Memaparkan catatan dengan label Al Quran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Al Quran. Papar semua catatan

Selasa, 9 Mac 2021

Akibat Melupakan Al Quran

Al-Quran diturunkan untuk dihayati dan di fahami, bukan sekadar menghiasi dinding rumah. Bicara Al-Quran mengetuk pintu hati manusia agar sentiasa berwaspada.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“ Berkatalah Rasul,” Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur’an ini suatu yang mahjura (ditinggalkan).”Surah Al-Furqan:30

Sebuah kalimat yang merangsang minda penulis ialah kalimah ‘mahjura’ yang bermaksud ditinggalkan. Kalimat ini diguna pakai dalam dalam ungkapan runggutan dan kekecewaan Rasulullah terhadap umatnya.

Bagaimana mungkin seorang nabi yang tidak dinafikan kecintaannya terhadap umatnya sanggup mengungkap kekecewaan terhadap umatnya yang dicintainya.

Tetapi dalam ayat diatas nabi mengungkap dengan nada yang berbeza seolah adalah keburukkan atau melapetaka yang akan terjadi apabila umatnya menjadikan Al Quran sebagai mahjura (dijauhkan)

Terdapat sekurang-kurangnya 10 malapetaka yang disenaraikan dalam al-quran akibat mengabaikan Al-Quran.

1- Kesesatan Yang Nyata

Firman Allah S.W.T;

“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di anta mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah( As-sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata” Surah Al-Jumuah: 2

Al-Quran menyifatkan penduduk mekah sebelum kebangkitan Rasulullah S.A.W dalam keadaan yang nyata. Al Imam Ibnu Kathir menafsirkan bahawa kesesatan yang nyata itu adalah kerana masyarakat arab dahulu asalnya berpegang kepada ajaran Nabi Ibrahim A.S.

Namun mereka mengantikan, merubah, menokok tambah, memutarbelitkan serta menukar tauhid kepada syirik, merubah keyakinan dengan keraguan.

Hal ini dapat kita lihat bagaimana realiti umat islam sekarang apabila ramai umat islam yang terlibat dengan masalah sosial yang semakin bertambah. Ini kerana sikap umat islam itu sendiri yang menjauhkan dirinya daripada Al-Quran.

2-Kesempitan Dan Kesesakkan Dada

Firman Allah S.W.T;

“…..Dan Barang siapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, niscaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang yang tidak beriman” Surah Al-An’am: 125

Allah menjanjikan bahawa orang yang menerima hidayah Allah itu akan dilapangkan dadanya sebaliknya orang yang tidak menerima hidayah Allah dijadikan dada mereka sempit.

Walaupun disekililing mereka terlihat berjaya memenuhi kepuasan manusia tetapi jauh di dalam dada bereka begitu sesak dan sempit dek pelbagai masalah.

3-Kehidupan Yang Sempit

“ Dan barangsiapa yang berpaling daripada peringatan-ku, Maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan kami akan menghimpunkan pada hari kiamat dalam keaadaan buta”Surah Taha: 124

Apabila hidup kita tidak lagi bertemankan dengan Al-Quran yang menjadi sumber keberkatan hidup maka apa yang mereka lakukan tidaklah mendatang kepuasan dalam hati melainkan kesempitan dan kesesakkan. Teringat pesanan daripada ibu penulis;

“Biar kita kerja gaji kecil tetapi berkat”

Bagi yang menyisihkan Al-Quran dalam hidupnya ketahuilah telah terputus daripada hidupnya keberkatan.

4- Buta Mata Hati

Mereka ini terhijab daripada mata hatinya menerima hidayah Allah. Mungkin matanya mampu melihat dan mencerap cahaya dengan baik namun hatinya gagal dalam melihat kebenaran.

Seringkali sukar menilai sbuah kebenaran yang hadir dalam hidupnya. Hayatilah firman Allah ini yang bermaksud;

“……Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati di dalam dada mereka.” Surah Al-Hajj: 46

5- Kekerasan Hati

“ …… dan jangan lah mereka menjadi orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya, kemudia berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakkan diantara mereka adalah orang-orang yang fasik.” Surah Al-Hadid: 16

Ayat di atas menjelaskan bagaimana ahli kitab terdahulu yang tergolong daripada yahudi dan nasrani, mereka telah menerima kitab masing-masing tetapi mereka mengabaikanya sehingga suatu tempoh yang lama.

