Sabtu, 24 September 2016
Al-Quran dan Hadith memerintahkan setiap muslim dan muslimah supaya menyertai Jamaah Islam.
MENGAPA SERTAI PAS?
Sebab:
Setiap muslim/muslimah wajib menyertai Jamaah Islam.
Tidak bersama Jamaah ( فارق الجماعة )adalah kesalahan besar di sisi Allah.
PAS adalah Jamaah Islam.
Dasar dan praktik PAS menepati ciri-ciri Jamaah Islam seperti yang dijelaskan di dalam Al-Quran dan Hadith.
Keterangan am:
Al-Quran dan Hadith memerintahkan setiap muslim dan muslimah supaya menyertai Jamaah Islam. Maksud Jamaah Islam ialah organisasi umat Islam yang 'berstruktur lengkap' seperti pertubuhan atau persatuan atau parti dalam konteks hari ini. Organisasi itu bergerak untuk mencapai cita-cita Islam yang menyeluruh (syumul) dengan menggunakan kaedah dan pendekatan dakwah yang diteladankan oleh Rasulullah SAW.
Iltizam (komitmen) kepada kerja-kerja organisasi ini disebut sebagai 'amal jamaie' yang disifatkan sebagai jihad di jalan Allah. Seorang muslim atau muslimah yang ikhlas dalam kesungguhannya melaksanakan tugasan ini, berpeluang untuk memperolehi darjat kematian syahid di sisi Allah.
Di antara dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadith yang membawa kepada rumusan tentang kewajiban menyertai Jamaah Islam, adalah seperti berikut:
Dalil 1:
ولتكن منكم امة يدعون الى الخير ويأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر وأولىْك هم المفلحون
"Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji), dan mereka yang bersifat demikian itu adalah golongan yang berjaya."
Ali-'Imran: Ayat 104
Keterangan Ayat:
Ayat ini (Ali-'Imran 104) merupakan perintah utama tentang kewajiban membentuk atau menubuhkan Jamaah. Perkataan ولتكن منكم امة yang bererti 'hendaklah ada satu ummah di kalangan kamu' membawa maksud umat Islam 'mestilah' atau 'wajiblah' membentuk Jamaah di mana sahaja mereka berada.
Perkataan أمة (ummah) bermaksud جماعة (jamaah) atau طأىفة (to'ifah). Definisi semua perkataan ini ialah 'satu organisasi yang jelas strukturnya' seperti sebuah persatuan, pertubuhan atau parti yang wujud di mana-mana pun hari ini.
Maksud inilah juga yang dibawa oleh perkataan صفا (soffan) di dalam ayat berikut:
Dalil 2:
ان الله يحب الذين يقاتلون فى سبيله صفا كأنهم بنيان مرصوص
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berperang (berjuang) untuk membela AgamaNya dalam saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh."
As-Saf: Ayat 4
Organisasi ini mestilah jelas misinya iaitu menyeru kepada kebajikan ( يدعون الى الخير ), menyuruh berbuat kebaikan ( يأمرون بالمعروف ) dan mencegah kemungkaran ( ينهون عن المنكر ). Nilai kebajikan, kebaikan dan kemungkaran itu mestilah mengikut ketetapan Al-Quran dan Hadith Nabi SAW.
Organisasi ini mestilah menjadikan Al-Quran dan Hadith (serta ijma' ulama' dan qiyas) sebagai dasar, pegangan, sumber rujukan dan penentu kepada segala-galanya.
Dalil 3:
عن حذيفة بن اليمان رضي الله عنه قال كان الناس يسىْلون رسول الله صلى الله عليه وسلم عن الخير وكنت أسْله عن الشر مخافة ان يدركني فقلت يا رسول الله انا كنا فى جاهلية وشر فجأناالله بهذا الخير فهل بعد هذا الخير من شر قال نعم فقلت هل بعد ذلك الشر من خير قال نعم وفيه دخن قلت ونا دخنه قال قوم يستنون بغير سنتى ويهدون بغير هديى تعرف منهم وتنكر فقلت هل بعد ذلك الخير من شر قال نعم دعاة على ابواب حهنم من اجابهم اليها قذفوه فيها فقلت يا رسول الله صفهم لنا قال قوم من جلدتنا ويتكلمون بألسنتنا قلت يا رسول الله فما ترى ان ادركنى ذلك قال تلزم جماعة المسلمين وامامهم فقلت فان لم تكن لهم جماعة ولا امام قال فاعتزل تلك الفرق كلها ولو ان تعض على أصل شجرة حتى يدركك الموت وانت على ذلك
"Diriwayatkan daripada Huzaifah bin Al-Yaman RA, katanya: Manusia sering bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat, kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: wahai Rasulullah! dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan ini (Islam yang datang melaluimu), adakah selepas kebaikan ini akan berlaku pula "kejahatan". Rasulullah menjawab "Ya".
