Memaparkan catatan dengan label PERJUANGAN PAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PERJUANGAN PAS. Papar semua catatan

Khamis, 15 Februari 2018

Perjuangan PAS untuk selamatkan Malaysia

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD  14 FEBRUARY 2018

MARANG: Perjuangan politik PAS bukan sekadar untuk menang di negeri Terengganu dan Kelantan sahaja tetapi bagi menyelamatkan Malaysia.

 

Sehubungan itu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata partinya mengambil kira seluruh negeri yang ada di Malaysia.

 

Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini PAS berusaha untuk bertanding sebanyak 130 kerusi daripada 222 kerusi parlimen negara.

 

"Maka, kita (PAS) mengambil kira seluruh negeri yang ada di Malaysia, supaya kita mendapat kerusi dengan sebanyak-banyaknya. 

 

"Dalam pilihan raya (PRU14) ini di peringkat pusat kita (PAS) berusaha supaya kita bertanding 130 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen. 

 

"Jika kerusi kita lebih, kita (PAS) boleh membentuk kerajaan. Kalau kerusi kita sekadar 40 kerusi, tidak ada parti yang boleh membentuk kerajaan. Umno tak boleh bentuk kerajaan. DAP tak boleh bentuk kerajaan, siapa pun tak boleh bentuk kerajaan. 

 

"Kalau kita (PAS) 40 kerusi, parti lain akan dapat kerusi-kerusi dia. (Dengan) 40 kerusi ini sudah cukup bagi PAS untuk menekan parti-parti lain sama ada menerima Islam atau pun tidak. Bermakna kita (PAS) ada kekuatan dengan 40 kerusi itu," tegasnya dihadapan ribuan hadirin.

 

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Perdana Sempena Majlis Pelancaran Markaz Besar PAS Dun Bukit Payung di Perkarangan Madrasah Darul Iman (MDI), Kampung Titian Baru, Bukit Payung, Marang semalam.

 

Dato' Seri Abdul Hadi turut mengingatkan umat Islam bahawa mendirikan sebuah kerajaan Islam itu merupakan satu kewajipan.

 

"Hari ini orang kita buat main-main dalam masalah mengundi pilihan raya ini. Ini kerana, mereka tidak tahu bahawa mendirikan kerajaan Islam adalah kewajipan yang besar dalam Islam.

 

"Payah kepada PAS untuk mengajak orang penyokong perjuangannya. Oleh kerana, kita (Malaysia) lama dijajah banyak (ramai) orang Islam tenggelam dalam kejahilan," ujarnya.

 

Justeru, kata Ahli Parlimen Marang itu, PAS berusaha bagi mempertahankan Kerajaan Kelantan dan berusaha menang di beberapa negeri lain.

 

Menurutnya, jika PAS diberi mandat memerintah pada pilihan raya nanti parti itu akan menunjukkan keadilan Islam kepada orang bukan Islam. 

 

"Kita berusaha untuk mempertahankan kerajaan PAS Kelantan, berusaha untuk menang lagi di Terengganu, menang di Kedah, menang di Perlis dan menang di Selangor. Ini kita akan usahakan. 

 

"Jika kita mendapat kejayaan, InsyaAllah kita (PAS) tunjuk dulu apa dia adilnya Islam dan baiknya Islam ini khusus kepada orang bukan Islam dan menyedarkan orang Melayu sendiri," jelasnya.

 

Maka, katanya perjuangan PAS dalam pilihan raya ini sangat besar makna bagi mengembalikan semula Islam memerintah dan menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.

 

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS II Terengganu, Dr Alias Razak, Yang Dipertua PAS Kawasan Marang, Yahaya Ali dan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah. -HARAKAHDAILY 14/2/2018

_AC_

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/5316-perjuangan-pas-untuk-selamatkan-malaysia

Isnin, 27 November 2017

Perjuangan PAS adalah mencari redha Allah swt.


1. Fasal ke 5 Perlembagaan PAS di bawah tajuk Tujuan PAS dengan jelas menyebut bahawa tujuan PAS ditubuhkan adalah untuk memperjuangkan agar tegak di bumi tercinta ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana padanya nilai-nilai dan hukum hakam yang menuju keredhaan Allah swt.