Pengabaian ini menjadikan hati mereka keras dan mereka ini terdiri daripada orang yang fasiq.

6- Kezaliman

“ Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya?…..” Surah As-Sajadah: 22

Amat menggetarkan jiwa kita seandainya dibulatkan kefahaman ayat ini dalam diri kita. Dilontarkan suatu persoalan, siapakah yang lebih zalim daripada mereka ini?

Seolah-olah mereka yang paling zalim diatas muka bumi ini ialah orang-orang yang menjauhkan dirinya daripada ayat-ayat Allah. Sedangkan ayat-ayat Allah inilah yang menjadi penentu kebahagiaan di dunia apatah lagi diakhirat.

7- Menjadi Teman Syaitan

“Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Quran), kami akan adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya (Qarin) Surah Az-Zukhruf:36

Mengikut Tafsir Jalalaian, Qarin yang dimaksudkan itu adalah teman yang erat dan akan dituruti kehendaknya. Hal ini bukanlah bermaksud mereka yang bertemankan syaitan ini mampu melihat hal-hal ghaib dan sebagainya tetapi mereka ini akan menjadikan bisikan syaitan sebagai neraca berhukum.

Tindakkan-tindakan, keputusan-keputusan dan emosi mereka akan terpedaya dengan nasihat-nasihat syaitan.

8- Lupa Diri

“ Dan jangan kamu menjadi orang-orang yang lupa Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik. Surah Al-Hasyr: 19

Ayat di atas menjelaskan bagi mereka yang melupakan ayat-ayat Allah nescaya baginya dilupakan nasib keadaan dirinya di akhirat kelak sedangkan suatu kerugian yang besar apabila seseorang itu melupakan Allah kerana akhirnya di akhirat kelak akan menimpa dirinya semula.

9- Pendosa (Fasiq)

Gelaran fasik ini sebenarnya banyak sudah Allah ungkapkan bersama dengan dalam ayat-ayat Allah yang dinyatakan di atas.

Ya, fasik itu pada ayat-ayat di atas merujuk kepada ahli kitab tetapi ini merupakan aset pengalaman yang harus diperhatikan oleh umat Islam.

10- Menjadi Munafiq

“ Apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul”, niscaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu.” Surah An-Nisa:61

Mereka yang digelar sebagai munafiq ini bukan sekadar tidak mahu menjadikan Allah sebagai panduan berhukum, tetapi mereka cuba mengahalangi manusia lain untuk turut sama bersama mereka. Moga kita semua dijauhi daripada sifat ini.

Rujukan:
Buku interaksi dengan Al-Quran, perkongsian dari Ustaz Muhamad Zaid Bin Roslee (Al-khoir)

 

Selasa, 17 Oktober 2017

AL-QURAN SEMAKIN DILUPAKAN

Hakikat zaman sekarang ramai yang suka kelekaan berhibur. Tidak salah jika ia berlandaskan Islam. Ramai orang Islam sendiri suka dengan kemegahan dunia dan isinya seperti harta benda dan hidup bersenang senang tanpa memikirkan kepentingan amalan cara hidup Islam. Mereka lebih suka dengan harta benda yang melalaikan. Bahkan menjadi satu budaya yang menjadi amalan harian untuk terus berhibur. Sama ada tua atau muda telah menjadi asam garam hidup mereka.

Hadis tentang membaca Al-Quran

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dirosakkan oleh air. Seorang sahabat telah bertanya, “Apakah caranya untuk menjadikan hati itu bersinar kembali?” Maka jawab Rasulullah, “Banyakkan mengingati maut dan membaca Al Quran.” (HR Baihaqi dari Ibn Umar)

