Memaparkan catatan dengan label Polilik DAP. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Polilik DAP. Papar semua catatan

Ahad, 9 Julai 2017

DAP PATUT SALAHKAN DIRI SENDIRI

Setelah membuat siasatan rapi, pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPM) akhirnya membuat keputusan bahawa, mengikut Akta Pertubuhan dan Perlembagaan DAP sendiri, proses pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang telah diadakan pada 29 September 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Keputusan tegas JPPM ini sekali gus menjadikan pelantikan semua pemegang jawatan utama DAP, termasuk Setiausaha Agung, turut tidak sah kerana pemilihan CEC itu sendiri tidak sah.

Keputusan JPPM ini tidak seharusnya cuba dipolitikkan oleh pemimpin dan penyokong DAP untuk menarik simpati rakyat kononnya ini adalah konspirasi jahat pemerintah untuk mengalahkan DAP.

Pemimpin DAP, khususnya Lim Guan Eng yang memegang kuasa eksekutif dalam DAP, sepatutnya merasa malu dan menyalahkan diri sendiri kerana gagal membuat pemilihan semula mengikut undang-undang ditetapkan sehingga memaksa ahli-ahli DAP yang tidak berpuas hati membuat aduan mengenainya kepada JPPM.

Sebagai sebuah parti yang kononnya bersifat demokratik, tidak sepatutnya pemilihan semula ini dibuat secara tidak betul, apatah lagi bila DAP selalu terkehadapan dalam menuntut penjalanan pilihan raya yang bersih dan telus dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Cukup memalukan bila masalah pemilihan semula ini masih membelenggui DAP sedangkan ia dibarisi oleh ramai tokoh profesional, khususnya para peguam, yang sepatutnya arif dalam bidang undang-undang.

Keputusan ini sekali gus membebaskan JPPM dari tuduhan banyak pihak yang mendakwa konon kegagalannya bertindak ke atas DAP sebelum ini adalah kerana ada tangan ghaib yang mahu membela DAP.

Kini terpulanglah kepada pemimpin DAP untuk mempolitikkan isu ini demi kepentingan sempitnya seterusnya menggunakan watikah pelantikan calon pilihan raya dari parti rakan atau segera membuat pemilihan semula CEC baharu secara telus.

Persoalan yang menarik untuk dilihat ialah apakah pemimpin tertinggi DAP sekarang sanggup mengambil risiko pemilihan semula CEC baharu yang dibuat secara telus akan mengubah komposisi selaras dengan kehendak akar umbi parti?

Apa pun, bagi sesetengah pihak, kesilapan besar menguruskan parti begini akan mendorong pemimpin yang bertanggungjawab ke atasnya meletakkan jawatan jika pemimpin itu benar-benar bermoral.

Memegang jawatan utama parti selama bertahun-tahun hasil daripada pemilihan yang tidak sah adalah satu perkara yang sukar dimaafkan.

Dr Kamarul Zaman Yusoff

Selasa, 23 Mei 2017

HUBUNGAN DAP DENGAN DOMINIONISM DAN CHRISTIAN ZIONISM?

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) mengalu-alukan pendedahan yang dibuat oleh Pensyarah Sains Politik Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga Fellow Institut Kajian Strategi Islam Malaysia (IKSIM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, tentang hubungan DAP dan ajaran Kristian dalam konteks amalan berpolitik di negara ini. Pendedahan yang bertujuan mendedahkan hipokrasi DAP dalam mengamalkan politik sekular, telah diheret oleh media massa untuk melihat hubungan DAP dengan gerakan Kristianisasi. Secara umumnya, maklumbalas yang diberikan oleh pimpinan DAP khususnya Hannah Yeoh terhadap isu yang digembar-gemburkan oleh media, ialah dengan cuba menafikan keterlibatan DAP dengan gerakan Kristianisasi di Malaysia.