2. Ertinya, matlamat akhir perjuangan PAS adalah mencari redha Allah swt. Tidak ada nilai perjuangan ini tanpa redha Allah swt. Kita tampal poster kerana mencari redha Allah swt. Kita naikkan bendera kerana mengharapkan redha Allah swt. Kita menyampaikan kuliah, ceramah dan sebagainya adalah kerana mendambakan redha Allah swt. Kita berdakwah, berpolitik dan menggerakkan aktiviti tarbiyah semuanya berpaksi kepada redha Allah swt.

3. Kita berjuang untuk menegakkan Islam. Rebah bangun menghadapi segala ancaman dan tentangan. Kita mahu Islam berdaulat. Kita mahu Islam berada ditempat yang sewajarnya. Kita mahu Islam tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Namun perjuangan ini ada kaedahnya, perjuangan ini ada syarat yang perlu dipatuhi agar mendapat redha Allah swt.

4. Segalanya akan menjadi sia-sia bagai debu berterbangan tanpa sebarang manafaat jika gerak juang kita tidak diredhai oleh Allah swt. Kita mahu kemenangan dalam redha Allah swt. Kita tidak mahu kemenangan yang terpisah dari redha Allah swt. Semoga kita termasuk dalam golongan pilihan Allah swt:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

Dan di antara manusia, ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya (yang berjuang dan berkorban hanya kerana mencari redha Allah swt). (Surah Al Baqarah: 207)

5. Slogan perjuangan kita yang selayaknya tersemat utuh di dalam dada kita ialah:

الله غايتنا
الرسول قدوتنا
القرآن دستورنا
الجهاد سبيلنا
الموت في سبيل الله أسمى أماننا

(Redha) Allah Matlamat akhir kita
Ar Rasul contoh tauladan kita
Al Quran perlembagaan hidup kita
Al Jihad adalah jalan kita
Mati di jalan Allah setinggi-tinggi cita-cita kita

6. Kita diajar oleh Islam agar memberi infak, menderma dan menyumbang adalah untuk mencari redha Allah swt:

وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan. (Surah Al Baqarah: 265)

7. Segala amal kebaikan yang kita lakukan juga adalah selayaknya untuk mencari redha Allah swt. Hal demikian itu meletakkan kita berbakti bukan hanya di dunia tetapi juga di akhirat.

لَّا خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَاحٍ بَيْنَ النَّاسِ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar. (Surah An Nisa': 114)

8. Malangnya terdapat sebahagian dari kalangan umat Islam yang jahil dan naif, tanpa rasa bersalah dan segan malu mempersendakan ucapan dan pendirian kita apabila kita menegaskan bahawa perjuangan yang kita dukung ini adalah untuk "mencari redha Allah swt". Malah mereka mula panas belakang, apabila syarat yang kita letak dalam strategi, aktiviti, pendekatan dan gerak aksi kita adalah "mencari redha Allah". Mereka anggap syarat ini menyusahkan mereka dan melambatkan proses mencapai kemenangan.

9. Sebenarnya, redha Allah swt menjadi rahsia umum kenapa perjuangan ini mampu bertahan, meskipun dibelasah dan difitnah tanpa belas simpati oleh musuh Islam dan bonekanya yang tidak mahu melihat Islam berdaulat di bumi bertuah ini.

10. Inilah tunjang utama yang meletakkan kita mampu beristiqamah dengan perjuangan suci ini, biarpun tiada janji manis bersifat duniawi diberikan. Mereka yang memperkecilkan redha Allah swt pastinya mudah meninggalkan perjuangan, patah hati dan kecewa dalam perjuangan terutama apabila kemenangan yang mereka gilakan selama ini gagal dicapai sedang mereka tidak mengharapkan apa-apa dari Allah swt.

Penutup

إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا

"Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Allah swt kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut". (Surah Al Insan: 10)

Sekian.

Beristiqamah Hingga Kemenangan

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

Selasa, 14 November 2017

Perjuangan PAS - Hubungkait Dengan ‘Aqidah Islam iaitu Beriman Kepada Allah.

Perjuangan PAS - Hubungkait Dengan ‘Aqidah Islam iaitu Beriman Kepada Allah.

Perbincangan ini memerlukan kita merujuk kepada sumber asal penubuhan Parti Islam Semalaysia (PAS) iaitu perlembagaannya.

Merujuk kepada perlembagaan Parti Islam Semalaysia (PAS):

Fasal 3. Dasar PAS ialah Islam.