Sudah cukupkah dengan sekali khatam al-quran? Adakah kita mengambil tahu kepentingan al-quran di dalam hidup seharian. Rasulullah s.a.w meninggalkan al-quran dan hadis untuk pegangan hidup Islam untuk diamali. Sedikit atau banyak terpulang pada individu masing-masing. Kita lebih suka membaca novel,majalah hiburan berjam-jam lamanya tetapi mengapa tidak membaca al-quran? Al-quran bukan untuk dipertandingkan siapa lebih merdu suaranya tetapi lebih tepat tidak berlaku riak dan mengamalinya. Berapa ramai yang membacanya setiap hari sebagai satu tabiat? Kita hanya menggunakan al-quran ketika waktu hendak menikah, kematian, dan ketika susah. Sungguh sempit pemikiran orang Islam kerana menghadkan penggunaanya. Bahkan orang Islam kini dijamu dengan juadah laman web sosial seperti facebook,twitter dan sebagainya. Rata-rata kita lihat penggunaan siang dan malam berhibur dengan melayari web tersebut sama ada melalui komputer peribadi,komputer riba atau telefon bimbit yang semakin luas penggunaannya. Apakah kita sedar bahawa kelalaian ini boleh menggundang padah jika tidak dimanafaatkan dengan betul. Kita sebok dengan dunia sehingga kita abaikan nilai Islam dalam diri kita. Kita berketawa tanpa had menjadikan kita lupa dan tidak serius dalam hal-hal keagamaan.

Rasulullah s.a.w bersabda: Ertinya : “Bacalah Al-Qur’an kerana sesungguhnya dia datang memberi syafa’at bagi pembacanya di hari Kiamat” [1]

[1]. Dikeluarkan oleh Muslim no. 804, dalam Solat Al-Musafirin wa Qashruhu, bab II dari hadis Abu Umamah Al-Bahili Radhiyallahu ‘anhu

Membaca Al-Qur’an merupakan ibadah yang paling utama dan dicintai Allah. Dalam hal ini para ulama sepakat, bahawa hukum membaca Al-Qur’an adalah wajib ‘ain. Maknanya, setiap individu yang mengaku dirinya muslim harus mampu baca Al-Qur’an dengan baik dan benar. Kalau tidak, maka ia berdosa. Kerana bagaimana mungkin kita mengamalkan al-Qur’an tanpa mahu membaca dan memahaminya.Beriman terhadap Al-Qur’an bukan sekadar percaya sahaja, namun mesti dibuktikan dengan perbuatan yang nyata sebagai tuntutan dari iman tersebut yaitu membaca, memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari.

Al-Qur’an merupakan pedoman, konsep, dan aturan hidup manusia. Dalam konteks hablum minallah, Al-Qur’an mengatur hubungan hamba dengan khaliqnya. Hubungan ini dalam bahasa syariat disebut ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji. Sedangkan dalam konteks hablum minan naas, Al-Qur’an menjelaskan tatacara pergaulan dan hubungan manusia dengan dirinya, manusia lain dan makhluk Allah lainnya. Hubungan ini dikenal dengan sebutan muamalah. Konkritnya, Al-Qur’an memberi petunjuk bagaimana mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Mengamalkan al-Qur’an merupakan kewajipan bagi setiap muslim, bahkan menjadi syarat utama menjadi seorang yang beriman. Allah swt dan Rasul-Nya saw telah memerintahkan kita untuk mengamalkan ajaran al-Qur’an dan as-Sunnah, agar kita selamat dunia dan akhirat. Bahkan Rasulullah saw mengingatkan kita akan penting pengamalan terhadap al-Qur’an dan sunnah Rasul saw dengan sabdanya,

“Aku tinggalkan kepada kamu sekalian dua hal, jika kamu berpegang teguh kepada keduanya niscaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, yaitu al-Qur’an dan Sunnah Rasul saw.” (H.R. At-Tirmizi)

Hadis ini menunjukkan bahwa orang yang sesat itu orang meninggalkan ajaran al-Qur’an dan As-Sunnah. Jika kita perhatikan kehidupan orang-orang yang soleh, mereka menjadikan al-Qur’an sebagai buku bacaan hariannya. Mereka tidak pernah bosan dan kenyang dengan al-Qur’an, sebagaimana diungkapkan oleh Utsman bin Affan radhiyallahu ‘anhu,

“Kalau hati kita bersih, maka kita tidak pernah kenyang dengan al-Qur’an.”

