Memaparkan catatan dengan label akidah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label akidah. Papar semua catatan

Rabu, 23 Ogos 2017

Perkara-perkara Yang Merosakkan Akidah


Ini merupakan beberapa perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah yang sering dilakukan oleh golongan remaja mahupun dewasa. Amatlah penting mengetahui perkara-perkara ini supaya kita tidak mudah terjebak.

1. Tangkal

Ia wujud dalam pelbagai bentuk. Ada yang menggunakan benang, tulang, kayu dan sebagainya. Ada yang diletakkan di pintu rumah, meletak gunting bawah bantal, digantung di leher, meletak surah yasin di sebelah ketika tidur dan sebagainya.

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

"Sesungguhnya jampi-jampi (yang syirik), tangkal, dan guna-guna (sihir yang selalu isteri kenakan pada suami) adalah syirik". [HR. Ahmad dalam Al-Musnad (1/381), Abu Daud dan lain-lain]

Termasuk tangkal ialah apabila kita menggantung ayat al-Quran seperti ayat Kursi, surah 3 kul dengan mempercayai ia akan menghalang syaitan. Adapun menggantung untuk memudahkan ia dibaca tidaklah menjadi masalah. Hendaklah adik-adik memerhatikan keadaan di rumah adik-adik. Wujudkah tangkal atau yang seumpama dengannya. Jika ada? Buang segera.

2. Horoskop

Horoscopes ialah bintang seseorang yang dengan itu dapat diramal kebaikan atau keburukannya. Bintang ini ditentukan berdasarkan tarikh lahir. Sebagai contoh, orang yang lahir antara 21 Mac hingga 19 April memiliki bintang Aries, orang yang lahir antara 20 April hingga 20 Mei memiliki bintang Taurus dan demikianlah seterusnya.

Asal usul horoscopes ialah menggunakan kedudukan bintang, planet dan matahari untuk meramalkan kebaikan atau keburukan

Rasulullah menolak amalan sedemikian kerana ia adalah satu bentuk kekafiran. Zaid bin Khalid al-Juhani radhiallahu 'anh menerangkan:

صَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةَ الصُّبْحِ بِالْحُدَيْبِيَةِ عَلَى إِثْرِ سَمَاءٍ كَانَتْ مِنْ اللَّيْلَةِ. فَلَمَّا انْصَرَفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ فَقَالَ: هَلْ تَدْرُونَ مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ؟ قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: أَصْبَحَ مِنْ عِبَادِي مُؤْمِنٌ بِي وَكَافِرٌ فَأَمَّا مَنْ قَالَ مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ فَذَلِكَ مُؤْمِنٌ بِي كَافِرٌ بِالْكَوْكَبِ وَأَمَّا مَنْ قَالَ بِنَوْءِ كَذَا وَكَذَا فَذَلِكَ كَافِرٌ بِي مُؤْمِنٌ بِالْكَوْكَبِ.

Kami bersolat subuh bersama Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam di Hudaibiyah setelah semalamnya turun hujan. Tatkala selesai, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menghadap orang ramai dan bersabda:“Tahukah kalian apa yang difirmankan oleh Tuhan kalian?” Mereka menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallammenjawab (Allah berfirman): “Pada pagi ini ada di antara hamba-Ku yang beriman kepada-Ku dan ada yang kafir. Adapun orang yang berkata hujan turun kepada kami kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya, maka dia beriman kepada-Ku dan kafir kepada bintang. Sedangkan orang yang berkata hujan turun kepada kami kerana bintang itu dan ini, maka dia kafir kepada-Ku dan beriman kepada bintang.” [Sahih al-Bukhari:846].

Bermain-main dengan horoskop sekadar suka-suka tetap berdosa walau tidak merosakkan akidah. Ia sama dengan pergi berjumpa bomoh walau tidak mempercayainya.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً.

Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan bertanya kepada dia sesuatu maka tidak akan diterima solatnya selama empat puluh malam [Sahih Muslim:2230].