Aku bertanya lagi: adakah akan berlaku pula datangnya kebaikan selepas era kejahatan itu? Rasulullah SAW menjawab "Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan".
Aku bertanya: apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu? Rasulullah menjawab: iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mereka mengikuti jalan yang lain dari jalanku. Di antara mereka itu ada yang kamu kenali dan ada yang tidak kamu mengenalinya.
Aku bertanya lagi: adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu? Rasulullah SAW menjawab: Ya, ketika itu ramai yang menyeru manusia ke neraka jahannam. Sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam neraka.
Aku berkata lagi: wahai Rasulullah, terangkan kepada kami tentang sifat mereka itu. Rasulullah SAW menjawab: baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita.
Aku bertanya lagi: wahai Rasulullah, apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu? Rasulullah SAW menjawab: hendaklah kamu bersama dengan Jamaah Islam dan mengikuti pemimpin mereka (pemimpin Jamaah Islam).
Aku bertanya lagi: bagaimanakah sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai Jamaah dan tiada pemimpin? Rasulullah SAW menjawab: hendaklah kamu memencilkan diri dari semua kumpulan yang ada (yang telah rosak iman dan akhlak mereka), walaupun akibatnya sehinggakan kamu terpaksa memakan akar-akar kayu (untuk meneruskan kehidupan) dan sehinggakan kamu mati kerananya namun kamu tetap dalam keadaan yang demikian (mempertahankan iman).
Keterangan Hadith:
Dalam Hadith ini Rasulullah SAW menggambarkan suasana dunia akhir zaman yang penuh dengan maksiat dan kezaliman. Keadaan itu digambarkan dengan kata-katanya "ramai yang menyeru manusia ke neraka jahannam".
Keadaan yang disebut oleh Rasulullah SAW itu sedang melingkari kehidupan kita hari ini. Seruan dan ajakan agar melakukan maksiat sememangnya berleluasa. Manusia yang mempertahankan iman dan menegakkan keperibadian Islam sentiasa dicemuh dan diganggu. Pelaku maksiat berbangga dengan cara hidup mereka yang menyanggah ketetapan Allah dan Rasul. Malah mereka bersungguh-sungguh mengajak orang ramai supaya hidup dengan cara mereka yang sesat. Dengan kata lain mereka menyeru ke neraka jahannam.
Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan? Bagaimana kita nak menghadapi keadaan ini?
Rasulullah SAW telah memberikan jawaban yang sangat jelas di dalam Hadith ini, dengan katanya "hendaklah kamu bersama Jamaah Islam dan mengikuti pemimpin mereka (pemimpin Jamaah Islam)".
Ia bukan setakat syor atau cadangan daripada Rasulullah SAW, bahkan ia adalah perintah yang mesti dilaksanakan oleh setiap muslim dan muslimah. Para Ulama' Muhaddithin sepakat merumuskan bahawa Hadith ini merupakan salah satu dalil utama tentang kewajiban menyertai Jamaah Islam.
Sa'id Hawa di dalam kitabnya 'Jundullah Thaqafatan Wa Akhlaqan' menjelaskan bahawa hukum jihad untuk menumpaskan penyebab kemaksiatan yang merajalela ini adalah fardhu Ain. Ertinya, wajib bagi setiap manusia yang mengikrarkan dirinya muslim dan muslimah supaya berada di dalam saf mempertahan dan menegakkan Islam, sekaligus menggempur untuk menumpaskan penyeru ke neraka jahannam. Itulah jihad siyasi atau jihad politik yang dimaksudkan oleh Sa'id Hawa di dalam kitabnya.
Tanggungjawab tugasan ini tidak mungkin dapat dilakukan oleh orang perseorangan secara persendirian, sebaliknya mestilah dilaksanakan secara bersama dalam satu kumpulan, secara tersusun dan terarah, dengan menggembelingkan potensi semua orang yang terlibat.
Itulah intisari perintah Rasulullah SAW تلزم جماعة المسلمين وءامامهم ketika menjawab soalan Huzaifah RA.
Oleh itu kita hanya ada satu pilihan. Tidak dua dan tidak tiga. Kita wajib menyertai Jamaah Islam yang melaksanakan misi amar makruf nahi mungkar berdasarkan wahyu dan sunnah. Kita wajib memberikan sepenuh komitmen kepada misi dan visi Jamaah Islam untuk menumpaskan golongan penyeru ke neraka Jahanam. Kita wajib istiqomah bersama Jamaah Islam walau apa pun risikonya, seperti sabda Nabi kepada Huzaifah “walaupun akibatnya sehinggakan kamu terpaksa memakan akar-akar kayu (untuk meneruskan kehidupan) dan sehinggakan kamu mati kerananya, namun kamu tetap dalam keadaan yang demikian (mempertahankan iman)”.