Berkaitan dengan isu ini, PPP melihat DAP tiada kesungguhan untuk membersihkan nama mereka daripada tuduhan-tuduhan tersebut. Dengan sikap berlepas tangan pimpinan-pimpinan DAP yang lain dan meletakkan beban untuk menjawab isu ini hanya kepada Hannah Yeoh, menunjukkan DAP bimbang isu ini akan meletup. Tuduhan berkaitan hubungan DAP dan gerakan Kristianisasi ini bukan sahaja akan menyebabkan masyarakat Islam semakin menyedari tentang siapa sebenar DAP, bahkan masyarakat Tionghua juga yang majoritinya beragama Buddha juga akan turut sedar. Sekiranya tuduhan ini benar, DAP akan kehilangan undi yang lebih besar dari kalangan pengundi-pengundi Islam, malah berkemungkinan juga akan kehilangan undi dari pengundi-pengundi masyarakat Tionghua.

DAP sepatutnya membersihkan nama mereka lebih awal lagi terutamanya selepas penerbitan sebuah buku bertajuk “Sang Nila Utama and the Lion of Judah: Dominionism and Christian Zionism in Malaysia” pada awal tahun 2015. Buku ini ditulis oleh seorang ahli akademik dari New Zealand, Iain Buchanan, yang diterbitkan oleh International Movement for a Just World. Buchanan juga sebelum ini menghasilkan sebuah buku yang bertajuk “The Armies of God: A Study in Militant Christianity”. Di dalam kedua-dua buah buku ini, penulis cuba menggambarkan kewujudan gerakan Kristianisasi global yang melampau, digunakan oleh kuasa Imperialisme untuk mendominasikan politik dunia termasuk di negara-negara umat Islam seperti Malaysia.

Penulis telah memuatkan dalam kedua-dua buku ini bukti-bukti yang sarat tentang teori yang cuba beliau ketengahkan, iaitu wujud gerakan Kristianisasi melampau yang dipelopori oleh Imperialis, bukan sekadar penyebaran agama Kristian yang biasa seperti yang dilakukan oleh pendakwah-pendakwah Kristian yang lain. Berdasarkan pengamatan PPP, gerakan Kristianisasi melampau ini seperti yang difahami daripada tulisan Buchanan telah disekat di beberapa negara umat Kristian sendiri seperti Russia yang kuat berpegang kepada Ortodoks. Terdapat juga beberapa negara yang telah menghalang penyebaran gerakan seumpama ini, demi untuk menghalang campurtangan kuasa Imperialisme di negara-negara tersebut.

Sehubungan dengan itu, PPP mendesak supaya DAP menjawab buku Buchanan yang bertajuk “Sang Nila Utama and the Lion of Judah: Dominionism and Christian Zionism in Malaysia” kerana di dalam buku tersebut secara jelas menyebut keterlibatan pimpinan-pimpinan DAP seperti Lim Guan Eng, Hannah Yeoh dan lain-lain. Sebagai contohnya pada mukasurat 26 hingga mukasurat 34, di bawah tajuk kecil “Dominionism: Lesson from Penang”, penulis menyebut tentang kaitan kerajaan Pulau Pinang yang diketuai oleh DAP. Nama Lim Guan Eng dan Hannah Yeoh turut disebut di bawah tajuk kecil ini. PPP melihat pendedahan buku ini yang memalitkan DAP khususnya dengan gerakan Dominionism adalah perkara yang lebih utama untuk mereka jawab.

Buku yang ditulis oleh Buchanan ini, sekiranya apa yang didakwanya benar, ia merupakan ancaman kepada kestabilan negara. Penulis menyebut pada mukasurat 7 bahawa Malaysia secara khususnya sangat mudah diserang dengan gerakan Dominionism dan Christian Zionism. PPP juga mengambil perhatian bahawa penulis pernah membentang kajiannya berkaitan dengan gerakan Kristianisasi melampau ini dalam satu persidangan di Malaysia, yang dirasmikan ketika itu oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. Melihat kepada kesan besar gerakan Kristianisasi melampau yang didedahkan oleh penulis ini, PPP sekali lagi mendesak supaya DAP memberi jawapan terhadap pendedahan buku tersebut yang telah berlegar di dunia maya sejak 2015 lagi.

Dr Mohd Zuhdi Bin Marzuki
Pegarah Pusat Penyelidikan PAS

16 Mei 2017
20  Sha`ban 1438