Maka adik-adik hendaklah menjauhi daripada mengambil tahu tentang horoskop adik-adik dan rakan-rakan. Hendaklah menjauhkan diri daripada membaca horoskop atau apa-apa tilikan yang ada di majalah, facebook dan sebagainya. Ditakuti ia sedang mengancam akidah adik-adik.

3. Merasakan hukum hakam Islam tidak sempurna

Allah Ta’ala berfirman :

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ(50)

“Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” (Al-Maidah : 50)

Pernah seorang pelajar perempuan tingkatan tiga menyatakan kenapa perempuan kena pakai tudung, lelaki tidak, dan dia menyatakan bahawa ia tidak adil. Perkataan seumpama ini boleh merosakkan akidah kerana ia menunjukkan kita tidak yakin dengan kesempurnaan hukum hakam Allah.

Hendaklah adik-adik yakin bahawa Islam agama yang sempurna. Segala peraturan yang ada di dalamnya adalah sempurna. Jika kita benar-benar beriman Allah Maha Bijaksana, kenapa perlu kita meragui keputusannya?

4. Menghina hukum hakam

إِنَّ الَّذِينَ أَجْرَمُوا كَانُوا مِنَ الَّذِينَ ءَامَنُوا يَضْحَكُونَ(29)وَإِذَا مَرُّوا بِهِمْ يَتَغَامَزُونَ(30)وَإِذَا انْقَلَبُوا إِلَى أَهْلِهِمُ انْقَلَبُوا فَكِهِينَ(31)وَإِذَا رَأَوْهُمْ قَالُوا إِنَّ هَؤُلَاءِ لَضَالُّونَ(32)وَمَا أُرْسِلُوا عَلَيْهِمْ حَافِظِينَ(33)فَالْيَوْمَ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنَ الْكُفَّارِ يَضْحَكُونَ(34)عَلَى الْأَرَائِكِ يَنْظُرُونَ(35)هَلْ ثُوِّبَ الْكُفَّارُ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ(36)

“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa, adalah mereka yang dahulunya (di dunia) mentertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang beriman lalu di hadapan mereka, mereka saling mengedip-ngedipkan matanya. Dan apabila orang-orang berdosa itu kembali kepada kaumnya, mereka kembali dengan gembira. Dan apabila mereka melihat orang-orang mu'min, mereka mengatakan: "Sesungguhnya mereka itu benar-benar orang-orang yang sesat", padahal orang-orang yang berdosa itu tidak dikirim untuk penjaga bagi orang-orang mu'min. Maka pada hari ini, orang-orang yang beriman mentertawakan orang-orang kafir, mereka (duduk) di atas di tempat duduk sambil memandang. Sesungguhnya orang-orang kafir telah diberi ganjaran terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.” (al-Muthaffifin:29-36)

Ia adalah lanjutan kepada ketidakyakinan dengan kesempurnaan Islam. Dosa ini termasuklah menghina orang yang melaksanakan Islam. Contohnya, kerana kita tidak mahu bersolat, kita menyatakan bahawa orang yang solat pun ada yang melakukan maksiat, atau kita tidak mahu menutup aurat, lalu kita menghina orang yang menutup aurat.

Sewajarnya, jika adik-adik masih belum sempurna mempraktiskan Islam, contohnya, tidak menutup aurat. Adik-adik hendaklah menghindarkan diri daripada mempertahankan maksiat yang adik-adik lakukan, sebaliknya ucaplah terima kasih kepada yang menasihati, dan berdoa serta berusahalah agar adik-adik diberi hidayah.