Dalil 4:
Saiyidina Umar bin Al-Khattab RA pernah berkata:
لا اسلام بلا جماعة ولا جماعة بلا امامة ولا امامة بلا طاعة
“Tiada Islam tanpa Jamaah, dan Jamaah tidak akan wujud tanpa kepimpinan, dan tidak wujud kepimpinan tanpa ketaatan.” Kata-kata Saiyidina Umar ini merupakan penegasan yang kuat tentang kewajiban menyertai Jamaah Islam. “Tiada Islam tanpa Jamaah” boleh difahami dengan dua maksud, iaitu:
1. Tak kan tertegak Islam itu sebagai sistem hidup ( نظام الحياة ) yang benar-benar membawa rahmat kepada seluruh alam melainkan ia diusahakan oleh umat Islam secara jamaie (berorganisasi).
2. Tidak diiktiraf keIslaman seseorang itu melainkan dia bersama dengan Jamaah Islam (organisasi umat Islam yang memperjuangkan Islam sebagai sistem hidup yang menyeluruh).
Sama ada kita meyakini maksud yang pertama atau yang kedua, kesimpulannya tetap sama iaitu wajib atas setiap muslim dan muslimah agar menyertai Jamaah Islam.
Seterusnya, Rasulullah SAW turut mengingatkan kita tentang ancaman Allah terhadap orang yang enggan menyertai Jamaah Islam atau orang yang lari meninggalkan Jamaah.
Dalil 5:
من فارق الجماعة قيد شبر فقد خلغ بربقة الاسلام من عنقه
“Sesiapa yang memisahkan dirinya daripada Jamaah, maka terlucutlah ikatan Islam dari lehernya.” ( Al-Hadith )
Keterangan Hadith :
Ancaman di dalam Hadith ini lebih jelas dan lebih berat lagi. Kengganan menyertai Jamaah Islam atau tindakan meninggalkan Jamaah dikaitkan secara langsung dengan status keIslaman seseorang. Islam seseorang itu sah sekiranya dia bersama Jamaah Islam dan memberikan komitmen kepada pelaksanaan kerja serta matlamat Jamaah itu. Sebaliknya seseorang itu dikira ‘tidak Islam’ sekiranya dia tidak bersama Jamaah Islam, apatah lagi jika dia berpendirian berlawanan dengan Jamaah dan menentang Jamaah Islam.
Dalil 6 dan 7 :
Oleh kerana itulah Rasulullah SAW berulangkali mengingatkan umat Islam supaya sentiasa bersama-sama dengan Jamaah, dengan ungkapan sabdanya :
عليكم بالجماعة
“Hendaklah kamu bersama dengan jamaah”
( Al-Hadith )
عليكم بالجماعة والعامة والمسجد
“Hendaklah kamu bersama dengan Jamaah, mengambil berat urusan orang ramai dan mengimarahkan masjid” ( Al-Hadith )
Dalil 8 dan 9 :
اياكم والفرقة وعليكم بالجماعة فان الشيطان مع الواحد وهو من الاثنين ابعد، من اراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة٠
“Janganlah kamu berpisah (daripada jamaah), dan hendaklah kamu bersama dengan jamaah (beriltizam), kerana sesungguhnya syaitan itu bersama orang yang menyendiri, manakala ia (syaitan) lebih menjauhkan diri daripada dua orang (yang bersama). Sesiapa yang inginkan kedudukan di tengah-tengah syurga, maka hendaklah ia beriltizam bersama jamaah.”
( Al-Hadith : riwayat Tirmizi, dalam Sunannya, 9:10 dari Hadith Ibnu Umar)
يد الله مع الجماعة
“Tangan (naungan, pertolongan dan keberkatan) Allah bersama dengan jamaah.”
( Al-Hadith : riwayat Tirmizi )
Dalil 10 :
وانا امركم بخمس امرنى بهن؛ بالجماعة والسمع والطاعة والهجرة والجهاد فى سبيل الله، فان من خرج من الجماعة قيد شبر فقد خلع ربقة الاسلام من عنقه الا ان يرجع٠ قالوا׃ يا رسول الله! وان صلى وصام؟ قال׃ وان صلى وصام وزعم انه مسلم٠
“Aku perintahkan kepadamu lima perkara yang telah diperintahkan oleh Allah kepadaku, iaitu: berjamaah, mendengar (perintah pemimpin umat atau pemimpin jamaah), mematuhinya, berhijrah, dan berjihad di jalan Allah. Sesungguhnya orang yang keluar daripada jamaah sejauh hanya sejengkal, bererti dia telah melepaskan ikatan Islam daripada lehernya, sehinggalah dia kembali semula bersama jamaah.” Para Sahabat RA bertanya: “Wahai Rasulullah, (apakah begitu kedudukannya) walaupun dia solat dan berpuasa?” Baginda SAW menjawab: “(Ya), walaupun dia solat dan berpuasa, serta menyatakan bahawa dia seorang muslim.”
