Rakyat yang menuntut hak keadilan dizalimi tapi pendatang asing dilayan dan diberi hak kewarganegaraan ....
Sahabat yang dirahmati Allah,
Do'a adalah senjata orang Mukmin. Dalam kehidupan seorang Mukmin,
hidupnya penuh dihiasi dengan akhlak Islam, amal soleh, amal ibadah dan
peribadi mulia yang akan menjadi contoh kepada orang lain. Dalam keadaan
hidup yang sukar dan perlu pengorbanan maka lidahnya sentiasa berzikir,
berdo'a dan bermunajat kepada Allah s.w.t tanda pengharapannya yang
mutlak kepada Allah s.w.t.
Di dalam masyarakat yang penuh tipu daya dan fitnah, orang Mukmin yang
ikhlas berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan sering di fitnah dan
dilemparkan berbagai tuduhan tanpa bukti dan asas yang kukuh. Mereka
berkonsperasi merancangkan tuduhan demi tuduhan dengan menyediakan
bukti-bukti palsu yang diciptanya sendiri supaya tuduhan tersebut
seolah-olah nampak benar dan berasas. Hakikat sebenarnya ianya adalah
satu dongengan yang di lakunkan oleh pelakun-pelakun yang diupah dengan
bayaran yang tinggi. Demi dunia dan harta pelakun-pelakun ini sanggup
mengadaikan maruah walaupun terpaksa membuat sumpah palsu yang
sebenarnya mengundang laknat Allah kepada diri mereka sendiri.
Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap do'a
orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya
tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh Allah."
(Hadis riwayat Ahmad - sanad hasan)
Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Hendaklah
kamu waspada terhadap do'a orang dizalimi. Sesungguhnya do'a itu akan
naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara."
(Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)
Dari Khuzaimah bin Thabit r.a, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "
Hendaklah kamu waspada terhadap do'a orang yang dizalimi. Allah s.w.t
berkata : 'Demi kemulian dan keagunganKu, Aku pasti akan menolongmu
walaupun setelah masa yang lama."
(Hadis riwayat Tobrani - sanad hasan)
Sahabat yang dimuliakan,
Allah s.w.t telah berfirman maksudnya :
" Allah tidak suka seseorang mengatakan sesuatu yang buruk kepada
seseorang dengan terang-terangan melainkan orang yang dizalimi maka dia
boleh menceritakan kezaliman tersebut ; dan Allah itu Maha Mendengar dan
Maha Mengetahui."
(Surah an-Nisa ayat 148)
Ibnu Abbas r.a telah mentafsirkan ayat ini: " Allah tidak suka seseorang
mendokan keburukan kepada seseorang yang lain kecuali orang yang
dizalimi. Sesungguhnya Allah telah memberikan kebenaran kepadanya untuk
mendo'akan keburukan kepada orang yang dizalimi. Jika dia bersabar maka
itu lebih baik baginya."
Qatadah berkata: "Allah memberikan kelonggaran kepada orang yang
dizalimi untuk mendo'akan keburukan. Ini seperti mana yang kamu dengar."
Dalam hadis yang lain dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda
maksudnya : " Tiga do'a yang diperkenankan: Do'a orang puasa, do'a orang
yang dizalimi dan do'a orang yang musafir."
(Hadis riwayat Baihaqi - sahih)
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : " Do'a
orang yang dizalimi adalah diterima sekalipun do'a dari orang yang
jahat. Kejahatannya itu memudaratkan dirinya dan tidak memberi kesan
pada do'a tadi." (Hadis hasan riwayat at-Tayalasi)
Sahabat yang dihormati, Imam Nawawi telah meletakkan hukum harus bagi
seorang manusia untuk mendo'akan keburukan kepada orang yang menzalimi
orang-orang Islam atau menzalimi dirinya sendiri.
Syeikh Ibnu Allan as-Siddiqi (pengarang syarah bagi kitab Azkar) berkata
: " Maksud harus yang disebut Imam Nawawi adalah merangkumi sunat.
Maksudnya ia tidak haram dan tidak makruh. Sekiranya do'a kecelakaan
kepada orang yang menzalimi manusia lain supaya terhindar dari
kezalimannya maka hukumnya sunat. Sekiranya do'a kecelakaan kepada orang
yang menzalimi dirinya sendiri atau yang menyakitinya , sesungguhnya
ini diharuskan untuk berdo'a sebegini. Seeloknya dia maafkan dan
melupakannya."
Dalil pengharusan. Ini jelas melalui ayat al-Quran 148 surah an-Nisa
mengikut tafsiran Ibnu Abbas seperti yg telah dinyatakan sebelum ini.