5. Bermain-main dengan agama

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَءَايَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ(65)لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ(66)

“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja". Katakanlah: "Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?" Tidak usah kamu minta ma`af, kerana kamu kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan daripada kamu (lantaran mereka taubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa.” (At-Taubah :65,66)

Ayat ini diturunkan ketika sebahagian umat Islam bersenda gurau dengan perkataan yang menghina Islam dan umat Islam. Oleh itu bergurau dengan hal-hal yang merendahkan Islam walau tanpa niat menghina, tetap merosakkan akidah. Ini sering berlaku walaupun sebenarnya gurauan itu tiada niat menghina Islam. Contohnya, adik melihat seorang kawan memakai tudung, lalu adik menggelarnya sebagai ‘mak nenek’, atau melihat seorang kawan berjanggut (membela janggut adalah sunnah), lalu adik mengejeknya sebagai kambing. Ia lumrah berlaku apabila kita sering bergurau-gurau tanpa mengetahui ia sudah melampaui batas.

6. Meniru amalan orang bukan Islam

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian daripada mereka.”[ HR. Ahmad dan Abu Daud. Syaikh Al Albani mengatakan hadis ini sahih Irwa’ul Gholil no. 1269]

Ini termasuklah merayakan sambutan atau budaya orang bukan Islam seperti Krisma, Hallowen. Termasuk juga meniru pakaian yang menjadi ciri khusus orang kafir, dan cirri khusus ajaran sesat seperti black metal, skinhead dan lain-lain. Apa sahaja yang melambangkan orang kafir atau golongan fasiq hendaklah dijauhi.

7. Cinta Melebihi Cinta Kepada Allah

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دُونِ اللّهِ أَندَاداً يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللّهِ وَالَّذِينَ آمَنُواْ أَشَدُّ حُبًّا لِّلّهِ وَلَوْ يَرَى الَّذِينَ ظَلَمُواْ إِذْ يَرَوْنَ الْعَذَابَ أَنَّ الْقُوَّةَ لِلّهِ جَمِيعاً وَأَنَّ اللّهَ شَدِيدُ الْعَذَابِ

Dan di antara manusia ada yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah): mereka mencintainya sebagaiman mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih mencintai Allah (berbanding selainnya). [al-Baqarah 2:165]

Fenomena cinta di kalangan remaja, hingga sanggup menggadai maruah, adalah ditakuti kesan rosaknya akidah, akibat mencintai kekasih melebihi Allah. Bahkan ada kekasih pernah menyebutkan: my boyfriend is like my GOD to me. Nauzubillahi min zalik

8. Percaya kepada sial

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

لا َعَدْوَى وَلاَ طِيَرَةَ، وَلاَ هَامَةَ وَلاَ صَفَرَ، وَفِرَّ مِنْ اَلْمَجْذُوْمِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الأَسَدِ.

Tidak boleh menjangkitkan penyakit, tidak boleh mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung, tidak boleh mempercayai Hama dan tidak boleh (mempercayai kecelakaan) pada bulan Safar, dan larilah kamu dari penyakit Kusta sebagaimana kamu lari dari seekor singa [Sahih al-Bukhari secara ta’liq]

Ini termasuk mempercayai jika ada biawak melintas ada nasib buruk, jika pinggan pecah ada sesuatu tidak elok berlaku dan sebagainya. Termasuk juga apa yang disebarkan melalui drama-drama mahupun movie tentang pen yang membawa tuah dan sebagainya.

9. Berjumpa bomoh

مَنْ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ أَوْ أَتَى امْرَأَتَهُ حَائِضًا أَوْ أَتَى امْرَأَتَهُ فِي دُبُرِهَا فَقَدْ بَرِئَ مِمَّا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ.

Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lalu membenarkannya atau menyetubuhi isterinya yang sedang haid atau menyetubuhi isterinya dari duburnya, maka dia telah lepas (keluar) daripada apa yang diturunkan ke atas Muhammad (yakni Islam) [Sunan Abu Daud:3904]

Jika tidak mempercayainya, maka solat tidak diterima empat puluh hari.

Mungkin adik-adik tidak pernah berjumpa bomoh, tetapi boleh jadi ibu bapa kita melakukannya. Peringatkanlah mereka, berikan mereka risalah ini.

Sesungguhnya hal-hal ghaib hanya diketahui Allah!