( Al-Hadith : riwayat Ahmad )
وانا امركم بخمس امرنى بهن؛ بالجماعة والسمع والطاعة والهجرة والجهاد فى سبيل الله، فان من خرج من الجماعة قيد شبر فقد خلع ربقة الاسلام من عنقه الا ان يرجع٠ قالوا׃ يا رسول الله! وان صلى وصام؟ قال׃ وان صلى وصام وزعم انه مسلم٠
“Aku perintahkan kepadamu lima perkara yang telah diperintahkan oleh Allah kepadaku, iaitu: berjamaah, mendengar (perintah pemimpin umat atau pemimpin jamaah), mematuhinya, berhijrah, dan berjihad di jalan Allah. Sesungguhnya orang yang keluar daripada jamaah sejauh hanya sejengkal, bererti dia telah melepaskan ikatan Islam daripada lehernya, sehinggalah dia kembali semula bersama jamaah.” Para Sahabat RA bertanya: “Wahai Rasulullah, (apakah begitu kedudukannya) walaupun dia solat dan berpuasa?” Baginda SAW menjawab: “(Ya), walaupun dia solat dan berpuasa, serta menyatakan bahawa dia seorang muslim.” ( Al-Hadith : riwayat Ahmad )
Dalil 11:
من خرج من الطاعة وفارق الجماعة فمات مات ميتة جاهلية٠
“Sesiapa yang keluar daripada ketaatan dan meninggalkan jamaah, lalu dia mati (dalam keadaan itu), maka matinya adalah mati jahiliah….”
( Al-Hadith : riwayat Muslim,dalam Sahihnya,
Kitab Al-Imarah, 3:1476-1477, dari Hadith Abu Hurairah )
Dalil 12:
من فارق الجماعة شبرا فقد خلع ربقة الاسلام من عنقه٠
“Sesiapa yang meninggalkan jamaah hanya sejauh sejengkal, maka dia telah melucutkan ikatan Islam daripada lehernya.”
( Al-Hadith : riwayat Ahmad, Sahih Al-Jami’us Soghir, 5:326 )
Dalil 13 dan 14:
Rasulullah SAW juga memberikan amaran berikut:
من مات لم يغز ولم ينو الغزو فمات ميتة جاهلية
“Sesiapa yang mati (sedangkan sepanjang hidupnya) tidak pernah berperang (berjuang di jalan Allah) dan tidak pernah berniat untuk berperang (berjuang di jalan Allah), maka matinya adalah mati jahiliah”. ( Al-Hadith )
من مات لم يغز ولم ينو الغزو فمات على شعبة من النفاق
“Sesiapa yang mati (sedangkan sepanjang hidupnya) tidak pernah berperang (berjuang di jalan Allah) dan tidak pernah berniat untuk berperang (berjuang di jalan Allah), maka matinya adalah mati dalam salah satu cabang nifaq (munafiq)”. ( Al-Hadith )
Keterangan Hadith :
Apabila dikatakan bahawa kematian orang yang tidak berperang (berjuang di jalan Allah) adalah ‘mati jahiliah’ dan ‘mati seorang munafiq’ maka ianya bermaksud orang yang mati itu tidak diiktiraf keIslamannya. Pendek kata, dia bukan seorang Muslim di sisi Allah SWT.
Apa kaitannya dengan Jamaah Islam?
Berperang adalah urusan berkumpulan, sama ada bersama pasukan tentera yang dibentuk oleh negara Islam atau bersama pasukan yang ditubuhkan oleh umat Islam untuk berdepan dengan kezaliman dalam negara yang bukan negara Islam.
Peperangan tidak boleh berlaku dengan tindakan seorang diri. Ia adalah tindakan berkumpulan iaitu secara jama’ie. Dengan kata lain, peperangan adalah urusan Jamaah Islam yang bangkit berdepan dengan kezaliman musuh-musuh Allah SWT.
Orang yang berperang di jalan Allah ialah orang yang menyertai Jamaah Islam. Sebaliknya, orang yang enggan menyertai Jamaah Islam adalah orang yang enggan berperang di jalan Allah. Golongan inilah yang mati dalam keadaan jahiliah dan munafiq.
Apa kaitannya dengan PAS?
Seperti yang telah dinyatakan di sepanjang bab ini, PAS adalah Jamaah yang menepati ciri-ciri Jamaah Islam sebagaimana dinyatakan di dalam Al-Quran dan Hadith.
PAS melaksanakan kerja-kerja amar makruf nahi mungkar dan berdepan dengan golongan yang mengingkari serta memusuhi pelaksanaan Islam yang syumul.