Kerana dengan senantiasa membaca al-Qur’an, kita akan mendapatkan banyak kebaikan.Asy syahid Sayyid Quthub mengatakan dalam muqaddimah tafsirnya, “Hidup dalam naungan al-Qur’an adalah nikmat. Nikmat yang hanya diketahui oleh siapa yang telah merasakannya. Nikmat yang akan menambah usia, memberkahi dan menyucikannya.”

Sungguh banyak keutamaan dan keuntungan yang diperoleh bagi orang yang membaca al-Qur’an. Keuntungan tersebut tidak dimiliki oleh bacaan lainnya seperti surat kabar, majalah dan buku. Diantara keutamaan dan keuntungan orang yang membaca al-Qur’an iaitu;

Pertama: orang yang membaca Al-Qur’an akan mendapatkan syafaat (pertolongan) pada hari Kiamat nantinya berdasarkan sabda Rasulullah saw bersabda:

”Bacalah al-Qur’an, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti memberi syafaat bagi orang yang membacanya.” (H. R. Muslim).

Tentunya tidak hanya sekadar membaca, juga mengamalkannya. Namun demikian, tanpa membaca al-Qur’an maka tidak mungkin kita mengamalkannya. Selain Rasulllah saw, tidak seorangpun yang mampu memberikan pertolongan kepada seseorang pada hari hisab, kecuali al-Qur’an yang dibaca selama ia hidup di dunia.

Kedua, Rasulullah saw menegaskan bahawa orang yang terbaik di antara manusia adalah orang yang mau mempelajari dan mengajarkan Al-Qur’an, sesuai dengan sabdanya,

”Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari al-Qur’an dan yang mengajarkannya” (H.R. Bukhari).

Oleh kerana itu, orang yang terbaik di dunia ini bukanlah orang yang punya memiliki harta yang melimpah, jabatan mahupun pangkat yang tinggi. Namun, disisi Allah Swt orang terbaik itu adalah orang yang mahu belajar al-Qur’an dan mengajarkan kepada orang lain.

Ketiga, orang yang pandai membaca Al-Qur’an akan disediakan tempat yang paling istimewa di syurga bersama para malaikat yang suci. Sedangkan orang yang membaca terbata-bata (belum pandai), maka ia akan diberi dua pahala yaitu pahala mahu belajar dan kesungguhan membaca, sesuai dengan sabda Rasulullah saw,

”Orang yang pandai membaca Al-Qur’an akan ditempatkan bersama kelompok para Malaikat yang mulia dan terpuji. Adapun orang yang terbata-bata dan sulit membacanya akan mendapat dua pahala.” (H.R Bukhari & Muslim).

Keempat, kejayaan suatu umat Islam itu dengan membaca al-Qur’an dan mengamalkannya. Namun sebaliknya, musibah yang menimpa umat ini disebabkan kerana sikap acuh tak acuh kepada al-Qur’an dan meninggalkannya. Rasulullah saw bersabda:

”Sesungguhnya Allah Swt meninggikan (darjat) ummat manusia ini dengan Al-Qur’an dan membinasakannya pula dengan Al-Qur’an” (H.R Muslim).

Inilah rahsia mengapa generasi awal umat Islam (generasi sahabat, tabi’in dan tabi’itabi’in) menjadi generasi terbaik umat ini sebagaimana dinyatakan oleh Rasul saw. Mengapa demikian?

Jawapannya adalah kerana mereka mengamalkan al-Qur’an dan sunnah Rasul saw. Maka Islam pun berjaya pada masa-masa mereka, sehingga tersebar keseluruh penjuru dunia. Namun, setelah generasi tersebut sampai saat ini umat Islam meninggalkan al-Qur’an sehingga umat Islam menjadi lemah dan hina kerana dijajah oleh orang kafir, bahkan dizalimi dan dibunuh sewenang-wenangnya oleh orang kafir akibat meninggalkan al-Qur’an.

Kelima, orang yang membaca dan mendengar Al-Qur’an akan mendapatkan sakinah, rahmah, doa malaikat dan pujian dari Allah. Nabi saw bersabda:

”Tidaklah suatu kaum berkumpul dalam salah satu rumah Allah (masjid) untuk membaca Kitabullah (al-Qur’an) dan mempelajarinya, melainkan ketenangan jiwa bagi mereka, mereka diliputi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat, dan Allah menyebut nama-nama mereka di hadapan para Malaikat yang ada di sisi-Nya.” (H.R Muslim).