“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun; melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya(untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya). [al-Jin 72:26-27]

Sumber dari: Mohd Masri Mohd Ramli

Ahad, 23 Oktober 2011

Perkara yang Merosakkan Akidah

Perkara yang Merosakkan Akidah Perkara yang Merosakkan Akidah - Presentation Transcript

PERKARA-PERKARA YANG MEROSAKKAN AQIDAH CENTRE FOR ISLAMIC THOUGHT & UNDERSTANDING CITU) PROGRAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN (PMI) (STAF) BULAN JUN 2011

DEFINISI AQIDAH
Bahasa : simpulan iman / pegangan yang kuat atau satu keyakinan yang menjadi pegangan yang kuat
Istilah : kepercayaan yang pasti dan keputusan yang muktamad (mutlak) , tidak bercampur dengan syak atau keraguan

DEFINISI AQIDAH ISLAM
Akidah Islam ialah keimanan dan keyakinan terhadap Allah dan RasulNya serta apa yang dibawa oleh Rasul serta melaksanakannya dalam kehidupan

ASAS AKIDAH IALAH KEESAAN ALLAH S.W.T. DAN DIA SAHAJA YANG BERHAK DISEMBAH. MEMPERCAYAI DIA SAHAJA YANG BERKUASA MENGADAKAN SESUATU DAN MENIADAKANNYA. 

Sabtu, 20 Ogos 2011

Suatu Perkembangan Yang Membahayakan Umat Islam.

KE ARAH KESEDARAN ISLAM SEMULA 
Suatu Perkembangan Yang Membahayakan Umat Islam.
Suatu pengaruh dan fahaman yang merosakkan umat Islam ialah menularnya fahaman sekular dalam masyarakat Islam. Pengaruh sekularisma ke atas negara-negara Islam dikatakan bermula dari abad ke 18M hinggalah ke abad ini.
 
 Suatu contoh yang jelas di zaman moden ini ialah apa yang telah berlaku kepada Daulah ‘Othmaniyyah Turki di mana telah diadakan pembaharuan undang-undang dengan memasukkan undang-undang yang bukan daripada al-Quran dan as-Sunnah.

Undang-undang ini datangnya daripada “code” orang-orang barat semenjak Zaman Renaissance lagi.Ia telah menjayakan sekularisasi. Pengaruh tersebut semakin lama semakin menyeluruh memasuki semua bidang hidup hingga menyebabkan soal-soal kehidupan harian terpisah daripada dasar-dasar kerohanian Islam. Unsur barat itu diterima dengan alasan menjalankan pemodenan, pembangunan serta kemajuan.
 
Di Tanah Melayu, ketika zaman penjajahan British, sekularisasi dalam bidang pentadbiran mulai berlaku dalam abad 19M dengan termeterinya Perjanjian Pangkor (1874).
 
Sekularisasi terus berjalan hingga ke abad ini. Meskipun terdapat beberapa perubahan namun sekularisasi semakin menebal hinggakan Din Islam itu dipersempitkan menjadi amalan peribadi bukan lagi menjadi sistem pengatur kehidupan ini.
 
Perkembangan ini sangat membahayakan umat Islam yang memegang amanah Allah S.W.T. untuk menegak dan melaksanakan kehidupan Islam dan nilai-nilainya berdasarkan tauhid.
 
Pendewaan Nilai-nilai Barat.
Sebahagian masyarakat Islam kini juga sedang menghadapi bahaya kerana mendewakan idea-idea barat buatan manusia. Hal ini amat membimbangkan kerana dikhuatiri mereka akan termasuk ke dalam golongan yang disifatkan dalam firman Allah S.W.T.:
 
“Mereka (ahli Kitab) mengambil bijak pandai dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan mereka selain dari Allah.”-Surah at-Taubah: ayat 31.
 