Apakah itu Islam?

Rasulullah SAW pernah bersabda apabila ditanya kepada beliau tentang Islam yang maksudnya:

“Dibina Islam itu di atas lima perkara. Bersyahadah bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, Haji ke Baitullahil Haram dan puasa ramadhan.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Jelaslah bahawa mengimani Allah itu merupakan asas iman dan Islam dan inilah merupakan dasar kepada perjuangan PAS yang bertepatan dengan kehendak ‘aqidah.
Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan barangsiapa yang mencari selain daripada Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia di akhirat nanti termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.” [Ali Imran:85]

Fasal 4. Seruan PAS ialah Allahu Akbar.

Allahu Akbar merupakan ungkapan mengagungkan Allah SWT dan mensucikan-Nya dari sebarang bentuk kekurangan dan penyekutuan berdasarkan kepada rukun Islam iaitu menafikan sebarang bentuk ketuhanan melainkan Allah SWT dan mengimani Allah SWT secara uluhiyyah dan rububiyyah serta asma’ dan sifat-Nya. Oleh yang demikian itu, seruan ini sangat bertepatan dengan kehendak ‘aqidah Islamiyyah.

Fasal 5. Tujuan PAS ialah:

(i) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Ini menunjukkan PAS mengambil kesyumulan Islam sebagai satu cara hidup seperti yang diwahyukan oleh Allah SWT bukan sahaja bagi memelihara kemaslahatan seluruh manusia bahkan seluruh alam ini.

Allah SWT berfirman yang maksudnya:

“Dan tidaklah Kami utuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.” [Al Anbiyaa’:107]

(ii) Memperjuangkan Islam sebagai ‘aqidah dan syari’ah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan social serta pelajaran dan pendidikan.

Jelas sekali PAS meletakkan ‘aqidah dan syari’ah di depan yang bertindak sebagai pemandu dalam melaksanakan agenda gerak kerjanya dalam semua bidang.

Fasal 5 (i) dan (ii) ini bertepatan dengan tuntuan ‘aqidah berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku kerana Allah Tuhan sekelian alam.” [Al An’am:162]

Fasal 7. Hukum, Kekuasaan dan ‘MAJLIS SYURA ‘ULAMAK’

(i) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah (Al-Quran) dan Sunnah Rasul serta Ijmak’ Ulamak dan Qias yang terang dan nyata, dengan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaann PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan.

Berdasarkan kepada rukun Islam dan rukun Iman maka jelaslah bahawa PAS telah mengangkat bahawa Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya. Al-Quran dan Sunnah RasulNya menjadi panduan yang paling tinggi dalam menentukan halatuju perjuangannya. Ini meletakkan ketaatan (ubudiyyah) berdasarkan kepada perintah Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud:

“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu.” [Az Zaariyaat:56]

Fasal ini juga dapat menafsirkan bahawa ‘aqidah yang sahih ialah mengambil Al-Quran dan As Sunnah sebagai panduan dan rujukan yang paling utama merangkumi aspek tauhid rububiyyah, uluhiyyah serta Asma’ dan Sifat. ‘Aqidah yang sahih melahirkan manusia yang tunduk patuh terhadap hukum-hukum yang telah diturunkan oleh Allah SWT sebagaimana yang diperintahkanNya menerusi firmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” [An Nisaa’:105]

Manusia yang beriman mestilah mengambil Islam dalam kehidupannya secara menyeluruh dan iman akan menjadi rosak sekiranya mengambil Islam secara berjuzuk. Allah SWT telah memberi ingatan mengenai perihal ini menerusi firmanNya yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata." [Al Baqarah:208]

Perbincangan ini menjelaskan bahawa perjuangan yang bertepatan dengan ‘aqidah Islamiyyah iaitu beriman kepada Allah SWT mestilah mengambil Islam sebagai dasar hala tuju gerak kerjanya.

#abu durrah
#fikrah

Khamis, 14 September 2017

PAS DAN PERJUANGAN

Dari Kacamata Ezam mat nor
(Bekas Senator umno dan Bekas Majlis Presiden PKR)

1.Kenyataan beberapa pemimpin utama HARAPAN terhadap PAS beberapa hari ini amat dikesali.

