Memaparkan catatan dengan label Minda Presiden PAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Minda Presiden PAS. Papar semua catatan

Isnin, 12 Oktober 2020

WABAK ISLAMOFOBIA MENJANGKITI PEMIMPIN BARAT

 


 Pepatah Melayu menegaskan: 

 “Kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak.” Inilah perumpamaan yang tepat terhadap peristiwa tergempar yang berlaku di Perancis, apabila berlaku tindakan oleh orang Islam terhadap akhbar mingguan Perancis, Charlie Hebdo yang menghina Rasulullah SAW dengan gambaran yang tidak sopan. Sedangkan orang Islam wajib beriman dengan semua Rasul AS, bahkan dilarang memaki tuhan-tuhan lain yang bukan disembah.

Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan mereka kembali, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.” (Surah al-An’am: 108)

Selepas itu, Emmanuel Macron, Presiden Perancis melalui kenyataannya menjadikan Islam dan penganutnya sebagai sasaran dengan melemparkan celaan kepada Islam.

Dia sedikit tersasar dalam melepaskan geram terhadap Islam, sehingga lupa diri bahawa Perancis dan negara sekutunya pernah datang merompak di negara lain.

Mereka memaksa penduduk di negara tersebut menjadi hamba untuk diperas dan diperah habis-habisan segala hasil buminya. Segala rompakan di setiap daerah dan pelosok dunia dihalalkan dan diperlakukan apa sahaja terhadap penduduk dan hasil negara lain. Sebenarnya mereka pencipta masalah dalam dunia Islam, bukannya Islam dan penganutnya.

Umat Islam yang tidak pelupa, tetap mengingati sejarah yang terpahat ketika jutaan rakyat di Algeria, Maghribi, Mauritania, Senegal dan negara lain yang dibunuh oleh penjajah Perancis, bukan sekadar satu dua orang sahaja dibunuh. Tindakan zalim itu semata-mata mahu menakluk negara secara paksa kononnya atas nama peperangan suci. Malah rakyat yang mempertahankan diri dan tanah air sendiri pula dinamakan sebagai lanun, perompak dan penderhaka.

Nun di seberang lautan, Benua Amerika Utara dan Amerika Selatan entah berapa juta penduduk asal seperti kaum ‘Red Indian’ dan suku lain yang dibunuh atas nama penerokaan wilayah. Kononnya untuk kebebasan atas nama hak asasi manusia. Seolah-olah bangsa mereka sahaja yang mempunyai hak asasi manusia, bangsa lain pula bukan manusia.

Seluruh dunia mengetahui betapa penempatan orang Eropah di benua Australia mengakibatkan penduduk asalnya ditembak laksana binatang buruan. Mereka datang kononnya untuk meneroka dunia baru, seolah-olah bumi Allah SWT ini hanya untuk mereka sahaja.

Bacalah al-Quran yang mengajar adab berperang yang diwajibkan untuk mempertahankan agama, diri dan tanah air dengan berpandukan Kitab Suci al-Quran, firman Allah:

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190) Firman Allah:

“Oleh sebab itu barangsiapa yang menceroboh kamu, maka balaslah kepadanya, seimbang dengan serangannya terhadapmu.

Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah, bahawa Allah bersama orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 194) Islam mengharamkan sikap melampau walaupun dalam keadaan wajib mempertahankan diri. Agama Islam mengajar bahawa golongan wanita, kanak-kanak, orang tua, para paderi di gereja dan semua orang awam haram dibunuh sekalipun ketika berperang dalam mempertahankan diri. Hukum mereka yang melakukannya adalah berdosa, bukan sekadar mengikut undang-undang ciptaan manusia yang ‘double standard’, terpilih untuk orang lain sahaja, bukan untuk diri sendiri.

Maka umat Islam daripada semua mazhab termasuk Syiah di Iran turut mengharamkan penggunaan senjata pemusnah. Sekiranya tiada undang-undang antarabangsa, mereka tetap patuh kepada undang-undang Allah SWT. Jika dilanggar sempadan hukum Islam, kelak dihukum pada hari akhirat, kerana akan ada perhitungan dosa dan pahala.

Peristiwa pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki yang mengerikan, sedikitpun tidak menjadi pengajaran kepada masyarakat Barat. Bahkan mereka terus mencipta senjata yang lebih memusnahkan dunia, manusia dan alam sekitar.