Mujahid Sa’id Hawwa telah memberikan penjelasan  dalam kitabnya, Jundu Allah Thaqafatan Wa Akhlaqan, bahawa Imam Tarmizi meriwayatkan bahawa ‘Adi Bin Hatim at-Ta’i datang berjumpa Rasulullah S.A.W. sedang baginda membaca ayat tersebut. ‘Adi berkata kepada Rasulullah S.A.W.: “Sesungguhnya Ahli-ahli kitab itu tidak pernah menyembah pendita-pendita mereka”. Maka Rasulullah S.A.W. berkata kepada ‘Adi: “Ya!, sesungguhnya mereka mengharamkan ke atas ahli Kitab sesuatu yang halal serta menghalalkan sesuatu yang haram dan mereka (Ahli Kitab) mematuhinya, maka itulah bentuk penyembahan kepada mereka (pendita-pendita) tersebut.”
 
Mujahid Sa’id Hawwa menjelaskan lagi bahawa jika dilihat kepada realiti masyarakat Islam kini ternyata bahawa mereka melaksanakan hukum-hukum selain daripada hukum Allah S.W.T.
Di kalangan orang ramai terdapat berbagai sikap dan pandangan. Ada yang berterus terang mengajak kepada perlaksanaan hukum lain selain hukum Allah S.W.T. Ada yang bertindak sedemikian secara bersembunyi. Ada yang berpendapat bahawa hukum-hukum Islam itu tidak sesuai untuk dilaksanakan. Ada yang berpuas hati dengan sistem kufur yang berjalan hingga jika diajak untuk merubahnya maka ia enggan. Ada yang mempersendakan dan mengejek apabila diajak kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Tidak kurang juga ada yang menyatakan bahawa kerja-kerja untuk melaksanakan hukum-hukum Islam itu telah ketinggalan zaman serta tidak bertamaddun lagi.Sikap-sikap sedemikian amat merbahaya serta dibimbangkan akan termasuk ke dalam golongan yang difirmankan oleh Allah S.W.T. :
“Tidakkah kamu melihat mereka yang menyangka mereka itu beriman dengan apa yang ditanzilkan kepada engkau (Muhammad) dan apa yang telah ditanzailkan sebelum engkau, mereka mahu berhukum kepada Taghut (sistem selain Islam) sedangkan mereka diperintahkan menolak Taghut, dan syaitan itu mahu menyesatkan mereka sesesat-sesatnya.” -Surah an-Nisa’: ayat 60.
 
Kejahilan Masyarakat Tentang Hakikat Islam.
Menurut Asy-Syahid Dr. Abdul Qadir ‘Audah di dalam kitabnya, Al-Islam Wa Audha’una as-Siyasiyyah, bahawa semua orang Islam di dunia ini mengaku beragama Islam dan kebanyakan mereka berbangga dengan nama tersebut. Tetapi dukacita sekali kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat Islam yang sebenarnya. Islam tidak ada hubungan dengan hati mereka meskipun ada hubungan dengan tutur kata mereka.
 
Kejahilan terhadap Islam telah membawa mereka jauh daripada hukum-hukum Islam. Mereka menolak hukum-hakamnya yang menyebabkan berlaku keruntuhan umat Islam itu sendiri.
Sebenarnya Islam adalah satu sistem hidup pilihan Allah S.W.T. Ini telah ditegaskan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya yang bermaksud:
“Sesungguhnya Din di sisi Allah hanya al-Islam.” - Surah Ali-’Imran: ayat 19.
“Dan Aku redha bagi kamu al-Islam sebagai ad-Din” - Surah al-Maidah: ayat 2.
Allah S.W.T. sama sekali tidak menerima sistem hidup yang lain daripada sistem hidup Islam. Hal ini telah diterangkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya :
"Sesiapa yang mencari selain daripada  al-Islam sebagai Din (cara hidup), maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak terdiri daripada golongan orang yang rugi.” - Surah Ali ‘Imran: ayat 85.
“Apa yang ada selepas kebenaran melainkan kesesatan.” - Surah Yunus: ayat 32.
 