2.Hakikatnya PAS adalah sebuah parti yang paling kaya dengan pengalaman perjuangan.Ianya masih merupakan parti yang paling kuat sentuhan akar umbinya dan mempunyai pasukan kader yang paling mantap dari segi kemampuan berjuang dan berkorban.

3.Saya sempat berjuang bersama parti ini di era reformasi ketika itu dan tiada siapa dikalangan kami yang berjuang dikala itu dapat menafikan hakikat ini.Malah gegak gempita perjuangan era reformasi itu tidak akan menjadi tanpa PAS.

4.Tentunya semua parti mengaku mereka parti perjuangan.UMNO juga tidak berhenti berkokok mereka parti perjuangan.walaupun hakikatnya UMNO berjuang bukan berkorban.mereka berjuang dengan mengorbankan orang lain.PAS berjuang dan berkorban.itu bezanya dan itulah hakikatnya.

5.Justeru berbalah dengan sebuah parti perjuangan seperti PAS dan berbalah dengan sebuah parti yang mengorbankan orang seperti UMNO mestilah berbeza.Kalau kita benar-benar orang perjuangan.Lainlah kalau kita juga sama seperti perangai orang-orang UMNO.Mengaku berjuang dan berkorban tetapi sebenarnya hanya memperalat dan mengorbankan orang lain.

6.Pakatan Harapan sebuah koalisi yang dibentuk atas nama perjuangan seharusnya mengambil kaedah berbeza terhadap PAS sebagai sebuah parti yang lama berjuang dan berkorban.

7.Kalau kita benar-benar orang perjuangan tentulah tidak sama cara kita berbalah dengan sebuah parti perjuangan seperti PAS dengan cara kita berbalah dengan sebuah parti perjuangan ala penyamun seperti UMNO.

8.Apakah benar orang perjuangan mengkritik sebuah parti perjuangan dengan cara menghina mereka?Apakah terlalu besar dosa-dosa mereka dalam perjuangan sehingga mereka dihina begitu rupa?

9.Saya pernah dekat dengan PAS dan pernah sertai UMNO.Dan saya juga orang yang cukup dekat dengan perjuangan melawan rasuah.Setahu saya yang besar dosanya dan besar rasuah dan salahguna kuasanya adalah pemimpin-pemimpin UMNO.Dan mereka yang menghina PAS hari ini juga tidak lepas dari kisah mereka dahulu yang memperkayakan anak menantu dan kaum kerabat berbilion ringgit!

10.Makanya carilah kaedah yang lebih baik didalam berbeza pendekatan sesama pejuang.Janganlah terperangkap agenda UMNO yang mahu sesama pejuang berbalah sakan sesama sendiri.Dan janganlah juga terikut-ikut rentak bodoh dan biadap sebahagian mereka yang didalam Harapan sendiri yang juga mempunyai agenda puluhan tahun mahu menghapuskan PAS.

11.Kerana samada kita suka atau tidak hakikatnya PAS adalah sebuah parti perjuangan.PAS juga bukan sekadar sebuah parti tetapi sebuah gerakan Islam.Mereka tidak akan mampu untuk menghapuskan PAS.

Mohamad Ezam Mohd Nor
13 September 2017/ 22 Zulhijjah 1438H

Isnin, 21 Ogos 2017

Mengapa anda harus menyokong parti yang memperjuangkan Islam?


Assalaamualaikum wbt

Kali ini saya ingin memperkatakan satu perkara yang seharus kita semua maklum iaitu mengenai parti politik di negara kita. Saya tidak tahu parti mana yang anda sokong. Mungkin bagi anda, anda mempunyai alasan untuk menyokong mana-mana parti politik yang anda sukai.

Walaubagaimana bagi saya, saya rasa kita semua patut menyokong dan menjadi ahli PAS seumur hidup. Kenapa saya kata begitu ? Kerana bagi saya, PAS lah satu-satunya parti politik yang memperjuangkan Islam. Mungkin ada yang kata, UMNO juga memperjuangkan Islam. Tapi Islam yang diperjuangkan UMNO adalah semata-mata kerana untuk memancing undi orang Melayu sahaja dan tak lebih dari tu. UMNO hanya memilih apa yang dirasakan sesuai dengan semangat partinya tetapi tidak akan menjadikan Islam sebagai perundangan negara. Itulah sebabnya, UMNO sentiasa menentang sebarang Undang-Undang Jenayah Syariah yang di kemukakan. Kalaulah UMNO tu jujur ingin memperjuangkan Islam, seharusnya, pihak kerajaaan yang memerintah telah cuba mengubah sistem perundangan atau sekurang-kurangnya meningkatkan lagi taraf Mahkamah Syariah sebagai Mahkamah utama negara. Kalau orang bukan Islam tak berminat sekali pun, kuatkan kuasa dahulu ke atas orang-orang Islam.