Bukankah negara Perancis sendiri termasuk dalam negara-negara yang pernah mengadakan ujian senjata pemusnah di kawasan Pasifik pada abad yang lalu?

Mereka juga masih berpegang kepada hukum halal senjata pemusnah untuk kegunaan mereka dan negara haram Israel. Adapun negara lain diharamkan segala bentuk kemajuan nuklear walaupun hanya bertujuan untuk menghasilkan tenaga, bukan kerana peperangan.

Agama Islam telah mengharamkan bagi penganutnya melakukan sebarang kerosakan sebelum wujud undang-undang antarabangsa ciptaan mereka yang sangat rapuh.

Kami umat Islam tidak pernah buta mata akal seperti kamu, apabila menyaksikan pelbagai kezaliman di Palestin, Rohingya, Uighur, dan terkini melihat betapa melentingnya Negara Perancis terhadap Azerbaijan yang membebaskan tanah air yang telah dirampas oleh Armenia sewaktu umat Islam dalam keadaan lemah pada era Komunis. Puak Armenia diletakkan di tengah Azerbaijan yang dinamakan sebagai Karabakh, lalu mengaku tanah airnya di celah tanah air Azerbaijan.

Perancis juga paling bersemangat menyokong Greece yang berpunca daripada krisis sempadan antara Turki dan Greece. Sehingga diletakkan sempadan pulau yang jaraknya hanyalah dua kilometer sahaja daripada pesisir pantai Turki berbanding 500 kilometer daripada Greece, tetapi dikatakan kepunyaan dan hak milik Greece. Apakah jenis keadilan dan hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh negara itu terhadap Islam dan penganutnya?

Bandingkan pula dengan kedatangan Islam di Sepanyol, Selatan Eropah yang membawa tamadun Islam ke negara Barat. Berbeza dengan kedatangan tentera Amerika di Afghanistan, Iraq dan negara lain yang membunuh penduduknya tanpa sebarang belas kasihan.

Sekiranya mahu bermusuh terhadap Islam sekalipun biarlah berasaskan hujah yang boleh diterima oleh akal yang sihat. Hanya akal yang tidak sihat sahaja boleh memejamkan mata terhadap sikap yang melampau ini. Kemungkinan juga mereka terkena wabak Islamofobia yang sedang melanda negara Eropah sebelum berlakunya COVID-19.

Lebih malang lagi, ada pemimpin sebuah negara yang dikatakan paling besar dan maju dalam kalangan mereka, menganggap wabak ini tidak berbahaya sehingga mencabar pakar perubatan atas nama kebebasan yang sudah terbabas.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 24 Safar 1442 / 12 Oktober 2020

Sabtu, 4 Ogos 2018

ISLAM: DI ANTARA MENJAGA AGAMA DAN KEBEBASAN BERAGAMA

Minda Presiden PAS

Islam meletakkan kepentingan beragama hendaklah diutamakan dalam kehidupan manusia, kerana agama adalah punca kebaikan dunia dan akhirat bagi penganut Islam. Maka agama yang dimaksudkan ialah daripada perkataan Al-Din yang berbeza dengan takrif agama dalam bahasa yang lain.

Adapun kebebasan beragama pula adalah hak yang diberi dan dijamin oleh Islam kepada penganut pelbagai agama mengikut konsep hubungan antara agama, kaum dan negara iaitu tiada paksaan dalam beragama dan Islam itu wajib dianut dengan rela hati tanpa paksaan.

Menjaga agama Islam adalah kewajipan terpenting bagi penganut Islam, kerana keyakinannya kepada penentuan Allah yang berfirman:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ (19)[سورة آل عمران: 19]

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai Agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya)”. (Surah Ali Imran: 19)

Firman Allah:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ (85) [سورة آل عمران: 85]

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada Hari Akhirat kelak dari kalangan orang-orang yang rugi”. (Surah Aali Imran: 85)

Kewajipan menjaga agama Islam bagi penganut Islam adalah perkara pertama dalam Maqasid As-Syariah mengikut sepakat (ijma’) para ulama’ Islam yang ditegaskan oleh nas Al-Quran yang tersebut di atas, hadis Rasulullah S.A.W dan ijma’ para sahabat terhadap peristiwa riddah yang berlaku selepas wafatnya Rasulullah S.A.W.