Oleh itu, PAS berada di atas landasan ‘berperang’ ( الغزو ) di jalan Allah SWT, yang juga bermaksud ‘berjuang di jalan Allah’ seperti yang dituntut oleh Hadith ini.
Maka sepatutnya kita bertambah yakin bahawa kita wajib menyertai PAS supaya dapat berada di atas landasan ‘berperang’ di jalan Allah, lalu dengan itu terhindarlah kita daripada mati jahiliah dan mati munafiq. Dengan perkataan lain, kita dapat berada di atas landasan yang menuju ke arah mati sebagai seorang muslim.
Seterusnya di dalam surah At-Taubah, Allah memerintahkan hambanya supaya ‘berangkat’ melaksanakan tugasan pada jalanNya. Ia adalah tugas besar yang menuntut pengorbanan harta dan nyawa. Sekiranya kita meneliti ayat-ayat ini, semakin jelas kelihatan penekanan Allah tentang kewajiban menyertai Jamaah Islam.
Bersama dengan perintah itu, Allah SWT turut memberikan ancaman kepada hamba-hambanya yang enggan menunaikan perintah ‘berangkat’ ke jalanNya itu. Golongan yang ‘enggan berangkat’ itu diancam dengan azab siksa yang bersangatan pedihnya.
Dalil 15 :
يا ايها الذين امنوا ما لكم اذا قيل لكم انفروا فى سبيل الله اثاقلتم الى الارض ارضيتم بالحيا ة الدنيا من الاخرة فما متاع الحياة الدنيا فى الاخرة الا قليل. الا تنفروا يعذبكم عذابا اليما ويستبدل قوما غيركم ولا تضروه شيأ والله على كل شيء قدير
“Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepadamu : "Berangkatlah kamu berjuang di jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan lebih suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka kehidupan dunia ini berbanding kehidupan akhirat? (Kesukaan kamu itu salah, kerana) kenikmatan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding (kesenangan hidup) di akhirat kelak. ◊ Jika kamu tidak berangkat (untuk berjuang di jalan Allah - membela agamanya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya, dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
( At-Taubah : ayat 38-39 )
Dalil 16:
.انفروا خفافا وثقالا وجاهدوا باموالكم وانفسكم فى سبيل الله ذلكم خير لكم ان كنتم تعلمون
“Berangkatlah kamu (untuk berjihad pada jalan Allah), sama ada dalam keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dalam keadaan berat (disebabkan pelbagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
( At-Taubah : ayat 41 )
Kita juga patut bimbang kehilangan status ‘iman’ dan bimbang terjerumus ke dalam golongan ‘fasiq’ akibat keengganan menyertai amal Islami bersama Jamaah Islam. Ayat-ayat berikut amat menggentarkan hati;
Dalil 17:
لا يستأذنك الذين يوء منون بالله واليوم الاخر ان يجاهدوا بأموالهم وأمفسهم والله عليم بالمتقين. انما يستأذنك الذين لا يوءمنون بالله واليوم الاخر وارتابت قلوبهم فهم فى ريبهم يترددون
“Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka, dan (ingatlah) Allah Maha mengetahui siapakah sebenarnya yang benar-benar bertaqwa. ◊ Sesungguhnya yang akan meminta izin daripadamu (wahai Muhammad) – (untuk tidak turut serta berjuang di jalan Allah) hanyalah orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hati mereka (sangat) ragu-ragu, oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguan itu.”
( At-Taubah : ayat 44-45 )
Keterangan ayat :
Allah menegaskan bahawa orang yang beriman tidak mungkin meminta pelepasan daripada tanggungjawab jihad yang menuntut pengorbanan harta dan nyawa ( باموالهم وانفسهم ). Penunaian tanggungjawab itulah yang mengangkat darjatnya ke tahap ‘muttaqin’ (orang bertaqwa).
Seterusnya Allah menjelaskan hakikat manusia yang meminta pelepasan atau mengelak daripada turut serta dalam tugasan jihad. Hakikatnya ialah mereka itu ‘tidak beriman’.
Hakikatnya mereka tidak percaya tentang Allah dan tidak percaya tentang Akhirat - (لا يوءمنون باالله واليوم الاخر ).
Sebenarnya hati mereka ragu-ragu tentang Allah dan lain-lain binaan iman -
( ارتابت قلوبهم ).
Keraguan itulah yang menyebabkan mereka bingung dan teragak-agak untuk menyertai jihad dengan sepenuh komitmen - ( فهم فى ريبهم يترددون ).