Sebenarnya, orang bukan Islam menolak Undang-Undang Syariah kerana mereka masih tidak memahami kebaikan undang-undang yang dibawa oleh Islam. Mereka nampak seolah-olah Undang-undang Islam sebagai kejam kerana di gambarkan atau diburuk-burukkan oleh media barat bahkan juga oleh orang Melayu Islam UMNO sendiri.

Seharusnya pihak Kerajaan mendidik orang ramai mengenai kebaikan Undang-Undang Islam itu terlebih. Ini boleh dilakukan oleh media massa spt TV, Radio, akhbar dan sebagainya. Tunjukkanlah kehebatan dan kelebihan perundangan Islam yang mampu menyelesaikan pelbagai masalah sosial hari ini spt judi, arak, jenayah mencuri, menipu, merompak, merogol, memfitnah, tuduh menuduh tanpa saksi, seks bebas, penyakit Aids, masalah dadah dan masalah mat rempit.

Saya juga hairan bagaimana kita semua boleh menerima hukum rimba seperti ISA, OSA, AUKU, Akta Dadah Merbahaya 39B dan sebagainya, pada semua itu lebih banyak keburukan daripada kebaikan bahkan kebanyakannya lebih kejam. Sebagai contoh penahanan mereka yang dituduh atau disyaki tanpa bicara atau mempertahankan diri.

Begitu juga Akta Dadah Merbahaya seksyen 39B yang membawa hukuman mati mandatori. Bayangkan jika ada orang meletakkan 2 kg dadah di bawah rumah kita tanpa kita sedari, kemudian ada orang yang menjumpainya dan kita dituduh mengedar dadah, dan hukuman yang kita terima adalah Hukuman Mati. Adilkah ?

Itulah sebabnya saya rasa hanya parti PAS sahaja yang benar-benar memperjuangkan Islam. Mereka yang menyertai bukan kerana inginkan kekayaan atau memperolehi projek-projek besar atau menjadi jutawan segera. Mereka yang menyertai PAS, saya lihat lebih telus, bertanggunghjawab dan bersungguh untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Bayangkan di Kelantan yang terkenal dengan negeri yang miskin. Tapi di sebabkan mereka pandai menguruskan hasil negeri yang sememangnya dah terhad, Negeri Kelantan bukan lagi yang tercorot atau ke 3 atau ke 4 paling miskin. Kelantan telah mendahulu negeri-negeri lain dari segi ekonomi, peningkatan taraf hidup, kesedaran sosial dan pendidikan agama dsb.

Kalaulah pihak Kerajaan Negeri Kelantan dibenarkan mengusahakan projek Gas & Petroleum, saya rasa bukan setakat Penang, bahkan jauh lebih maju dari Negeri Selangor. Saya lihat betapa ramainya profesional dari Kelantan yang bekerja dan menetap di Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Kalaulah Negeri Kelantan sekarang ini dapat mengusahakan Projek Gas & Petroleum yang mana jumlah gasnya adalah tersangat banyak dan dianggarkan mencecah nilai beratus billion RM. Itulah sebabnya pihak Kerajaan Malaysia yang memerintah hari ini tidak akan membenarkan Kerajaan Negeri memperolehi sebarang royalti petroleum atau gas sebagaimana Negeri Terengganu atau Sabah.

Kalau semua ini dibenarkan berlaku, maka Kelantan akan berkembang menjadi pusat ekonomi baru yang ditunggu-tunggu dan Kelantan yang sememangnya terkenal dengan usahawan dan juga pakar-pakar dalam pelbagai bidang, mereka akan kembali ke Kelantan beramai-ramai dan menyebabkan Negeri-negeri lain akan mengalami kekurangan tenaga kerja mahir atau separa mahir.

Dengan kedudukannya di Laut China Selatan menjadikan ianya paling strategik kerana lebih dekat dengan China, Vietnam, Thailand, Kemboja, Hong Kong, Filipina dll. Ini adalah kerana negara-nagara ini juga dijangka ekonomi mereka akan berkembang pesat dalam masa beberapa dekad akan datang.