Menjaga agama Islam adalah turutan pertama dalam tertib Maqasid As-Syariah, mendahului kewajipan menjaga nyawa, akal, keturunan (zuriat), maruah dan harta. Membezakan Islam dengan ajaran yang lain, sama ada agama atau teori.

Imam Al-Syatibi yang menulis berkenaan pembaharuan dalam ilmu Maqasid As-Syariah membahagikan dua aspek dalam konsep menjaga agama Islam:

1. Mempertahankan kewujudannya (dalam aspek positif). Menjaga rukun Islam dan meneguhkan asas amalannya.

2. Menolak sebarang langkah menentang Islam dan usaha menghapuskan atau melemahkannya. Sama ada menghadapi perkara yang telah dilakukan oleh musuhnya atau menolak perkara negatif yang bakal dilakukan terhadap Islam.

Menjaga agama itu dengan melaksanakan ilmu, amalan, dakwah, hukum dan jihad. Ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu Fardhu Ain yang wajib bagi setiap penganut Islam lelaki dan wanita mempelajarinya dalam perkara Iman, Islam dan Ihsan atau Aqidah, Syariat dan Akhlak (Tasawuf). Manakala ilmu Fardhu Kifayah adalah mendalami ilmu agama (Islam) dan ilmu duniawi bagi menunaikan kewajipan khilafah bersama Islam (memakmurkan bumi dalam urusan kehidupan) seperti dalam aspek kemasyarakatan, politik, ekonomi, sains teknologi dan lain-lain.  
  
Adapun melaksanakan amalan itu adalah melibatkan amalan baik dalam hubungan dengan Allah, diri, keluarga, masyarakat dan alam sekeliling, melaksanakan perkara wajib, sunat dan harus, meninggalkan yang haram, dan sebolehnya meninggalkan yang makruh serta menyediakan kemudahan bagi semua amalan-amalan tersebut.

Dakwah pula ialah mengajak pihak lain menerima Islam dan menganutnya secara rela hati tanpa paksaan, dengan hujah ilmu dan amalan yang menjadi dalil kebenaran Islam. Disertakan tindakan menolak yang lain daripadanya dengan hujah ilmu, akal dan amalan secara hikmah.

Pelaksanaan hukum Islam yang adil dengan sempurna dan menyeluruh akan membawa rahmat yang wajib diusahakan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu secara faham (tafaqquh) dan prosesnya yang betul. Termasuk dalam kewajipan menjaga kemurnian dan kebenaran agama Islam yang mengatasi agama yang lain.

Jihad bermaksud kesungguhan dalam menegakkan Islam dan mempertahankannya daripada musuh dengan mengorbankan segala nikmat diri, harta dan jiwa raga, mengikut tertib cabaran yang dihadapi daripada musuh, bermula dengan pendekatan perdamaian dan hujah yang lebih diutamakan dan didahulukan. Sehinggalah peperangan bersenjata apabila dipaksakan dengan sempadan dan adabnya supaya tidak melampau, walaupun terhadap musuh yang melampaui batas.

Menjaga agama Islam juga ialah menjaga dan mempertahankan penganut dan tanah airnya yang menjadi wadah kepada Islam bagi melaksanakan perkara-perkara yang tersebut di atas.

Langkah yang diambil oleh generasi awal yang memperjuangkan kemerdekaan dengan meletakkan Islam menjadi Agama Persekutuan dan hak istimewa majoriti penganutnya secara bersepakat, walaupun berbeza kefahaman politik dan cara pendekatannya adalah asas kukuh yang wajib dipertahankan.

Kewajipan umat Islam menjaga agama mereka adalah kewajipan yang tidak boleh dipertikaikan. Maka kewajipan menjaga agama yang lain, terserah kepada penganut masing-masing, yang menjadi hak asasi manusia mengikut sempadan konsep kebebasan beragama yang sangat dipelihara oleh agama Islam yang mewajibkan umat Islam yang memerintah negara dan rakyatnya yang menganut Islam.

Walaupun setiap penganut Islam itu tegas menyatakan hanya Islam sahaja yang benar, sehingga kebebasan beragama itu dikira terbabas ke dalam kemusnahan yang menjadi penentuan Allah. Namun dalam bermuamalah terhadap pihak lain dianggap menjadi hak mereka yang diberikan oleh Islam supaya menjadi ruang untuk berfikir dengan bebas.