Memang, membaca dan mendengarkan ayat-ayat al-Qur’an menentramkan hati kita sebagaimana ditegaskan dalam firman Allah Swt,

“...Ingatlah, hanya dengan zikir (mengingat) Allah hati menjadi tenang”. (Q.S Ar-Ra’d: 28).

Al-Qur’an merupakan zikir yang paling afdhal (utama). Oleh kerana itu, ketenangan tidaklah diperoleh dengan harta yang banyak, pangkat dan jabatan, namun diperolehi dengan sejauh mana interaksi kita dengan al-Qur’an.

Keenam, mendapat pahala yang berlipat ganda. Rasulullah Saw bersabda:

”Barangsiapa yang membaca satu huruf Kitabullah maka ia mendapat satu kebaikan, dan satu kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kali lipatnya. Aku tidak mengatakan alif laam miim itu satu huruf, tapi alif itu satu huruf (H.R at-Tirmizi)

Membaca “alif lam mim” saja kita mendapatkan pahala sebanyak 30 kebaikan, maka bagaimana dengan membaca sejumah ayat-ayat yang dalam satu halaman al-Qur’an? Bahkan berapa jumlah pahala yang kita peroleh bila kita mampu membaca 1 juz dengan jumlah huruf ribuan atau ratusan ribu? Tentu pahalanya sangat banyak, bahkan kita tidak sanggup menghitungnya.Sekadar kefahaman bukan mengira pahala. Terlebih afdhal adalah ikhlas tanpa mengiranya. Melakukan perbuatan lillahi ta’ala.

SUMBER:
Pengurus Dewan Dakwah Aceh & pengurus Komite Penguatan Aqidah & Peningkatan Amalan Islam (KPA-PAI) kota Banda Aceh

Jumaat, 10 Februari 2017

Kelebihan Membaca Al-Quran


1) Al-Quran akan memberikan pertolongan pada Hari Kiamat.

Dari Abu Umamah radhiAllahu `anhu katanya: “Saya mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Bacalah olehmu semua akan al-Quran itu, sebab al-Quran itu akan datang pada Hari Kiamat sebagai sesuatu yang dapat memberikan syafa`at (pertolongan) kepada orang-orang yang memilikinya (mengamalkannya).”
(HR Muslim)

Dari an-Nawwas bin Sam`an radhiAllahu `anhu katanya: “Saya mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Al-Quran itu akan didatangkan pada Hari Kiamat nanti, demikian pula ahli-ahli al-Quran iaitu orang-orang yang mengamalkan al-Quran itu di dunia, didahului oleh surah al-Baqarah dan surah ali-Imran. Kedua surat ini menjadi hujah untuk keselamatan orang yang mempunyainya (membaca, memikirkan dan mengamalkan).”
(Riwayat Muslim)

2) Manusia yang terbaik ialah yang belajar dan mengajar al-Quran.

Dari `Uthman bin `Affan radhiAllahu `anhu katanya Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Sebaik-baik engkau semua ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.”

(HR al-Bukhari)

3) Ganjaran buat orang-orang yang lancar dan tidak lancar membaca al-Quran.

Dari `A’isyah radhiallahu `anha, katanya Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Orang yang membaca al-Quran dan ia sudah mahir dengan bacaannya itu, maka ia adalah beserta para malaikat utusan ALLAH yang mulia lagi sangat taat. Sedang orang yang membaca al-Quran dan ia berasa susah dalam bacaannya (tidak lancar) tetapi ia selalu berusaha, maka untuknya dua pahala.”

(Muttafaq `alaih)

4) Perumpamaan orang mukmin yang suka membaca al-Quran.

Dari Abu Musa al-Asy`ari radhiAllahu `anhu katanya Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Perumpamaan orang mu’min yang membaca al-Quran ialah seperti buah utrujjah (الأُتْرُجَّةِ), baunya enak dan rasanya pun enak. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran ialah seperti buah kurma (التَّمْرَةِ), tidak ada baunya, tetapi rasanya manis. Adapun perumpamaan orang munafik yang membaca al-Quran ialah seperti tumbuhan harum raihanah (الرَّيْحَانَةِ), baunya enak sedang rasanya pula pahit. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca al-Quran ialah seperti buah hanzolah (الْحَنْظَلَةِ), tidak ada baunya dan rasanya pun pahit.”