Dalil 18 :
قل ان كان أبأوكم وأبنأوكم واخوانكم وأزواجكم وعشيرتكم وأموال ن اقترفتموها وتجارة تخشون كسادها ومساكن ترضونها أحب اليكم من الله ورسوله وجهاد فى سبيله فتربصوا حتى يأتي الله بأمره والله لا يهدى القوم الفاسقين
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada golongan yang fasik (derhaka).” ( At-Taubah : ayat 24 )
Keterangan ayat :
Allah memberi amaran kepada manusia supaya tidak silap menyusun keutamaan tumpuan dalam hidup. Orang yang beriman wajib meletakkan urusan Allah, urusan Rasul dan urusan jihad mengatasi semua urusan kehidupan yang lain, termasuk urusan-urusan yang biasanya menjadi fokus manusia, iaitu;
1. Urusan keluarga.
2. Urusan harta dan perniagaan.
3. Urusan kualiti keselesaan kediaman.
Sekiranya manusia lebih mengutamakan mana-mana urusan ini berbanding tumpuan kepada Allah, Rasul dan jihad – maka layaklah mereka menerima hukuman daripada Allah SWT. Ancaman Allah tentang hukuman ini amat menakutkan, iaitu “tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya)” - ( فتربصوا حتى يائتي الله بامره ). Manusia yang salah fokus ini disifatkan oleh Allah sebagai golongan yang fasiq ( القوم الفاسقين ).
Berdasarkan semua dalil dan hujah ini, maka kita patut insaf bahawa wajib atas diri kita supaya menyertai PAS dan memberikan sepenuh komitmen kepada kerja-kerja Jamaah Islam ini, dalam perjuangan menegakkan Kalimah Allah di negara ini dan seluruh dunia. Insafi wahyu Allah ini;
واصبر نفسك مع الذين يدعون ربهم بالغدوة والعشي يريدون وجهه ولا تعد عيناك عنهم تريد زينة الحياة الدنيا ولا تطع من أغفلنا قلبه عن ذكرنا واتبع هواه وكان أمره فرطا
“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah kamu memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah kamu mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.” ( Al-Kahfi : ayat 28 )
BIAR OMBAK DAN BADAI MELANDA TETAP ISTIQAMAH MENERUSKAN PERJALANAN
Oleh: MUHAMMAD NUR ALI BIN OMAR
Tulisan ini dibuat ketika saya berada di lautan. Sejak berkurun lamanya, teknologi perkapalan menjadi aspek yang penting kepada negara. Sejarah teknologi ini bermula sejak zaman para anbiya' iaitu ketika Allah mengarahkan nabi Allah Nuh A.S untuk berbuat bahtera seperti dirakam dalam Al-Quran:
وصنع الفلك باعيننا ووحينا ولا تخطبنى فى الذين ظلموٱ..انهم مغرقون{سورة هود:٣٧}
Mafhumnya: Dan buatlah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami dan janganlah kamu berbicara dengan Aku tentang orang yang zalim itu; sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan.
Setelah nabi Allah Nuh A.S menyiapkan teknologi perkapalan ini lalu Allah memerintahkan kepada baginda untuk memuatkan beberapa jenis binatang secara berpasangan dan muatkan orang2 beriman lalu pelayaran bermula sehingga bahtera itu mendapat clearance dari Allah untuk sandar di atas Bukit Judy seperti dirakam dalam ayat yang seterusnya dalam Surah Hud. Sejak dari itu,teknologi perkapalan berkembang sehinggalah pada zaman Saidina Umar R.A dan Saidina Usman R.A diwujudkan batalion armada laut bagi melaksanakan misi Futuhah Islamiyah. Teknologi ini bukan saja digunapakai oleh para sahabat malah ia terus berkembang sehingga pada zaman kerajaan Islam Turki Uthmaniyah.
Pada tahun 1453M, Sultan Muhammad Al-Fateh dalam melaksanakan misi sebaik2 panglima dan sebaik2 tentera seperti dirakam oleh Hadis Nabi S.A.W:
لتفتحن القسطنطنية فلنعم الامير أ ميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش او كما قال..{رواه امام احمد}
Mafhumnya: Terlaksananya misi menakluk Kota Konstantinopel ini adalah dengan sebaik2 panglima pada ketika itu, dan tentera pada waktu itu adalah sebaik2 tentera.
menggunakan jentera perkapalan ini sehinggakan Sultan Muhammad Al-Fateh mengarahkan para tenteranya untuk melakukan Mission Impossible ketika memindahkan kapal perang melalui sebuah bukit menggunakan jalan darat. Begitu juga ketika peperangan Kerajaan Islam Melaka dalam menghadapi Portugis, Kerajaaan Turki Uthmaniyah menghantar armada tentera laut melalui jalan laut bagi menghadapi musuh di Melaka.
Teknologi perkapalan ini berkembang di Malaysia apabila tertubuhnya beberapa akademi pelayaran seperti Akademi Laut Malaysia dan Politeknik Ungku Omar yang mengkaderkan deck officer, marine engineer,deck dan engine rating sehinggakan kerajaan Malaysia menubuhkan syarikat Malaysian International Shipping Company (MISC). Akademi2 pelayaran dan syarikat2 perkapalan muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan ketika ekonomi import eksport memperoleh keuntungan yang lumayan bagi menambah pendapatan kerajaan Malaysia. Pada hari ini, ekonomi Malaysia merudum, harga minyak di pasaran kurang menyebabkan syarikat offshore terpaksa struggle dan syarikat tanker wajib survive dalam menghadapi kegawatan ekonomi.