Konsep kebebasan agama berasaskan tidak boleh dipaksa terhadap penganut agama lain dan tidak diganggu kebebasan menganut dan beramal dengan agama mereka mengikut sempadan menjaga keamanan dan keselamatan bersama serta menjaga kehidupan masyarakat madani (taaruf).

Konsep ini adalah arahan atau perintah Allah di dalam Al-Quran yang diamalkan secara istiqamah oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang memerintah negara, serta dihayati oleh umat Islam sehingga kini, walaupun ditempat tidak berkuasa memerintah negara. Antaranya firman Allah:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ [سورة البقرة: 256]

“Tidak ada paksaan dalam agama”.   (Surah Al-Baqarah: 256)

Firman Allah:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَن فِي الْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا أَفَأَنتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ (99) [سورة يونس: 99]

“Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak mengkehendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?”. (Surah Yunus: 99)

Firman Allah:

فَإِنْ أَعْرَضُوا فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا إِنْ عَلَيْكَ إِلَّا الْبَلَاغُ  [سورة الشورى: 48]

“Oleh itu, jika mereka berpaling ingkar, maka Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai pengawas terhadap mereka; tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan (apa yang diperintahkan kepadamu)”. (Surah As-Syura: 48)

Walaupun Allah menyatakan dengan benar bahawa mereka yang beriman dan beramal soleh masuk syurga di akhirat nanti dan yang kufur tidak beriman dimasukkan ke neraka. Namun Allah berfirman:

وَقُلِ الْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ فَمَن شَاءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاءَ فَلْيَكْفُرْ [سورة الكهف: 29]

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur )ingkar(, biarlah dia mengingkarinya". (Surah Al-Kahfi: 29)

Konsep tiada paksaan dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W apabila berjaya mencapai kemenangan membebaskan Makkah, walaupun berada di puncak kuasa dan kekuatan, Baginda Nabi S.A.W berucap kepada penduduknya yang menyerah diri dengan bersabda:

اذهبوا فأنتم الطلقاء
 
“Pergilah! Kamu semua dibebaskan”.

Khalifah Umar bin Al Khattab R.A memberi kebenaran kepada penganut Kristian menganut agama dan menjaga serta beramal di gereja mereka apabila berjaya membebaskannya daripada penaklukan Rom.

Kini dapat disaksikan bagaimana kedudukan yang baik bagi golongan minoriti bukan Islam di tengah masyarakat Islam yang benar-benar beramal dengan ajaran Islam.   Islam mewajibkan adil terhadap seluruh manusia adalah amanah terbesar. Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا (58) [سورة النساء: 58]

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”. (Surah An-Nisa’: 48)

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 20 Zulkaedah 1439 / 2 Ogos 2018

Isnin, 1 Januari 2018

AWAS! ZIONIS DI DALAM

Minda Presiden PAS

Ketika umat Islam di seluruh dunia dikejutkan langkah drastik Israel dan Zionis menggunakan Presiden Amerika Syarikat yang terkini, mengisytiharkan Bait Al-Maqdis menjadi ibu negara haram Israel. Dia merasakan dirinya sangat berani tidak seperti orang lain. Tindakannya laksana menghempas batu besar ke dalam lubuk, sehingga menimbulkan segala hidupan di dalamnya, sama ada paling besar, paling kecil dan lemah semuanya menimbulkan diri, sehinggalah buaya dan ular berbisa paling berbahaya.

Sudah tentu di dalam umat ini sejak zaman Rasulullah S.A.W sehingga kini, ada yang kuat imannya sehingga sangat maju ke hadapan, ada yang sederhana dan ada yang terkebelakang menzalimi diri sendiri dengan sebab kelemahannya dan ada juga yang menjadi duri dalam daging menyebabkan punca penyakit. Benarlah firman Allah:

ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٞ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡهُم مُّقۡتَصِدٞ وَمِنۡهُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٰتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡكَبِيرُ ٣٢ فاطر

“Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).” (Surah Fatir: 32)

Allah memberi peringatan kepada kalangan yang paling lemah dan menjadi duri dalam daging sehingga membawa penyakit yang sangat membahayakan, firman-Nya:

