2007 bahawa Perkara 11 ini adalah merangkumi pengamalan agama Islam secara syumul.

Malah Mahkamah Persekutuan dalam kes Sulaiman Takrib [2008], Fathul Bari Mat Jahya dan Anor [2012] dan ZI Publications Sdn Bhd dan Anor [2015] juga telah memutuskan bahawa perintah agama Islam adalah luas, iaitu meliputi 'akidah', 'syariah' dan 'akhlak'.

Disebabkan kefahaman Islam yang tidak betul inilah maka Tun tegar menghalang perlaksanaan syariat Islam sedangkan dapatan kaji selidik Merdeka Center pada 12 hingga 21 April 2014 menunjukkan 71 peratus responden Melayu menyokong hukum Hudud.

Begitu juga dengan dapatan kaji selidik terbaru Wan Saiful Wan Jan, yang kini merupakan Timbalan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar PPBM, yang menunjukkan 90 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat peningkatan keagamaan adalah bagus.

Baik bila Tun mengakui bahawa “kuasa memelihara pada setiap masa agama Islam ada pada Yang di-Pertuan Agong” tetapi penegasan Tun bahawa “Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat” bercanggah dengan kenyataan Tun sebelum ini.

Ini kerana, pada 20 Oktober 2015, Tun sendiri menegaskan: “Ianya benar bahawa Agong dan Raja-raja Melayu adalah Raja Berperlembagaan. Tetapi itu tidak bermakna bahawa mereka adalah pak turut semata-mata untuk mengesahkan semua tindakan Kerajaan.”

Penegasan Tun bahawa “Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat” juga membawa kita kembali kepada poin asal saya iaitu tiadanya kefahaman Islam yang betul pada diri Tun menyebabkan Tun sangat tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri.

Ini kerana ia tidak akan membolehkan ikrar untuk “memeliharakan pada setiap masa agama Islam” yang dilafazkan oleh Yang di-Pertuan Agong sekali gus bagi membolehkan peruntukan “Islam ialah agama bagi Persekutuan” dapat dilaksanakan dengan baik.

Kenyataan Tun bahawa “dalam al-Quran jika hukum sebat hendak dikenakan tentukan dahulu kesalahan” tidak memberikan apa-apa impak ke atas kenyataan Tun pada 19 Februari 2017 bahawa hukum sebat 100 kali dalam Islam akan menyebabkan kematian.

Kenyataan Tun mengenai hukum sebat ini malah diakui oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menunjukkan Tun mempunyai kefahaman salah terhadap ajaran Islam dengan berkata, pada 23 Februari 2017, bahawa ia “sama sekali salah dan tidak benar”.

Kenyataan Tun bahawa “Perdana Menteri diberi ramai penasihat, diantaranya ialah penasihat agama, bukan seorang tetapi ramai” tidak memberi apa-apa makna kerana selepas 22 tahun Tun menjadi Perdana Menteri pun mereka gagal mengubah pemikiran Islam Tun.

Saya hairan ke mana perginya ulama di dalam Pakatan Harapan (PH), bukan sahaja di dalam PPBM tetapi juga ulama di dalam PAN dan PKR, khususnya Ahmad Awang dan Dr Mohd Nor Monutty, sehingga langsung tidak berani menegur Tun di dalam soal ini.

Jika sewaktu Tun masih belum menjadi Perdana Menteri pun para ulama di sekeliling Tun di dalam PH sekarang sudah tidak berani menegur Tun di dalam soal ini, usah diharaplah mereka akan berani menegur Tun jika Tun menjadi Perdana Menteri nanti.

Kenyataan Tun bahawa bila saya menyoal kebetulan Islam Tun tentulah saya menganggap kebetulan Islam Datuk Seri Najib lebih betul dan beliau lebih layak jadi Perdana Menteri adalah tidak relevan kerana tulisan saya hanya membicarakan kelayakan Tun.

Saya tidak faham mengapa Tun terlalu defensif bila kelayakan Tun untuk menjadi Perdana Menteri dibicarakan dengan membandingkan kelayakan Tun dengan Datuk Seri Najib. Mengapa tidak dibandingkan dengan pemimpin PH lain atau PAS?

Walau apa sekalipun yang diperkatakan mengenai beliau, paling tidak Datuk Seri Najib tidak cuba berlagak pandai dengan membicarakan soal-soal agama di dalam cara yang boleh menyesatkan orang ramai seperti yang Tun didakwa lakukan oleh para agamawan.

Bila Tun tidak mengulas mengenai Manifesto PH langsung tidak menyebut sebarang komitmen untuk memartabatkan Islam sebagai agenda di dalam mana-mana satu daripada lima terasnya, 60 janjinya dan lima iltizam khususnya, ini bermakna ia betul. Semoga kita diberikan hidayah oleh Allah. - HARAKAHDAILY 2/4/2018

_AC_

PAS menyokong RUU Anti Berita Tidak Benar

ITU asas agama. Kepalsuan dan penipuan adalah fitnah yang menghancurkan masyarakat dan negara. Ia diharap mampu menyekat mereka yang menjadikan penyebaran berita tidak benar sebagai hobi kehidupan.

Ia diharap mampu menyekat parti-parti politik dan media daripada menjadikan berita tidak benar sebagai senjata untuk menentang kebenaran.

Ia mampu mendidik rakyat agar mencintai dan menjunjung kebenaran serta membenci kepalsuan. Ia mampu menyelamatkan mangsa daripada menanggung bebanan kena fitnah.

Ia akan meluaskan dan memudahkan langkah perjuangan PAS yang sentiasa menjadi mangsa berita tidak benar. Dengan undang-undang ini, PAS lebih sejahtera, insya Allah. Ia sepatutnya telah lama diwartakan sebagai sebuah undang-undang yang tegas.

PAS bersih daripada menjadikan fitnah sebagai senjata. Ia haram dalam agama. Matlamat tidak menghalalkan cara. Adapun parti-parti lain, amat memalukan apabila mereka menjadikan sebaran berita palsu sebagai senjata untuk menyerang musuh. Justeru PAS menyokong penuh RUU ini.

Penyalahgunaan undang-undang ini oleh pihak pemerintah, walaupun dibimbangi dan dikesali, tidak boleh menjadi sebab untuk menolak benarnya undang-undang ini. Ia mesti disokong.

PAS dalam perbahasan menyokong, turut mengingatkan betapa penyalahgunaan undang-undang oleh pihak kerajaan adalah kezaliman yang nyata. Ia adalah perlanggaran terhadap amanah rakyat. Ia memperkasakan agama Islam sebagai pembawa berita benar dunia dan akhirat.

Justeru jangan tertipu dengan Pakatan Harapan (PH) yang menempelak PAS kerana menyokong RUU ini dan menuduh PAS menyokong Umno. Tidak sama sekali.

PAS menyokong al-makruf dan al-khair. PAS membina negara dengan buah yang enak, bukan dengan buih yang memuakkan.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ahli Parlimen Pasir Mas - HARAKAHDAILY 2/4/2018

_AC_