Apa yang menjadi persoalan dikalangan orang awam didarat apabila melihat berita dikaca2 TV atau media sosial berkaitan teknologi perkapalan ini adalah isu hijacking. Tanker khususnya products tanker seperti Ocean Tanker, Orkim Harmoni dan baru2 ini Vier Harmoni kebanyakan dibawa lari, disamun, dirompak dan pelbagai lagi. Sebagai pelaut, saya mengikuti berita2 ini secara dekat sehinggalah apa yang boleh saya sampaikan disini disebabkan beberapa faktor, antaranya kes hak dan batil, kes tertangguh gaji dan kes lanun.
Seperti kita sedia maklum hadis daripada
Ibnu Majah:
أعطوا الأجير أجره قبل ان يجف عرقه {رواه ابن ماجه}
Mafhumnya: Berikan kepada pekerja upahnya sebelum peluhnya kering.
Hadis ini memberikan gambaran bahawa Islam menggesa mana2 majikan untuk tidak melengahkan pembayaran gaji apatah lagi menangguhkan gaji sehingga berbulan2 dan tidak membayarnya. Seringkali terjadi, Malaysia shipping company menangguhkan gaji crew kapal sehingga berbulan2 dan ada antaranya tidak dibayar walaupun perkara ini telah di laporkan kepada Jabatan Laut Malaysia yakni sebuah institusi kerajaan Malaysia dalam mengawal selia perjalanan operasi perkapalan di Malaysia. Kes tangguhnya gaji ini menyebabkan crew kapal yang berani untuk terus membawa lari kapal sehinggakan ada yang menjual kapal itu tanpa kebenaran ownernya.
Kes hijacking lanun juga tidak boleh dipandang sepi. Kes ini muncul apabila mereka inginkan duit dengan cara yang mudah dan berjuang untuk survival hidup di dunia tanpa mengira apa cara sekalipun seperti dirakam dalam filem Captain Philips dan pelbagai lagi. Kes ini syarikat perkapalan telah sedia maklum dan beberapa SOP telah diambil untuk membanteras kejadian seperti ini.
Didalam Al-Quran menyebut:
زين للناس حب الشهوات من النساء والبنين والقنطير المقنطرة من الذهب والفضة والخيل المسومة والأنعم والحرث؛ذلك متع الحيوة الدنيا؛ والله عنده حسن المأب {سورة ال عمران؛١٤}
Mafhumnya: Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan pada apa2 yang diingini iaitu wanita2, anak2, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang2 ternakan, dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik.
Fitrah manusia suka kepada kekayaan dan material. Ia tidak disalah untuk mengumpulnya bahkan diwajibkan zakat keatasnya namun cara untuk mencapai matlamat tersebut wajar diberi perhatian sama ada mengikut lunas syariat atau jalan kebatilan. Oleh itu, Islam menggesa agar perkara2 yang boleh membawa kepada perkara haram ditutup dengan segera menggunakan kaedah سد زرائع. Contoh yang boleh diberikan disini ialah apabila majikan lambat membayar gaji crew kapal selama berbulan, crew akan mengambil jalan untuk laporkan ke Jabatan Laut dan sekaligus yang tidak sabar untuk jual kargo yang dibawa seperti Jet A1, Diesel Oil dan pelbagai lagi. Majikan wajib mencari jalan walaubagaimanapun sama ada jual kapal atau etc untuk menutup pintu2 ke arah perkara haram tersebut.
Oleh itu,saya menyokong penuh gagasan Kerajaan Teknokrat yang dilontarkan oleh Tuan Guru Syeikh Abdul Hadi Awang. Gagasan pemikiran Tuan Guru ini apabila dilihat dari kaca mata pelbagai aspek sama ada perundangan, ekonomi, kejuruteraan, perubatan, kesenian, IT dan teknologi, dan pelbagai lagi menyebabkan portfolio kementerian tersebut ditadbir urus dengan baik tanpa berlaku penyelewengan. Firman Allah di dalam Al-Quran :
ان الله يأ مركم أن توءدوٱ آلأمنت الى أهلها واذا حكمتم بين الناس أن تحكموٱ بالعدل.... {سورة النساء؛ ٥٨}
Mafhumnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaklah kamu berhukum dengan adil...