۞يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَۘ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُۥ مِنۡهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِينَ ٥١ فَتَرَى ٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ يُسَٰرِعُونَ فِيهِمۡ يَقُولُونَ نَخۡشَىٰٓ أَن تُصِيبَنَا دَآئِرَةٞۚ فَعَسَى ٱللَّهُ أَن يَأۡتِيَ بِٱلۡفَتۡحِ أَوۡ أَمۡرٖ مِّنۡ عِندِهِۦ فَيُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَآ أَسَرُّواْ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ نَٰدِمِينَ ٥٢ المائدة

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya dia adalah daripada golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. (51) Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka). Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisi-Nya (terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya. (52)” (Surah Al-Maidah: 51-52)

Gabungan Amerika Syarikat dan Israel adalah kenyataan firman Allah tersebut, betapa Donald Trump menjadi Presiden yang dipilih mutakhir ini menunjukkan terbukti kenyataan saya sebelum ini, bahawa yang paling rapat dan paling kuat sokongannya kepada negara haram Israel dimenangkan oleh pihak yang menguasai ekonomi, pengurusan dan media. Kesetiakawanan dibuktikan dengan beraninya mengisytiharkan Bait Al-Maqdis menjadi ibu negara haram Israel itu. Dia tidak peduli bantahan daripada seluruh dunia, meskipun hanya segelintir negara sahaja yang menyokongnya.

Hikmahnya, peristiwa yang berlaku telah menyatukan umat Islam dan manusia berperikemanusiaan, sehingga yang paling lemah kembali ke pangkal jalan dan masuk ke dalam saf menentang Israel. Pada masa sama, ia mendedahkan sekutu-sekutu Zionis walaupun bertopengkan jubah pakaian kebangsaan Arab, serban dan berkopiah putih di kalangan bangsa Arab dan berbahasa Al-Quran. Ada pula yang jasadnya paling dekat dengan Kaabah dan Maqam Rasulullah S.A.W dan paling dekat pula dengan medan perjuangan menentang Zionis itu, tetapi hatinya berpaut rapat dengan musuh Islam itu.

Langkahnya adalah menyelamatkan Israel bukannya membebaskan Masjid Al- Aqsa, tidak sedikitpun menyentuh hati mereka daripada apa yang dilakukan terhadap tanah suci ketiga Islam itu.

Golongan ini melakukan apa sahaja bagi menangguhkan jihad menentang Israel dan membebaskan Masjid Al-Aqsa. Mereka mengemukakan berbagai hujah dan melakukan beberapa pendekatan. Di antaranya ialah mengundurkan masalah Palestin ke belakang sedikit demi sedikit, daripada sifat Islamnya kepada Nasionalis Arab, seterusnya Jerusalem dipecah dua sehingga dilupakan Islamnya kerana katanya sudah cukup Makkah dan Madinah bagi umat Islam, serahkan sahaja Bait Al-Maqdis kepada Israel. 

Bermula daripada mewujudkan Perjanjian Camp David 1978 yang membawa pengiktirafan kepada negara haram Israel, diikuti dengan Persidangan Oslo 1993 dan kemudiannya Persidangan Madrid 1999 dengan penyelesaian dua negara, satu untuk kaum Yahudi dan satu untuk Arab Palestin, digula-gulakan kenyataan bersama cadangan supaya Israel berundur daripada kawasan yang ditawan ketika Perang Huzairan 1967 sehingga menawan seluruh Kota Suci Bait Al-Maqdis, kemudian dibelah dua, Bait Al-Maqdis Timur untuk Palestin dan Bait Al-Maqdis Barat untuk Israel. Israel mendiamkan diri, tetapi Arab terus dipujuk dan banyak negara yang menerimanya.

Perkembangan mutakhir pula menunjukkan perbezaan sikap rakyat yang terbakar semangat Islamnya dengan pemimpin negaranya yang bersikap dingin dan melangkah sedikit demi sedikit ke belakang mengadakan hubungan sulit dengan Israel dan ada yang telah terbuka.

Ada negara yang lebih terang lagi bersuluh telah masuk ke dalam strategi pendekatan menyelamatkan Israel, di antaranya melakukan kekacauan dalam negeri tanah air sendiri sehingga menjejaskan perjuangan menghadapi negara haram itu.