(Muttafaq ‘alaih)

5) Al-Quran menaikkan dan menurunkan darjat manusia.

Dari `Umar bin al-Khattab radhiAllahu `anhu bahawasanya Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya ALLAH mengangkat darjat beberapa kaum dengan adanya kitab al-Quran ini (orang-orang yang beriman) serta menurunkan darjatnya kaum yang lain-lain dengan sebab al-Quran itu pula (yang menghalang-halangi pesatnya Islam dan tersebarnya ajaran-ajaran al-Quran itu).”

(HR Muslim)

6) Dibenarkan iri hati kepada orang yang membaca dan mengamalkan al-Quran.

Dari Ibnu `Umar radhiallahu ‘anhuma dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam sabdanya:

“Tidak dibenarkan iri hati melainkan terhadap dua macam orang, iaitu: Orang yang diberi kepandaian oleh ALLAH dalam hal al-Quran, lalu ia berdiri dengan al-Quran itu (membaca sambil memikirkan dan juga mengamalkannya) di waktu malam dan waktu siang. Juga seorang yang dikurniakan ALLAH akan harta lalu ia menafkahkannya di waktu malam dan siang (untuk kebaikan).”

(Muttafaq ‘alaih)

7) Bacaan al-Quran mempunyai sakinah

Dari al-Bara’ bin `Azib radhiAllahu `anhu katanya:

“Ada seorang lelaki membaca surat al-Kahfi dan ia mempunyai seekor kuda yang diikat dengan dua utas tali, kemudian tampaklah awan menutupinya. Awan tadi mendekat dan kuda itu lari dari awan tersebut. Setelah pagi datang, orang itu mendatangi Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menyebutkan apa yang terjadi atas dirinya itu. Baginda sallAllahu `alaihi wasallam lalu bersabda: “Itu adalah sakinah (ketenangan yang disertai oleh malaikat) yang turun untuk mendengarkan bacaan al-Quran itu.”

(Muttafaq ‘alaih)

8) Membaca satu huruf dari al-Quran akan diganjari 10 kebaikan.

Dari Ibnu Mas`ud radhiAllahu `anhu katanya: “Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitabullah (al-Quran), maka ia memperoleh satu kebaikan, sedang satu kebaikan itu akan dibalas dengan sepuluh kali ganda seperti itu. Aku tidak mengatakan bahwa ‘alif lam mim’ itu satu huruf, tetapi ‘alif’ adalah satu huruf, ‘lam’ satu huruf dan ‘mim’ juga satu huruf.”

(HR at-Turmudzi, katanya ia hasan sahih)

9) Orang yang tiada al-Quran di dalam hatinya ibarat rumah yang kosong.

Dari Ibnu `Abbas radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya orang yang dalam hatinya tidak ada sesuatu apapun dari al-Quran (tidak ada sedikitpun dari ayat-ayat al-Quran yang dihafalnya), maka ia adalah seperti rumah yang kosong.”

(HR at-Turmudzi, katanya ia hasan sahih)

10) Kebaikan membaca al-Quran secara tartil

Dari `Abdullah bin `Amr bin al-`As radhiallahu ‘anhuma dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam, sabdanya:

“Dikatakanlah, nanti ketika akan masuk syurga- kepada orang yang mempunyai al-Quran (gemar membaca, mengingat-ingat kandungannya serta mengamalkan isinya): “Bacalah dan naikilah darjatmu (dalam syurga) serta tartilkanlah (yakni membaca perlahan-lahan) sebagaimana engkau mentartilkannya dulu ketika di dunia, sebab sesungguhnya tempat kedudukanmu adalah pada akhir ayat yang engkau baca.”

(HR Abu Daud dan at-Turmudzi, dengan katanya hadith ini hasan sahih)

Semoga ALLAH mengurniakan kebaikan yang banyak buat kita dan memberikan kita kekuatan untuk istiqamah mendampingi dan mengambil manfaat dari al-Quran.