Allah S.W.T. juga tidak mengutuskan seseorang rasulNya melainkan dengan kebenaran dan al-Kitab . Firman Allah S.W.T.:
“Sesungguhnya Kami menurunkan kepada kamu al-Kitab dengan kebenaran.”
- Surah an-Nisa’: ayat 105
“Dialah yang mengutuskan rasul yang memberi pertunjuk dan dengan Din yang benar.”  - Surah at-Taubah: ayat 33.
 
Jika demikian sifat Islam maka mengapa masih kedapatan ramai yang masih mencari-cari sistem yang lain daripada sistem Islam? Sesungguhnya mereka yang menolak sistem Islam yang merupakan jalan menuju Allah S.W.T., menolak al-Quran dan menukar gantinya dengan ideologi-ideologi yang lain, maka mereka sebenarnya telah diselaputi dengan kegelapan dan kesesatan.Mereka jahil terhadap hakikat Islam itu sendiri.
 
Kejahilan itu membawa mereka yakin terhadap ideologi-ideologi seperti demokrasi , kapitalisme barat, yakin komunisme dan sosialime Timur,meskipun mereka mengaku percaya kepada Allah S.W.T. Kejahilan  menyebabkan ada yang menyatukan Islam dengan ideologi-ideologi lain seperti melaungkan demokrasi Islam dan sosialis Islam  dengan harapan supaya diterima oleh masyarakat. Sebenarnya penamaan tersebut bererti menzalimi Islam,sedangkan Islam bersih daripada penamaan-penamaan tersebut. Islam adalah Islam.Tidak ada sistem tiruan dan cedokan daripada mana-mana sistem lain.Ia tidak boleh sama sekali disamakan dengan mana-mana sistem kerana ia ditanzilkan oleh Allah S.W.T.
 
Mesti Kembali Kepada Sumber-Sumber Islam Yang Sahih.
Prof. Dr. Yusuf Qaradhawi telah menekankan dalam kitabnya, al-Hill al-Islami Faridhah Wa Dharurah, bahawa kita mesti kembali kepada sumber Islam yang suci lagi bersih iaitu Kitab Allah dan Sunnah RasulNya.Kita mesti kembali kepada fahaman Islam yang sebenarnya sepertimana yang ditanzilkan oleh Allah S.W.T, kepada Rasulullah S.A.W. serta yang difahami oleh para sahabat r.a. serta pengikut-pengikut mereka.
 
Dalam hal ini Mujahid Fathi Yakan juga telah menjelaskan dalam kitabnya, Musykilah ad-Da’wah Wa ad-Da’iyah, bahawa kita perlu menimba kefahaman dari al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. serta Sirah an-Nabawiyyah. Juga amat perlu kita merujuk kepada kitab-kitab yang  muktabar semoga kita jelas mengenai konsep yang sebenar mengenai Din al-Islam. Ini meliputi hukum-hakam, perundangan, ‘aqidah, ‘ibadah dan haluan hidup  individu, masyarakat dan negara.
 
Tumpuan yang berat mestilah diberi kepada al-Quran al-Karim yang disifatkan sebagai cahaya hati dan sistem hidup kita.Penerimaan ayat-ayat al-Quran hendaklah disifatkan seperti kita sedang menerima wahyu (perintah Allah S.W.T.).Dengan itu, barulah kita merasai bahawa al-Quran itu menghalakan  perintahnya kepada kita dalam semua hal. Barulah Al-Quran akan berkesan kepada jiwa dan menghasilkan natijah.
 