Sejak tahun 60-an Jordan dipilih untuk dikacau, apabila sebahagian besar gerakan Palestin dan pemimpinnya bertapak di sana, lalu dicetuskan kekacauan dalam negara yang lemah dan tidak bersumber kekayaan buminya sehingga terpaksa dikeluarkan para pemimpin dan gerakan perjuangan Palestin daripada Jordan, tanpa mengira Islam atau Sekular, kanan atau kiri, semuanya berpindah ke Syria, Lubnan dan lain-lain.

Kekacauan terkini yang melanda Syria, Lubnan, Yaman, Mesir, Sudan dan lain-lain, diatur begitu rupa dengan mencetuskan kekacauan yang licik. Ada yang diadu dombakan kerana perbezaan agama dan ideologi, perbezaan Mazhab Sunni dan Syiah, berbeza etnik dan krisis sempadan, seterusnya di atas nama menentang kezaliman, menyokong demokrasi dan sebagainya sehingga mencetuskan Arab Spring yang tidak berbuah.

Sepatutnya menghadapi Israel terlebih dahulu, tetapi malangnya menghadapi kawan yang dianggap pengacau dahulu, sehingga berperang besar, membunuh sesama sendiri dan meruntuhkan rumah sendiri. Mereka tidak mengambil perumpamaan kebijaksanaan kumpulan anjing sekampung yang mengutamakan mangsa yang datang sehingga menyatukan mereka semua memburu mangsa itu, sehingga meninggalkan perkelahian sesama sendiri. Walaupun selepasnya mereka berkelahi semula kerana tomak dan haloba mengikut nafsu kebinatangannya.

Demikianlah kadang-kadang Allah menyuruh manusia belajar daripada binatang. Firman-Nya:

۞إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَسۡتَحۡيِۦٓ أَن يَضۡرِبَ مَثَلٗا مَّا بَعُوضَةٗ فَمَا فَوۡقَهَاۚ فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَيَعۡلَمُونَ أَنَّهُ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّهِمۡۖ وَأَمَّا ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ فَيَقُولُونَ مَاذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِهَٰذَا مَثَلٗاۘ يُضِلُّ بِهِۦ كَثِيرٗا وَيَهۡدِي بِهِۦ كَثِيرٗاۚ وَمَا يُضِلُّ بِهِۦٓ إِلَّا ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٦ البقرة

“Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmahnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman, maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar daripada Tuhan mereka dan kalau orang-orang kafir pula, maka mereka akan berkata: Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan benda ini? (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan ramai orang sesat dengan sebab perbandingan itu dan akan menjadikan ramai orang mendapat petunjuk dengan sebabnya dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik.” (Surah Al-Baqarah: 26)

Adakah kalian tidak membaca atau melupakan laporan usaha untuk menubuhkan kumpulan Negara Islam Sunni bagi menentang bahaya Revolusi Islam Syiah Iran, bukannya menentang Israel?

Paling terkini pula menyenaraikan kumpulan Islam Hamas, Tanzim Jihad (daripada Sunni) dan Hizbullah (daripada Syiah) adalah pengganas tanpa menyebut Israel, bahkan disebarkan maklumat menubuhkan kumpulan ala ISIS bagi menentang kumpulan Islam yang sudah bersatu ini.

Apabila Israel dan sekutunya menyokong langkah ini menandakan betapa wujudnya kumpulan Zionis di dalam dunia Islam yang menjadi khadam Israel dalam rumah umat Islam. Mereka dibekalkan dengan segala jenis senjata yang sentiasa diawasi supaya dihalakan kepada negara jiran yang dikira berbahaya bukannya Israel. Mengapa Islam dahulu boleh memerintah, boleh meneruskan dakwah dan tegak negaranya beberapa abad menghadapi serangan musuh yang bertali arus walaupun perbezaan agama rakyatnya, sudah ada berbagai bangsa dan perbezaan mazhab? Ini menunjukkan adanya perkara salah dikalangan umat yang wajib diperbetulkan.

Tanda-tanda menunjukan fajar mula menyinsing. Cahaya Islam yang tidak boleh dipadamkan sekali-kali akan menyinar semula menyuluh dunia yang gelap. Hanya mereka yang dirasuk syaitan Zionis akan menghilang bersamanya.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 13 Rabiul Akhir 1439 / 1 Januari 2018