Adapun hadis Rasulullah s.a.w adalah hadis berikut:
" Sesungguhnya Nabi s.a.w mendo'akan kecelakaan kepada orang-orang yang
membunuh penghafaz-penghafaz al-Quran r.a dan sentiasa mendo'akan
kecelakaan kepada mereka selama sebulan. Baginda berdo'a : Ya Allah
laknatilah Ri'l, zakwan dan 'usayyah (nama-nama kabilah)."
(Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)
Dizaman pemerintahan Umar r.a , beliau telah melantik Saad bin Abi Waqas
r.a sebagai gabenor Kufah. Ada seorang lelaki yang bernama Usamah bin
Qatadah atau Abu Sa'dah telah menuduh Sa'ad dengan kata-katanya:
" Sekiranya kamu bertanya kami tentang Sa'ad, sesungguhnya dia tidak
menyertai peperangan, tidak menyamaratakan pemberian dan tidak berlaku
adil dalam hukum."
Saad bin Abi Waqas r.a. berdo'a :
" Ya Allah sekiranya hamba mu ini pembohong dan melakukannya semata
kerana riya' dan sum'ah maka hendaklah engkau panjangkan umurnya,
kekalkan kefakirannya dan dedahkan dia kepada fitnah."
Kemudian setelah tua, lelaki yg menuduh Saad r.a berkata " Aku telah
terkena bencana akibat do'a Sa'ad." Abdul Malik bin Umair r.a perawi
hadis ini berkata: Aku melihat lelaki tadi (Abu Sa'dah) selepas dia tua,
dua bulu keningnya telah gugur kerana terlampau tua , dia telah
menganggu perempuan-perempuan muda dengan meraba dan meramas mereka.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Seorang wanita bernama Arwa binti Aus telah mengadu kepada khalifah
Marwan bin Hakam tentang Sa'id bin Zaid ra. Dia mendakwa Sa'ad r.a telah
mengambil sebahgian dari tanahnya. Lalu Sa'ad berkata : Adakah aku
tergamak mengambil sebahgian dari tanahnya sedangkan aku telah mendengar
sesuatu dari Rasulullah s.a.w?" Marwan bertanya " Apa yang engkau
dengar dari Rasulullah s.a.w ?" Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
" Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, Allah s.w.t akan mengalungi tanah tersebut sehingga tujuh petala bumi."
Lalu Marwan bin Hakam berkata "Aku tidak akan memintamu mendatangkan saksi selepas ini." Sa'id pun berkata:
"Ya Allah sekiranya wanita tadi berbohong maka hendaklah engkau butakan matanya dan bunuhlah dia di tanahnya. "
Wanita tadi tidak mati sehinggalah dia buta dan ketika mana dia berjalan
di atas muka tanah milikinya, tiba-tiba dia jatuh di dalam lubang, lalu
mati." (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.)
Sahabat,
Dalam masyarakat kita berita fitnah dan membuat tuduhan kepada seseorang
itu ianya telah menjadi perkara biasa oleh surat khabar arus perdana.
Mereka mementingkan berita sensasi untuk melariskan jualan akhbar
mereka, soal dosa pahala itu menjadi perkara kedua dan tidak termasuk
dalam kiraan mereka. Mereka menjadi agen golongan tertentu untuk
menjatuhkan orang lain walaupun mengunakan kaedah ' matlamat
menghalalkan cara'. Sedangkan Islam mengajar kita supaya menjauhi diri
daripada mengumpat, memfitnah dan mendedahkan keaibaan orang lain.
Termasuk juga ingin menjatuhkan pemimpin yang telah diberi mandat oleh
rakyat dengan tohmahan dan tuduhan yang tidak berasas. Golongan yang
muflis disisi Allah s.w.t dihari akhirat nanti adalah golongan yang
membawa amalan yang banyak tetapi pada masa yang sama membawa dosa
mengumpat, memfitnah, mengaibkan orang lain dan mengambil hak orang lain
secara batil dan mendatangkan kecederaan kepada orang lain.
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”
Sahabat-sahabat baginda menjawab : “Orang Muflis di antara kami, ya
Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta
benda.”
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari
kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa
sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan
memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang
orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan
di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang
itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar
kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari
kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan
keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)
Perlu di ingat mereka yang difitnahkan dan membuat tuduhan kepada
seseorang tanpa bukti kukuh adalah orang yang telah dizalimi dan do'a
golongan ini amat mustajab disisi Allah s.w.t.