Ayat ini menjelaskan bahawa yang benar2 ahli didalam bidang tersebut digesa kepadanya untuk diberikan amanah. Apabila ahli2 teknokrat mentadbir,mereka telah melalui fasa pengalaman yang cukup luas didalam bidang tersebut menyebabkan anak buah, pekerja dibawahnya tidak akan dizalimi. Saya optimis idea dari Tuan Guru ini bakal menjadi kenyataan apabila PAS sebagai sebuah gerakan islam di Malaysia dapat mengumpulkan seramai mungkin tenaga2 pakar yang ahli didalam bidang masing2 supaya yang mentadbir Malaysia kelak akan berhukum dengan berlandaskan Islam. Firman Allah di dalam Al-Quran :
وعد الله الذين ءامنوٱ منكم وعملوٱ الصلحت ليستخلفنهم فى الأرض كما ٱستخلف الذين من قبلهم وليمكنن لهم دينهم الذى ٱرتض لهم.....{سورة النور؛ ٥٥}
Mafhumnya: Allah telah menjanjikan kepada orang yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan dikalangan kamu, bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka berkuasa dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka dengan agama yang telah Dia redhai...
InsyaAllah, suatu hari nanti dunia akan mengikut pemerintahan acuan Islam. Segala penyelewengan, kerja jahat, kezaliman, penipuan akan dilenyapkan dari muka bumi dengan keizinanNYA.
Moga kita masih diberi kekuatan untuk terus istiqamah!!!!
Seeru a'la barakatillah.
Penulis merupakan ahli gerakan islam PAS sejak dari kampus dan bekerja sebagai marine engineer di sebuah product tanker milik syarikat SEMUA SHIPPING.
Jumaat, 2 September 2016
KULIAH JUMAAT 30 ZULKAEDAH 1437 / 02 SEPTEMBER 2016 - Orang yang Dikasihi Allah
Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh 'ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.
Assalaa mu'alaikum w.b.t.,
Kita bersyukur. Bersyukur kepada Allah. Setiap hari dikurniakan kepada kita dengan segala keperluan.
Mustahil bagi Allah, untuk membiarkan hamba-Nya yang beriman tanpa ada perhatian yang sewajarnya.
Benarlah, Allah itu bersifat الرؤوف (Ar-Ro uf) Yang Melimpahkan Rahmat / Amat Belas Kasihan terhadap makhluk-Nya.
Apa yang dapat difahami daripada nasihat Imam Al-Ghazali rhohimahullah ta'ala:
Apabila bangun tidur, jika boleh pada setiap hari, tanya kepada diri: "Kenapa ALLAH hidupkan aku pada hari ini?"
Jawapan yang dicadangkan Imam Al-Ghazali: Kerana dosaku banyak. ALLAH izinkan aku untuk bertaubat.
Ya, sungguh menusuk ke dalam hati nasihat Imam Ghazali kepada kita. Hati tersentuh, mengenangkan pintu taubat dan kasih sayang ALLAH yang sentiasa terbuka kepada kita selaku hamba-Nya.
Cuma kita sendiri, sedar atau tidak. Kadang-kadang terlupa, kadang-kadang ingat semula.
Insya ALLAH, selepas ini kita berusaha untuk lebih menghargai segala kesempatan yang disediakan-Nya.
Mesti rebut. Peluang ini disediakan oleh Raja kepada segala raja. Raja yang milik-Nya segala apa yang ada di bumi dan di langit. Pastinya peluang ini adalah terbaik dibandingkan peluang yang ditawarkan makhluk yang lain.
Pada pertemuan kali ini, dimuatkan satu hadits yang membicarakan orang yang dikasihi ALLAH. Mudah-mudahan kita diberikan kefahaman tentangnya dan dimasukkan dalam golongan ini.
Ertinya:
Daripada Anas bin Malik r.a. , Nabi s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya Allah mempunyai 'ahli' daripada kalangan manusia. Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah! Siapakah mereka itu? Baginda bersabda: "Merekalah ahli al-Quran iaitu 'ahli' Allah dan golongan pilihan-Nya."
(Riwayat Ibnu Majah)
Keterangan hadits daripada Syarah Sunan Ibnu Majah:
"Ahli al-Quran" ialah golongan yang menghafal al-Quran, banyak membaca al-Quran dan beramal dengannya.
"Ahli ALLAH" ialah para wali ALLAH dan golongan yang mendapat pilihan yang istimewa daripada ALLAH.
Salah satu petunjuk bagi seseorang itu dikasihi ALLAH adalah dengan usahanya untuk mendampingi Al-Quran serta beramal dengannya.
Apa kata kita cuba mulakan usaha ini, dengan kuantiti yang kecil, sesuai dengan kemampuan kita? Lama-kelamaan bertambah dengan kesuaian yang ada.
Moga ALLAH mudahkan segala urusan kita, serta dijadikan amalan itu pula amalan yang diterima dan terlaksana dengan rasa keenakan serta berterusan.
Doa kita bersama: Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda. Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan. Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.
Langgan:
Catatan (Atom)