Saya juga tidak hairan jika dalam masa 10 tahun lagi negeri Kelantan, negeri Kelantan akan menjadi terkenal dengan industri petrokimia, bioteknologi, agroteknologi, pusat pengajian pelbagai ilmu dsb.

Di Kelantan akan muncul lebih banyak Universiti berbanding negeri-negeri lain. Dengan jumlah penduduknya yang lebih ramai berbanding negeri lain, menjadikan kelantan negeri pilihan pelabur dalam dan luar negara.

Kewujudan lebih banyak universiti bermakna lebih ramai tenaga mahir dan pakar yang dihasilkan oleh Negeri Kelantan dan ini akan membuka lebih banyak usahawan dalam pelbagai bidang.

Kedudukan bandar Gua Musang yang terletak di tengah-tengah Semenanjung menjadikan ianya Bandar Satelit yang paling moden. Semua bandar-bandar baru di Kelantan akan dibina dengan lebih terancang dan teratur, lengkap dengan pelbagai kemudahan asas, kegiatan sosial dan ekonomi dsb.

Saya juga menjangkakan Kelantan juga akan mempunyai sistem pengangkutan canggih seperti Keretapi Laju yang menguhubungkannya dengan bandar-bandar utama semenanjung. Kalau dilihat hari ini pun, sistem meter parking di Kelantan adalah yang termoden kerana menggunakan sistem 2 pilihan samada kad prabayar berkomputer atau menggunakan syiling.

Sistem Pengangkutan Bas SKMK juga boleh dikatakan jauh lebih baik berbanding syarikat-syarikat bas negeri-negeri lain yang kelihatan lebih uzur, tidak cekap dan bermasalah.

Saya juga berharap pihak KTMB akan membina landasan keretapi terus ke bandar Kota Bharu bagi memudahkan orang ramai dan juga meningkatkan lagi penggunaan keretapi di kalangan masyarakat. Mungkin satu hari nanti, pihak KTMB akan menawarkan perkhidmatan komuter antara bandar-bandar utama di Kelantan.

Itulah sebabnya kenapa kita harus memilih PAS sebagai parti pilihan. Selain itu, PAS sebenarnya disertai oleh ramai golongan bijak pandai atau intelek spt pensyarah, pakar dalam pelbagai bidang, pesara tentera yang berpangkat spt Kolonel, Kapten, Mejar, Leftenan dsb berbanding parti UMNO. Ini adalah kerana golongan ini lebih tahu menilai kerana mereka lebih banyak mendapat maklumat berbanding golongan-golongan lain.

Jadi mengapa kita semua harus menyertai PAS ?

Jawaban saya yang paling utama adalah kerana kita semua akan MATI. Jadi kenapa kita harus menyokong PAS kalau kita semua akan mati ? Jawapannya lagi, Kerana kita kekurangan amal soleh.

Jadi apabila kita menyokong PAS, bermakna kita telah menyokong perjuangan Islam. Bila kita menyokong perjuangan Islam, maka kita sudah semestinya dikira termasuk dalam golongan orang-orang yang menegakkan agama Allah, sebagaimana juga orang-orang yang berjuang di jalan Allah atau Mujahiddin.

Jadi apabila kita Mati nanti, dan amalan kita dikira, kita belum tentu lagi dapat masuk ke syurga, bahkan mungkin kita akan diseret ke dalam api Neraka yang menyala-nyala ! (Nauzubillah)

Tapi sekiranya ini berlaku, apakah yang dapat anda lakukan lagi. Jadi sekurang-kurangnya di saat kita diseret ke Neraka, kita dapat memberi hujah yang terakhir : "Wahai Tuhanku, Ampuni dosa-dosaku, lepaskan aku dari azab neraka Mu, kerana sesungguh wahai Tuhanku, aku satu ketika dahulu pernah menyokong perjuangan agama Rasul Mu."

Apakah Tuhan akan menerima ini sebagai amal soleh kita ? Ya, sekiranya sokongan kita itu adalah benar-benar ikhlas dan dengan niat untuk menegakkan hukum Allah di mukabumi Nya. Maka, fikirkanlah saudara-saudariku. Anda mempunyai akal dan fikiran yang mampu untuk membuat pertimbangan.

Sumber dari : Blogger Giler