Kembali Kepada Generasi Awal
Kita perlu melihat kembali kepada generasi awal Islam yang telah dijelaskan di dalam kitab-kitab muktabar seperti Ma’alim Fi at-Tariq ( Sayyid Qutb ) dan Maza Khasira ad-’Alam Bi Inhitat  al-Muslimin ( Abu al-Hasan Ali al-Husni an-Nadawi ) di mana generasi tersebut  dikenali sebagai Generasi al-Quran yang hanya mengambil sistem yang ditanzilkan oleh Allah S.W.T. sahaja. Mereka tidak mencipta sistem hidup menurut kehendak nafsu mereka sendiri. Mereka faham adalah punca kezaliman, kesesatan dan kejahilan adalah akibat kehidupan tanpa hidayah dari Allah S.W.T. Mereka tidak secara meraba-raba memilih jalan hidup, sistem politik dan corak sosial. Mereka telah menerima wahyu dari Allah S.W.T. bagi menerangi serta memandu jalan hidup mereka.
 
Generasi tersebut sebenarnya telah menjalani latihan dan tarbiyyah yang lama di bawah pimpinan Rasulullah S.A.W. berpandukan wahyu Allah S.W.T. sebagai sumber pembentukan hingga lahir peribadi-peribadi Muslim yang berjiwa tauhid, tidak terpengaruh atau dipengaruhi oleh nilai tamak keduniaan .Mereka hanya bermatlamatkan keredhaan Allah S.W.T. semata-mata. Kehidupan jahiliyyah sudah tidak bernilai lagi bagi mereka. Mereka hanya menyerah kepada panggilan Iman di bawah arahan Rasulullah S.A.W. pada hal mereka sedar bahawa mereka akan menghadapi ancaman daripada masyarakat jahiliyyah di sekeliling mereka. Mereka  faham bahawa orang-orang mu’min pasti diuji keimanan mereka. Firman Allah S.W.T:
 
“Apakah menusia itu menyangka bahawa mereka itu akan dibiarkan mereka berkata: Kami telah beriman. sedangkan mereka tidak lagi diuji.”
- Surah al-Ankabut: ayat 2.
 
Generasi pertama Islam itu telahpun berjaya menghapuskan al-Ghurbah al-Awwal. Kita generasi sekarang wajiblah pula bekerja untuk menghapuskan al-Ghurbah ath-Thaniyah. Hal ini pernah ditegaskan oleh Prof. Muhammad Qutb dalam suatu ceramahnya yang bertajuk Falana’rif Haqiqah Islamina.
 
Umat Perlu Dibangunkan Mengikut Kehendak Allah
Kita tidak boleh memahami Islam hanya sekadar melihat sepintas lalu amalan hidup ummat yang mengaku Islam hari ini.Sekarang, Islam telah dikelirukan. Masyarakat Arab 14 abad yang lalu juga tidak dapat melihat kebenaran kerana kebenaran itu telah dikelirukan oleh sifat-sifat fujur yang menguasai manusia itu sendiri.
 
Rasulullah S.A.W. telah diutuskan dengan membawa kembali nilai yang betul terhadap Islam, manusia dan kehidupan melalui jalan Iman kepada Allah S.W.T. Melalui Imanlah kita akan dapat menilai alam, manusia dan kehidupan ini dengan betul.
 
Perlu diyakini bahawa mana-mana umat yang tidak diproses mengikut saluran yang Allah S.W.T. kehendaki  tentulah tidak dapat melahirkan natijah hidup Islam .
 
Kita tidak gemar untuk bercakap banyak dalam hal ini, tetapi oleh kerana ketiadaan Ummah yang benar-benar menghayati Islam maka kita perlu memberi kefahaman serta kesedaran Islam sebenar. Kita tidak menafikan bahawa di sana-sini ada individu-individu melakukan amalan Islam, tetapi tidak dinyatakan dalam satu Jamaah.
 
Untuk mendapatkan kefahaman dan kesedaran itu kembali,maka perlulah kita kembali kepada proses tarbiyyah yang pernah berjalan di bawah pimpinan Rasulullah S.A.W. atau yang disebut sebagai Madrasah Rasulullah.
 
Wallahu A’alam .

http://hasan98.tripod.com/kearah.htm
 

Perkara-perkara yang merosakkan iman dan islam - Ustaz Halim Naser